Tuesday 18 October 2011

Berbumbungkan Jalan Raya, Itupun Jadilah!

Bismillahirrahmanirrahim


Kuala Lumpur. Bandar yang tidak pernah mengenal erti sunyi. Hiruk-pikuk dan bising itulah musikanya. Atas sebab itulah, diri ini tidak gemar untuk keluar ke Kota Raya ini. Namun, dalam suasana penuh kesibukan sebegini, jiwa-jiwa yang memandang dan memerhati dengan mata hati perlakuan manusia di Kota Raya ini, pasti akan menemui sesuatu yang akan menyentuh jiwa. 

Dengan izin Allah, terlihatlah suatu kejadian di hadapan mata. Ketika itu, sedang santai berada dalam sebuah bas menuju ke Klang mata tertuju kea rah gerak geri seorang lelaki. Usianya menjangkau akhir 50-an atau awal 60-an saya kira. Bersamanya ada sebuah beg pakaian. Pakaian yang dipakainya biasa dan tiada koyakan yang terlihat pada pakaiannya.  Secara zahirnya, ibarat seorang yang dalam perjalanan menuju ke suatu tempat. Begitulah awal tanggapan saya terhadap lelaki berkenaan.

Terus memerhatinya hinggalah dia menuju ke bawah sebatang jalan raya. Ketinggian jalan raya itu tidaklah setinggi lelaki berkenaan. Rendah darinya.  Terpaksa menunduk jika ingin melalui kawasan bawahnya. 

Di situ, terdapat selonggok surat khabar. Dia pun mencapainya dan menyusunnya rapi. Saya mula mengagak –agak sebab perlakuannya itu. “Adakah  dia mahu menyiapkan tempat pembaringannya?” Detik sang hati. Ternyata, tekaan saya benar. Selepas menyusun surat khabar itu, dia mengeluarkan sebuah bungkusan daripada begnya. Isi beg itu yang disimpan dalam keadaan terlipat dikeluarkan dan dibentangkan di atas hamparan surat khabar tadi. Tilam yang agak lusuh kelihatan. Pada saat itu juga, hati benar-benar tersentuh. “Adakah tilam itu sememangnya sentiasa di bawa bersamanya? Dibentangkan ketika menjumpai satu tempat yang sesuai dirasakannya untuk berlabuh?” Persoalan demi persoalan timbul dan saya  terus asyik memerhatikannya. 

Kemudian, lelaki berkenaan duduk di atas tilam tersebut dan menanggalkan kedua-dua selipar miliknya.  Dibersihkannya lalu diletakkan dalam sebuah plastik. Siap untuk diselitkan di bawah tilam berkenaan dan kemudian meletakkan begnya di atas bungkusan berisi seliparnya tadi. Dirapikannya sekali lagi. 

Sebelum bas yang saya naiki bergerak pergi, sempat melihat keadaan pak cik itu yang kelihatan begitu bersahaja sambil membaca keratan akhbar yang dijumpainya. Berbumbungkan jalan raya, itu pun jadilah. Langsung tidak dihiraukan orang ramai di sekelilingnya. Tiada malu terlihat pada raut wajahnya.
“Siapa lelaki itu? Dari mana asalnya? Adakah sudah berkahwin? Jika ya, di mana keluarganya? Jika mempunyai anak-anak, di manakah mereka? Kenapa berlabuh di bawah jalan raya itu?” Sungguh menyentuh hati.

Lantas, cuba mengaitkannya dengan keadaan diri. 

Alhamdulillah, sungguh diri ini tidak pernah mengalaminya. Mempunyai rumah yang walaupun sederhana, namun terlalu jauh lebih baik daripada berlindung di bawah jalan raya. Walau kadang terasa panas berada di rumah dan juga mengeluh, namun itu lebih baik daripada pak cik itu. Panas, habuk, asap kenderaan..itulah yang terdedah padanya. 

Wahai diri, engkau lebih selesa daripadanya. “Sedarlah wahai diri dan syukurilah apa yang Allah kurniakan padamu”. Rayu sang hati. Keadaan pak cik itu banyak memuhasabahkan diri. Dan itu, hanya sebahagian daripada masyarakat. Di ceruk-ceruk dunia, bahkan ada yang lebih menghibakan.

 “Apabila salah seorang di antara kalian memandang orang yang mendapat kenikmatan harta dan bentuk tubuh (tampan dan cantik), maka pandanglah orang yang lebih rendah daripadanya.”
(HR. Al-Bukhari)

Indahnya pesan kekasih Allah ini..Janganlah kita memandang pada mereka yang lebih tinggi dalam hal-hal dunia. Namun, lihatlah yang lebih rendah daripada kita. Itu akan melunakkan hatimu dan menjauhkan iri hati pada hal-hal keduniaan.

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment