Wednesday 26 October 2011

Parasit Hati

Bismillahirrahmanirrahim
Panahan syaitan

 “Janganlah sampai ada sesuatu yang lebih penting bagimu selain daripada memperbaiki dirimu, kerana ia tidak boleh sedikitpun ternoda oleh dosa” 
(Umar Bin Abdul Aziz)

Bagi jiwa-jiwa yang berkomitmen untuk memperbaiki diri, sensitiviti pada dosa adalah suatu hal yang sangat dharuri. Dosa justeru adalah suatu halangan yang membelenggu diri, samada sedikit ataupun banyak, kecil ataupun besar, ianya tetap suatu dosa! Sensitifkah kita?

Sahabat yang dikasihi oleh Allah s.w.t.,
Mari sejenak kita meresapkan jauh ke dalam hati kita. Sebuah wasiat daripada seorang penyair di zaman Khalifah Umar Bin Abdul Aziz.

Ceraikanlah dosa baik kecil mahupun besar
Kerana itulah ketaqwaan,
Berbuatlah seperti orang yang berjalan di atas tanah berduri,
Sehingga berhati-hati,
Jangan kamu remehkan kesalahan kecil,
Kerana gunung terbentuk oleh butiran pasir.

Sifat berhati-hati itu adalah tanda ketaqwaan. Begitulah yang telah diibaratkan oleh Umar al-Khattab bahawa hakikat taqwa itu seperti perjalanan di atas jalan berduri. Penuh berhati-hati. 

Penyakit ‘ujub

Para da’ie,
kadang hati telah tercampur dengan noda keterpedayaan (ghurur). Terpedaya dengan sedikit amal kebaikan namun merasakannya telah banyak dan sudah berpuas hati tanpa merasakan perlu untuk meningkatkannya lagi. Begitulah liciknya syaitan dalam membisikkan tipu dayanya.

Kita yang mengaku da’ie,
Apakah yang bermain dalam perasaan kitaketika bergaul dengan mereka yang tidak mengikuti jalan tarbiyyah dan dakwah? Apakah perasaan kita ketika melihat kelompok-kelopmpok yag tidak sejalur denganmu? Adakahkita merasakan diri lebih suci, lebih baik, lebih tinggi kedudukan di sisi Allah? 

Dalam hal itu, engkau telah meletakkan nilaian yang lebih tinggi untuk dirimu. Maka, renungilah kata-kata hikmah Imam Syafie ini.

“Barangsiapa yang menaikkan harga dirinya di atas harga yang sesuai dengannya, maka Allah akan mengembalikannya pada nilai yang sesuai”

Siapa kita untuk memberi nilaian diri yang lebih suci, lebih baik dan lebih tinggi daripada orang lain? Sibuk mencari-cari kelemahan orang lain sehingga lupa pada aib sendiri. Pada dosa sendiri yang menimbun.
Syaitan benar-benar memmalukan kita denga rasa ‘ujub (kagum) pada diri sendiri. Membanding jangan sampai merendahkan!  

"Ia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa".  
(An-Najm:32)

Sikap meremehkan dan menyerang orang lain adalah salah satu sisi yang paling menonjol daripada sifat ‘ujub. Menyerang peribadi lain sehingga merendahkan mereka. Itu seharusnya tidak  berlaku kepada seorang yang telah bergabung dengan harakah islamiyah. Yang berkomitmen untuk membina kesolehan diri dan orang lain. 

Abdullah bin Umar radhiyallahu’anhuma mengatakan bahwa Nabi saw bersabda, 

“Orang Islam itu adalah orang yang menyelamatkan Muslim lain daripada lidah dan tangannya…”  (HR. Bukhari) 

Itulah hak bagi sesama muslim, apatah lagi bagi sesama da’ie. 

Basyar ibn al-Harits mendefinisikan ‘ujub sebagai;

“Apabila kamu sudah menganggap bahawa amalmu lebih banyak, sedangkan engkau menganggap amal orang lain sedikit”.

Lagi, Sufyan at-Tsauri mendefinisikannya sebagai;

“Sifat ‘ujub adalah kekagumanmu pada dirimu sendiri, sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan kebih tinggi darjatnya daripada saudaramu, padahal boleh jadi kamu tidak beramal dengan benar seperti dia, atau barangkali dia lebih wara’ daripadamu terhadap hal-hal yang diharamkan Allah, dan lebih tulus dalam amalnya”.

Para da’ie,
Amal adalah suatu cahaya. Cahaya yang akan menerangi sang hati dan menuntunnya menuju cinta Illahi. Namun, ‘ujub yang hadir akan merubah cahaya itu sehingga malap dan hati menjadi kelam. Saat itu,kita telah terpedaya…

Penyakit suka pujian

Kita yang mengaku da’ie,
Adakah sesuatu amal yang kita lakukan adalah dalam rangka untuk mencari kedudukan dan kehormatan daripada manusia?  Maka, renungilah pesanan ini;

Sufyan at-Tsauri berkata:

“Apabila anda sudah tidak ‘ujub pada diri sendiri, maka anda juga harus menjauhi sifat suka dipuji orang lain. Bukti bahawa anda suka pujian orang adalah bahawa anda ingin mereka menghormati anda kerana suatu amal yang anda lakukan, dan agar mereka mengetahui kemuliaan dan kedudukan anda di hadapan mereka”.

Kita yang mengaku da’ie,
Apa perasaan kita ketika bergaul dengan mereka yang tidak berada di jalan dakwah dan tarbiyyah? Ketika engkau bergaul dengan menjaga kesopanan kata-kata dan akhlaq dalam tindakan. Sedang peribadimu dengan mereka ada bezanya . Sehingga ada yang berkata, “lembutnya kata-kata ..baiknya…bagusnya..”.  Apa perasaan kita ketika itu? 

Khalid Bin shafwan berkata;

“Banyak orang yang terpedaya kerana Allah tidak menampakkan keburukan mereka. Mereka terkena fitnah kerana sanjungan yang baik. Maka janganlah sampai ketidaktahuan orang lain tentang dirimu itu mengalahkan pengteahuanmu tentang dirimu sendiri”

Kita yang mengaku da’ie,
Adakah kita merasakan hati berbunga-bunga dan senang dengan sanjungan orang lain? Sehingga tenggelam dengannya? Tetapi, ketika ada yang memberi nasihat maka segalanya berubah. Dada terasa sempit, nafas terasa sesak bahkan terkeluar kata-kata kasar. Itukah kita sebagai da’ie? 

Sekali lagi, kita telah diperdaya oleh tipu daya syaitan. Saat orang lain memberi pujian, janganlah sampai kita lupa kepada hakikat diri kita. Yang lebih kita tahu kondisinya. Yang lebih kita tahu kelemahannya dan kejelekannya.

Kita yang mengaku da’ie,
Para salaf memberi wasiat kepada kita, sentiasalah berusaha untuk menghampiri dan mencapai kesempurnaan. Keterlaluankah ia untuk kita usahakan?

Abu Bakar mengirim wasiat kepada Khalid al Walid:

“Semoga Allah mengurniakanmu kelurusan niat dan kedudukan yang tinggi. Sempurnakanlah (amalmu), maka Allah akan menyempurnakanmu. Janganlah kamu terkena penyakit ‘ujub (mengagumi diri sendiri), kerana hal itu akan membuatmu rugi dan hina. Jauhilah olehmu sifat menunjuk-nunjuk sesuatu perbuatan, kerana sesungguhnya hanya Allah lah yang Maha Pemberi anugerah dan kemuliaan. Dialah Yang Maha Pembalas”.

Aku yang mengaku da’ie,
Bukanlah yang menunjuk lebih arif tentangnya. sekadar berbagi tausyiah dalam rangka menyembuh dan merawat hati. Kerana di jalan dakwah, liku-likunya ada yang jelas dan tersembunyi.  Halus tersembunyi  di balik hati, yang kadang tidak kelihatan. Namun ketika diuji, maka tampaklah ia..dan terpedaya…

 << << لا إله إلا أنت سبحانك إني كنت من الظالمين
 wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment