Tuesday 9 August 2011

Warkah Hati Buat Akhawat

Bismillahirrahmanirrahim.


Kehadapan akhawat yang tersayang.

Pejam celik, pejam celik seminggu telah berlalu. Suatu moment terindah dirasakan dapat beri'tikaf bersama akhawat sekalian. Apatah lagi di bawah bumbung masjid UIA yang diberkahi ini. Amin ya Rabb. Angin sepoi-sepoi bahasa, udara yang segar dan kicauan burung mewarnai suasana pagi ini dan ketika ini. Menambahkan lagi rasa 'berat' untuk meninggalkan tempat ini. Dapatkah dirasai lagi sekembali ke kampung nanti? Suasana Ramadhan di masid UIA, arghhh...pasti dirindui.

Diri terasa untuk meluahkan rasa hati. Rasa hati yang sedih untuk meninggalkan akhawat semua dan tidak berkesempatan untuk bersama-sama beri'tikaf. Masih teringat kata-kata seorang ukhti, "dah nak pulang, sayang sekali tak beri'tikaf di sini". Selang beberapa hari kemudian, seorang ukhti lagi menyuarakan hal yang sama. Ramai yang mengatakan kenapa awal sangat balik. Sebak juga hati mendengarnya. Namun akhawatku sayang, itulah juga yang pernah menimbulkan rasa belah bagi dalam hati. Ada macam-macam hak yang perlu dipenuhi seperti mana akhawat lain juga menghadapi. 

Seminggu yang lalu, ana juga terpaksa bertegas dengan keluarga kakak untuk datang ke UIA. Berpuasa di sini selama seminggu sebelum balik ke kampung. Keputusan itu juga sangat sulit kerana memikirkan hak-hak mereka. Seorang kakak sulung yang telah lama tidak bertemu ada bersama ketika itu di samping keluarga kakak yang kedua. "Tak payahlah pergi UIA, puasa lah di sini. Nanti tak dapat dah jumpa kakak sulung.Nanti kita pergi lah terawih sekali di sini. Di sini pun kan ada masjid." Begitulah rayu kakak yang kedua. Arghhh, mendengar rayuan itu pastinya menggetarkan rasa hati. Sangat berbelah bagi. Mungkin akhawat tertanya, "nanti kan boleh jumpa lagi kakak sulung tu". Mungkin ya, tapi tidak tahu bila. Ada kisah di sebaliknya sehingga menyukarkan pertemuan yang kerap walaupun duduk dalam satu negeri. Kisah itu jugalah yang sentiasa bermain-main di minda bagaimana untuk menyatukan kembali antara kami sekeluarga.

Akhawat, kondisi keluarga kita berbeza. Sangat berbeza. Don't judge a book by its cover, begitu pepatah Inggeris mengatakan. Ada urusan dakwah yang perlu ditangani di sana. Doakan ana. Andai ana duduk lama di UIA, siapa yang akan memantau keluarga? Andai kesannya tidak sebesar mana semasa keberadaan ana di sana, namun cukuplah agar nanti bila Allah tanya apa yang telah ana perbuat untuk dakwah keluargamu, ana ada jawapannya. Benar kan, akhawat? 11 bulan kita bersama dan ana cuma pergi untuk sebulan saja.

Selama ana di UIA, ana berada dalam bi'ah yang banyak membantu mengupgrade iman. Alhamdulillah dikurniakan tarbiyyah dan dihadiahkan akhawat yang sama-sama mengejar cinta Illahi dalam setiap amal. Tidak memilih untuk soleh fardi-fardi, tapi juga mahu mengajak dan islahkan yang lain.UIA ibarat markaz pembinaan diri, dan masanya untuk dikongsikan keindahan Islam itu bersama orang lain. Dengan keluarga, dengan masyarakat secara umumnya. Medan amal yang tidak menjanjikan hal yang mudah-mudah semata-mata, tapi perlu dibayar dengan kesabaran dan kematangan dalam tindakan.

Ukhti Fai, Ukhti Sab , Ukhti Rosnah, Ukhti Khai, Ukhti Huda, Ukhti Hidayah dan Ukhti Nuri, akhawat yang banyak bersama ana sepanjang seminggu. Jazakumallahu khairan katsiran atas setiap bantuan. Ukhti Fai dan Ukhti Nuri, afwan juga untuk kejadian tempoh hari. Alhamdulillah tidak terbabas atau terlanggar pokok. Jangan serik ya mengajar ana memandu lagi..hehe. Kepada Ukhti Ros, jazakillahu khairan katsiran atas perkongsian rasa hati tempoh hari. Hati berbicara sehingga hati ini turut merasakan rasa hati itu. Semoga Allah permudahkan hidupmu dan menemukan jalan keluarnya. Kepada akhawat seusrah dan murobbi yang disayangi, terus semangat ya menjalani ibadah Ramadhan..Alhamdulillah dapat berusrah semalam. =). Untuk Ukhti Yuni, jazakillahu khairan katsiran atas hadiahnya..=) Dan tak lupa untuk akhwat lain yang turut bersama berkampung di masjid UIA (afwan tidak tersebut namanya). Jazakunnallahu khairan katsiran.

Mohon halal makan minum, mohon maaf jika terkasar bahasa dan tindakan. Luruskan niat dan teruskan merebut kebaikan-kebaikan dalam beribadah dan ingat ketika semangat itu melangit tinggi, kita akan diuji. Tilawahnya bagaimana? KPI lain bagaimana? Tazkirah selepas zohor semalam mengingatkan kita bahawa jangan hanya mahu mengkhatam sebanyak-banyaknya, kerana hak al-Qur'an itu selain untuk dibaca adalah untuk ditadabbur dan diamalkan ayat-ayatNYA. Peringatan keras untuk diri ana. Mahunya menjadi ahlul 'amaliyyun tidak sekadar qori'ah semata-mata.

Akhawat, sekadar itu saja bicara hati. Insya Allah akan ketemu lagi ya..Esok flight pukul 12 tengahari. Hari ini perlu ke rumah kakak dahulu untuk kemas barang. Pulang bersama. Doakan selamat sampai dan kembali ya.
Wassalam.

Salam sayang dan rindu untuk semua..
Herna


Read More..

Sunday 7 August 2011

Cerpen: Jangan Pernah Berhenti Harap Pada Allah

Bismillahirrahmanirrahim.


Sekolah Islamiah adalah sebuah sekolah agama yang dikenali di kalangan masyarakat. Hanis, 9 tahun, lahir dalam keluarga yang biasa dan bi’ah Islamik masih kurang sinonim dengannya. Namun, kecenderungan pada agama telah tertanam sejak usia kecilnya. Entah kenapa, pada usia 9 tahun teringin benar dia ke sana. Kemahuannya terlalu tinggi. Manakan tidak, sejuk matanya memandang anak-anak yang bersekolah Islamiah. Bagi yang sebaya dengannya, akan timbullah rasa cemburu. Itulah booster baginya untuk ke sana juga.

Sehinggalah suatu petang,

“Mak, nak masuk sekolah Islamiah. Hantar la Hanis ke sana.”
Pinta Hanis

“Boleh la mak, ya? Mau betul ke sana.”
Tambahnya lagi.

Hajat menggunung Hanis diluahkan pada ibunya.

“Ya. Nanti- nanti.” Jawab si ibu.

Jawapan ibu sangat menggembirakannya.

"Tak sabar nak masuk". Bisik hatinya sambil tersenyum dan mula berangan-angan.

Masa berganti masa, hari berganti hari. Yang ditunggu tak tiba.

"Mak, boleh tak nak masuk sekolah Islamiyah?"
Kata Hanis.

"Tak payahlah, lagipun dah lama bersekolah kat Sri Mahabbah tu".
Jawab ibunya.

Mendengarnya, harapan untuk ke sana telah terpadam. Hanis sangat sedih. Hasrat ke sana dilupakannya. Namun, hasrat untuk merasai bi'ah sekolah agama masih bercambah dalam hatinya. Masih terus berharap.


Pada usia 12 tahun, Hanis dan keluarganya telah berpindah ke suatu bandar baru. Bandar yang sangat asing baginya. Hanis sangat sedih meninggalkan daerah lamanya. Terlalu banyak kenangan. Zaman kanak-kanak, kisahnya bertukar-tukar guru dan tempat mengaji. Apakan daya, ayahnya telah nekad dan meeka perlu berhijrah.

Hanis dimasukkan ke sebuah sekolah. Persekitaran baru, kawan baru, suasana pembelajaran baru. Semuanya baru baginya. Namun, tanpa disangka, prestasi pembelajarannya semakin meningkat. Walaupun tidaklah secemerlang mana, namun cukup untuk memperlihat peningkatannya.

Hanis mempunyai ramai kawan yang bersekolah dua. Paginya sekolah harian biasa dan petangnya sekolah agama. Sekali lagi, impiannya untuk memasuki sekolah Islamiyah dulu kembali. Sangat cemburu pada mereka.

Suatu hari, ustazah masuk megajar dan pembelajaran istimewa hari itu adalah belajar menulis jawi. Hanis sangat teruja. Inilah pertama kali dia belajar menulis dalam jawi. Bagi yang bersekolah agama, pastinya tiada masalah tapi bagi Hanis, satu cabaran baru.

Hanis cuba menukar ayat yang ditulis dalam bahasa melayu ke dalam tulisan jawi.

Wudhu' adalah perkara wajib. Jika tiada wudhu' maka solat seseorang menjadi tidak sah.

Ayat dalam bukunya ini perlu ditukar ke tulisan jawi.

"Macam mana nak eja ni"
Detak hatinya.

"Ahhh, eja sajalah. Macam tulisan dalam Al-Qur'an. Huruf "A" kan alif, "U" tu wau." Lirihnya.

Alhamdulillah, Hanis seorang anak yang reti mengaji Al-Qur'an dan mengenal huruf-huruf hija'iyah. Itulah bekalnya. Setelah diperiksa oleh Ustazah, terdapat beberapa kesalahan. But, not bad. Bagi beginner sepertinya.

Masuk ke Tingkatan 1, alhamdulillah dapat masuk ke sekolah kesukaannya. Yang sangat-sangat diharapnya. Risau juga kerana murid- murid akan dimasukkan ke sekolah menengah secara rawak. Pemilihan rawak. Sekolah ini menempatkan semua pelajar perempuan. Totally no male students. Sebab itu dia menyukainya.

Hari pertama persekolahan bermula. Tiba-tiba, diumumkan bahawa nama-nama yang akan dipanggil akan menduduki sebuah ujian untuk kelayakan ke kelas Mawar. Nama Hanis tersenarai. Kelas ini adalah kelas istimewa yang menawarkan mata pelajaran Bahasa Arab. Kelas-kelas lain tidak menawarkan mata pelajaran ini. Hanis sangat teruja dan benar-benar berharap terpilih ke sana. Tapi, apakah bentuk ujiannya?

Semasa dalam surau (tempat ujian), semua pelajar yang tersenarai diberi kertas soalan. Terlihat seorang ustaz di hadapan. Bersongkok hitam, bersaiz kecil, berjambang dan ada tanda tompok hitam pada dahinya. Sejuk mata Hanis memandang. Baginya, mana-mana lelaki yang bersongkok, akan menyejukkan matanya memandang. Ujian hampir bermula. Berdebar kencang jantung Hanis. Lalu dibukanya dan soalan meminta pelajar untuk menukar ayat-ayat dalam Bahasa Melayu ke tulisan jawi. Sekali lagi Hanis diuji. Entah mengapa, dirasakannya berat.

"Terpilihkah aku? Dulu sekolah rendah belajar sikit je. Itupun ada salah-salah. Dalam ramai-ramai ni, aku terpilihkah ke? Diorang mesti ada background sekolah agama.Mudahlah bagi diorang" Hanis bermonolog dan timbul sedikit kerisauan dalam dirinya.

Hanis menyelesaikan soalan dan hanya mampu berharap.

"Tadi boleh la juga jawab. Tulisan jawi kan macam tulisan dalam Al-Qur'an. Hantam pun sikit-sikit je. Positif-positif." Bisik hatinya.

Keesokan harinya, keputusan dikeluarkan. Nama-nama diumumkan. Alangkah gembiranya Hanis apabila namanya dipanggil dan diminta untuk menuju masuk ke kelas Mawar.

Seorang kawan Hanis yang bersekolah agama tidak tersenarai. Hanis pelik, tertanya-tanya dan kemudian mengabaikan persoalannya itu.

Sepanjang berada dalam kelas itu, Hanis sangat bersyukur. Bersyukur kerana bepeluang mempelajari Bahasa Arab. Setiap kali kelas BA, Hanis pasti akan bersemangat. Majoriti dalam kelas itu terdiri daripada pelajar-pelajar yang ada basic BA. Pernah bersekolah dua. Kerdil juga rasa diri namun kerana semangat untuk belajar, digagahinya juga perasaan itu.

Kelas BA pertama. Ustaz yang dlihatnya semasa ujian tempoh hari kelihatan. Rupa-rupanya, ustaz ini mengajar BA.Pengalaman pertama belajar. Hanis rasa blur. Mana tidaknya, yang dilihatnya, ustaz tu kejap masuk, kejap keluar sambil mengatakan sesuatu yang istilahnya tidak difahami.

Setiap kali menyebut kharaja, ustaz akan keluar .

Bila menyebut dakhala pula akan kembali masuk.

"Apa ustaz ni buat?" Bisik hatinya yang tengah blur.

Tiba-tiba ustaz bertanya dalam bahasa Melayu.

"Siapa yang tidak faham?".

Hanis yang terasa dengan pertanyaan itu menoleh sekeliling. Tiada seorng pun yang mengangkat tangan. Hanis yang duduk di hadapan tepat bersebelahan engan pintu hadapan kelas dapat melihat keseluruhan penjuru kelas.

"Aku nak angkat tangan ke? Malunya. Nanti nampak sangatlah aku seorang je tak faham. Tapi, kalau tak angkat tangan akan tak faham jugalah nanti." Bisik hatinya.

Setelah beberapa ketika, Hanis tiba-tiba angkat tangan. Diberanikannya juga. Setelah Hanis mengangkat tangan barulah ada sahabat-sahabat lain yang menangkat tangan juga.

Disebbkan Hanis yang mengangkat tangan dahulu, ustaz pun bertanya kepadanya.

" Apa yang tidak faham?"

"Semua yang ustaz buat tadi"Jawab Hanis.

Kemudian teman sebelah meja Hanis pun kata padanya.

"Kharaja tu keluar. Dakhala pula masuk."

Baru sekarang Hanis memahaminya. Ustaz yang sekejap keluar dan sekejap masuk tadi adalah aksi untuk menunjukkan maksud kedua-dua perkataan tadi.

Kelas pertama Hanis dirasakannya sedikit nervous namun masih menanti-nanti kelas seterusnya walaupun penuh debaran.

Hanis sangat menyukai kelas itu. Alhamdulillah, walaupun bermula dengan zero dalam BA,Hanis mudah menghadamnya. Dia antara pelajar yang menonjol dalam BA. Sekolah itu bukanlah berstatus sekolah agama tapi jka ada pelajar yang skor "A" untuk BA, pasti itu keputusan yang membanggakan. Sistem dengan sekolah agama pastilah berbeza dan ada penekanan untuk subjek BA. Tapi, "A" adalah aim Hanis untuk PMR yang kian hampir. Ditekuninya dan berusaha semampunya. Sehinggalah keputusan PMR keluar. Mata tertumpu pada BA. Terlihat gred "B". Hanis kecewa namun tetap redha.

"Usahaku belum cukup lagi. Next target, SPM". Katanya.

Menjejak ke Tingkatan 5. Berbekal keputusan PMR yang baik, melayakkannya berada dalam science stream.Suatu hari, seorang guru yang juga bekas guru kelas bertanya kepada Hanis.

"Tak nak masuk MRSM ke? Sana senang. Banyak bantuan kerajaan."

Hanis dengan tenang menjawab, " Tak pe lah cikgu,sini pun ok."

Namun, dalam hatinya berkata " Aku tak nak meninggalkan BA. Tidak. Aku terpilih untuk mempelajarinya dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Tidak mahu meninggalkannya walaupun MRSM lebih gah namanya!" Tegas hatinya.

Ada beberapa oang pelajar agama yang berpindah masuk ke kelas Hanis.

Hanis bermonolog, "mereka pindah ke sekolah biasa, sayangnya. Agaknya, aku boleh ke masuk sekolah agama? Hmmm..". Persoalan itu akhirnya dibiarkannya saja.

Selain Bahasa Arab Tinggi, subjek Pendidikan Al-Qur'an & As-Sunnah dan Pendidikan Syariah Islam adalah dua subjek agama yang disukainya. Bertambah lagi pengetahuannya tentang agama. Masuk ke Tingkatan 5, Hanis sangat meminati subjek PQS. Setiap kali exam, dia antara 2 orang yang selalu mendapat markah tertinggi. Adakala yag kedua dan Adakala yang pertama. Silih berganti.

Exam SPM semakin menghampiri. Berbekalkan harapan, target ditetapkan dan terus memburu.

"Usahaku belum cukup lagi. Next target, SPM". Hanis teringat kembali azamnya dahulu. Azam unuk memburu "A" bagi subjek BA sebagai pengubat keputusan PMR dahulu.

Keputusan SPM keluar. Mencari subjek BA, dan gred "B3" kelihatan. Sedih hatinya. Masih gagal menebus.

"Usahaku belum cukup lagi untuk melayakkanku mendapat 'A'." Lirih hatinya. Dalam seramai 30 lebih orang calon BA, seorang saja yang mendapat "A".

Alhamdulillah, berbekalkan keputusan SPM, Hanis berjaya melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti tempatan.

Suatu hari, Hanis merenung-renung kembali perjalanan hidupnya. Tiba-tiba tersentak.

"Mak, boleh tak nak masuk sekolah Islamiyah?" Kata Hanis.

"Tak payahlah, lagipun dah lama bersekolah kat Sri Mahabbah tu"
. Jawab ibunya.

Dia teringat perbualannya dengan ibunya sewaktu berusia 9 tahun dahulu.

"Masya Allah. Bukankah Allah telah memakbulkan permintaanku ini.Ya, dari dahulu aku mengidam-idam masuk ke ssekolah agama. But, now see. Aku menamatkan zaman persekolahan dengan mengambil 9 subjek untuk PMR dan 12 subjek untuk SPM. Kedua-dua ini seolah-olah aku seperti juga pelajar sekolah agama. Mereka belajar BA, PQS, PSI dan aku juga begitu. Hanyasaja aku tidak duduk dalam sekolah agama. Alhamdulillah.Ya Allah, Engkau mengurniakan dan memakbulkan permintaanku sesuai dengan keadaanku. Aku tidak bersekolah dua semasa dalam darjah, jadi mana mungkin masuk ke sekolah menengah agama. Tapi cukup, dengan masuk ke Kelas Mawar itu Engkau memberi peluang aku untuk belajar agama dengan lebih terbuka lagi. Bahkan dengan keputusan SPM, boleh saja aku memohon untuk mengambil jurusan agama. Alhamdulillah, Engkau Maha Kaya ya Allah.."
Bisik hatinya lantas mengalirkan air mata..

Harapannya terkabul. Meski tidak serupa, namun masih sama.

Benarlah dengan Firman Allah SWT, Surah Al-Baqarah: 186

" Dan apabila hambaku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka beritahulah mereka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada KU"

. Read More..

Thursday 4 August 2011

Malulah Pada Allah

Bismillahirrahmanirrahim.


Ketika engkau tengah asyik berbicara tentang keburukan orang lain yang tiada bersamamu.. Pada saat itu, keaibanmu telah tersingkap meskipun yang terlihat pada mata kasar engkau sebenarnya membuka aib orang lain. Malulah pada Allah.


Ketika dua insan tengah asyik “bergayut” dengan telefon.. penuh mesra dan menikmati manisnya perbualan itu.. Tiada manusia yang mengetahui isi perbualan itu, hanya engkau dan dia. Namun, ternyata engkau tidak memiliki ikatan halal bersamanya.. Malulah pada Allah..


Ketika engkau duduk berseorangan..bebas melakukan apa jua, memikirkan tentang sesuatu..Hadirkanlah malu pada Allah sebagai bentengmu daripada jatuh ke lembah kemaksiatan.


Malulah pada Allah. Kerana Dia Maha Mengetahui segala apa yang engkau tampakkan dan sembunyikan..Malu Pada Allah, tidak sekadar Malu Pada Manusia.

"Dan jauhilah dosa yang zahir dan yang batin. Dan sesungguhnya orang yang mengerjakan dosa akan menerima balasan disebabkan oleh perbuatan mereka." (Al-An’am;120)


"...Allah berfirman: 'Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?' ”. (Al-Baqarah :33)


Malulah pada Allah dalam keramaian mahupun keseorangan. Itulah perisai orang beriman. Mari bersama menginsafi segala kelakuan kita. Yang jelas mahupun yang sembunyi.Semoga Allah Sengampuni dosa-dosa kita yang lepas yang tampak mahupun yang sembunyi. Alllahumma ameen. Read More..

Memaknai Dakwah

Bismillahirrahmanirrahim.



DAKWAH.
Ia bukanlah sekadar satu kewajipan, namun juga satu pilihan. Bersyukurlah orang-orang yang memilih dakwah sebagai jalan hidupnya. Jalan dakwah sebagai pilihan bukan semata-semata lahir daripada relung naluri, tabiat, bakat kemanusiaan saja, bahkan ia harus diyakini sebagai hidayah daripada Allah s. w.t. kesedaran seperti inilah yang akan membuat kita yakin bahawa hidup ini akan sentiasa dibimbing petunjuk-petunjuk Allah.

Aktiviti kehidupan kita itulah cerminan aktiviti dakwah kita. Bersatunya kita, fikiran, perbuatan dan keyakinan menunjukkan kualiti ketakwaan kita kepada Allah s.w.t.. Sebaliknya, memaknai dakwah secara sempit hanya akan melahirkan pemisahan antara hidup dengan dakwah itu sendiri. Sedangkan, Islam memiliki pandangan bahawa dakwah dan persoalan hidup tidak boleh dipisahkan.

Usia risalah dakwah sama panjangnya dengan usia alam ini. Usia kita sehinggalah anak keturunan kita, masih belum seberapa jika dibandingkan dengan perjalanan dakwah ini. Masih sangat jauh jarak yang harus kita tempuh, masih sangat lama waktu yang harus kita lalui, masih sangat panjang perjuangan ini harus dijalankan. Justeru, tidak pantas kita berasa lelah mengharungi samudera dakwah ini, kerana masih terlalu banyak para pendahulu kita yang jauh lebih letih daripada kita. Tidak pantas kita mengeluh untuk mencapai ketinggian cita-cita dakwah ini, kerana masih terlalu banyak para pendahulu kita yang jauh lebih sibuk daripada kita.

Dalam pandangan Islam, manusia adalah makhluk yang paling sempurna. Manusia hidup dan dapat beraktiviti kerana ada keseimbangan fitrahnya dalam interaksi ruh, fikiran dan jasad. Allah berfirman:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya” (At-Tin: 4)

“Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh) mu seimbang” (Al-Infithar: 7)


Hal ini sejajar dengan tujuan takwa untuk menjadikan manusia yang seimbang sesuia dengan fitrahnya, sebagiamana takwa itu sendiri merupakan bentuk formulasi keseimbangan manusia tersebut. Semakin seseorang itu bertakwa, semakin dia akan dapat menyeimbangkan diri dalam segala aktivitinya. Manusia yang semakin seimbang inilah yang akan semakin produktif dalam aktivitinya.

Dakwah sesungguhnya perintah Allah yang diwajibkan ke atas setiap individu Muslim. Namun, dalam realiti seharian, tidak setiap Muslim memiliki kemampuan yang sama dalam merespons kewajipan dakwah. Ada yang merespons dengan menjalankan sepenuhnya, ada yang setengah-setengah, dan ada yang sama sekali tidak merespon.

Jalan dakwah ini adalah suatu kewajipan dan sekaligus sebuah pilihan. Ketika penggiat dakwah mula berguguran, ini adalah petunjuk bahawa ada sesuatu yang mulai tidak seimbang. Solusinya adalah dengan kembali kepad fitrah manusia sebagai makhluk yang seimbang. Persoalan utamanya ada pada kesedaran pentingnya keseimbangan (tawazun) dalam kehidupan, khususnya dalam kehidupan dakwah. Tawazun dari sudut ruhiyah, jasadiah dan fikriyah.



Tawazun dalam aspek ruhiyah adalah munculnya rasa ketenangan, hilangnya rasa gelisah dan kekhuatiran yang berlebihan dalam kehidupan para da’ie. Tawazun dalam aspek jasadiah pula adalah dalam bentuk tidak adanya rasa sakit, serta mempunyai fizik yang sihat dan kuat. Tawazun dalam aspek fikriyah adalah hilangnya kebodohan dan munculnya kemampuan kecerdasan dalam diri para da’ie. Dan tawazun hasil daripada hubungan ketiga-tiganya adalah dengan munculnya peribadi para da’ie yang mampu mengelola diri dengan pelbagai peranan yang dipikulnya secara optimal dan produktif. Dakwah yang produktif inilah yang akan meraih kesuksesan berdakwah. Sesungguhnya, makna kesuksesan dakwah yang paling mendasar ialah dengan semakin ramai orang yang mendapat hidayah Allah dan mampu menerapkan keimanan yang diyakini dalam kehidupan sehariannya.

Dipetik dan diolah daripada buku: Untuk Muslimah Yang Tak Pernah Lelah Berdakwah



. Read More..

Monday 1 August 2011

Ramadhan dan Masjid UIA

Bismillahirrahmanirrahim.


Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi. Dengan rahmat dan kasih sayangNYA, kita masih berpeluang dan berkesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan tahun ini.

“Barangsiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan dengan iman dan mengharap pahala daripada Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu” (HR Imam Bukhari)


Mendengar hadis ini, siapa yang tidak tergugah imannya? Dan pasti mahu berusaha untuk merebut kebaikan-kebaikan dalam bulan Ramadhan ini. Hadirnya Cuma sebulan dalam setahun. Namun, pahala dan ganjarannya terlalu besar untuk kita meraihnya.

Menyebut sahaja Ramadhan, antara perkara pertama yang akan terlintas di benak fikiran adalah mahu menghabiskan masa di Masjid UIA. Uniknya ia, indahnya ia hanya benar-benar dapat dirasai oleh hati-hati yang pernah dan telah terbiasa menghabiskan Ramadhan di masjid ini.

Teringat luahan seorang staff masjid ini “Ana pelik dengan pelajar UIA ni. Bila cuti tak nak balik rumah, tapi bila masa belajar, nak cuti pula. Masa bulan Ramadhan ni, duduklah dengan keluarga. Kat UIA ni mana ada orang waktu cuti begini”. Saya mendengar saja kata-katanya. Namun dalam hati, mahu saja mengatakan “ Masjid di luar tidak akan sama dengan masjid UIA”.

Ya, benar. Menghabiskan Ramadhan bersama keluarga adalah kesempatan yang sangat berbahagia bagi saya yang hanya setahun sekali balik kampung. Namun, kerana rindu pada suasana Ramadhan di UIA dan juga kerana masjid ini, tidak mahu melepaskan peluang untuk meluangkan masa berada di sini. Meski hanya seminggu. Sungguh, perasaan itu tidak dapat diganti dengan tempat lain. Manakan tidak, sejak tahun pertama pengajian lagi memang telah terbiasa dengan masjid UIA. Tidak hanya di bulan Ramadhan bahkan di bulan-bulan yang lain. Inilah perhentian setelah habis kuliah sehingga selesai solat Isyak. Jika ada sela-sela masa rehat sebelum kuliah, ini jugalah pelabuhannya.

Alhamdulillah, petang semalam tiba di UIA dan terus menuju ke masjid. Menjejakkan saja kaki ke dalam masjid ini, suatu haruman menusuk ke hidung. Segarnya haruman itu.. Kemudian, bersiap untuk menunaikan solat ‘Asr. Malam satu Ramadhan pun menjelma..Subhanallah, seusai solat Maghrib, indahnya kicauan burung-burung yang berterbangan bebas dalam masjid ini. Pertama kali menyaksikan hal ini berlaku sewaktu Maghrib. Biasanya, burung-burung itu akan hadir selepas Solat Subuh. Agaknya, burung-burung itu juga turut meraikan kedatangan Ramadhan yang mulia ini.

Dan kita? Gembirakah kita dengan kehadirannya? Ataukah yang terkeluar dari bibir kita, “alamak, kena berpuasa. Tak dapat makan minum dah.Dengan cuaca panas pula tu..”. Adakah ini? Jika ini, maka sungguh, hati itu belum mengetahui makna dan hakikat sebenar Ramadhan. Jangan pernah rasa mahu mengeluh..Tapi, berbahagialah dan rebutlah kebaikan-kebaikan yang Allah telah sediakan khas dalam bulan Ramadhan ini. Bukankah segala pahala digandakan sehingga 70 kali ganda ibadat wajib? Bukankah pintu neraka telah ditutup dan pintu syurga terbuka luas untuk kita? Bukankah dalamnya ada malam Lailatul Qadr untuk kita cari? Yang lebih baik daripada seribu bulan! Bukankah setiap doa dan permintaan orang-orang yang berpuasa itu akan dimakbulkan oleh Allah? Nah, apalagi yang kurangnya? Hanya saja Allah memerintahkan kita berpuasa, adakah kebaikan-kebaikan itu telah terpadam daripada menjadi motivasi kita? Mari bersama kita memperbaharui niat dan azam kita dalam kesempatan Ramadhan yang Allah beri kepada kita. Kesempatan itu juga nikmat Allah, bukan?

Mari kita renung sejenak hadis Rasulullah s.a.w. ini:

Rasulullah Saw menaiki mimbar (untuk berkhotbah). Menginjak anak tangga (tingkat) pertama beliau mengucapkan, “Aamin”, begitu pula pada anak tangga kedua dan ketiga. Seusai shalat para sahabat bertanya, “Mengapa Rasulullah mengucapkan “Aamin”? Beliau lalu menjawab, “Malaikat Jibril datang dan berkata, “Kecewa dan merugi seorang yang bila namamu disebut dan dia tidak mengucap shalawat atasmu” lalu aku berucap “Aamin.” Kemudian malaikat berkata lagi, “Kecewa dan merugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai bisa masuk surga.” Lalu aku mengucapkan “aamin”. Kemudian katanya lagi, “Kecewa dan merugi orang yang berkesempatan (hidup) pada bulan Ramadhan tetapi tidak terampuni dosa-dosanya.” Lalu aku mengucapkan “Aamin.” (HR. Ahmad)

Sahabat, ayuh kita memperbaharui niat dan azam kita. Berpuasa dengan sebenar-benar erti puasa dan tidak sekadar menahan diri daripada makan dan minum. Gandakan ibadah dan amal-amal kebaikan. Semoga dengan selesainya Ramadhan ini, kita beroleh kemenangan dan darjat orang-orang yang bertakwa تتقونلعلكم .

Ameen ya Rabb.
. Read More..

Perkhabaran ini, tersentuhkah sang hati?

Bacalah..hayatilah dengan mata hatimu, dan tunduklah..Kerana, ia bukanlah khabar dongeng!



Bismillahirrahmanirrahim.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.

"Dan turutlah - Al-Quran - sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.

"(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: ` sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (agama Allah dan penganut-penganutnya)

"Atau berkata: ` Kalaulah Allah memberi hidayah petunjuk kepadaku, tentulah aku telah menjadi dari orang-orang yang bertaqwa ! '

"Atau berkata semasa ia melihat azab: ` Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan!"

(Kata-kata yang tersebut ditolak oleh Allah dengan firmanNya): "Bahkan telahpun datang kepadamu ayat-ayat petunjukKu (melalui RasulKu), maka engkau telah mendustakannya serta engkau berlaku sombong angkuh mengenainya, dan engkau telah menjadikan dirimu dari orang-orang yang kufur ingkar!"

Dan pada hari kiamat, engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah (dan yang menyatakan kesedihan itu) - muka mereka hitam legam; bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang sombong takbur?

Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa (yang menjauhkan diri dari perbuatan syirik dan maksiat) dengan mereka mendapat kemenangan besar (keredaan Allah) mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk, dan tidak akan berdukacita.

Allah Yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Mentadbirkan serta menguasai segala-galanya.

Dia sahajalah yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; (orang-orang yang percayakan yang demikian beruntunglah) dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah yang jelas nyata itu, mereka itulah orang-orang yang paling rugi.

Katakanlah (wahai Muhammad, kepada orang-orang musyrik itu: "Sesudah jelas dalil-dalil keesaan Allah yang demikian), patutkah kamu menyuruhku menyembah atau memuja yang lain dari Allah, hai orang-orang yang jahil?"

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.

"(Janganlah menyembah yang lain dari Allah) bahkan (apabila beribadat) maka hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata, dan hendaklah engkau menjadi dari orang-orang yang bersyukur"

Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepadaNya, sedang bumi seluruhnya - pada hari kiamat - dalam genggaman kuasaNya, dan langit tergulung dengan kekuasaanNya. Maha Sucilah Ia dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan.

Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).

Dan akan bersinar terang-benderanglah bumi (hari akhirat) dengan cahaya Tuhannya; dan akan diberikan Kitab suratan amal (untuk dibicarakan); dan akan dibawa Nabi-nabi serta saksi-saksi; dan akan dihakimi di antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

Dan akan disempurnakan bagi tiap-tiap seorang - balasan apa yang telah dikerjakannya, dan Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka telah lakukan.

Dan orang-orang kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka: Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini?" Mereka menjawab: "Ya, telah datang! Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas orang-orang yang kafir.

(Setelah itu) dikatakan kepada mereka: "Masukilah pintu-pintu neraka Jahannam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam.

Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:" Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya" (mereka pun masuk)

Serta mereka berkata:" Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjiNya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari Syurga ini di mana sahaja kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal".

Dan (pada hari itu) engkau akan melihat malaikat beredar di sekeliling Arasy dengan bertasbih memuji Tuhan mereka, serta mereka dihakimi dengan adil; dan (masing-masing bersyukur akan keputusan itu dengan) mengucapkan: "Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam!"

(SURAH AZ-ZUMAR: 53-75)
. Read More..