Friday 26 October 2012

Setegar Siti Hajar

Bismillahirrahmanirrahim


"Apakah Allah SWT memerintahkannya yang demikian ini?", tanya Hajar. Nabi Ibrahim menjawab: "Benar." Isteri yang beriman itu berkata: "Kalau begitu, kita tidak akan disia-siakan."

Menyingkap Sejarah di Tanah Gersang

Suatu hari, Nabi Ibrahim memerintahkan isterinya, Hajar supaya bersiap sedia untuk melalui sebuah perjalanan panjang. Setelah beberapa hari, bermulalah perjalanan mereka berserta anak kecil mereka yang masih menyusu. Gurun dan gunung-ganang dilewati oleh mereka. Saat itu, tiada kata yang diungkapkan oleh Hajar. Taat dan setia meredah perjalanan panjang bersama suaminya. Sehingga sampailah mereka ke Tanah Arab. Tanah tandus lagi gersang tanpa tanaman dan pepohon yang menghijau.

Nabi Ibrahim menurunkan isteri dan anaknya dari tunggangan unta dan meninggalkan bersama sedikit bekalan makanan dan air. Lalu, ditinggalkan isteri dan anaknya di tengah-tengah tanah tandus dan gersang itu..Langkah demi langkah Nabi Ibrahim berundur. Tiba-tiba, Hajar menyusulnya dan  bersuaralah si isteri. 

"Wahai Ibrahim, ke mana engkau pergi? Mengapa engkau meninggalkan kami di lembah ini, padahal di dalamnya tidak terdapat sesuatu pun."

Tiada kata yang dibalas oleh Nabi Ibrahim bahkan terus melangkah meninggalkan kesua-sua insan yang disayanginya.

Si isteri bertanya lagi akan hal yang sama. Namun, bibir kekal kaku dan terpaku. Nabi Ibrahim diam tanpa kata. Jauh terpendam, tiada yang memahami gelora rasa si suami melainkan Allah..

Si isteri solehah yang taat lagi beriman, sangat cerdas memahami hal yang tersirat. Mengertilah dia bahawa suaminya tidak akan bersikap sedemikian melainkan setelah mendapat perintah dari Allah SWT. Meluncurlah keluar persoalan dari si isteri.

"Apakah ini perintah dari Allah?"

Akhirnya, bersuaralah si suami, "Benar."
Lantas dengan tenang dan yakin isteri yang beriman itu berkata: "Kalau begitu, kita tidak akan disia-siakan." Betapa teguhnya keyakinan Hajar kepada Allah!! Sedangkan dia seorang wanita yang akan ditinggalkan keseorangan bersama bayinya yang kecil.

Tinggallah Hajar dan bayinya yang mughil itu berdua di tanah asing yang tandus dan gersang. Wanita dan bayi, dua insan lemah yang amat memerlukan perlindungan. Lantas, pada siapa mahu bergantung harap? Tiada lain hanyalah Allah!!

Beberapa hari kemudian, bekalan makanan dan susu sudah kehabisan. Tidak keruanlah Hajar. Bayinya menagih kelaparan. Berlari-larilah Hajar mencari air dari Safa ke Marwah. Dari jauh melihat seolah-olah ada biasan kelopak air, maka berlarilah dia mendapatkannya, Namun hampa. Yang disangka air rupa-rupanya hanyalah fatamorgana di tengah-tengah gurun.

Setelah masuk ke tujuh pusingan Hajar berlari-lari mencari air, dengan rahmat dan kasih sayang Allah, dilhamkan kepada Ismail untuk menghentak-hentakkan kaki kecilnya itu ke tanah. Allahu Akbar, terpancutlah keluar air dari hujung kaki Ismail.

Riang gembiralah hati si ibu dan dengan tuntas menyebut "zammi, zammi, zammi" yang bermaksud berkumpullah, berkumpullah, berkumpullah..Kerana disangkakannya, air itu akan segera habis dan Hajar sangat berharap agar air itu berkumpul sebanyak-banyaknya untuk bayinya. Tulusnya hati seorang ibu...
Hajar berharap agar air itu berkumpul untuk bayinya, tapi ternyata Allah menghadiahkan kepadanya sesuatu yang luar biasa. Telaga zam-zam yang tidak akan surut hinggalah hari kiamat!!

Dari tanah tandus dan gersang bertukarlah ia menjadi tanah yang subur dan pusat pengumpulan kafilah-kafilah dagang. Hingga meluaslah perkampungan yang terbina di sekitar telaga ini. Bahkan, tanah gersang ini jugalah telah bertukar menjadi tanah Haram yang dimuliakan Allah hingga hari kiamat kelak, Mekah Al-Mukarramah.


Belajar daripada Peribadi Siti Hajar

 "Tangan yang disangka lembut menghayun buaian, menggoncang dunia mencipta sejarah"

Menelusuri kisah Siti Hajar, pasti memberi impak yang menggugahkan jiwa. Pengorbanan, cinta, kasih, optimis, cekal, tegar, survival dan banyak lagi qudwah yang dipamerkan oleh insan agung ini.

Apakah rahsianya?

Formulanya,
Ilmu, Iman, Amal

ILMU
Siti Hajar mengetahui bahawa hidup ini mempunyai halatuju. Dan dia, benar-benar jelas akannya dan memahaminya. 

Pengakhiran hidup adalah kematian dan bertemu dengan Allah. Rumah abadi hanya ada dua samada syurga ataupun neraka.

Hajar benar-benar mengetahui bahawa hakikat kehidupan seorang hamba bukanlah pada dunia tapi berakhir kepada Allah. Tujuan hidupnya jelas, sebagai abid (hamba) dan khalifahnya.

Maka, tidak hairanlah kenapa Hajar langsung tidak mempersoalkan perintah Allah ke atas Nabi Ibrahim agar meninggalkannya dan bayinya di tanah gersang itu. Maka tidak hairanlah kenapa Hajar begitu mudah untu tunduk dan taat kepada perintah Tuhannya..Bahkan meyakini akan ada hikmah di sebaliknya.

"Apakah Allah SWT memerintahkannya yang demikian ini?", tanya Hajar. Nabi Ibrahim menjawab: "Benar." Isteri yang beriman itu berkata: "Kalau begitu, kita tidak akan disia-siakan."

Ketika mana Hajar memahami bahawa hidupnya harus tunduk kepada perintah Allah, maka tiada kata dua harus diungkapkan. Redha dan hadapilah!! Meskipun logik akal mengatakan diri kita terdedah kepada pelbagai bahaya..

Siti Hajar, seorang wanita solehah berhati waja. Dialah wanita pengukir sejarah.

IMAN

Iman didefinisikan sebagai membenarkan dengan hati, mengikrarkan dengan lisan dan mengamalkan dengan anggota badan. Inilah pendapat masyhur di kalangan ulama'. Lebih terperinci lagi,

“Membenarkan dengan hati” maksudnya menerima segala apa yang dibawa oleh Rasulullah saw.

“Mengikrarkan dengan lisan” maksudnya, mengucapkan dua kalimah syahadat.

“Mengamalkan dengan anggota badan” maksudnya, hati mengamalkan dalam bentuk keyakinan, sedang anggota badan mengamalkannya dalam bentuk ibadah-ibadah sesuai dengan fungsinya.

Iman, berakar umbi daripada keyakinan mendalam dari dalam jiwa seorang hamba. Keyakinan mendalam inilah yang akhirnya membuahkan amal dalam bentuk yang zahir.

Hajar, memiliki iman yang tinggi. Kebergantungannya atau tawakkalnya kepada Allah, mujahadahnya, sabarnya, redhanya dan tegarnya hati seorang wanita ini amat-amat terserlah. Iman dan keyakinannya kepada Allah teramat tinggi. Hasil daripada keyakinan dalamannya inilah yang akhirnya menolaknya untuk berbuat dan akur dengan perintah Allah ke atas Nabi Ibrahim. Dia harus ditinggalkan di tanah gersang bersendirian dengan anaknya. Dengan keimanan inilah yang menjadikannya cekal menghadapi kesusahan dan kepayahan di tanah gersang. Dengan keimanan ini jugalah yang menjadikannya sensitif terhadap keperluan anaknya tanpa mempedulikannya kondisi dirinya yang juga lemah tanpa makanan dan minuman.

Iman yang mantap, benar-benar akan membuahkan amal!!! Tidak harus diam terpendam bahkan akan meledak membuahkan amal sebagai bukti yang tampak.

AMAL

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
(Al-Ankabut:2-3)

Bagi setiap yang mengaku beriman, pasti dan pasti Allah akan menguji untuk melihat sejauh mana benarnya tahap keimanan seseorang hamba.

Di tanah gersang inilah menjadi medan ujian buat Hajar. Hidup bersendirian bersama bayi kecilnya. Namun, sejarah membuktikan imannya yang luar biasa. Bahkan, melalui wanita inilah yang akhirnya lahirlah generasi mulia daripada benih Nabi Ismail..Siapa lagi jika bukan Penghulu Agung para Anbiya', Rasulullah s.a.w..

Bonda Hajar mengajar suatu rahsia agung bahawa imanlah sebaik-baik bekal dalam menghadapi setiap ujian hidup. 

Bonda Hajar juga mengajar kita wahai para wanita. Di tanah gersang yang sunyi lagi tandus, bersendirian bersama anak kecil. Tiada suami di sisi yang akan melindungi. Tapi, cukuplah Allah sebagai sebaik-baik Pelindung dan Pemberi pertolongan. Wahai wanita, jangan manja mahu terus di bawah lindungan seorang lelaki! Bahkan merasa lemah tanpanya di sisi. Ketika diuji untuk berjauhan, tegarlah menghadapi. Kerana melalui engkaulah, generasi-generasi Rabbani akan terlahir dan terbentuk. Haruskah lemah dan bergantung sepenuhnya pada seorang suami? Hajar mengajarkan para wanita agar mampu untuk berdikari dan mandiri!!! 

Menjadi peribadi-peribadi seperti Hajar, tak teringinkah kita wahai para wanita?

Contoh terdekat, halakan minda kita kepada para wanita di Gaza, Palestin. Tegarnya mereka. Para suami ditahan dan dipenjara oleh Zionis laknatullah. Hidup tanpa lindungan para suami. Bahkan hidup dalam ketakutan berhadapan pelbagai ancaman Zionis. Rogol, bunuh, seksa, kelaparan, kemiskinan...

Namun, di sebalik serba kekurangan dan ketakutan itu, subhanallah!! Lahirnya generasi-generasi muda yang berhati juang dan jihad.. Lahirnya para huffaz pada usia kanak-kanak dan remaja..Kem-kem musim panas di Gaza hangat dengan misi melahirkan para huffaz. Baik di kalangan kanak-kanak mahupun remaja. Pastilah, di sebalik itu ada tangan-tangan pengukir sejarah. Para wanita, ibu-ibu yang berhati waja!!

Ingat kisah Khansa'? Seorang ibu yang telah kematian suami. Yang turun ke medan Uhud bersama kesemua anak lelakinya. Sehingga diberitakan kepadanya bahawa kesemua anaknya menemui syahid dalam Perang Uhud. Bukan sedih mengiringi berita ini, namun betapa bangganya hati seorang ibu.

"Syahid di jalan Allah adalah cita-cita tertinggi"

Ayuh, meneladani peribadi Hajar. 
Khusus buat para wanita, pencorak generasi!!

Wallahu a'lam.


 

Read More..

Tuesday 23 October 2012

Sejauh mana ukhuwah kita?

Bismillahirrahmanirrahim

Sahabat..saling melengkapi dan menguatkan

“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya”
 [Hadis riwayat Muttafaq ‘Alaih]


Suatu ketika, Rasulullah s.a.w. berkata di hadapan para sahabatnya yang dikasihinya: 

"Sesungguhnya, di kalangan hamba-hamba Alah ada beberapa orang yang bukan para nabi dan bukan syuhada, tetapi para nabi dan syuhada menginginkan kedudukan yang diberikan oleh Allah kepada mereka."

Lantas, para sahabat bertanya:

"Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepada kami, siapakah mereka itu?"

Rasulullah menjawab:

"Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah bukan kerana hubungan kerabat di antara mereka. Juga bukan kerana harta yang saling mereka berikan. Demi Allah, wajah-wajah mereka adalah (seperti) cahaya dan mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak takut tatkala manusia ketakutan dan tidak bersedih hati tatkala manusia bersedih hati."

Kemudian Rasulullah s.a.w. membaca ayat:

"Ingatlah, sesungguhnya, wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Yunus:62)" [Hadis riwayat Ahmad]

Beruntunglah orang-orang yang berukhuwah. Mereka yang saling mencintai kerana Allah dan semestinya bukan kerana kepentingan-kepentingan berbentuk duniawi. 

"orang yang bukan para nabi dan bukan syuhada, tetapi para nabi dan syuhada menginginkan kedudukan yang diberikan oleh Allah kepada mereka."

Lihat, Allah memberikan mereka kedudukan istimewa di sisiNya. Segolongan manusia yang dicemburui para nabi dan syuhada. Beruntunglah mereka...

Pasti kita pernah menerima pesanan ringkas dari sahabat kita (sama jantina) untuk meluahkan cinta dan kasihnya.."aku mencintaimu kerana Allah", "ukhuwah fillah abadan abada", "uhibbukifillah" dan seumpanya. 

Berbicara tentang ukhuwah, ternyata tidaklah semudah apa yang dilafazkan. 

Suatu malam, bertanya kepada seorang sahabat. 
"Akak, kenapa bila dengan akhawat hati terasa lebih sensitif.? Tidak seperti kawan-kawan biasa yang kita banyak berlapang dada dengan mereka." Jawapan ringkas diberikan kepada saya. "Kerana kita mempunyai expectation terhadap akhawat. Sedangkan, mereka juga manusia biasa".

Terasa terpukul dengan jawapan yang diberi. Logiknya benar-benar ada.

Ya, kerana namanya akhawat. Dan akhawat tidaklah sekadar panggilan atau gelaran. Tapi, si pembawa nama akhawat itu juga membawa bersama sikap-sikap dan akhlak-akhlak yang asas bagi seseorang yang bergelar akhawat. Ayat mudahnya, "akhawat sepatutnya ini dan itu.." Maka tidak hairanlah, apabila sebaliknya berlaku yang mana seorang akahawat itu bersikap di luar daripada expectation yang sepatutnya, hati menjadi sensitif. Terlupa bahawa yang namanya akhawat itu,  juga seorang manusia biasa dan bukannya malaikat. Yang pastinya tidak terlepas melakukan kesalahan. 

Kadang-kala, mudahnya kita menghukum akhawat sendiri. Ataukah ia kerap berlaku?

Indikator "akhawat sepatutnya ini dan itu" juga ada baiknya. Sepertimana kita sebagai seorang Muslim, yang namanya seorang Muslim pasti sepatutnya ada bersamanya akhlak-akhlak asas seorang Muslim. Muslim tidak seharusnya pada nama saja, namun Islam harus terpancar juga melalui peribadinya. Jika ada yang tersasar, itu menunjukkan ada sesuatu yang tidak 'kena'.

Nah, begitu jugalah dengan akhawat. Benarkah sudah tertarbiyyah? 10 muwassofat menjadi ukurannya. Namun, jika ada yang tidak terpenuhi jangan cepat menghukum. Tanyalah diri sendiri dahulu, "berikan 70 sebab kenapa harus aku katakan dia sedemikian rupa"

Tahap minimum ukhuwah iaitu berlapang dada, adakalanya terasa berat juga untuk mengekalkannya. Apatah lagi tahap tertinggi, itsar iaitu melebihkan sahabat lain ke atas diri kita. Ukhuwah itu  buah keimanan. Tatkala itu, refleksikanlah ia dengan kondisi iman kita. Makin rendah tahap ukhuwah maka tahap rendah itu jugalah ukuran iman.  

Dalam berukhuwah, hal-hal remeh pun boleh menjadi sesuatu yang akan membuat hati cepat terasa. Seorang ukhti, balik ke rumah sewa dengan keletihan dan lapar. Penuh mengharap agar makanan ada diasingkan untuknya. SMS siap dihantar sebagai peringatan. Setelah sampai, kecewanya hati apabila tiada apa yang tinggal. "takkan tak tinggalkan sedikit pun. Kan dah bagitau tadi. Aku pun ahli rumah ni juga" bisik hati yang menahan geram daripada dilontarkan. Atau, ukhti A menyapa ukhti B dan bertanyakan khabar. Ukhti C yang di sebelah B tidak pula disapanya apatah lagi bertanyakan khabarnya. Terasalah pula si ukhti C...

Sekali lagi, berbicara tentang ukhuwah, ternyata tidaklah semudah apa yang dilafazkan.
Sensitiviti seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain seringkali menduga. Meskipun pada hal-hal yang kita anggap remeh.

“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya”
 [Hadis riwayat Muttafaq ‘Alaih]

Rasulullah juga mengajar kita erti sensitiviti. Tatkala satu anggota sakit, terasakah anggota yang lain?

Pada saat ini, di mana sahabat-sahabat kita? Apa khabarnya? Pedulikah kita dengannya?

Pernah satu penyataan saya dengari. "Ukhuwah itu hanya ada ketika adanya amal dakwah yang menuntut. Bila ada, semua sibuk mencari sahabat itu. Tatkala tiada, maka semua senyap saja dan tiada di sampingnya"
Saya yang masih belajar untuk berukhuwah, tercabar juga mendengarnya. Tercabar dalam erti kata menghadkan pengertian ukhuwah sebatas amal-amal dakwah saja dan bersua muka dengan sahabat yang lain. 

Agar berlapang dada itu ada, dan agar tidak cepat menghukum, cuba untuk memahami kondisi sahabat itu dan hakikat yang berlaku.

Mungkin, dalam hatinya menuntut sebuah perhatian dari sahabatnya. Kepedulian terhadapnya. Dan dia merasakan, akhawatlah sebaik-baik teman. Di kala itu, jiwanya sunyi lantas menagih peduli dari akhawat. Merajuknya pada akhawat barangkali.

Sahabat yang tidak sentiasa ada bersama, bukan bermaksud tidak berukhuwah. Mungkin kerana tompokan kerja dan tugasan-tugasan yang menghambatnya untuk tidak kerap bertemu. Tautan ukhuwah tidak terletak semata-mata pada kerapnya bertemu, tetapi tautan hati itulah yang menjadi pengikat antara kedua-duanya. Tapi tidaklah mengatakan bahawa pertemuan-pertemuan itu tidak penting. Ada juga kepedulian meskipun sedikit.

Sahabat yang mencari-cari kita di kala diperlukan dan senyap saja ketika tidak diperlukan, bukanlah bermaksud dia tidak berukhuwah.  Tatkala dia memerlukanmu untuk suatu amal dakwah bererti potensimu diperlukan dalam dakwah. Tatkala tidak dicari, janganlah pula mudah terasa sehingga pesimis terhadap sahabat-sahabat yang lain. Fikiran sentiasa terbuka untuk segera membuat konklusi dan menghukum. Namun, fikiran juga sentiasa terbuka untuk diperbetulkan mind setting dari semasa ke semasa. Berikanlah 70 alasan dahulu sebelum memberi konklusi akan sesuatu. 

Namun, dalam kedua-dua hal ini, tidaklah menuntut kejernihan fikiran dan tindakan daripada satu belah pihak saja. Kedua-duanya juga perlu. Jika sibuk, carilah masa-masa untuk bertemu juga dan tidak menghilangkan diri begitu saja. Jika tiada hajat atau keperluan ke atasnya, sesekali bertanyalah khabarnya dan kebajikannya. Sekurang-kurangnya, itu dapat mengembirakan hatinya.

Dalam berukhuwah, banyak hal yang akan diuji. Kelemahan demi kelemahan sahabat akan kita ketahui. Bahkan betapa kerapnya berlaku, sesuatu yang kita tidak suka ada pada sahabat-sahabat kita itu..Jangan melarikan diri namun hadapilah. Ketegaran hati dan emosi pasti akan terbina dan kita pun akan semakin mudah menerima kelemahan orang lain. Kita juga mempunyai kelemahan bukan? Jika sahabat mengalami situasi yang sama, sudah pasti dia juga teruji. Adilkah untuk cepat menghukum dan beremosi dengannya?

Jelas, berukhuwah tidak sekadar berta'aruf. Tapi perlu melalui dua lagi proses iaitu tafahum dan takaful. Saling memahami dan saling memikul beban. Tafahum tidak akan berjalan dengan baik jika tiadanya ta'aruf dan takaful juga tidak akan berjalan baik jika tiadanya tafahum.

Kenapa mudah terasa dengan sahabat yang kita rapat berbanding sahabat-sahabat yang kurang rapat? Kerana, kita sudah berta'aruf dengannya dan mengetahui banyak hal tentangnya. Sedangkan yang satu lagi kita berta'aruf dengannya namun masih kurang mengenalinya, sikap dan peribadinya..

Walau apapun yang berlaku ke atas mereka, meski di manapun mereka berada kini dan tidak bersama, tetaplah menjaga nama baik sahabat-sahabat kita. Tetaplah mendoakan kesejahteraan mereka.

“Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat”. 
[Hadis riwayat Tirmidzi]

“Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga”. 
[Hadis riwayat Muslim]


Tidak jarang, kita sering mengharap agar sahabat kita begini dan begitu..
Tidak jarang juga, kita mengharap agar sahabat tidak berbuat sesuatu yang di luar daripada expectation kita. Begini dan begitu kerap ditagih agar mereka memberi kepada kita...

"alangkah sulitnya mencari sahabat sejati, " 
kata seorang teman "tak kutemukan walau telah kujelajahi bumi, negeri demi negeri"
 aku tersenyum menepuk pundaknya, "mungkin itu sebab yang kau cari adalah sahabat untuk memberi, adapun sahabat untuk diberi bertebaran di seluruh penjuru bumi"
[Salim A.Fillah- Dalam Dekapan Ukhuwah]

Wallahu a'lam.
   
Read More..

Sunday 12 August 2012

Memburu Lailatul Qadr

Bismillahirrahmanirrahim

malam lebih baik dari 1000 bulan

Suatu hari, para sahabat duduk bersama Rasulullah s.a.w..Lantas, baginda pun menyebut kisah 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun dan sedikitpun tidak derhaka kepada Allah. Masya Allah! Para sahabat yang cukup terkenal dengan sifat bersungguh-sungguh dalam meraih kebaikan dan pahala langsung merasa kagum dengan kisah ibadah mereka. Bayangkan, 80 tahun beribadah dan tidak sedikitpun derhaka kepada Allah!! 

Jibril kemudian mendatangi Rasulullah s.a.w. dan memberitahu baginda tentang sesuatu yang amat menggembirakan hati baginda. 

“Sesungguhnya, Allah s.w.t . menurunkan sesuatu yang lebih baik dari amalan mereka”, kata Jibril. 

Sejurus itu, Jibril pun membacakan satu surah dalam Al-Qur’an dan mengkhabarkan kepada baginda bahawa ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan. Tatkala itu, gembiralah Rasulullah dan para sahabat. 
 
Sahabat yang dirahmati Allah sekalian, 

Perkhabaran apakah itu? Perkhabaran yang cukup menggembirakan hati Rasulullah dan para sahabat yang dicintai baginda. Perkhabaran yang jauh lebih baikdaripada ibadah 80 tahun tanpa derhaka kepada Allah? 

Ayuh, kita amati intipati surah tersebut! 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al Qur’an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baikdari seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izinTuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Surah Al-Qadr: 1-5) 

Subhanallah!!! 

Malam kemulian itu lebih baik dari seribu bulan! Hanya dengan beribadah satu malam saja sudah mampu menyaingi ibadah seribumalam. Atau lebih tepat lagi, 83 tahun 4 bulan.Ya Allah, pemurahnya Engkau, pengasihNyaEngkauterhadapahamba-hambaMu.Berbahagialah mereka yang bertemu dengan malam itu,malam yang disaksikan para malaikat dan malam yang penuh keberkahan hingga terbit fajar. Berbahagialah mereka dan beruntunglah mereka. Itulah janji Allah khusus untuk para tetamu malam Lailatul Qadr! 

Lailatul Qadr pasti sudah acapkali kita mendengarnya. Bahkan, alangkah popularnya surah Al-Qadr sewaktu menjejak sepuluh malam terakhir Ramadhan.Di masjid-masjid dan surau-surau, berulang-ulang surah ini dibaca. Pernahkah kita terfikir, apa istimewanya surah itu? Jawapannya mudah, tekunilah surah itu dan jiwailah ia! 

“Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan”, begitu Allah menegaskan keutamaan malam Lailatul Qadr. 

Pada saat dan ketika ini, bertanyalah pada hati, “ tidak teringankah aku untuk meraihnya? ”Andai iman itu tidak juga tergugah, telitilah kembali surah itu. Andai tidak juga tersentuh, sewajarnya persoalkanlah hatimu! 

Sahabat yang dikasihi Allah, 

Begitu banyak pendapat para ulama’ mengenai waktu jatuhnya malam Lailatul Qadr, namun cukup untuk kita ketahui di sini bahawa dalil yang paling kuat mengenai LailatulQadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.; 

“Carilah sedaya-upayakamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadhan.” 

Meskipun hadis ini menyatakan 10 malam ganjil pada akhir Ramadhan, namun itu tidak bermakna pencarian dan fokus ibadahhanya pada malam-malam tersebutsaja. 

Jiwa-jiwa yang mendambakan malam Lailatul Qadr, 

Sedarilah, persiapan untuk menjadi tetamu malam LailatulQadr seharusnya bermula sebelum Ramadhan lagi. Seawal mungkin, bersiap siagalah membawa bekal kerana hakikatnya engkau tengah memburu satu malam yang agung.Tanamkanlah azam yang tinggi dan susulilah dengan persiapan-persiapan ruhani dan ibadah yang mantap.Agar momentum ibadah terus mekar hingga dipertemukan dengan malam penuh keberkahan, malam Lailatul Qadr. 

Sahabat-sahabat pemburu malam Lailatul Qadr, 

Melihat kepada hadis daripada Aishah tadi, frasa “carilah sedaya-upayamu” sudah cukup memberi gambaran kepada kita bahawa pencarian itu memerlukan ketekunan dan kesungguhan yang tinggi. Sudah pasti, usaha ala kadar apatah lagi bermalas-malasan terkeluar daripada makna tersebut. Maka, mulakanlah proses pencarian kita seawal yang mungkin dan tidakmenunggu-nunggu sehingga sepuluhmalam Ramadhan terakhir. 

Buktikanlah kemahuan yang terpendam dan janganlah memilih-milih malam ini dan itu saja untuk berprestasi dalam ibadah. Sahabat, Allah tahu apa yang terselindung di balik hati kita!! Sedarkah kita? 


Sepanjang pencarian malam penuh berkah itu, hidupkanlah malam-malam kita dengan ibadah-ibadah dan tidak dibazirkan dengan hal-hal yang sia-sia. Penuhilah malam-malam kita dengan zikrullah, qiyamullail, tilawah al-Qur’an, tahajud, berdoa, taubat dan istighfar dan ibadah lain. Ingatlah, Rasulullah s.a.w. bersabda, 

"Barangsiapa yang beribadah pada malam al-Qadr kerana iman dan mengharapkan keredhaan Allah, diampunilah dosa-dosanya yang terdahulu." (HR Bukharidan Muslim) 

Sahabat, 

Kebaikan apakah ini? Tidak mahukah kita diampuni dosa-dosa kita yang terdahulu? 

Diriwayatkan dari Aisyah radhiAllahu 'anha oleh Ahmad, Ibnu Majah dan juga Tirmidzi yang menyatakan sahnya, katanya: "Saya bertanya, "Ya Rasulullah, bagaimana pendapatmu seandainya saya tahu malam jatuhnya Lailatul-Qadr itu? Apakah yang harus saya ucapkan ketika itu?"Maka ujarNabis.a.w.: "Katakanlah: 

اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عني 

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf  Maha Mulia, Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah aku ini." 

Indahnya doa yang diajarkan Rasulullah kepada kita. 

Malam Lailatul Qadr merupakan satu rahsia Allah dari pengetahuan hamba-hambaNya. Hikmah di sebaliknya adalah untuk Allah melihat siapa di antara hamba-hambaNya yang bersungguh-sungguh untuk meraih malam tersebut.Kerahsiaan malam itu juga menjadi satu motivasi kepada seluruh umat Islam untuk terus beribadat dan mendekatkan diri dengan Allah.Beribadahlah untukTuhanmu sehingga melayakkan dirimu untuk meraih malam Lailatul Qadr. 

Namun, ingat kembali! Bersiap-sedialah seawal mungkin. Siapkan jiwamu yang suci, rohmu yang membara dan hatimu yang tulus mendambakannya. Hingga nanti, amal ibadahmu beraksi dan terpamer, sebagai bukti himmahmu (kemahuanmu) yang memuncak. 

Moga isyarat Illahi “Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan” terngiang-ngiang di telinga kita sebagai pengobar semangat untuk meraih malam kemulian yang tiada tolok bandingannya. Eksklusif untuk tetamuNya yang terpilih. Hanya satu malam yang tersembunyi dalam satu bulan yang terbaik. Bersiap sedialah, siapa tahu..Mungkin Ramadhan kali ini, engkaulah tetamu istimewa malam Lailatul Qadr… 

Wallahua’lam. 





Read More..

Friday 8 June 2012

Menjengah Erti Kejujuran


Bismillahirrahmanirrrahim


"Sesungguhnya, kejujuran itu membawa kepada kebaikan. Sesungguhnya, kebaikan itu membawa kepada syurga. Seseorang tidaklah sentiasa jujur melainkan akhirnya Allah s.w.t. menulisnya (menggelarnya) sebagai orang yang siddiq…"
(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

JUJUR didefinisikan oleh para Ulama’ bahasa sebagai selarasnya ucapan dengan isi hati dan tindakan, yang mana jika hilang salah satu syarat tersebut maka pincanglah kejujuran itu. Justeru bagi seorang MUKMIN, sifat kejujuran seharusnya menyatu dan menjadi darah daging dalam dirinya. Tidak boleh tidak.

Kata lawan bagi jujur adalah DUSTA dan sudah tentu sifat ini tidak seharusnya dimiliki oleh seorang MUKMIN. Rasulullah s.a.w. mencela sifat ini seperti mana dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Malik. Suatu hari, seorang lelaki datang kepada Rasulullah lalu bertanya; "Adakah seseorang mukmin itu pendusta?". Rasulullah menjawab; "Tidak. Orang mukmin itu tidak berdusta". Tegas Rasulullah menyatakannya. Maka, dapatlah difahami bahawa jujur adalah sifat asasi yang seharusnya dimiliki oleh setiap mukmin. Bahkan kita sudah maklum bahawa dusta merupakan antara sifat seorang Munafik. 

“Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.” (HR. Bukhari)

Imam Ibnul Qayyim pernah berkata, 

Iman asasnya adalah kejujuran (kebenaran) dan nifaq asasnya adalah kedustaan”. Rasulullah juga pernah bersabda,  “Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada yang tidak meragukanmu, sesungguhnya kejujuran, (mendatangkan) ketenangan dan kebohongan (mendatangkan) keraguan.”

Fenomena ketidakjujuran semakin membarah dalam masyarakat kini. Seorang pekerja di amanahkan untuk menjaga harta tuannya. Namun, kerana cintakan harta maka dikebasnya. Tidak kurang juga tabiat peniaga yang mahu meraih keuntungan lalu kejelekan jualannya dirahsiakan daripada pengetahuan pembeli. Hanya kerana takut menanggung rugi. Susu ditambahi air, timbangan dan takaran dikurangi dan macam-macam lagi. Bahkan sangat menyedihkan, ketika mana kadar kes pecah amanah kini kian meningkat. Apatah lagi yang terlibat itu adalah para peguam dan hakim. Komuniti dan kerjaya yang begitu sinonim dengan erti kejujuran dan keadilan. Namun, rasuah dihalalkan, kebenaran disembunyikan bahkan sesuatu fakta ditokok tambah, dan berleluasanya penipuan ke atas klien Tidak kurang juga sistem kehakiman yang dipengaruhi oleh entiti eksekutif dan legislatif.  Slogan without fear and favour seolah-olah hanya indah khabar dari rupa! Teori dan teori saja..Sedang kejujuran kian terhakis.

Bentuk Kejujuran

1. Jujur dalam niat dan kehendak.

Ini kembali kepada soal keikhlasan. Kita pastinya sudah arif pada teorinya, dalam beramal, ikhlasnya semata-semata kerana Allah. Tidak boleh dicampuradukkan dengan kepentingan-kepentingan dunia yang lain. Ingatkah lagi kita kepada kisah 3 orang yang di hadapkan kepada Allah? Si dermawan, mujahid dan ‘alim.  Ketika di tanya tentang niat mereka di sebalik kebaikan-kebaikan itu, ternyata berbau kepentingan duniawi. Malah berdusta dengan mengatakan kerana Allah semata-mata. Di giringlah semuanya ke dalam neraka. Rosak kerana ketidakjujuran dan niat yang menyimpang daripada Allah. Sahabat, ianya hanya kerana niat yang jelek meski amal-amal begitu indah. Hanya kerana niat!

2. Jujur dalam ucapan.

Sudah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk hanya berkata yang benar. Tidak sekali berdusta. Apatah lagi yang Mukmin. Ingat hadis tadi? Sifat asasi bagi Mukmin adalah jujur dan harus sunyi daripada sifat dusta.

“Tidak lurus (istiqomah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya.” 
(Riwayat Ahmad)

Dasar istiqamah adalah tergantung kepada hati, yakni hatinya lurus dan jujur pada kalimah tauhid ‘La Ilaha Illa Alah’. Menariknya, hadis ini menggandingkan elemen hati dan lidah dalam rangka menjaga keistiqamahan iman. Kenapa lidah? Ini kerana lidah adalah terjemahan kata hati dan pemikiran seseorang. Kejujuran yang paling mudah dan jelas untuk dilihat. Justeru, berhati-hatilah pada lidah.  Betapa mudahnya orang melabel kita sebagai orang jujur atau pendusta dengan hanya melihat kepada tutur kata kita. Sedarkah kita?

Lihat pula firman Allah yang ini,

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
 (As-Saff: 2-3)

Ternyata, kata-kata yang tidak selari dengan perbuatan mengundang celaan daripada Allah. Pastinya, ayat ini menjadi teguran yang tegas dan keras kepada kita.

3. Jujur dalam tekad dan memenuhi janji.

“Wahai Sa’ad, demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya, sungguh aku telah mencium aroma syurga dari arah Uhud.” Kemudian Anas Bin Nadhar mengacungkan pedangnya dan menyerbu kaum kafir sambil bertekad tidak akan berhenti berperang sebelum syahid. Dengan izinNya, dia syahid di medan Uhud. Terdapat lebih 80 luka ditubuhnya dan telah dicincang oleh Musyrikin. Tiada yang mengenalinya melainkan saudara perempuannya, itupun dengan adanya tanda di hujung jarinya.

Dalam sebuah riwayat, firman Allah turun berkenaan dengannya.

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya).”
 (QS. al-Ahzab: 23)

Kisah ini, mengajarkan kita tentang erti jujur dalam tekad dan memenuhi janji. Tekad tidak sekadar tekad, dan janji tidak sekadar janji. Namun harus dibuktikan kejujurannya. Bergerak dan melaksanakan apa yang telah kita tekadkan.

4. Jujur dalam perbuatan

Ini pula merujuk kepada keselarian antara yang zahir dan batin, tiada bertentangan antara amal zahir dan amal batin. Mutharrif pernah mengatakan, “Jika sama antara batin seorang hamba dengan lahiriahnya, maka Allah akan berfirman, ‘Inilah hambaku yang benar/jujur.’”

Ketika mana hati itu hidup dengan zikrullah pantaskah kiranya terzahir amal yang buruk. Misalan, seorang yang hafiz/ah berdusta. Atau, seorang yang tekun mendirikan solat namun di hatinya tersimpan dendam kesumat yang menebal. Suatu amalan zahir yang baik tidak mampu mengalirkan kebaikan yang baik pada yang amalan batin dan sebaliknya. Pastinya di situ ada kepincangan yang mendasar. Maka, hati itulah yang dipersoalkan. Kerana di situlah sumber ledakan sebuah kejujuran hasil daripada keimanan yang benar.

Jujur itu soal mahu atau tidak

Dikisahkan bahawa seorang lelaki menemui Rasulullah dengan tekad untuk bersyahadah. Dia bukanlah orang yang baik-baik bahkan mencuri dan mabuk itu sudah menjadi kebiasaannya. Namun, ketika tekad sudah membulat untuk bersyahadah, tiada apa yang akan menghalangnya. Jelas! Harus mara untuk bersyahadah!

Selesai bersyahadah, berlakulah perbualan antara lelaki itu dan Rasulullah.

Lelaki                     : Aku mempunyai kebiasaan yang buruk dan sulit untuk kutinggalkan.
Rasulullah               : Mahukah engkau berjanji kepadaku untuk tidak berbohong?
Lelaki                     : Ya, mahu. Aku berjanji untuk tidak berbohong.

Kemudian, lelaki itu pun beransur pergi lalu bermonolog.

“Mudahnya permintaan Rasulullah yang mulia ini. Hanya berjanji untuk tidak berbohong.”

Setelah berlalunya masa, keinginannya untuk mencuri kembali memuncak. Tatkala mahu mencuri, tiba-tiba dia teringatkan janjinya kepda Rasulullah. “Jika aku mencuri dan Rasulullah bertanya kepadaku, apa yang akan ku jawab? Jika jawapanku ‘ya aku telah mencuri’ bererti aku akan dihukum. Jika ku jawab ‘tidak’, itu bererti aku telah berbohong. Padahal aku telah berjanji dengannya untuk tidak berbohong. Maka, seharusnya aku meninggalkan niatku untuk mencuri.” Monolog itu berjaya menghalangnya daripada meneruskan niat buruknya tadi.

Monolog ini juga sering berlaku ketika keinginan untuk minum arak muncul. Hingga akhirnya, dia telah benar-benar meninggalkan perbuatan itu dan menjadi Muslim yang taat.

Sahabat, apa yang dapat kita ambil manfaat daripada kisah ini?
Kisah ini mengajarkan kepada kita bahawa jujur itu adalah soal mahu atau tidak. Merealisasikannya bergantung kepada sekuat mana kemahuan untuk berlaku jujur. Tidak memerlukan teori yang mendalam yang hanya akan tinggal teori tanpa amal. Tidak perlu. Namun, cukup dengan komitmen dan kemahuan yang tinggi iaitu untuk JUJUR!
               
Ketika mana kemahuannya tinggi, maka seseorang itu akan bekerja keras untuk mencapai nilai kejujuran. Meski pada kondisi yang berat. Namun, ketika ia melemah, maka berlakulah tarik tali untuk merealisasikannya. Pada suatu saat dia akan berlaku jujur namun dalam kesempatan yang lain tidak. Justeru, untuk jujur ianya satu pilihan. Mahu atau tidak. Kemahuan yang tinggi akan menenggelamkan soal mampu atau tidak.

Refleksi

KESELARIAN  UCAPAN + ISI HATI + TINDAKAN --> JUJUR

Sahabat yang dikasihi Allah s.w.t,
Tatkala ini, berhentilah sejenak. Pusatkan fikiran kepada makna kejujuran. Renunglah ke dasar hati, lalu bertanyalah padanya. Jujurkah aku? 

Dalam meniti persoalan itu, ianya memerlukan satu syarat. JUJUR itu sendiri!

Mana mungkin hati yang tidak jujur mampu menjengah ketelusan hati. Dalihnya ada saja. Itu dan ini. Kepentingan-kepentingan peribadinya terus dilaungkannya sehingga membenamkan nilai kejujuran. Tidak sekali-kali.

JUJUR, itu soal mahu atau tidak!

Meniti kehidupan seharian, kita takkan boleh terlepas daripada nilai kejujuran. Masing-masing dari kita memegang amanah yang mungkin berbeza. Namun, setiap amanah itu menuntut satu hal yang sama dari kita, JUJUR. 

Hasan Al-Banna pernah menegaskan bahawa hendaklah kita jujur dalam menunaikan segala janji dan kata-kata. Janganlah melanggarnya walau dalam apa jua keadaan.

 Daripada Ibnu Mas’ud daripada Nabi Saw bersabda :

Tidak berganjak kaki anak Adam berdiri di hadapan Allah pada hari Qimat sehinggalah dia ditanya tentang lima perkara iaitu umurnya bagaimana ia dihabiskan, waktu mudanya bagaimana digunakan, hartanya bagaimana diperolehi dan bagaimana pula harta itu dibelanjakan dan ilmunya apakah ia telah amalkan ?

Ketika di hadapkan di mahkamah akhirat, tiada lagi kata dusta yang akan kedengaran. Dusta akan terbenam dan tertegaklah yang benar. Pendengaran, penglihatan bahkan hati akan di minta pertanggungjawaban. Mampukah bernista? Sahabat, itulah hari yang dipenuhi dengan KEJUJURAN.

Jujur itu suatu kemestian.

Sedarkah kita Allah mengkhabarkan bahawa kejujuran mampu menyelamatkan seseorang daripada azab?
Allah berfirman,

“Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka.”
(QS. al-Maidah: 119)

Untuk jiwa-jiwa yang merindui dan mencintai kejujuran,
Mari mengambil semangat dan tekad yang kuat daripada Anas Bin Nadhar. Kejujuran niat, tekad dan tindakannya telah menghantarnya kembali kepada Allah dalam keadaan syahid.  Mari belajar daripada kisah lelaki yang menemui Rasulullah untuk bersyahadah dan berusaha untuk berlaku jujur. Meski dirinya masih bergelumang dengan kemaksiatan.  Mampukah meninggalkannya? Sahabat…soalnya bukan mampu atau tidak tapi mahu atau tidak!

Justeru untuk jujur, tiada lagi kata tunda, tiada lagi kata dalih..Ini kerana sudah jelas ia dicipta atas dasar mahu bukannya mampu.

Wallahu a’lam.

Read More..

Tuesday 22 May 2012

Cinta Yang Keliru

Bismillahirrahmanirrahim

Kes studi 1: Putus cinta
"Buat ape ko kol aku lagi?. Tak paham bahase ke.."
 "dah, pegi arrrr..Ko dengan perempuan tu sama je. Sekarang ko puas hati la, sakitkan hati aku.." 
"Dah lah!!Ko nak ape lagi? bla bla bla...(Nangis dan nangis..)"
 
<Bukankah putus cinta itu satu rahmat? Bagi mereka yang mahu mengambil pengajaran>

Kes studi 2: Berkenalan
"Nak ke mana Mila?"
"Nak keluar"
"Eh jadi ke? Ingatkan tak jadi"
"Kejap lagi dia datang. Nak suruh ambil kat asrama dia mesti tak tau sebab bkn belajar sini."
Keesokan harinya..,
 "Mila (nada ceria), macam mana semalam? Ok tak dia?"
"hahahahaha..."

"kami tengok wayang semalam..ko tau tak, dia kelakar sangat..balik tu dia bagi aku gambar dia. Dia kata simpanlah. Sweet  kan dia?"
"a'ah la, sweet nye..."
"Dia ada kata juga, kalau ada kawan yang nak kawin tapi tak de calon lagi, bagitau la..Boleh kenalkan kat Kawan-kawan dia"
"kesiannya..tak de calon lagi.."
 <Baru kenal, begitu mudah menaruh percaya>

Kes studi 3: Fitnah foto
"Ustaz, apa hukum tengok gambar lelaki atau perempuan berulang-ulang kali? Sama tak hukum tengok lelaki atau perempuan secara hakiki berulang kali?
"Apa pendapat kalian? Sama atau tidak?"
"Ya, kedua-duanya sama."
<Pandangan pertama jangan diikuti pandangan yang kedua. Meski dia tunang kamu>
 
Kes studi 4: Fitnah hati
"Kakak ada cita-cita, mahu hasilkan buku berjudul: Bercinta sebelum Nikah @ Bercinta selepas Nikah"
"Menarik! Apa yang buatkan akak mahu tulis buku seumpama itu?"
"Ia sebahagian daripada kisah kakak. Kawan-kawan ada juga yang mengalaminya"
"Menurut akak, mana yang terbaik?"
"Cinta selepas Nikah". :-)
"Meskipun orang-orang yang baik itu bercintanya tidak keluar bersama, dekat-dekat duduknya, hanya lewat SMS saja, tapi ianya juga tidak baik, Kerna melibatkan HATI. Hampir dengan Zina hati."
"Bagaimana ya mahu nyedarin golongan yang bercinta lewat SMS ini?
 "Ya, butuhkan waktu dan rencana. Kerna masing-masing punya pendapat dan cara fikir yang beda gimana harus ekspresi cinta"  
< Menjaga kesucian cinta, Bercintalah selepas nikah>
 
Kes studi 5: Aku rasa dilindungi 
"Boleh tak bagi contoh yang sesuai dengan  hadis ni?" (Jika kamu tidak malu, maka lakukanlah apa saja)
"hmmm"
"macam mana nak kaitkan dengan coupling?"
"Seharusnya bagi seorang wanita menjaga maruah dirinya. Elakkanlah ber'SMS' dengan lelaki jika tiada hal yang penting. Apatah lagi coupling. Ini dan itu..Ada saja yang mahu disembangkan."
"Akak, macam mana pula kalau kita berkawan dengan lelaki sebab rasa dilindungi dan akhirnya kita bebas daripada gangguan lelaki lain?"
"Allah lah sebaik-baik pelindung daripada segala keburukan, bukan dia. Andai sudah bersedia, nikahlah. Usah diperpanjangkan hubungan yang belum syarie. Bimbang akan mengurangkan keberkahan dalam pernikahan kelak (jika dialah jodohmu)

 < Terasa indah menurut pandangan manusia, tapi menurut Allah? >
.........KOMENTAR........
 Kes studi 1: Putus cinta
Putus cinta sinonimnya dengan frust, sakit hati, geram. Pendek cerita, apa-apa cerita tentang si dia, pasti akan menyakitkan hati. Must it be like that?
Menurut saya, Kenapa harus sakit hati? 
Tatkala dia memutuskan cinta dari dirimu, itulah satu kebebasan yang memberi sejuta kelapangan hati. Tiada lagi si ajnabi yang perlu kamu jaga hati dan perasaannya. Tiada lagi si ajnabi yang perlu kamu jaga tingkah laku di hadapannya (paradoks). Tiada lagi si ajnabi yang membuatmu runsing ketika dia merajuk atau terasa hati.Dan yang terpenting, tiada lagi kata-kata manis yang mengundang murka Allah.
Berpisah bererti berlepas diri. Merdekalah kamu! 

Terasa dipermainkan?
Cukuplah Allah menjadi tempat mengadu. Dan kembalilah kepadaNya dengan hati yang penuh cinta tertumpu padaNya.
Duhai teman, simpanlah cintamu untuk si dia yang halal untukmu kelak. Siapa dia? Tiada siapa yang tahu, melainkan Dia.
Perpisahan, tidak semua menyakitkan. Bahkan ada yang berakhir dengan keindahan. Seperti perpisahan seorang mukmin dengan dunia. Pergi menuju syurga.. Lagi, perpisahan orang yang bertaubat dengan maksiatnya. Lalu menghapus dosa-dosanya.

Justeru, moga putus cinta itu..tidak membuatmu patah hati lalu melemah..Tapi, bangkitlah! Kerana cinta Allah menanti sang hatimu.. 
Si Mawar Berduri, tunggulah, bersabarlah, tahanlah cintamu seketika. Jangan hamburkannya pada yang belum halal untukmu.
 
Kes studi 2: Berkenalan
Ta'aruf dalam Islam, bukan berdua-dua. Tapi dengan mahram. Jumpa keluarga, baru gentleman.
Tak cukup lagi? Tanya orang yang mengenalinya. Tapi bagi yang ditanya, janganlah pula bila ada keburukannya, habis dihebahkan. Jawablah sekadarnya..(pentingnya bersahabat dengan orang yang baik-baik)
"Ala..mana puas? Nak kenal seseorang tu kenalah berhubung, berjumpa dengan dia. Baru dapat tahu perangai dia".
Mudahnya kita mengizinkan suatu pertemuan...Pastikah itu adalah wajah dia yang sebenarnya? Jika dah berhubung dan tiba-tiba tak berkenan dan putuskan, bukankah itu akan menyebabkan hati terluka. Macam eksperimen jadinya..Try and error.

Kes studi 3: Fitnah foto 
"Ada apa pada gambar?
"Salah ke pandang-pandang?"
"Salah ke simpan?"
Risaunya, jadi macam kisah 'Pendekar Bujang Lapuk'. Bila rindu, si Eni mengambil gambar kekasihnya di bawah bantal. Kata-kata rindu berlagu syahdu..Senyum manis terlukis indah...Hingga mengkhayalkan si dia..
AWAS, gambar adalah satu cara yang cepat menggebukan rasa cinta, rindu, kenangan..
"Dia tunang saya, tak boleh ke?"
Tunang bukan suami. Belum halal lagi.

Kes studi 4: Fitnah hati
 "Perhatian, kado, bunga, coklat, kedekatan, khalwat, bersentuhan, pandangan. Itu semua mawaddah (cinta). Bahkan SMS berisi nasehat 'Bertaqwalah pada Allah', missed call tahajjud, hadiah buku dan kaset nasyid berjudul Jagalah Hati, dan seterusnya, itu juga mawaddah. Bentuknya saja yang berbeda. Yang satu bunga dan coklat valentine. Yang lain kaset dan buku dakwah. Tetapi sensasi yang dirasakan oleh pemberi dan penerima sebenarnya sama:mawaddah. Demi Allah. silakan pasang Electro Cardiograph di jantungnya dan Electro Encephalograph di otaknya. Isyarat yang dihasilkan persis. Sensasi yang dirasakannya sama.."
 - Salim A.Fillah, Saksikan Bahawa Aku Seorang Muslim-
 Hati-hati dengan fitnah hati.
 
Kes studi 5: Aku rasa dilindungi 
Tidak sedikit orang yang merasakan hal ini. Benar, lelaki sebagai pelindung wanita.
Namun, haruskah juga dihalalkan Hubungan Tanpa Status ini?
 "Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap a[a yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda..."( Ali-Imran:14)

Cinta Yang Keliru?
Kenapa saya mengatakan cinta itu cinta yang keliru?
Satu:  pastinya jika ia jelas bertentangan dengan syariat, itu bukan ruang yang ingin dibincangkan.
Dua:  Andai benar cinta itu di atas namakan cinta kerana Allah, pasti jalan-jalan menuju pernikahan itu juga akan cukup disantuni dan dicermati..Tiada kata-kata manis, tiada ucapan sayang, rindu..Biarlah jalan itu bersih daripada kata-kata fitnah. Kerana yang diburu adalah barakah dan cinta Allah sepanjang pernikahan.

Ada dua pilihan ketika bertemu cinta
Jatuh cinta atau bangun cinta
Padamu, aku memilih yang kedua

Agar cinta kita menjadi istana, tinggi menggapai syurga
(Salim A. Fillah: Bahagianya Merayakan Cinta)
 Wallahu a'lam.
Read More..

Saturday 28 April 2012

Ujian dan Pengharapan

Bismillahirrahmanirrahim



Ukhti, pernah tak rasa rindu akan sesuatu? 

Rindu kan fitrah manusia. Pastilah pernah ukhti. Kenapa?

Rindu akan sesuatu yang dirasakan telah hilang dalam diri. Puas mencari, namun tak jumpa juga. 

Maksud ukhti? Puitis pula bunyinya. 

Suatu saat, kita diuji dengan macam-macam. Emosi seringkali diduga. Jika cepat melatah, kebaikan-kebaikan di sebaliknya akan punah begitu saja. Tertutup hanya kerana keegoan diri dan sifat isti’jal (tergesa-gesa).

Hmmm..Lagi?

Namun, tatkala kita bersabar..benarlah..Allah itu Maha luas kasih sayangnya..Allah pasti akan pergilirkan suka dan duka. Setiap kesusahan itu pasti ada kemudahan..Setelah melalui suatu ujian dengan sabar, Allah akan menghadiahkan suatu kemanisan yang tak terperi. Satu persatu dibentangkanNya untuk kita nikmati.. Sangat manis..

Benar ukhti. “Inna ma’al ‘usri yusra”. Damaikanlah hati dengan kalam indah Pencipta kita ini.

Jangan pernah berputusa harap kepadaNya.

Jika dahulu saat-saat ditimpa musibah, Dialah yang dipilih sebagai sebaik-baik tempat mengadu. betapa kerapnya mengadu pada Allah. Mencurahkan rasa hati… ini dan itu...Bicara yang menjadi rahsia antara kita dan Dia… Andai lidah kelu, tiada kata-kata yang mampu dilontarkan melainkan mengatakan “Ku kembalikan segala urusan kepadaMU Ya Allah. Zat yang Maha Mengetahui setiap di balik hati..Zat yang menggenggam hati ini..” Dan si air mata, begitu setia menjadi peneman di kala bersunyi-sunyi denganNya.. Sejurus itu, lapanglah sang hati dalam keheningan..

Lepas tu, apa yang hilangnya? Sehingga dirindui-rindu.

Ya, ukhti..
Setelah melalui suatu tempoh, tiba-tiba rasa rindu pada kebiasaan dahulu itu muncul. Rindu untuk kembali merintih..Adakalanya terlintas dalam fikiran. Berbahagialah mereka yang diuji dengan kesusahan dan kesakitan..Hal itu menjadikan mereka cepat menanggapi ujian yang dihadapi. Lantas, terus berlari menuju Allah..Kembali mengadu kepadaNya. Mengharap bantuan dan pertolonganNya. Yang teramat..Lalu, terbinalah hubungan denganNya..Kemanisan selepas melalui suatu ujian menimbulkan tanda tanya. Di mana si air mata?

Namanya ujian itu tidak sekadar apabila ditimpa kesusahan atau kesedihan. Bahkan, ketika dalam kesenangan juga Allah menguji kita.

Maknanya ketika ini Amirah juga sedang diuji ya ukhti? Diuji dengan kemanisan selepas melalui suatu ujian. Adakah mahu bersyukur atau kufur.

Yes, perfect ukhti! 

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami”. Al-Anbiya’: 35

“Ini termasuk karunia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau kufur (mengingkari nikmatnNya)”.  An-Naml : 40

Seketika, Amirah merenung semula kata-kata sahabatnya. Seolah-olah hakikat itu tidak pernah didengarinya.

<<Azan Maghrib berkumandang>>
………………………………………………………………………………

Maka benarlah, Ad-Dinu An-Nashihah, Agama itu nasihat. 
Salinglah memberi nasihat kerana adakalanya kita terlupa hatta dalam hal yang kecil.

………………………………………………………………………………

Seusai solat Maghrib, Amirah membaca Al-Ma’tsurat.
Diamati kalimah demi kalimah sehinggalah sampai ke bacaan yang menyentuh hatinya.

"اللهم أنت ربي لا إله إلا أنت خلقتني وأنا عبدك وأنا على عهدك ووعدك مااستطعت أعوذبك من شرما صنعت أبوءلك بنعمتك علي وأبوء بذنبي فاغفرلي فإنه لا يغفر الذنوب إلا أنت"


Setelah selesai, Amirah mencapai Mushaf Al-Qur’an di atas rak masjid. Diketepikan Al-Qur’an berserta tafsir miliknya di atas rehal. Tilawahnya diteruskan lalu membaca Surah Al-Jum’ah dan seterusnya. Memasuki Surah At-Taghabun, hatinya  mula sebak. Hatinya kian melunak. Ada suatu ayat yang dinanti dalam surah ini. Ayat ke-16. Seawal ayat pertama surah ini, cuba ditekuni maknanya. Meskipun ada yang tidak difahami, namun surah ini seringkali member bekas padanya.

Belum pun sampai ke ayat 16, tiba-tiba hatinya sebak. Tilawahnya tersekat..Air mata sudah tidak mampu ditahan lagi..Ayat  11 dibacanya berulang-ulang kali. Lagi dan lagi..Meski tersekat-sekat.

ما أصاب من مصيبة إلا بإذن الله

Ayat ini benar-benar membuatnya tersentak. 

“Tidak ada yang suatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”.

Hati kecilnya berbisik; “Semua itu atas izin Allah, Semua itu atas izin Allah, Semua itu atas izin Allah. Semoga Allah menunjukkan hikmah di sebalik setiap sesuatu yang telah terjadi mengikut kehendakNya”.

Tilawahnya diteruskan sehinggalah selesai membaca Surah At-Tahrim. Mahu saja menutup Mushaf, namun terdorong untuk mentadabbur mana-mana ayat . Lalu, dibuka helaian Mushaf secara rawak. Matanya tepat tertuju kepada muka surat 329. Dilihat sepintas lalu dan berkata dalam hati, “kisah para nabi. Ada tak hubungannya dengan keadaan aku sekarang?” Diamati ayat demi ayat pula.

Subhanallah! Sekali lagi, mengena dengan dirinya.

Msekipun tiada terjemahan melayu, namun Amirah masih mampu memahami ayat-ayat itu. Ditambah pula dengan pengetahuannya tentang para Nabi itu.

Pertama, kisah  Nabi Ayyub yang ditimpa penyakit. Lalu mengadu dan berdoa kepada Allah. Kemudian, ayat seterusnya menceritakan tentang doanya yang dikabulkan oleh Allah dan dianugerahkan nikmat sembuh daripada penyakit dan mengembalikan keluarganya kepadanya.

Kedua, kisah Nabi Yunus yang meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah lalu dimakan ikan Nun. Nabi Yunus berdoa dan doanya dikabulkan bahkan diselamatkan daripada kedukaan.

Ketiga, kisah Nabi Zakaria yang berdoa berkehendakkan keturunan. Ayat seterusnya juga Allah mengabulkan doanya dengan menganugerahkan kepadanya Nabi Yahya.

Setelah meneliti, Amirah sangat tertarik dengan persamaan kalimah yang diulang-ulang dalam tiga kisah Nabi-Nabi ini.  
نادى

نادىbermaksud memanggil dan lebih mudah difahami dengan maksud memanggil dalam keadaan berdoa. Ketiga-tiga para Nabi ini menghadapi musibah (ujian) yang berbeza. Seorang dengan penyakit. Seorang dengan taubat dan seorang dengan tiada keturunan. Masing-masing berdoa supaya Allah mengelurakan mereka daripada musibah yang melanda mereka.

Sungguh, inilah contoh pengajaran yang hidup untuk diteladani bahkan membahkan kagi keyakinan terhadap pertolongan Allah. Jangan pernah putus harap. Doa dan teruslah berdoa. Sepertimana Nabi Zakaria yang merasakan seolah-olah tiada harapan untuk dirinya dan isterinya mendapatkan zuriat.
Dirinya yang sudah berusia dan isterinya yang mandul. Meski mustahil dirasakan namun  itu bukan satu alasan untuknya daripada terus meminta kepada Allah dengan menyeru Rabbnnya (إذ نادى ربه).

Tidak sekadar itu, bahkan Allah menceritakan “something added” yang dimiliki oleh Nabi Zakaria dan isterinya.

“Sungguh mereka  selalu bersegera dalam (mengerjakan) kebaikan, dan mereka berdoa kepada Kami dengan penuh harap dan cemas. Dan mereka orang-orang yang khusyuk kepada Kami”.

Inilah rahsia termakbulnya doa mereka. Walaupun dirasakan mstahil menurut pertimbangan akal manusia, namun jika Allah berkehendak, pasti akan berlaku jua.

Maka benarlah, 

الدعاء سلاح المؤمن
“ Do’a itu senjata orang Mukmin”

Meski berat dirasakan sesuatu penderitaan,
 teruslah mengadu dan berdoa kepada Allah.
Meski mendamba sesuatu,
jangan pernah putus berdoa kepada Allah agar diberi anugerah itu.
Meski diri dipenuhi dosa,
 jangan merasa hina tanpa adanya usaha memohon keampunan Allah.
Meski apa jua yang menghimpit diri,
berharaplah dan berdoalah pada Allah dengan setulusnya.

Sedangkan garam pun dipohon daripada Allah, takkan pula kita mahu ketinggalan untuk meminta sesuatu yang lebih besar daripada Allah?


Wallahu a’lam.




Read More..