Saturday 15 October 2011

Di mana dia di hatimu?

Bismillahirrahamanirrahim
Kitab penuh cinta..

Duhai hati, 
Di mana rindu itu? Di mana kemahuan itu? Di mana impian itu? Di mana motivasi itu?

Wahai diri,
Engkau dahulu, langsung tidak mengenal hurufnya. Sepatah pun. Namun, dengan izinNya..engkau mula mempelajarinya.. Walau terbata-bata, walau tersekat-sekat. Ayat demi ayat engkau baca dan akhirnya engkau mengenali hurufnya, mengenali ayatnya..Alhamdulillah.

Wahai diri,
Ayuh sejenak mengimbas kembali kepada dirimu dan keinginanmu yang dulu-dulu. Ya..yang dulu-dulu itu..

Ingatkah engkau, suatu saat... lidah itu tiba-tiba terasa tebal, liat dan tersekat-sekat membaca kitab suci Ar-Rahman? Tersekat-sekat dek kerana telah lama meninggalkannya. Tersekat-sekat dek kerana menjadikannya hanya sekadar perhiasan di kamarmu. Tanpa engkau membukanya dan membacanya..

Dengan rahmat Allah, hatimu hiba..hatimu sedih..hatimu rindu..Di mana perginya kefasihan itu? Di mana perginya lidah yang lembut itu? Sebuah kehilangan yang engkau tangisi..Namun, Allah benar-benar Maha Pengasih dan lembut padamu. Sebuah kehilangan yang ditangisi akhirnya menjadi pembakar semangat untuk mecari yang hilang itu..Dari saat itu, engkau menjinakkan kembali dirimu dengannya..Dengan kitab yang sarat dengan kasih dan cintaNya..

Masa berlalu. Terdetik di hatimu sebuah cinta yang mahu engkau tanam dan semai.. Cinta kepada kitabNya. Cinta kepada pendokong Al-Qur'an. Kasih kepada pembaca-pembacanya dan kasih kepada penghafal-penghafalnya. 

Sungguh, sebuah ketenangan yang sangat mendamaikan melihat para huffaz. Bahkan cemburu pada mereka..

Dari Umar al-Khattab, Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tidak dihalalkan dengki itu, melinkan terhadap dua jenis orang iaitu, orang yang diberi kepandaian oelh Allah dalam hal Al-Qur'an, lalu dia berdiri dengan Al-Qur'an itu-yakni membaca sambil memikirkan dan juga mengamalkannya-di waktu malam dan siang, juga seorang yang dikurnia Allah akan harta lalu dia menafkannya di waktu malam dan siang-untuk kebaikan". (Muttafaq 'alaih)

Sehingga suatu saat, engkau ditawarkan untuk berkomitmen dengannya. Berkomitmen untuk menghafalnya. Meski hanya beberapa juzuk Al-Qur'an dalam masa 3 tahun..Begitulah perancangan Allah..Meski ragu-ragu pada mulanya sehingga terpaksa istikharah dalam membuat keputusan sebelum memohonnya. Istikharah kerana ada ragu-ragu antara dua pilihan..Mampukah menjaganya? Berat dirasakan namun dalam hati itu juga mengatakan mahu.

Jika mengimbas kembali saat dalam temuduga itu, hati berbisik, secara teknikal engkau sepatutnya gagal dalam temuduga itu. Dalam tempoh 30 minit, engkau tidak mampu menghafal satu muka surat. Bahkan separuh juga tidak tertunai. Lantas apa yang menyebabkan engkau berjaya? Itu rahsia Allah..Namun, cukuplah untuk menyedari bahawa Allah memberi diri peluang. Peluang untuk lebih taqarrub dengan kitabNya. 

Juga, peluang untuk mencapai impian diri..Ingatlah kembali alasan yang engkau berikan dahulu kepada ustaz itu sewaktu temuduga..Kenapa mahu menghafal?, soalnya. Engkau menjawabnya sedang kata-katamu tersekat..Hatimu berdebar..Matamu berkaca menyatakannya. Mujur saja air matamu tidak tertumpah. 

Wahai diri, ingatlah kembali saat-saat itu..
 
Ketika engkau mula bertatih menghafalnya, penuh hambatan dirasakan. Namun, nikmatnya...Rasa hati itu...Subhanallah..Ta'jub!
Alhamdulillah, dengan bantuanNya, semester pertama, silibus dihabiskan.

Namun, semester-semester seterusnya, kenapa menyusut jadinya? 
Duhai hati, bagaimana mungkin hati yang bermaksiat itu akan mudah menghafal ayat-ayat suciNya..Sesaknya dada..Sukarnya ia melekat dalam hati. Duhai diri, bersihkanlah hati itu..
Alhamdulillah, tarbiyyah yang dilalui, banyak membantu proses tazkiyyah hati.. Syukur dengan nikmat itu..

Namun kini, hati merenung kembali..

Duhai hati,
Sekali lagi kutanyakan padamu. Di mana rindu itu? Di mana kemahuan itu? Di mana impian itu? Di mana motivasi itu?

Adakah dunia telah datang kepadamu sehingga engkau disibukkan dengannya sehingga lupa untuk menjaganya? Adakah ghairah itu menyebabkan engkau tergesa-gesa dan mahu segera menghafalnya? Sedangkan Dialah yang akan menapakkanya dalam hatimu.  Atau adakah keutamaan-keutamaannya telah kian engkau lupai?

Duhai hati,
Di mana disiplin dalam diri? Di mana pengurusan masamu? Di mana ayat-ayat itu dalam hatimu? Masih adakah ia? Ataukah, sekali lagi engkau merasakan sebuah kehilangan dalam hatimu?

Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment