Sunday 6 September 2015

Melangitkan Masalah

Bismillahirrahmanirrahim



Aku melontarkan sejauh-jauh pandangan. Tepat menuju Langit. Entah… kebebasan apakah yang menyelubungi diri tatkala menatapnya. Puas. Nikmat. Merdeka.
Dari langit, aku belajar erti ketenangan dalam memaknai sebuah kehidupan!

Manusia pastinya tidak pernah sunyi daripada diuji. Setiap waktu dan ketika. Ada orang yang diuji dengan kesusahan berupa wang, pekerjaan, keluarga, rumahtangga mahupun lingkungan. Bahkan, bentuk-bentuk ujian ini juga boleh hadir dalam rupa kenikmatan. Soalnya, adakah kita benar-benar menyedarinya ataupun tidak. Sedar bahawa kita sedang diuji. Begitu jugalah dengan manusia demi manusia yang ditemui. Setiap mereka dan peristiwa membawa mesej kehidupan untuk dipelajari. Sudut kebaikan untuk diteladani dan sudut keburukan untuk disempadani.
Begitulah, datang dan perginya manusia dan peristiwa dari diari kehidupan kita.

Usia 16 tahun adalah kemuncak pencarianku untuk memaknai sebuah kehidupan. Pemahaman sebatas ilmu, lingkungan dan pengalaman yang aku punyai saat itu. Hanyalah seorang remaja biasa namun ingin celik dari lingkungan hidup yang diletihkan dengan mengejar dunia tanpa menjadikan Tuhan sebagai nadi yang melatari hayatnya. (Terimbauku pada kisah silam).


It’s how you communicate to yourself!

Apa tujuan hidup kita?
Antara model-model manusia dan keluarga yang kita temui, yang manakah yang terbaik untuk diikuti?
Ke mana arah destinasi hidup ini?
Apa sebenarnya makna kehidupan yang aku lalui ini?
Aku ini siapa?
Apa kaitan aku dengan orang disekelilingku?
Tanggungjawab apa yang aku harus mainkan?

Hakikatnya, inilah manusia yang fitrahnya adalah seorang pemikir dan pemerhati. Hanya tinggal menghubungkan antara akal dan hatinya. Sebelum bertindak untuk memilih langkah arah mana yang akan dipilihnya. Dan proses ini sangat memerlukan komunikasi dalaman yang berkesan secara intensif. Usah terlalu naif untuk mengatakan diri tidak layak mengubah kompas hidup kepada yang lebih baik. Seolah-olah telah menemui check mate tanpa jalan keluar untuk mengubah langkah. Hidup ini adalah percaturan namun ia bukanlah ibarat permainan catur kerana kita sentiasa ada pilihan untuk melakukan U-Turn selagi belum menemui check mate hakiki iaitu kematian. Meskipun memiliki banyak kekurangan dan ketidaksolehan peribadi, hargailah, akuilah dan bersedialah untuk memaafkan diri sendiri.   Setelah itu, warnailah kehidupanmu dengan warna-warna indah yang penuh makna.


Peristiwa adalah persediaan untuk menjadikan dirimu yang akan datang.

 “Kami menceritakan kepadamu (Muhammad) kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al-Qur’an ini kepadamu, dan sesungguhnya engkau sebelum ini termasuk orang yang tidak mengetahui”. (Yusuf: 3)
Inilah kisah terbaik yang Allah ceritakan kepada kita dalam Al-Qur’an. Kisah Nabi Yusuf a.s. Siapa sangka, Nabi Yusuf a.s. yang dahulunya pernah dipenjara akhirnya diangkat menjadi seorang bendahari kerajaan Mesir?

Namun, kedudukannya tidaklah diraih dengan jalan mudah. Namun sarat dengan ujian-ujian berat untuk dipikulnya. Namun, kerana Allah merancang untuknya, semuanya berjalan sesuai dengan rencanaNya. Silakan menyemak al-Qur’an anda untuk memahaminya. J

Tidak jarang ujian membuatkan kita terduduk merenung nasib diri. Menangis penuh hiba atas peritnya terasa tak tertanggung lagi. Beratnya beban tak terjunjung kepala. Lenguhnya kaki untuk terus melangkah untuk menjalaninya. Namun, cermatilah ia dengan penuh kejernihan mata hati dan akal. Pedih hari ini mungkin suatu mahar untuk meraih kebahagiaan dikemudian hari. Bahkan, berdirinya kita pada hari ini adalah lahir daripada beragam ujian yang telah kita lalui dahulu.
Musibahkah ia ataukah rahmat?

Serahkan sahaja setiap urusan kepada Allah…seperti tutur kata Nabi Musa a.s.,

وأفوض أمري الى الله
“dan aku serahkan urusanku kepada Allah” (Ghafir:44)

 “Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal itu baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”. (Al-Baqarah: 216)

Pandang kejauhan langit…

Pulangkan ‘masalah-masalah’ kepada DIA yang merencanakan untuk kita. 
Inilah kehidupan.
Read More..

Sunday 14 June 2015

Ajaklah akal untuk berfikir

 Bismillahirrahmanirrahim





Kenapa perkara Muhammad jauh daripada engkau wahai 'Amru? Sedangkan aku tahu keunggulan akalmu dan pandanganmu yang jauh ke hadapan. Demi Allah, dia benar-benar Rasulullah yang diutus kepada kalian khususnya dan kepada semua manusia umumnya."


Saat keadaan orang Islam semakin sulit, penyiksaan demi penyiksaan, cercaan demi cercaan.. Mencari tempat baru untuk berlindung sangat-sangat menuntut agar Baginda segera berikhtiar. Habsyah, inilah tanah yang merakam jejak hijrah pertama bagi menyusun strategi dakwah Ilahiyyah. 
Ingatkah kita tentang perbualan yang berlaku di antara Raja Najasyi dan Amru b. Ash?
"Kenapa perkara Muhammad jauh daripada engkau wahai 'Amru? Sedangkan aku tahu keunggulan akalmu dan pandanganmu yang jauh ke hadapan. Demi Allah, dia benar-benar Rasulullah yang diutus kepada kalian khususnya dan kepada semua manusia umumnya.". Tanya Raja Najasyi.

Amru b. Ash pun berkata kepadanya, "Apakah engkau mengatakan hal seperti itu wahai Raja?"

Raja pun menjawab, "demi Allah, taatilah aku wahai Amru, dan berimanlah kepada Muhammad dan kebenaran yang dibawanya."

Inilah kata-kata yang ditinggalkan oleh Raja kepada Amru sebelum Amru meninggalkan kota Habsyah. Ternyata, pertanyaan ini benar-benar membekas di hati Amru.

Ketika berlakunya hijrah pertama, 'Amru bukanlah di pihak kaum Muslimin. Islam masih belum menjadi anutannya. Bahkan sama sekali tidak terlintas baginya untuk berpaling dari agama turun temurun bapa dan nenek moyang tanah Arab ketika itu.

"Beberapa orang kaum kami telah keluar dari agama bapa dan nenek moyang mereka. Mereka membuat agama baru. Kaum Quraisy mengutusku untuk memohon izinmu untuk memulangkan mereka kepada kaumnya, supaya kaum Quraisy mengembalikan mereka ke agama mereka". begitu diplomasi Amru saat menyatakan niatnya menghadap Raja Najasyi.

Kenapa kisahnya ingin saya bawa pada entri kali ini? Bahkan fokus kepada peristiwa hijrah pertama.
Ya, kerana perbualannya dengan Raja Najasyi mengandungi sejuta hikmah bagi mereka yang mengaku memiliki akal yang sihat lagi cerdas. Akal yang sempurna dan tahu membezakan yang benar dan salah. Ingin saya ulang pertanyaan si Raja kepada Amru.
"Kenapa perkara Muhammad jauh daripada engkau wahai 'Amru? Sedangkan aku tahu keunggulan akalmu dan pandanganmu yang jauh ke hadapan. Demi Allah, dia benar-benar Rasulullah yang diutus kepada kalian khususnya dan kepada semua manusia umumnya.". 

Amru b. Ash memiliki kecerdasan akal dan pemikiran yang jauh ke depan. Sudah cukup terkenal dalam kalangan kaum Quraisy, bahkan Raja Najasyi juga mengiktirafnya. Dialah antara sahabat Nabi s.a.w. yang benar-benar menggunakan kecerdasan akalnya untuk berfikir. Sekembalinya Amru dari Habsyah, hatinya kerap mengajaknya untuk segera bertemu dengan Rasulullah. Namun, hajatnya terbatas, beliau tidak ditakdirkan untuk bertemu Baginda. Hinggalah ke tahun 8 Hijrah, Allah melunakkan hatinya untuk Islam lalu bertemu dengan Rasulullah di Madinah dan berbai'at kepada Baginda. 

Sejak pertemuannya dengan Raja Najasyi hinggalah 8 tahun selepas hijrah, ada getar rasa yang menggugah dan menjentik hatinya. Terpukul dengan pertanyaan si Raja yang mengetuk akalnya untuk berfikir lantas menggetarkan hatinya. Benarlah, agama hanif ini menjaga akal daripada terpesong dari kebenaran. Fikirlah dan renunglah!!

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah daripada hamba-Nya ialah ulama.”
(Fathir: 28)

Ada ahli tafsir yang menafsirkan "ulama" dalam ayat ini sebagai mereka yang memiliki ilmu kebesaran dan kekuasaan Allah.
Menggunapakai tafsiran ini, bukankah kita memiliki ilmu ini? Orang-orang yang telah mengimani Allah sebagai Pemilik alam dan Pencipta segala isinya?
Pandanglah segenap alam bahkan pada diri kita sendiri...Bukankah terlalu sarat dengan bukti kekuasaanNya?
"Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kebesaran) Kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, hingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Qur'an itu adalah benar."
(Fussilat: 53)
Mengaplikasikan ilmu Maqasid As-Syariah Al-Islamiyyah, ada 3 hal yang harus diperhatikan untuk benar-benar berguru dengan alam ini sehingga melihat betapa Islam menjaga akal manusia melalui pendidikan. Bahkan melindungi akal daripada terpesong.
1- Memandang kebesaran Allah melalui fakta-fakta alam.
Lihatlah olehmu alam yang tersergam indah ini..Siapakah Penciptanya? Yang tiada cacat sedikitpun..
"Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis lapis. Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah yang maha pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah ( jika engkau ragu-ragu ) maka ulangilah pandanganmu. Dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?Kemudian ulangilah pandanganmu berkali-kali nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa ( daripada melihat sebarang kecacatan ), sedang kamu pula berkeadaan lemah lesu ( kerana habis tenaga dengan sia-sia )"
(Al-Mulk :3-4)

Kamu dan aku, sudah sama-sama mengetahui jawapannya, bukan?
Mari kita lafazkan pujian kepadaNya.
 فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ 
"Maka Maha Suci lah Allah, Pencipta Yang Paling Baik"
(Al-Mu'minun: 14)

2- Teruskan pengembaraan mencari ilmu dengan bertafakkur, merenung penciptaan-penciptaan Allah.
Apa itu tafakkur? Tafakkur adalah kita merenung di sebalik sesuatu kejadian (think behind of the fact). Kenapa Allah menciptakan itu dan ini..Bagaimanakah untuk aku manfaatkannya dalam kehidupan realiti ini?

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka."
( Ali Imran: 190-191)

Keep thinking!!
Ayat inilah yang menyentak pancaindera kita agar tidak sekadar tahu kebesaran Allah, tapi bertindak, mengambil mesej dari ayat-ayat kauniyah ini. Tafakkur ini jugalah yang membezakan seseorang yang hanya tahu dengan memiliki ilmu dengan orang yang beramal dengan ilmunya..
Semoga kita sentiasa berusaha untuk menjadi orang-orang yang mahu dan akan menterjemah ilmu kepada amal..Tidak hanya membeku dan gah melalui lisan.
3- Berfikir menggunakan methodology atau cara berfikir yang betul
Orang-orang Israiliyyat, tidak dapat disangkal bahawa mereka benar-benar bersungguh mempelajari ilmu-ilmu Islam. Tapi sayang, niatnya mahu menghentam Islam kembali dan menyebarkan fitnah-fitnah agar orang-orang Islam keliru dengan agamanya sendiri.
Bagi kita, seharusnya melihat segala sesuatu itu dari kaca mata Allah. Allah-oriented, ukhrawi-oriented..Melihat dan merenung penciptaanNya dalam rangka mendekatkan lagi diri kepada Allah. 
Merenung alam pun boleh dekatkan diri dengan Allah? Bagaimana mungkin?
Cubalah...dalam memandang dan merenung, hadirkanlah Allah dalam hati..dan merasakan kebesaranNya hingga menembus sang hati..Sangat berbeza orang yang memandang sesuatu dengan mata ('ain) dengan orang yang memandang menggunakan mata hati (bashirah).
Merenung menjadikan kita lebih merendahkan diri kepada Allah (tawadhu') dan bukannya berperilaku sombong (takabbur). Ingat kata-kata Iblis yang enggan tunduk memberi penghormatan kepada Nabi Adam a.s.? Ingatkah kita juga kata-kata yang terpacul keluar dari lisan Qarun atas nikmat yang Allah kurniakan ke atasnya?
Allah berfirman: "Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?" Menjawab iblis "Saya lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan saya dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah." 
(Al-A'raf: 12)

Qarun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, karena ilmu yang ada padaku." Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka. 
(Al-Qashas: 78)
"Kerana aku dari api dia dari tanah!" dan "Kerana ilmu yang aku miliki!". Sombong, inilah penyakit hati yang menjadikan mereka semakin jauh dari rahmat Allah.. Na'udzubillahi min dzalik. Ayuh, kita perbaharui niat kita kembali atas nikmat-nikmat yang Allah berikan ke atas kita.
Akal, suatu kurniaan agung ke atas manusia. Bahkan lebih hebat daripada Mr. Google, Mr. Yahoo dan seangkatan dengannya. Kenapa? Kerana yang menciptakan semua itu juga hasil daripada buah fikiran yang dikerahkan oleh akal manusia. Dan tidaklah berlaku semua itu melainkan dengan ilham dan cetusan idea dari Allah..Yang memudahkan segala sesuatu.
Pokok pangkalnya, sejauh mana akal ini diselarikan dengan kehendak Allah..Ilmu yang dimilki ternyata belum diterjemah membuahkan amal. Sedangkan, betapa banyaknya ilmu yang kita ada..Usah jauh-jauh melihat kepada imu-ilmu furu' (cabang), tapi fokuslah kepada yang usul (inti)..Yang wajib sebelum sunnah apatah lagi mubah..Kenapa? Inilah persoalan yang harus setiap dari kita jawab segera. Risau, hati itu lambat laun akan menjadi keras dan "immune" dengan peringatan-peringatan Allah..
"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik."
(Al-Hadid: 16)

Semoga Allah mengurniakan hidayah ke atas diri kita..Hidayah yang menyuluh mata hati untuk berubah dan tunduk kepadaNya dan bukannya kepada makhluk.

Wallahu a'lam.

*Aku juga insan hina..yang masih terlalu banyak untuk dimuhasabahkan..ilmu  yang masih membeku dan belum melebur membuahkan amal..
Read More..

Thursday 25 April 2013

Nota-nota

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang




Alhamdulillah,
Satu kalam dan ekspresi kata yang sesungguhnya ke atas Dia, Pemilik Cinta yang agung.

Sudah lama tidak menulis,
Rasa di hati,
Mahu menjalinkan nota-nota kata yang terpisah-pisah.
Nota kisah itu..ini..itu dan ini..
xxxxxxxxxx

Musafir saja!

Hidup ini satu pengembaraan
Tidak lebih hanya sekadar transit menuju kampung akhirat.
Yang kita jahil akan pengakhiran langkah  
Rumah syurga ataukah neraka sebagai kediaman kelak.

kun fi dunya ka annaka gharibun au 'abiri sabil
Hiduplah di dunia seperti orang asing atau yang sedang dalam perjalanan,
Begitu wasiat Junjungan Mulia Rasul kita, Muhammad s.a.w.
Wahai diri,
Cukup! Cukup! Cukup!
Hanya sekadar itulah selayaknya dirimu berperilaku.
Usah lebih-lebih!

Acapkali kita merasakan seolah-olah dunia ini tiada penghujungnya.
Yang dimiliki, mahu terus dikecapi..
Lupa bahawa Malaikat maut itu boleh menjemput kita bila-bila masa. Lupa untuk bertanya pada diri, cukupkah bekal untuk menghadapi akhirat?


Riak-riak riya'

Tidak jarang,
Pakaian yang indah-indah menimbulkan riya'
percakapan yang gah-gah menimbulkan riya'
posisi/jawatan yang tinggi-tinggi menimbulkan riya'
pencapaian/prestasi diri yang baik-baik menimbulkan riya'

Dalam sedar atau tidak..
Kelebihan-kelebihan diri itu sering bergeser dengan riya' bahkan 'ujub.
Wahai diri,
Betapa halusnya panah-panah syaitan menghinggapi sang hati.
Sedarkah engkau?

Meskipun orang lain melihat kita adalah ini dan itu..memiliki ini dan itu, semoga kita tidak lupa bahawa;

"aku yang luaran ini kelak akan ditinggalkan sedangkan AKU yakni hati itulah yang akan pulang kepada Pemiliknya"

~Alangkah sukarnya menjaga hati~
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                        

Rindu...salahkah merindu?

Rindu...
Siapa yang tidak pernah merindukan sesuatu..
Yang dulu-dulu bahkan juga yang diimpi-impikan.

Ketika berbicara soal rindu, kenapa terus ditanggapi pada yang silang jantina?
Mungkin tiada salahnya,
Katanya, 'bukankah itu fitrah mahukan pendamping?'
Tanggapan itu kurang menarik buatku.

Kukatakan ,
Saat ini, jalan tazkiyyah jauh lebih indah untuk dirindui.
Beraksi dan bermimpi di jalan ini jauh lebih layak untuk diobsesikan.
Hingga merindui pertemuan indah di penghujung takdir bersama DIA.
Hanya kini, menuntut diri untuk membuktikan!

Tanya pada diri,
Ikhlaskah..Jujurkah sang hati?

Munajat

Manusia adalah makhluk bersosial.
Yang tidak akan mampu untuk hidup bersendiri.
Benar.

Namun, kemahuan menyendiri itu juga adakalanya menuntut.
Mahu ke mana menyendiri?
Duhai hati yang menuntut,
Usah pergi jauh-jauh,
Kerana jawapannya mudah.
Bukankah DIA menyediakan malam itu untuk bersunyi-sunyi.
Sedang yang lain begitu lena diulit mimpi.
Tiada siapa bersamamu.
Melainkan hanya kamu dan DIA

Saat itu, kamu bebas mahu melontarkan dan meluahkan rasa hati.
Pada DIA dan hanya dengan DIA.
DIA, punca awal datangnya sesuatu.
Kepada DIA jugalah, tempat akhir kembalinya sesuatu.

Munajat seorang hamba kepada Rabbnya,
Mencipta sebuah rahsia yang tidak akan terbongkar!

Wallahu a'lam. Read More..

Friday 26 October 2012

Setegar Siti Hajar

Bismillahirrahmanirrahim


"Apakah Allah SWT memerintahkannya yang demikian ini?", tanya Hajar. Nabi Ibrahim menjawab: "Benar." Isteri yang beriman itu berkata: "Kalau begitu, kita tidak akan disia-siakan."

Menyingkap Sejarah di Tanah Gersang

Suatu hari, Nabi Ibrahim memerintahkan isterinya, Hajar supaya bersiap sedia untuk melalui sebuah perjalanan panjang. Setelah beberapa hari, bermulalah perjalanan mereka berserta anak kecil mereka yang masih menyusu. Gurun dan gunung-ganang dilewati oleh mereka. Saat itu, tiada kata yang diungkapkan oleh Hajar. Taat dan setia meredah perjalanan panjang bersama suaminya. Sehingga sampailah mereka ke Tanah Arab. Tanah tandus lagi gersang tanpa tanaman dan pepohon yang menghijau.

Nabi Ibrahim menurunkan isteri dan anaknya dari tunggangan unta dan meninggalkan bersama sedikit bekalan makanan dan air. Lalu, ditinggalkan isteri dan anaknya di tengah-tengah tanah tandus dan gersang itu..Langkah demi langkah Nabi Ibrahim berundur. Tiba-tiba, Hajar menyusulnya dan  bersuaralah si isteri. 

"Wahai Ibrahim, ke mana engkau pergi? Mengapa engkau meninggalkan kami di lembah ini, padahal di dalamnya tidak terdapat sesuatu pun."

Tiada kata yang dibalas oleh Nabi Ibrahim bahkan terus melangkah meninggalkan kesua-sua insan yang disayanginya.

Si isteri bertanya lagi akan hal yang sama. Namun, bibir kekal kaku dan terpaku. Nabi Ibrahim diam tanpa kata. Jauh terpendam, tiada yang memahami gelora rasa si suami melainkan Allah..

Si isteri solehah yang taat lagi beriman, sangat cerdas memahami hal yang tersirat. Mengertilah dia bahawa suaminya tidak akan bersikap sedemikian melainkan setelah mendapat perintah dari Allah SWT. Meluncurlah keluar persoalan dari si isteri.

"Apakah ini perintah dari Allah?"

Akhirnya, bersuaralah si suami, "Benar."
Lantas dengan tenang dan yakin isteri yang beriman itu berkata: "Kalau begitu, kita tidak akan disia-siakan." Betapa teguhnya keyakinan Hajar kepada Allah!! Sedangkan dia seorang wanita yang akan ditinggalkan keseorangan bersama bayinya yang kecil.

Tinggallah Hajar dan bayinya yang mughil itu berdua di tanah asing yang tandus dan gersang. Wanita dan bayi, dua insan lemah yang amat memerlukan perlindungan. Lantas, pada siapa mahu bergantung harap? Tiada lain hanyalah Allah!!

Beberapa hari kemudian, bekalan makanan dan susu sudah kehabisan. Tidak keruanlah Hajar. Bayinya menagih kelaparan. Berlari-larilah Hajar mencari air dari Safa ke Marwah. Dari jauh melihat seolah-olah ada biasan kelopak air, maka berlarilah dia mendapatkannya, Namun hampa. Yang disangka air rupa-rupanya hanyalah fatamorgana di tengah-tengah gurun.

Setelah masuk ke tujuh pusingan Hajar berlari-lari mencari air, dengan rahmat dan kasih sayang Allah, dilhamkan kepada Ismail untuk menghentak-hentakkan kaki kecilnya itu ke tanah. Allahu Akbar, terpancutlah keluar air dari hujung kaki Ismail.

Riang gembiralah hati si ibu dan dengan tuntas menyebut "zammi, zammi, zammi" yang bermaksud berkumpullah, berkumpullah, berkumpullah..Kerana disangkakannya, air itu akan segera habis dan Hajar sangat berharap agar air itu berkumpul sebanyak-banyaknya untuk bayinya. Tulusnya hati seorang ibu...
Hajar berharap agar air itu berkumpul untuk bayinya, tapi ternyata Allah menghadiahkan kepadanya sesuatu yang luar biasa. Telaga zam-zam yang tidak akan surut hinggalah hari kiamat!!

Dari tanah tandus dan gersang bertukarlah ia menjadi tanah yang subur dan pusat pengumpulan kafilah-kafilah dagang. Hingga meluaslah perkampungan yang terbina di sekitar telaga ini. Bahkan, tanah gersang ini jugalah telah bertukar menjadi tanah Haram yang dimuliakan Allah hingga hari kiamat kelak, Mekah Al-Mukarramah.


Belajar daripada Peribadi Siti Hajar

 "Tangan yang disangka lembut menghayun buaian, menggoncang dunia mencipta sejarah"

Menelusuri kisah Siti Hajar, pasti memberi impak yang menggugahkan jiwa. Pengorbanan, cinta, kasih, optimis, cekal, tegar, survival dan banyak lagi qudwah yang dipamerkan oleh insan agung ini.

Apakah rahsianya?

Formulanya,
Ilmu, Iman, Amal

ILMU
Siti Hajar mengetahui bahawa hidup ini mempunyai halatuju. Dan dia, benar-benar jelas akannya dan memahaminya. 

Pengakhiran hidup adalah kematian dan bertemu dengan Allah. Rumah abadi hanya ada dua samada syurga ataupun neraka.

Hajar benar-benar mengetahui bahawa hakikat kehidupan seorang hamba bukanlah pada dunia tapi berakhir kepada Allah. Tujuan hidupnya jelas, sebagai abid (hamba) dan khalifahnya.

Maka, tidak hairanlah kenapa Hajar langsung tidak mempersoalkan perintah Allah ke atas Nabi Ibrahim agar meninggalkannya dan bayinya di tanah gersang itu. Maka tidak hairanlah kenapa Hajar begitu mudah untu tunduk dan taat kepada perintah Tuhannya..Bahkan meyakini akan ada hikmah di sebaliknya.

"Apakah Allah SWT memerintahkannya yang demikian ini?", tanya Hajar. Nabi Ibrahim menjawab: "Benar." Isteri yang beriman itu berkata: "Kalau begitu, kita tidak akan disia-siakan."

Ketika mana Hajar memahami bahawa hidupnya harus tunduk kepada perintah Allah, maka tiada kata dua harus diungkapkan. Redha dan hadapilah!! Meskipun logik akal mengatakan diri kita terdedah kepada pelbagai bahaya..

Siti Hajar, seorang wanita solehah berhati waja. Dialah wanita pengukir sejarah.

IMAN

Iman didefinisikan sebagai membenarkan dengan hati, mengikrarkan dengan lisan dan mengamalkan dengan anggota badan. Inilah pendapat masyhur di kalangan ulama'. Lebih terperinci lagi,

“Membenarkan dengan hati” maksudnya menerima segala apa yang dibawa oleh Rasulullah saw.

“Mengikrarkan dengan lisan” maksudnya, mengucapkan dua kalimah syahadat.

“Mengamalkan dengan anggota badan” maksudnya, hati mengamalkan dalam bentuk keyakinan, sedang anggota badan mengamalkannya dalam bentuk ibadah-ibadah sesuai dengan fungsinya.

Iman, berakar umbi daripada keyakinan mendalam dari dalam jiwa seorang hamba. Keyakinan mendalam inilah yang akhirnya membuahkan amal dalam bentuk yang zahir.

Hajar, memiliki iman yang tinggi. Kebergantungannya atau tawakkalnya kepada Allah, mujahadahnya, sabarnya, redhanya dan tegarnya hati seorang wanita ini amat-amat terserlah. Iman dan keyakinannya kepada Allah teramat tinggi. Hasil daripada keyakinan dalamannya inilah yang akhirnya menolaknya untuk berbuat dan akur dengan perintah Allah ke atas Nabi Ibrahim. Dia harus ditinggalkan di tanah gersang bersendirian dengan anaknya. Dengan keimanan inilah yang menjadikannya cekal menghadapi kesusahan dan kepayahan di tanah gersang. Dengan keimanan ini jugalah yang menjadikannya sensitif terhadap keperluan anaknya tanpa mempedulikannya kondisi dirinya yang juga lemah tanpa makanan dan minuman.

Iman yang mantap, benar-benar akan membuahkan amal!!! Tidak harus diam terpendam bahkan akan meledak membuahkan amal sebagai bukti yang tampak.

AMAL

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
(Al-Ankabut:2-3)

Bagi setiap yang mengaku beriman, pasti dan pasti Allah akan menguji untuk melihat sejauh mana benarnya tahap keimanan seseorang hamba.

Di tanah gersang inilah menjadi medan ujian buat Hajar. Hidup bersendirian bersama bayi kecilnya. Namun, sejarah membuktikan imannya yang luar biasa. Bahkan, melalui wanita inilah yang akhirnya lahirlah generasi mulia daripada benih Nabi Ismail..Siapa lagi jika bukan Penghulu Agung para Anbiya', Rasulullah s.a.w..

Bonda Hajar mengajar suatu rahsia agung bahawa imanlah sebaik-baik bekal dalam menghadapi setiap ujian hidup. 

Bonda Hajar juga mengajar kita wahai para wanita. Di tanah gersang yang sunyi lagi tandus, bersendirian bersama anak kecil. Tiada suami di sisi yang akan melindungi. Tapi, cukuplah Allah sebagai sebaik-baik Pelindung dan Pemberi pertolongan. Wahai wanita, jangan manja mahu terus di bawah lindungan seorang lelaki! Bahkan merasa lemah tanpanya di sisi. Ketika diuji untuk berjauhan, tegarlah menghadapi. Kerana melalui engkaulah, generasi-generasi Rabbani akan terlahir dan terbentuk. Haruskah lemah dan bergantung sepenuhnya pada seorang suami? Hajar mengajarkan para wanita agar mampu untuk berdikari dan mandiri!!! 

Menjadi peribadi-peribadi seperti Hajar, tak teringinkah kita wahai para wanita?

Contoh terdekat, halakan minda kita kepada para wanita di Gaza, Palestin. Tegarnya mereka. Para suami ditahan dan dipenjara oleh Zionis laknatullah. Hidup tanpa lindungan para suami. Bahkan hidup dalam ketakutan berhadapan pelbagai ancaman Zionis. Rogol, bunuh, seksa, kelaparan, kemiskinan...

Namun, di sebalik serba kekurangan dan ketakutan itu, subhanallah!! Lahirnya generasi-generasi muda yang berhati juang dan jihad.. Lahirnya para huffaz pada usia kanak-kanak dan remaja..Kem-kem musim panas di Gaza hangat dengan misi melahirkan para huffaz. Baik di kalangan kanak-kanak mahupun remaja. Pastilah, di sebalik itu ada tangan-tangan pengukir sejarah. Para wanita, ibu-ibu yang berhati waja!!

Ingat kisah Khansa'? Seorang ibu yang telah kematian suami. Yang turun ke medan Uhud bersama kesemua anak lelakinya. Sehingga diberitakan kepadanya bahawa kesemua anaknya menemui syahid dalam Perang Uhud. Bukan sedih mengiringi berita ini, namun betapa bangganya hati seorang ibu.

"Syahid di jalan Allah adalah cita-cita tertinggi"

Ayuh, meneladani peribadi Hajar. 
Khusus buat para wanita, pencorak generasi!!

Wallahu a'lam.


 

Read More..

Tuesday 23 October 2012

Sejauh mana ukhuwah kita?

Bismillahirrahmanirrahim

Sahabat..saling melengkapi dan menguatkan

“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya”
 [Hadis riwayat Muttafaq ‘Alaih]


Suatu ketika, Rasulullah s.a.w. berkata di hadapan para sahabatnya yang dikasihinya: 

"Sesungguhnya, di kalangan hamba-hamba Alah ada beberapa orang yang bukan para nabi dan bukan syuhada, tetapi para nabi dan syuhada menginginkan kedudukan yang diberikan oleh Allah kepada mereka."

Lantas, para sahabat bertanya:

"Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepada kami, siapakah mereka itu?"

Rasulullah menjawab:

"Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah bukan kerana hubungan kerabat di antara mereka. Juga bukan kerana harta yang saling mereka berikan. Demi Allah, wajah-wajah mereka adalah (seperti) cahaya dan mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak takut tatkala manusia ketakutan dan tidak bersedih hati tatkala manusia bersedih hati."

Kemudian Rasulullah s.a.w. membaca ayat:

"Ingatlah, sesungguhnya, wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Yunus:62)" [Hadis riwayat Ahmad]

Beruntunglah orang-orang yang berukhuwah. Mereka yang saling mencintai kerana Allah dan semestinya bukan kerana kepentingan-kepentingan berbentuk duniawi. 

"orang yang bukan para nabi dan bukan syuhada, tetapi para nabi dan syuhada menginginkan kedudukan yang diberikan oleh Allah kepada mereka."

Lihat, Allah memberikan mereka kedudukan istimewa di sisiNya. Segolongan manusia yang dicemburui para nabi dan syuhada. Beruntunglah mereka...

Pasti kita pernah menerima pesanan ringkas dari sahabat kita (sama jantina) untuk meluahkan cinta dan kasihnya.."aku mencintaimu kerana Allah", "ukhuwah fillah abadan abada", "uhibbukifillah" dan seumpanya. 

Berbicara tentang ukhuwah, ternyata tidaklah semudah apa yang dilafazkan. 

Suatu malam, bertanya kepada seorang sahabat. 
"Akak, kenapa bila dengan akhawat hati terasa lebih sensitif.? Tidak seperti kawan-kawan biasa yang kita banyak berlapang dada dengan mereka." Jawapan ringkas diberikan kepada saya. "Kerana kita mempunyai expectation terhadap akhawat. Sedangkan, mereka juga manusia biasa".

Terasa terpukul dengan jawapan yang diberi. Logiknya benar-benar ada.

Ya, kerana namanya akhawat. Dan akhawat tidaklah sekadar panggilan atau gelaran. Tapi, si pembawa nama akhawat itu juga membawa bersama sikap-sikap dan akhlak-akhlak yang asas bagi seseorang yang bergelar akhawat. Ayat mudahnya, "akhawat sepatutnya ini dan itu.." Maka tidak hairanlah, apabila sebaliknya berlaku yang mana seorang akahawat itu bersikap di luar daripada expectation yang sepatutnya, hati menjadi sensitif. Terlupa bahawa yang namanya akhawat itu,  juga seorang manusia biasa dan bukannya malaikat. Yang pastinya tidak terlepas melakukan kesalahan. 

Kadang-kala, mudahnya kita menghukum akhawat sendiri. Ataukah ia kerap berlaku?

Indikator "akhawat sepatutnya ini dan itu" juga ada baiknya. Sepertimana kita sebagai seorang Muslim, yang namanya seorang Muslim pasti sepatutnya ada bersamanya akhlak-akhlak asas seorang Muslim. Muslim tidak seharusnya pada nama saja, namun Islam harus terpancar juga melalui peribadinya. Jika ada yang tersasar, itu menunjukkan ada sesuatu yang tidak 'kena'.

Nah, begitu jugalah dengan akhawat. Benarkah sudah tertarbiyyah? 10 muwassofat menjadi ukurannya. Namun, jika ada yang tidak terpenuhi jangan cepat menghukum. Tanyalah diri sendiri dahulu, "berikan 70 sebab kenapa harus aku katakan dia sedemikian rupa"

Tahap minimum ukhuwah iaitu berlapang dada, adakalanya terasa berat juga untuk mengekalkannya. Apatah lagi tahap tertinggi, itsar iaitu melebihkan sahabat lain ke atas diri kita. Ukhuwah itu  buah keimanan. Tatkala itu, refleksikanlah ia dengan kondisi iman kita. Makin rendah tahap ukhuwah maka tahap rendah itu jugalah ukuran iman.  

Dalam berukhuwah, hal-hal remeh pun boleh menjadi sesuatu yang akan membuat hati cepat terasa. Seorang ukhti, balik ke rumah sewa dengan keletihan dan lapar. Penuh mengharap agar makanan ada diasingkan untuknya. SMS siap dihantar sebagai peringatan. Setelah sampai, kecewanya hati apabila tiada apa yang tinggal. "takkan tak tinggalkan sedikit pun. Kan dah bagitau tadi. Aku pun ahli rumah ni juga" bisik hati yang menahan geram daripada dilontarkan. Atau, ukhti A menyapa ukhti B dan bertanyakan khabar. Ukhti C yang di sebelah B tidak pula disapanya apatah lagi bertanyakan khabarnya. Terasalah pula si ukhti C...

Sekali lagi, berbicara tentang ukhuwah, ternyata tidaklah semudah apa yang dilafazkan.
Sensitiviti seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain seringkali menduga. Meskipun pada hal-hal yang kita anggap remeh.

“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya”
 [Hadis riwayat Muttafaq ‘Alaih]

Rasulullah juga mengajar kita erti sensitiviti. Tatkala satu anggota sakit, terasakah anggota yang lain?

Pada saat ini, di mana sahabat-sahabat kita? Apa khabarnya? Pedulikah kita dengannya?

Pernah satu penyataan saya dengari. "Ukhuwah itu hanya ada ketika adanya amal dakwah yang menuntut. Bila ada, semua sibuk mencari sahabat itu. Tatkala tiada, maka semua senyap saja dan tiada di sampingnya"
Saya yang masih belajar untuk berukhuwah, tercabar juga mendengarnya. Tercabar dalam erti kata menghadkan pengertian ukhuwah sebatas amal-amal dakwah saja dan bersua muka dengan sahabat yang lain. 

Agar berlapang dada itu ada, dan agar tidak cepat menghukum, cuba untuk memahami kondisi sahabat itu dan hakikat yang berlaku.

Mungkin, dalam hatinya menuntut sebuah perhatian dari sahabatnya. Kepedulian terhadapnya. Dan dia merasakan, akhawatlah sebaik-baik teman. Di kala itu, jiwanya sunyi lantas menagih peduli dari akhawat. Merajuknya pada akhawat barangkali.

Sahabat yang tidak sentiasa ada bersama, bukan bermaksud tidak berukhuwah. Mungkin kerana tompokan kerja dan tugasan-tugasan yang menghambatnya untuk tidak kerap bertemu. Tautan ukhuwah tidak terletak semata-mata pada kerapnya bertemu, tetapi tautan hati itulah yang menjadi pengikat antara kedua-duanya. Tapi tidaklah mengatakan bahawa pertemuan-pertemuan itu tidak penting. Ada juga kepedulian meskipun sedikit.

Sahabat yang mencari-cari kita di kala diperlukan dan senyap saja ketika tidak diperlukan, bukanlah bermaksud dia tidak berukhuwah.  Tatkala dia memerlukanmu untuk suatu amal dakwah bererti potensimu diperlukan dalam dakwah. Tatkala tidak dicari, janganlah pula mudah terasa sehingga pesimis terhadap sahabat-sahabat yang lain. Fikiran sentiasa terbuka untuk segera membuat konklusi dan menghukum. Namun, fikiran juga sentiasa terbuka untuk diperbetulkan mind setting dari semasa ke semasa. Berikanlah 70 alasan dahulu sebelum memberi konklusi akan sesuatu. 

Namun, dalam kedua-dua hal ini, tidaklah menuntut kejernihan fikiran dan tindakan daripada satu belah pihak saja. Kedua-duanya juga perlu. Jika sibuk, carilah masa-masa untuk bertemu juga dan tidak menghilangkan diri begitu saja. Jika tiada hajat atau keperluan ke atasnya, sesekali bertanyalah khabarnya dan kebajikannya. Sekurang-kurangnya, itu dapat mengembirakan hatinya.

Dalam berukhuwah, banyak hal yang akan diuji. Kelemahan demi kelemahan sahabat akan kita ketahui. Bahkan betapa kerapnya berlaku, sesuatu yang kita tidak suka ada pada sahabat-sahabat kita itu..Jangan melarikan diri namun hadapilah. Ketegaran hati dan emosi pasti akan terbina dan kita pun akan semakin mudah menerima kelemahan orang lain. Kita juga mempunyai kelemahan bukan? Jika sahabat mengalami situasi yang sama, sudah pasti dia juga teruji. Adilkah untuk cepat menghukum dan beremosi dengannya?

Jelas, berukhuwah tidak sekadar berta'aruf. Tapi perlu melalui dua lagi proses iaitu tafahum dan takaful. Saling memahami dan saling memikul beban. Tafahum tidak akan berjalan dengan baik jika tiadanya ta'aruf dan takaful juga tidak akan berjalan baik jika tiadanya tafahum.

Kenapa mudah terasa dengan sahabat yang kita rapat berbanding sahabat-sahabat yang kurang rapat? Kerana, kita sudah berta'aruf dengannya dan mengetahui banyak hal tentangnya. Sedangkan yang satu lagi kita berta'aruf dengannya namun masih kurang mengenalinya, sikap dan peribadinya..

Walau apapun yang berlaku ke atas mereka, meski di manapun mereka berada kini dan tidak bersama, tetaplah menjaga nama baik sahabat-sahabat kita. Tetaplah mendoakan kesejahteraan mereka.

“Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat”. 
[Hadis riwayat Tirmidzi]

“Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga”. 
[Hadis riwayat Muslim]


Tidak jarang, kita sering mengharap agar sahabat kita begini dan begitu..
Tidak jarang juga, kita mengharap agar sahabat tidak berbuat sesuatu yang di luar daripada expectation kita. Begini dan begitu kerap ditagih agar mereka memberi kepada kita...

"alangkah sulitnya mencari sahabat sejati, " 
kata seorang teman "tak kutemukan walau telah kujelajahi bumi, negeri demi negeri"
 aku tersenyum menepuk pundaknya, "mungkin itu sebab yang kau cari adalah sahabat untuk memberi, adapun sahabat untuk diberi bertebaran di seluruh penjuru bumi"
[Salim A.Fillah- Dalam Dekapan Ukhuwah]

Wallahu a'lam.
   
Read More..

Sunday 12 August 2012

Memburu Lailatul Qadr

Bismillahirrahmanirrahim

malam lebih baik dari 1000 bulan

Suatu hari, para sahabat duduk bersama Rasulullah s.a.w..Lantas, baginda pun menyebut kisah 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun dan sedikitpun tidak derhaka kepada Allah. Masya Allah! Para sahabat yang cukup terkenal dengan sifat bersungguh-sungguh dalam meraih kebaikan dan pahala langsung merasa kagum dengan kisah ibadah mereka. Bayangkan, 80 tahun beribadah dan tidak sedikitpun derhaka kepada Allah!! 

Jibril kemudian mendatangi Rasulullah s.a.w. dan memberitahu baginda tentang sesuatu yang amat menggembirakan hati baginda. 

“Sesungguhnya, Allah s.w.t . menurunkan sesuatu yang lebih baik dari amalan mereka”, kata Jibril. 

Sejurus itu, Jibril pun membacakan satu surah dalam Al-Qur’an dan mengkhabarkan kepada baginda bahawa ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan. Tatkala itu, gembiralah Rasulullah dan para sahabat. 
 
Sahabat yang dirahmati Allah sekalian, 

Perkhabaran apakah itu? Perkhabaran yang cukup menggembirakan hati Rasulullah dan para sahabat yang dicintai baginda. Perkhabaran yang jauh lebih baikdaripada ibadah 80 tahun tanpa derhaka kepada Allah? 

Ayuh, kita amati intipati surah tersebut! 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al Qur’an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baikdari seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izinTuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Surah Al-Qadr: 1-5) 

Subhanallah!!! 

Malam kemulian itu lebih baik dari seribu bulan! Hanya dengan beribadah satu malam saja sudah mampu menyaingi ibadah seribumalam. Atau lebih tepat lagi, 83 tahun 4 bulan.Ya Allah, pemurahnya Engkau, pengasihNyaEngkauterhadapahamba-hambaMu.Berbahagialah mereka yang bertemu dengan malam itu,malam yang disaksikan para malaikat dan malam yang penuh keberkahan hingga terbit fajar. Berbahagialah mereka dan beruntunglah mereka. Itulah janji Allah khusus untuk para tetamu malam Lailatul Qadr! 

Lailatul Qadr pasti sudah acapkali kita mendengarnya. Bahkan, alangkah popularnya surah Al-Qadr sewaktu menjejak sepuluh malam terakhir Ramadhan.Di masjid-masjid dan surau-surau, berulang-ulang surah ini dibaca. Pernahkah kita terfikir, apa istimewanya surah itu? Jawapannya mudah, tekunilah surah itu dan jiwailah ia! 

“Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan”, begitu Allah menegaskan keutamaan malam Lailatul Qadr. 

Pada saat dan ketika ini, bertanyalah pada hati, “ tidak teringankah aku untuk meraihnya? ”Andai iman itu tidak juga tergugah, telitilah kembali surah itu. Andai tidak juga tersentuh, sewajarnya persoalkanlah hatimu! 

Sahabat yang dikasihi Allah, 

Begitu banyak pendapat para ulama’ mengenai waktu jatuhnya malam Lailatul Qadr, namun cukup untuk kita ketahui di sini bahawa dalil yang paling kuat mengenai LailatulQadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.; 

“Carilah sedaya-upayakamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadhan.” 

Meskipun hadis ini menyatakan 10 malam ganjil pada akhir Ramadhan, namun itu tidak bermakna pencarian dan fokus ibadahhanya pada malam-malam tersebutsaja. 

Jiwa-jiwa yang mendambakan malam Lailatul Qadr, 

Sedarilah, persiapan untuk menjadi tetamu malam LailatulQadr seharusnya bermula sebelum Ramadhan lagi. Seawal mungkin, bersiap siagalah membawa bekal kerana hakikatnya engkau tengah memburu satu malam yang agung.Tanamkanlah azam yang tinggi dan susulilah dengan persiapan-persiapan ruhani dan ibadah yang mantap.Agar momentum ibadah terus mekar hingga dipertemukan dengan malam penuh keberkahan, malam Lailatul Qadr. 

Sahabat-sahabat pemburu malam Lailatul Qadr, 

Melihat kepada hadis daripada Aishah tadi, frasa “carilah sedaya-upayamu” sudah cukup memberi gambaran kepada kita bahawa pencarian itu memerlukan ketekunan dan kesungguhan yang tinggi. Sudah pasti, usaha ala kadar apatah lagi bermalas-malasan terkeluar daripada makna tersebut. Maka, mulakanlah proses pencarian kita seawal yang mungkin dan tidakmenunggu-nunggu sehingga sepuluhmalam Ramadhan terakhir. 

Buktikanlah kemahuan yang terpendam dan janganlah memilih-milih malam ini dan itu saja untuk berprestasi dalam ibadah. Sahabat, Allah tahu apa yang terselindung di balik hati kita!! Sedarkah kita? 


Sepanjang pencarian malam penuh berkah itu, hidupkanlah malam-malam kita dengan ibadah-ibadah dan tidak dibazirkan dengan hal-hal yang sia-sia. Penuhilah malam-malam kita dengan zikrullah, qiyamullail, tilawah al-Qur’an, tahajud, berdoa, taubat dan istighfar dan ibadah lain. Ingatlah, Rasulullah s.a.w. bersabda, 

"Barangsiapa yang beribadah pada malam al-Qadr kerana iman dan mengharapkan keredhaan Allah, diampunilah dosa-dosanya yang terdahulu." (HR Bukharidan Muslim) 

Sahabat, 

Kebaikan apakah ini? Tidak mahukah kita diampuni dosa-dosa kita yang terdahulu? 

Diriwayatkan dari Aisyah radhiAllahu 'anha oleh Ahmad, Ibnu Majah dan juga Tirmidzi yang menyatakan sahnya, katanya: "Saya bertanya, "Ya Rasulullah, bagaimana pendapatmu seandainya saya tahu malam jatuhnya Lailatul-Qadr itu? Apakah yang harus saya ucapkan ketika itu?"Maka ujarNabis.a.w.: "Katakanlah: 

اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عني 

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf  Maha Mulia, Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah aku ini." 

Indahnya doa yang diajarkan Rasulullah kepada kita. 

Malam Lailatul Qadr merupakan satu rahsia Allah dari pengetahuan hamba-hambaNya. Hikmah di sebaliknya adalah untuk Allah melihat siapa di antara hamba-hambaNya yang bersungguh-sungguh untuk meraih malam tersebut.Kerahsiaan malam itu juga menjadi satu motivasi kepada seluruh umat Islam untuk terus beribadat dan mendekatkan diri dengan Allah.Beribadahlah untukTuhanmu sehingga melayakkan dirimu untuk meraih malam Lailatul Qadr. 

Namun, ingat kembali! Bersiap-sedialah seawal mungkin. Siapkan jiwamu yang suci, rohmu yang membara dan hatimu yang tulus mendambakannya. Hingga nanti, amal ibadahmu beraksi dan terpamer, sebagai bukti himmahmu (kemahuanmu) yang memuncak. 

Moga isyarat Illahi “Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan” terngiang-ngiang di telinga kita sebagai pengobar semangat untuk meraih malam kemulian yang tiada tolok bandingannya. Eksklusif untuk tetamuNya yang terpilih. Hanya satu malam yang tersembunyi dalam satu bulan yang terbaik. Bersiap sedialah, siapa tahu..Mungkin Ramadhan kali ini, engkaulah tetamu istimewa malam Lailatul Qadr… 

Wallahua’lam. 





Read More..

Friday 8 June 2012

Menjengah Erti Kejujuran


Bismillahirrahmanirrrahim


"Sesungguhnya, kejujuran itu membawa kepada kebaikan. Sesungguhnya, kebaikan itu membawa kepada syurga. Seseorang tidaklah sentiasa jujur melainkan akhirnya Allah s.w.t. menulisnya (menggelarnya) sebagai orang yang siddiq…"
(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

JUJUR didefinisikan oleh para Ulama’ bahasa sebagai selarasnya ucapan dengan isi hati dan tindakan, yang mana jika hilang salah satu syarat tersebut maka pincanglah kejujuran itu. Justeru bagi seorang MUKMIN, sifat kejujuran seharusnya menyatu dan menjadi darah daging dalam dirinya. Tidak boleh tidak.

Kata lawan bagi jujur adalah DUSTA dan sudah tentu sifat ini tidak seharusnya dimiliki oleh seorang MUKMIN. Rasulullah s.a.w. mencela sifat ini seperti mana dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Malik. Suatu hari, seorang lelaki datang kepada Rasulullah lalu bertanya; "Adakah seseorang mukmin itu pendusta?". Rasulullah menjawab; "Tidak. Orang mukmin itu tidak berdusta". Tegas Rasulullah menyatakannya. Maka, dapatlah difahami bahawa jujur adalah sifat asasi yang seharusnya dimiliki oleh setiap mukmin. Bahkan kita sudah maklum bahawa dusta merupakan antara sifat seorang Munafik. 

“Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.” (HR. Bukhari)

Imam Ibnul Qayyim pernah berkata, 

Iman asasnya adalah kejujuran (kebenaran) dan nifaq asasnya adalah kedustaan”. Rasulullah juga pernah bersabda,  “Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada yang tidak meragukanmu, sesungguhnya kejujuran, (mendatangkan) ketenangan dan kebohongan (mendatangkan) keraguan.”

Fenomena ketidakjujuran semakin membarah dalam masyarakat kini. Seorang pekerja di amanahkan untuk menjaga harta tuannya. Namun, kerana cintakan harta maka dikebasnya. Tidak kurang juga tabiat peniaga yang mahu meraih keuntungan lalu kejelekan jualannya dirahsiakan daripada pengetahuan pembeli. Hanya kerana takut menanggung rugi. Susu ditambahi air, timbangan dan takaran dikurangi dan macam-macam lagi. Bahkan sangat menyedihkan, ketika mana kadar kes pecah amanah kini kian meningkat. Apatah lagi yang terlibat itu adalah para peguam dan hakim. Komuniti dan kerjaya yang begitu sinonim dengan erti kejujuran dan keadilan. Namun, rasuah dihalalkan, kebenaran disembunyikan bahkan sesuatu fakta ditokok tambah, dan berleluasanya penipuan ke atas klien Tidak kurang juga sistem kehakiman yang dipengaruhi oleh entiti eksekutif dan legislatif.  Slogan without fear and favour seolah-olah hanya indah khabar dari rupa! Teori dan teori saja..Sedang kejujuran kian terhakis.

Bentuk Kejujuran

1. Jujur dalam niat dan kehendak.

Ini kembali kepada soal keikhlasan. Kita pastinya sudah arif pada teorinya, dalam beramal, ikhlasnya semata-semata kerana Allah. Tidak boleh dicampuradukkan dengan kepentingan-kepentingan dunia yang lain. Ingatkah lagi kita kepada kisah 3 orang yang di hadapkan kepada Allah? Si dermawan, mujahid dan ‘alim.  Ketika di tanya tentang niat mereka di sebalik kebaikan-kebaikan itu, ternyata berbau kepentingan duniawi. Malah berdusta dengan mengatakan kerana Allah semata-mata. Di giringlah semuanya ke dalam neraka. Rosak kerana ketidakjujuran dan niat yang menyimpang daripada Allah. Sahabat, ianya hanya kerana niat yang jelek meski amal-amal begitu indah. Hanya kerana niat!

2. Jujur dalam ucapan.

Sudah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk hanya berkata yang benar. Tidak sekali berdusta. Apatah lagi yang Mukmin. Ingat hadis tadi? Sifat asasi bagi Mukmin adalah jujur dan harus sunyi daripada sifat dusta.

“Tidak lurus (istiqomah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya.” 
(Riwayat Ahmad)

Dasar istiqamah adalah tergantung kepada hati, yakni hatinya lurus dan jujur pada kalimah tauhid ‘La Ilaha Illa Alah’. Menariknya, hadis ini menggandingkan elemen hati dan lidah dalam rangka menjaga keistiqamahan iman. Kenapa lidah? Ini kerana lidah adalah terjemahan kata hati dan pemikiran seseorang. Kejujuran yang paling mudah dan jelas untuk dilihat. Justeru, berhati-hatilah pada lidah.  Betapa mudahnya orang melabel kita sebagai orang jujur atau pendusta dengan hanya melihat kepada tutur kata kita. Sedarkah kita?

Lihat pula firman Allah yang ini,

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
 (As-Saff: 2-3)

Ternyata, kata-kata yang tidak selari dengan perbuatan mengundang celaan daripada Allah. Pastinya, ayat ini menjadi teguran yang tegas dan keras kepada kita.

3. Jujur dalam tekad dan memenuhi janji.

“Wahai Sa’ad, demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya, sungguh aku telah mencium aroma syurga dari arah Uhud.” Kemudian Anas Bin Nadhar mengacungkan pedangnya dan menyerbu kaum kafir sambil bertekad tidak akan berhenti berperang sebelum syahid. Dengan izinNya, dia syahid di medan Uhud. Terdapat lebih 80 luka ditubuhnya dan telah dicincang oleh Musyrikin. Tiada yang mengenalinya melainkan saudara perempuannya, itupun dengan adanya tanda di hujung jarinya.

Dalam sebuah riwayat, firman Allah turun berkenaan dengannya.

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya).”
 (QS. al-Ahzab: 23)

Kisah ini, mengajarkan kita tentang erti jujur dalam tekad dan memenuhi janji. Tekad tidak sekadar tekad, dan janji tidak sekadar janji. Namun harus dibuktikan kejujurannya. Bergerak dan melaksanakan apa yang telah kita tekadkan.

4. Jujur dalam perbuatan

Ini pula merujuk kepada keselarian antara yang zahir dan batin, tiada bertentangan antara amal zahir dan amal batin. Mutharrif pernah mengatakan, “Jika sama antara batin seorang hamba dengan lahiriahnya, maka Allah akan berfirman, ‘Inilah hambaku yang benar/jujur.’”

Ketika mana hati itu hidup dengan zikrullah pantaskah kiranya terzahir amal yang buruk. Misalan, seorang yang hafiz/ah berdusta. Atau, seorang yang tekun mendirikan solat namun di hatinya tersimpan dendam kesumat yang menebal. Suatu amalan zahir yang baik tidak mampu mengalirkan kebaikan yang baik pada yang amalan batin dan sebaliknya. Pastinya di situ ada kepincangan yang mendasar. Maka, hati itulah yang dipersoalkan. Kerana di situlah sumber ledakan sebuah kejujuran hasil daripada keimanan yang benar.

Jujur itu soal mahu atau tidak

Dikisahkan bahawa seorang lelaki menemui Rasulullah dengan tekad untuk bersyahadah. Dia bukanlah orang yang baik-baik bahkan mencuri dan mabuk itu sudah menjadi kebiasaannya. Namun, ketika tekad sudah membulat untuk bersyahadah, tiada apa yang akan menghalangnya. Jelas! Harus mara untuk bersyahadah!

Selesai bersyahadah, berlakulah perbualan antara lelaki itu dan Rasulullah.

Lelaki                     : Aku mempunyai kebiasaan yang buruk dan sulit untuk kutinggalkan.
Rasulullah               : Mahukah engkau berjanji kepadaku untuk tidak berbohong?
Lelaki                     : Ya, mahu. Aku berjanji untuk tidak berbohong.

Kemudian, lelaki itu pun beransur pergi lalu bermonolog.

“Mudahnya permintaan Rasulullah yang mulia ini. Hanya berjanji untuk tidak berbohong.”

Setelah berlalunya masa, keinginannya untuk mencuri kembali memuncak. Tatkala mahu mencuri, tiba-tiba dia teringatkan janjinya kepda Rasulullah. “Jika aku mencuri dan Rasulullah bertanya kepadaku, apa yang akan ku jawab? Jika jawapanku ‘ya aku telah mencuri’ bererti aku akan dihukum. Jika ku jawab ‘tidak’, itu bererti aku telah berbohong. Padahal aku telah berjanji dengannya untuk tidak berbohong. Maka, seharusnya aku meninggalkan niatku untuk mencuri.” Monolog itu berjaya menghalangnya daripada meneruskan niat buruknya tadi.

Monolog ini juga sering berlaku ketika keinginan untuk minum arak muncul. Hingga akhirnya, dia telah benar-benar meninggalkan perbuatan itu dan menjadi Muslim yang taat.

Sahabat, apa yang dapat kita ambil manfaat daripada kisah ini?
Kisah ini mengajarkan kepada kita bahawa jujur itu adalah soal mahu atau tidak. Merealisasikannya bergantung kepada sekuat mana kemahuan untuk berlaku jujur. Tidak memerlukan teori yang mendalam yang hanya akan tinggal teori tanpa amal. Tidak perlu. Namun, cukup dengan komitmen dan kemahuan yang tinggi iaitu untuk JUJUR!
               
Ketika mana kemahuannya tinggi, maka seseorang itu akan bekerja keras untuk mencapai nilai kejujuran. Meski pada kondisi yang berat. Namun, ketika ia melemah, maka berlakulah tarik tali untuk merealisasikannya. Pada suatu saat dia akan berlaku jujur namun dalam kesempatan yang lain tidak. Justeru, untuk jujur ianya satu pilihan. Mahu atau tidak. Kemahuan yang tinggi akan menenggelamkan soal mampu atau tidak.

Refleksi

KESELARIAN  UCAPAN + ISI HATI + TINDAKAN --> JUJUR

Sahabat yang dikasihi Allah s.w.t,
Tatkala ini, berhentilah sejenak. Pusatkan fikiran kepada makna kejujuran. Renunglah ke dasar hati, lalu bertanyalah padanya. Jujurkah aku? 

Dalam meniti persoalan itu, ianya memerlukan satu syarat. JUJUR itu sendiri!

Mana mungkin hati yang tidak jujur mampu menjengah ketelusan hati. Dalihnya ada saja. Itu dan ini. Kepentingan-kepentingan peribadinya terus dilaungkannya sehingga membenamkan nilai kejujuran. Tidak sekali-kali.

JUJUR, itu soal mahu atau tidak!

Meniti kehidupan seharian, kita takkan boleh terlepas daripada nilai kejujuran. Masing-masing dari kita memegang amanah yang mungkin berbeza. Namun, setiap amanah itu menuntut satu hal yang sama dari kita, JUJUR. 

Hasan Al-Banna pernah menegaskan bahawa hendaklah kita jujur dalam menunaikan segala janji dan kata-kata. Janganlah melanggarnya walau dalam apa jua keadaan.

 Daripada Ibnu Mas’ud daripada Nabi Saw bersabda :

Tidak berganjak kaki anak Adam berdiri di hadapan Allah pada hari Qimat sehinggalah dia ditanya tentang lima perkara iaitu umurnya bagaimana ia dihabiskan, waktu mudanya bagaimana digunakan, hartanya bagaimana diperolehi dan bagaimana pula harta itu dibelanjakan dan ilmunya apakah ia telah amalkan ?

Ketika di hadapkan di mahkamah akhirat, tiada lagi kata dusta yang akan kedengaran. Dusta akan terbenam dan tertegaklah yang benar. Pendengaran, penglihatan bahkan hati akan di minta pertanggungjawaban. Mampukah bernista? Sahabat, itulah hari yang dipenuhi dengan KEJUJURAN.

Jujur itu suatu kemestian.

Sedarkah kita Allah mengkhabarkan bahawa kejujuran mampu menyelamatkan seseorang daripada azab?
Allah berfirman,

“Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka.”
(QS. al-Maidah: 119)

Untuk jiwa-jiwa yang merindui dan mencintai kejujuran,
Mari mengambil semangat dan tekad yang kuat daripada Anas Bin Nadhar. Kejujuran niat, tekad dan tindakannya telah menghantarnya kembali kepada Allah dalam keadaan syahid.  Mari belajar daripada kisah lelaki yang menemui Rasulullah untuk bersyahadah dan berusaha untuk berlaku jujur. Meski dirinya masih bergelumang dengan kemaksiatan.  Mampukah meninggalkannya? Sahabat…soalnya bukan mampu atau tidak tapi mahu atau tidak!

Justeru untuk jujur, tiada lagi kata tunda, tiada lagi kata dalih..Ini kerana sudah jelas ia dicipta atas dasar mahu bukannya mampu.

Wallahu a’lam.

Read More..