Friday 24 February 2012

Marahmu Kerana Apa?


Bismillahirrahmanirrahim



Dalam menjalani kehidupan seharian, kita seringkali diuji dengan nilai kesabaran. Apatah lagi jika melibatkan komunikasi dan interaksi sesama manusia. Si A yang begitu ego dan susah untuk menerima pendapat orang lain. Mahu dia saja yang menang dan dituruti. Mungkin juga si B, sahabat yang seringkali mengambil mudah akan suatu urusan. Ketika dituntut, ada saja alasannya. Ini dan itu. sikapnya menimbulkan kemarahan kita. Adakalanya juga, sikap si C yang suka menekan orang lain. Sehingga mewujudkan rasa ketidakselesaan orang lain terhadapnya. Situasi-situasi ini seringkali menimbulkan kejengkelan dalam diri pastinya. Ada yang mampu menahan amarah dan ada juga yang tersasar. Marahnya kerana apa? Marahnya kerana rasa jengkel itu, kerana emosi itu.

Sahabat, mari kita renungi beberapa kisah ini sebagai tausyiah dan nasihat untuk kita.


Saidina Ali yang diludahi.

Dalam suatu peperangan, Ali bin Abi Thalib berhadapan sendirian dengan musuhnya yang kuat. Kegagahannya hampir menewaskan Ali namun ketangkasan Ali dapat menghindarnya daripada menjadi korbannya. Ali akhirnya berjaya menjatuhkan musuh dan leher musuh sudah siap untuk dipenggalnya. Namun dengan pantas, musuh itu meludahi wajah Ali. "Astaghfirullah" teriak Saidina Ali. Ali berasa sangat marah sehingga merah wajahnya. Ali kemudian membuang pedangnya dan segera meninggalkan musuhnya itu. Musuhnya yang Yahudi itu berasa hairan atas tindakan Ali yang membatalkan niat untuk membunuhnya. 

"Mengapa engkau melepaskan saya? Mengapa engkau melepaskan peluang untuk membunuh saya?" tanya musuhnya itu dengan hairan. 

Ali yang menahan kemarahannya membalas pertanyaan Yahudi itu,” Aku hendak membunuhmu kerana mempertahankan agama Allah. Tetapi setelah engkau meludahiku, aku menjadi sangat marah. Andai aku meneruskan niatku untuk membunuhmu, itu bererti aku membunuhmu bukan kerana Allah tetapi kerana rasa marah dan dendam dalam diriku.”

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Ali berkata "Jika engkau menghinaku sebagai peribadi aku, tidak lagi ikhlas membunuhmu, kerana aku membunuh kerana membela peribadiku, tetapi jika engkau menghina agamaku engkau pasti akan kubunuh".

Subhanallah, betapa halusnya mata hati Ali. Kejujuran hatinya dapat membezakan niat sesuatu tindakannya. Membunuh kerana Allah atau kerana emosi! 


Nabi Yunus yang kecewa dengan kaumnya.

Nabi Yunus sudah berusaha untuk mengajak kaumnya kepada Allah. Namun, kecewa yang dirasakannya. Lalu, Nabi Yunus pergi meninggalkan kaumnya dengan rasa marah.

“Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahawa Kami tidak akan menyulitkannya..”
(Al-Anbiya’: 87)

Beliau pergi meninggalkan negeri itu dan menumpang sebuah kapal. Dalam perjalanan, tiba-tiba kapal tadi terumbang-ambing kerana terlebih muatan. Akhirnya, kelasi kapal memutuskan untuk membuat undian. Nama yang terpilih harus terjun ke laut untuk meringankan muatan kapal. Dengan izin dan kehendak Allah,nama beliau yang terpilih. Pilihan itu dibantah oleh penumpang lain lalu cabutan yang kedua dibuat. Sekali lagi, nama beliau yang terpilih dan ia juga dibantah oleh penumpang lain. Sedang Nabi Yunus sudah siap menyingsingkan pakaiannya untuk terjun ke laut. Akhirnya undian ketiga dibuat. Ternyata, namanya lagi yang terpilih. Itulah ketetapan Allah. Beliau harus terjun ke laut.

Nabi Yunus pun terjun ke laut dan akhirnya dimakan oleh seekor ikan besar.

“Sesungguhnya Yunus benar-benar termasuk seorang utusan. Ketika dia lari (meninggalkan tanggungjawab) menuju ke kapal yang penuh muatan. Kemudian dia ikut mencabut undi, lalu dia kalah dalam undian. Maka dia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela.” 
(Surah As-Shaffat:139-142)


Dalam perut ikan nun itu, Nabi Yunus berdoa kepada Allah yang bermaksud: 
“Ya Allah, tiada Tuhan selain Engkau, Maha suci Engkau. Sesungguhnya aku benar-benar termasuk orang-orang yang zalim.” (Al-Anbiya’: 87)

Sungguh, doa itu didengari oleh Allah sehingga Allah menerima taubat beliau. 

“Maka Kami kabulkan doanya dan Kami selamatkan dia dari kedukaan. Dan demikianlah Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman.”
(Al-Anbiya’: 88)

Sahabat, Nabi Yunus juga ditegur oleh Allah. Hanya kerana meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah. Sehingga Allah berkehendak mendidiknya dengan menghantar seeokor ikan besar. Dan kita? Berapa kerap kita meninggalkan sesuatu kerana rasa amarah kita? Berapa kerap kita mengekspresikan rasa marah itu? Lalu Allah menegur kita dengan pelbagai cara. Sedarkah kita?


Rasulullah s.a.w. di Thoif

Setelah Abu Thalib meningal dunia, kaum Quraisy semakin kuat menentang Rasulullah. Akhirnya Rasulullah memutuskan untuk ke Thoif dengan harapan akan mendapat perlindungan dari orang-orang Tsaqif dan bersedia menyambut Islam. Namun, pengharapan Rasulullah di balas dengan caci maki, ejekan, hinaan bahkan dilempari batu-baru sehingga Baginda luka. Ternyata, tentangan penduduk Thoif lebih hebat daripada kaum Quraisy. Lalu, Baginda berlindung di bawah pohon kurma dan merintih sambil berdo’a kepada Allah.

“Ya Allah, kepadaMu au mengadukan kelemahanku, terbatasnya usahaku, dan ketidakberdayaan diriku di hadapan manusia. Wahai Dzat yang Maha Pengasih, Engkau adalah Tuhan bagi orang-orang yang lemah, Engkau adalah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau menyerahkan diriku? Apakah kerabat jauh yang tidak menghiraukanku, atau kepada musuh yang akan membinasakanku?njika Engkau tidak marah kepadaku, maka aku tidak peduli, akan tetapi sifat pemaafMu lebih luas. Aku berlindung kepada cahaya wajahMu yang menerangi kegelapan dan kenjadikan baik urusan dunia dan akhirat. Jangan Engkau turunkan kemarahan dan kebencianMu kepadaku. Engkau berhak marah, hingga Engkau redha kepadaku. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan kekuatan Allah.”

Maka Allah mengutus malaikat kepada Baginda dan menawarkan, jika Rasulullah mengizinkan, untuk mengangkat dua gunung yang mengapit kota Thoif dan ditimpakan ke atas penduduknya. Namun, Rasulullah menolaknya bahkan berharap agar kelak akan muncul dari keturunan mereka orang-orang yang menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukanNya.

Subhanallah, cuba kita bayangkan kelembutan Rasulullah ini. Pengharapan tinggi Baginda letakkan untuk dakwah di Thoif namun dibalas dengan sesuatu yang di luar jangkaan Baginda. Boleh saja Baginda mengiyakan tawaran malaikat sebagai balasan kepada siksaan penduduk Thoif, namun, bukan itu yang sewajarnya. Keburukan tidak dibalas dengan keburukan. Namun, tetap bersabar bahkan mendoakan kebaikan untuk mereka kelak. 


Refleksi diri.

Sahabat, ketika ini, renungilah tindak tanduk kita. Singkaplah kembali peristiwa-peristiwa yang pernah menimbulkan amarah dalam diri hingga disusuli dengan tindakan menzahirkannya. Marah itu kerana apa?

Kita juga pastinya pernah merasakan konsekuensi marah itu. Allah menghantar sesuatu peristiwa sebagai imbalannya. Marah kerana emosi. Terjerat kerana emosi. Sedarkah kita?

Saat ini juga, kita imbaslah kembali pesanan Nabi kita,

Dari Abu Hurairah r.a., ada seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.

"Berilah aku wasiat”. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jangan marah!” Baginda mengulang-ulang beberapa kali ucapan, “Jangan marah”. 
(HR Bukhari)

Sahabat, “Jangan marah!”. Orang yang kuat itu bukanlah orang yang kuat dalam pergaduhan, namun orang yang kuat itu adalah orang yang mampu menahan marahnya. Bahkan, itulah yang diiktiraf oleh Allah sebagai orang-orang yang bertakwa dan yang dicintaiNya. 

“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yag disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (Iaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.” 
(Ali-Imran: 133-134)

Sahabat, tak teringinkah kita?

Wallahu a’lam.
Read More..

Saturday 18 February 2012

Statik

Bismillahirrahmanirrahim
Mencari Rahsianya...

Suatu saat, diri merenung sang hati. Meraba-raba kondisinya..Apa khabarmu, duhai hati?
Akal mula mengambil alih pertanyaan itu..Hingga yang terbit darinya, "kenapa tiba-tiba rasa stuck!" Stuck pada suatu titik. Momentum diri di rasakan statik. Terus melonjakkan gerak, namun kenapa masih terbit rasa hati bahawa kondisi diri dirasakan statik. Ibarat sebuah kenderaan yang tengah menaiki bukit. Hingga suatu ketinggian, kenderaan itu dirasakan statik. Tidak bergerak. Meskipun pada hakikatnya kenderaan itu bergerak.  Pelik. Sungguh pelik rasa itu.

Ketidakbiasaan pada situasi ini benar-benar membuat diri kebingungan. Maka, mulalah mengambil inisiatif mencari jalan keluarnya. 

Dalam keramaian bersama sahabat-sahabat, hati merindui suasana SUNYI. Sunyi daripada manusia. Keseorangan dalam satu ruang bilik. Tiada yang mengganggu, tiada yang menyapa. Melihat kondisi diri, tengah cuti semester, ke mana harus mencipta kesempatan itu. Hala tuju mana lagi jika bukan di Wisma Rabbani ini. Akhirnya, diri akur juga. Duduklah bersama dalam keramaian itu.

Mahu menangis, benarkah hanya tatkala kita berseorangan dalam suatu ruang bilik atau rumah? Persoalan dilontarkan untuk mencabar diri. "Ciptalah suasana ruhi dalam hati itu di sini. Merintihlah padaNya di celah-celah keramaian ini," tegas sang hati.   Sampai suatu ketika, I did it. Puas. Mengalir jua.

Masa terus berlalu. Hari demi hari dilalui..Hingga suatu saat, terdetik lagi. STATIK.

Deretan buku-buku yang tersusun di rak-rak diperhati satu persatu. Itulah kelebihan wisma ini, macam-macam jenis buku ada. Mahu yang ruhi, pilih saja. Mahu yang haraki, ya..pilih saja.Mahu yang ilmi, terhidang untuk di santap oleh sang intelek. Saat itu, sudah tentu mahunya yang ruhi. Jenis buku kegemaran. 

Aneh..sungguh aneh..Kurang dzouq. Apa khabar IMANku? 

Laptop sering menjadi peneman kerana beberapa tugasan perlu disiapkan dan menuntutnya untuk digunakan. Dalam sela-sela itu, suka google mana-mana materi sebagai bacaan untuk siraman sang hati. Namun sekali  lagi, belum benar-benar menggugah sang hati seperti kebiasaannya.

Kemudian, rasa hati diluahkan pada seorang ahli wisma. STATIK, itulah isunya. Puncanya, macam-macam yang di andaikan. Namun yang dominan pada kata hati, kerana kurang bergaul dengan masyarakat. Mana tidaknya, 24 jam terperuk dalam rumah. Keluarnya sekali-sekala bahkan amat jarang sekali. Mungkin kerana dalam kampus, sudah terbiasa berinteraksi dengan manusia yang pelbagai, berprogram, bertemu dan berpisah dan bertemu lagi dengan orang-orang baru..Tatkala kebiasaan itu terhenti, sangat kosong dirasakan. STATIK lagi.

Diri semakin tidak keruan jadinya. Lantas teringat kepada luahan seorang sahabat. Dia dulu, juga mengalami kondisi STATIK. Baru kini dapat merasakan dan memaknai statik itu bagaimana. Meski dahulunya, menjadi keliru, bagaimana boleh berlakunya hal itu? Saatnya sudah tiba untuk diri sendiri pula merasainya. Bingung pula jadinya..

Sahabat itu pun berkongsi cara dia mengatasi rasa STATIK itu.

#Berdamping dengan sahabat-sahabat rapat lain
#Membaca buku-buku atau menonton video-video yang mampu menggugahkan hati
#Bergerak dengan melakukan amal yang bermanfaat untuk orang lain. Bergaul dengan orang lain, menghubungi adik-adik yang bercuti di kampung dan bertanya khabar mereka.

Untuk empunya diri, ya, terkena dengan no 3. Itulah kurangnya.

Seolahnya mendapat semangat baru. "Harus di mulai bagaimana tengahari-tengahari begini? Mood sedang bingung, ada blur sikit. Nak call ke? Macam tak relevan je. Karang kaku jadinya," lirih sang hati. Idea lain datang dan FB adalah sasarannya. Mata tertumpu pada ruangan "online friends". Dengan tindakan segera (suatu kelainan diri) seorang demi seorang yang dikenali di sapa. Opppsss, available untuk wanita sahaja. Rapat atau tidak, itu belakang cerita. "Aku harus mulai pembicaraan. Kekakuan perlu diruntuhkan. Jika kaku, akal harus cepat berfikir. Berbual saja", tegas sang hati. Cuba untuk PEDULI, ambil kisah dan bertanya khabar. Hasilnya? Ya, ada rasa sedikit terubat. At least bergaul juga. Meski di alam maya. 

Kini, semester 2 bermula. STATIK, timbul lagi ke?

Merenung hati...Meraba kondisinya..

Apa pula yang terlintas?

"Hati menuntut sesuatu." 

Ya...hati benar-benar menuntut sesuatu. Menuntut untuk melakukan suatu amal yang baru. 
Terdetik di hati, "Salahkah? Tidak cukupkah untuk memperbaiki amal-amal diri sekarang?" Hati lantas berkata, "I need something else. Dalam memperbaiki, really, I need something else too. Yang di luar kebiasaan diri. Something new."

Adakah hal-hal kebiasaan itu menjemukan?
Bukan, bukan itu yang dimaksudkan. Namun, hati meminta sesuatu. Tambahi amal-amal lain, yang bukan kebiasaan diri. Itulah pintanya.

Apakah ia? Hati juga masih mencari..Mencari dan mencari di samping berbuat sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan diri. Pertemukanlah ya Allah...

* Bagi yang membaca, mungkin merasakannya aneh. Mungkin juga merasakannya remeh. Namun, jika kalian pernah melaluinya, pasti akan memahaminya. Coretan ini, sekadar mencurahkan rasa hati. Bagi yang membaca, lontarkanlah nasihat. Andai ada yang tersalah dalam memahami sesuatu, nasihatilah empunya diri.  Kerana, hati masih mencari...Mencari si "something new" hingga akhirnya membuahkan amal. Agar diri, tidak lagi merasakan STATIK.   *

Wallahu a'lam.
Read More..