Sunday 2 October 2011

Harga Sebuah Hidayah

Bismillahirrahmanirrahim
Berubahlah..dan jadilah agent of change

HIDAYAH. Tiada sesiapa yang mengetahui bila ianya datang dan kepada siapa ianya hadir. Juga, tiada siapa yang mengetahui adakah hidayah itu akan bersamanya sehingga akhir hayatnya atau tidak. Adakah ia akan hilang daripada diri kita atukah akan kekal? Tiada sesiapa yang mampu memaksa agar hidayah itu datang, dan apabila hidayah itu datang, tiada sesiapa yang mampu untuk menolaknya..Benarlah, hidayah itu hak mutlak dan menjadi rahsia Allah s.w.t. 

Allah berfirman dalam Surah Al-Qasas ayat 56: 

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah pertunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah pertunjuk kepada sesiapa yang dikehendakkiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah pertunjuk (kepada memeluk Islam)".

Berbicara  tentang hidayah, teringat tentang diri saya 7 tahun yang lepas. Hujung tahun 2004..berlakunya detik-detik awal beroleh hidayah. Masa yang lebih tepat adalah lebih awal daripada masa itu, namun suka berbicara bermula hujung tahun 2004. Itulah saat hidayah kian menghampiri..

Alhamdulillah dengan anugerah dan pemberian Allah s.w.t. kepada hati ini..

Siapa saya ketika itu? Hal itu memberi keyakinan kepada saya bahawa benarlah, iman tidak diwarisi..Engkau harus bekerja untuk mendapatkannya. Hidayah itu perlu diusahakan. Ibarat seperti rumah yang kegelapan kerana tiada cahaya menyinari. Gelap kerana semua pintu dan tingkap tertutup. Sedangkan ketika itu hari siang. Kenapa tidak bangkit lalu membuka pintu dan tingkap yang ada. Bukankah cahaya akan menyinari rumah itu? Jika duduk berdiam saja, lantas bagaimana cahaya itu akan memasuki rumah tersebut? Begitulah hidayah. Sekali lagi, hidayah itu perlu diusahakan. Cahaya hidayah itu ada cuma kita perlu bangkit dan berusaha untuk memperolehinya.   Ianya bertitik tolak daripada kemahuan dalam diri seseorang.

Suka mengimbas kembali fasa-fasa awal menerima hidayah. Sungguh, sangat nikmat melakukan sesuatu  yang di lihat menurut kaca mata hati. Kenapa buat ini dan itu? Nikmatnya akan terasa ketika mana mind setting kita benar. Berbuat kerana mahukan keampunan Allah dan kasih sayang Allah. Berbuat kerana tidak mahu menyia-nyiakan nikmat hidayah yang Allah berikan pada diri.
Fasa-fasa awal menerima hidayah benar-benar memori yang sangat indah. Melangkah berseorangan dan berubah sedikit demi sedikit. Hati yang menerima hidayah itu ternanti-nanti untuk berbuat amal. Bermula dengan satu dan kemudian satu..Selepas itu mahu lagi dan menambah lagi. Walaupun sikit.

Manisnya saat-saat beroleh hidayah itu. Hidayah selepas jahiliyyah. Nikmatnya..

Sahabat, hati terdetik untuk berkongsi pengalaman dan tips dalam mencari hidayah. Hidayah pemberian Allah kepada pengemudi hati ini..Itulah yang benar-benar berlaku..


1- Sifat malu
Setiap kita mempunyai sifat malu. Malu pada sesuatu yang sama dan ada juga yang berbeza. Ketika berfikir kembali memori lama, itulah sifat yang menyumbang kepada perubahan diri. Alhamdulillah, meski lahir dalam keluarga yang 'biasa', namun malu itu menebal pada diri.  Diri yang malu untuk berhadapan dengan umum, malu bergaul dengan lelaki, malu untuk berada dalam keramaian, juga malu untuk keluar daripada rumah sehingga diperhati.. Maka tidak hairanlah, ada jiran mengatakan tidak mengenali saya ini anak siapa. Padahal, jarak rumah tidaklah jauh mana. Cukup dekat. 

Untuk perkongsian ini, saya cuba mengutip sisi-sisi positif daripada sifat malu itu..

Tidak dinafikan, ketidakbiasaan itu yang jelasnya menjadikan diri kurang terdedah kepada masalah-masalah sosial remaja. Alhamdulillah..Apatah lagi di kampung itu, banyak akhlak remaja yang perlu diperbaiki.  Pergaulan bebas begitu ketara.

Sifat malu yang wujud itu banyak membantu perubahan diri. Malu itulah yang telah menjaga diri daripada ikut serta dalam pergaulan bebas dan arus pemikiran muda mudi ketika itu. Malu itu juga telah menjaga dan menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak elok. Malu itulah yang mengawal hati dan fitrah dalam diri. Sifat yang sangat membantu dalam menjalani proses islah (pembaikan) diri.


2- Banyak berfikir dan memerhati
Alhamdulillah..Satu nikmat Allah atas diri adalah dikurniakan sifat yang suka berfikir dan memerhati.  Cuba melihat alam sekeliling dan mengaitkannya dengan Allah. Juga suka bertanya pada hati, kenapa ini dan itu..Sifat itu sangat besar kesannya. Dengan sifat itulah, diri banyak menggunakan pertimbangan akal dan akhirnya melahirkan angan-angan dan impian yang positif. Untuk diri dan keluarga..(Peringatan: akal mampu membezakan antara yang baik dan buruk)


3- Kemahuan untuk berubah
Ianya mempunyai kaitan rapat dengan sifat suka berfikir. Kita melihat sesuatu sambil menilai, dan akhirnya kita memilih apa yang terbaik untuk diri kita. Kemahuan itu perlu jelas. Membayangkan serta menggambarkan perkara itu juga akan menambahkan lagi kejelasan akan sesuatu impian. Sekaligus, terbentuknya niat. Ketika mana kemahuan itu kuat dan jelas dengan matlamat, maka seluruh jiwa akan bekerja ke arah itu. Mahu mencapai target itu. Motivasi hati, "Jangan sesekali berpatah balik setelah nekad akan sesuatu yang jelas kebaikannya". Motivasi ini sangat membina. Itulah bekal saya semasa mula-mula mengambil langkah untuk berubah dahulu. Menjadi seseorang yang lain dalam keluarga dan masyarakat bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, pengalaman menguatkan keyakinan. Kemahuan, kejelasan matlamat, kesanggupan menghadapi risiko dan tidak menyerah kalah, itu semua sangat-sangat membantu..Alhamdulillah, ada sedikit ujian pada awalnya..seperti yang telah diduga. Namun, kerana keyakinan itu telah bercambah dan hati telah nekad, Allah ada untuk memberi pertolongan dan menguatkan hati.

4- Berubah perlahan-lahan 
Diri kurang menyenangi sesuatu perubahan yang terlalu drastik kerana kecenderungan untuk goyah lebih besar dirasakan..Justeru, mengambil cara perlahan-lahan. Berubah sikit demi sikit. Selalu terngiang-ngiang semasa sekolah dahulu pesanan pengetua. "kita sebagai wanita ini perlu jaga tiga perkara. Solat, mengaji dan menutup aurat". Saat itu, ada satu yang "tersangkut" pada diri (waktu itu, telah bermula proses perubahan diri) ..Pesanan itu sangat memotivasi diri. Perlahan-lahan berubah dan berperingkat-peringkat. Alhamdulillah, hingga sekarang masih mengekalkannya..Satu angan-angan dahulu yang dicapai dengan bantuan Allah..

5- Prinsip
Prinsip menjadikan seseorang tegar walau dipandang serong atau pelik oleh orang lain. Jika telah nekad akan sesuatu, teruslah memegang prinsip. Jika ia benar, teruslah melangkah dan usah ragu meski yang lain memandangmu janggal.

6- Muhasabah
Dalam bermuhasabah, ada satu prinsip yang perlu diamalkan. Jujur pada hati dan jangan banyak berdalih. Dengan itu, kesalahan akan mudah tersingkap. Berusaha untuk mengaitkan kehidupan ini dengan kehendak Allah. Apa erti keluarga bahagia, hakikat dunia, tujuan hidup, manusia berjaya, iman, Islam..Koreksi diri. Suatu ketika dahulu, kerap bertanya pada diri "mahukah berterusan sebegini dari generasi ke generasi? Sedang engkau boleh mengubahnya!". Banyakkanlah mengadu, meluah, berdoa dan berharap pada Allah. Suatu saat, kita akan meyedari bahawa Allah benar-benar mendengar luahan kita.

7- Istiqamah
Setelah melalui proses pengislahan diri, cubalah sedaya upaya untuk istiqamah. Istiqamah dengan prinsip, istiqamah dengan proses pembaikan diri..Jangan berpatah balik, kerana dibimbangi, diri tidak kuat lagi untuk meneruskannya. Salah satu cara untuk istiqamah adalah dengan berada dalam lingkungan sahabat yang baik. Sahabat yang akan menegur dan menasihat ntuk kebaikan diri.

Sungguh, harga sebuah hidayah itu tidak ternilai. Atas nikmat itulah, hati yang terasa melemah akan cuba mengimbau detik-detik itu..Membangkitkan manisnya dan bernilainya hidayah itu agar ianya terus dijaga sebagai tanda kesyukuran.

Duhai sang hati, semoga Allah menetapkan hati kita yang berbolak-balik ini agar tetap dalam agamaNya. 

Wallahu a'lam.

2 comments:

  1. Salam adik Herna~

    utk poin no.4, apa yg dimksudkn dgn "Satu angan-angan dahulu yang dicapai dengan bantuan Allah" tu? kongsilah..

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam

    Maksudnya, dalam proses perubahan itu (bahkan sebelum mulakan proses perubahan) sudah berangan-angan untuk ini dan itu..Angan-angan yang melahirkan niat..Wallahu a'lam. Allah banyak memberi ruang dan kesempatan untuk berubah. Allah lah yang melunakkan dan menundukkan hati ini. Dan akhirnya, menjadi realiti. Ia berkait dengan isu bertudung..Alhamdulillah dgn nikmat bashirah yg Allah kurniakan.

    Kalau nak kongsi lagi, boleh la nanti luang masa untuk kita curhat ya.. =)

    ReplyDelete