Saturday 31 December 2011

Teruslah Melangkah

Bismillahirahmanirrahim
teruslah melangkah..
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan." 
(Al-Hasyr:18)

Alhamdulillah, hari ini muncul lagi..Menghirup udara segar pemberian yang tak terhitungkan daripada  Allah, dan yang terindah, kita masih lagi diberi nikmat dengan meyakini Akidah Tauhid ini..Lailaha Illallah...Hari ini,  suatu anugerah, kesempatan, ruang dan peluang yang Allah beri untuk kita menjadikan hari ini lebih baik dari semalam. Kenapa mahu jadi lebih baik daripada semalam? Tiada lain tiada bukan, suatu pesan agung junjungan  mulia kita Rasulullah s.a.w.

Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Semalam, semalam dan semalam suatu yang telah berlalu..Walau apa yang telah berlaku, itulah yang telah berlaku..Tidak akan mampu mengembalikan waktu itu..Biarlah ia dan teruslah melangkah...Jadikanlah semalam sebagi titik tolak untuk hari ini. Berbuat dan terus berbuat yang lebih baik lagi..
Mahu kan jadi orang yang paling berjaya? Orang yang paling beruntung!

Dalam meraih status orang-orang yang berjaya, KEKUATAN adalah simbol akrabnya..Manakala KELEMAHAN adalah simbol ataupun karakter orang-orang yang kalah. Kuat? Bgaimana mahu mendefinisikannya? Semoga fikiran kita tidak terbatas sekadar susuk tubuh yang kuat. Tidak terbatas pada kedudukan yang diduduki, Tidak terbatas kepada harta yang dimiliki. Itu bukanlah simbol kekuatan hakiki bagi seorang Muslim. Tapi, simbol kekuatan itu letaknya pada HATI. 

Saat hati itu hilang "keinginan dan kemahuan", maka hilanglah tujuan hidup dan pijakannya yang jelas. Orang yang tidak memiliki tujuan yang jelas, lantas bagaimana harus dia akan melangkah menuju ke destinasinya? Bagaimana seharusnya dia mahu mengerahkan seluruh tenaga dan usahanya jika tanpa hala tuju yang jelas? Takkan mampu, bukan? Jika ada pun, pastinya akan lelah, letih..Ke mana mahu melangkah? Ke mana mahu di tuju?

Dalam perlawanan bola sepak umpanya, pastinya matlamat adalah menjaringkan gol. Maka seluruh ahli team akan berusaha untuk menjaringkan gol. Strategi di susun. Bayangkan jika pemain-pemain tidak mengetahui matlamat mereka? Mahu ke mana? Berlari ke sana dan ke sini...Akhirnya letih..Pain but no gain..Mungkin ada yang saja main untuk suka-suka..Tapi ingat, Permainan sedemikian rupa tidak boleh disamakan dengan 'permainan' di arena dunia ini. Tiada yang suka-suka, kerana setiap tindakan, pasti akan di minta pertanggungjawabannya kelak..

"Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan."
(An-Nur:24)
  
Kekuatan Memilih

Rasulullah s.aa. bersabda, "Semua uamtku masuk syurga kecuali mereka yang menolaknya". Sahabat bertanya, "siapa yang menolaknya ya Rasulullah?" Rasulullah menjawab, "Orang yang mentaatiku dia akan masuk syurga, dan orang menentangku adalah orang yang menolak syurga"

Nah, daripada hadis ini, jelas bahawa untuk masuk syurga itu adalah satu pilihan. Dan setiap daripada kita harus memilih! Taat atau tentang, Patuh atau Ingkar, Menang atau Kalah!

Ayuh, kita mulakan langkah kita menuju kejayaan..Menuju Allah..Kerana bagi seorang mukmin, tiada istilah KALAH. Jika bukan di dunia, namun di akhirat sana. Suatu kemenangan yang nyata dan hakiki..


"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman."

(Ali-Imran : 139)

Saat ini, ketika ini, hari ini..Pandanglah apa jua di hadapanmu dengan optimis. Meski pelbagai rasa yang bermain di jiwamu...Kerana, engkau berhak memilih. Mulakanlah langkah dengan ayunan lembut kalam Tuhanmu..Meski di mana jua, hadirkanlah Dia..Resapilah Dia di hatimu..Sedalam yang mungkin..Kerana padaNya, tersimpan berjuta rahsia rasa jiwa yang menggugahkan.. 

Teruslah melangkah duhai diri..

Wallahu a'lam.


Read More..

Wednesday 28 December 2011

Tinta Untuk Ibu


Bismillahirrahmanirrahim

Selembut sutera, seteguh akar..

Ibu,
Itulah nama yang sering berlegar  di benak fikiran,
Tatkala hati merindui belaian seorang suri,
Padanya ada ketenangan dan kedamaian,
Meskipun dirinya kutahu,
Tersimpan beribu rahsia kepayahan,
Liku-liku dan ketakutan yang sering menghantuinya.

Ibu,
Bergenang air mata ini,
ketika minda diheret mengimbau segala  pengorbananmu,
Asuhan yang penuh kelembutan dan kasih sayang,
Khidmat yang  sentiasa sedia dan setia menyumbang ,
Titipan semangat dan harapan yang membekas,
Sungguh!
Pesonamu merenggut keangkuhan diri.

Ibu,
Dikala rindu semakin mencengkam diri,
Dikala terasa kehangatan sentuhanmu membelaiku,
Diri terasa ingin berlari semahunya  untuk mendakapmu erat,
Diri terasa ingin mengucupmu dengan penuh kasih dan syukur,
Kerana engkaulah permata hatiku,
Permata yang tiada pernah ada ganti buat selamanya.

Ibu,
Sebuah pengharapan murni kutitipkan padamu,
Teruslah berjuang  dan teguhkanlah dirimu,
Bersabarlah dan senyumlah,
Meskipun deritamu terselindung di balik kemanisan tawamu,
Kerana itulah siraman yang menyejukkan dan menyuburkan,
 Tiap kali melewati  hati-hati yang tandus nan retak.

Ibu,
Itulah dirimu,
Yang lemah pada kudratnya,
Namun cekal menyingsing lengan mengharungi  ujian hidup,
Dan  dikejauhan ini,
Tiada lain yang selayaknya kuhadiahkan ,
Hanyalah seberkas doa agar redha Illahi sentiasa bersamamu,

Barakallauhu fiki,
Terima kasih untuk segalanya.
Hanya untukkmu, 
ibuku…







Read More..

Friday 9 December 2011

Syurga Dunia

Bismillahirrahmanirrahim

damainya..tenangnya..

Wajah-wajah itu..Dalam aku renungi...
Semangat-semangat itu...Dalam aku hayati...
Gurau senda itu...Dalam aku tanggapi...
Bicara-bicara itu...Dalam aku maknai...
Syurga dunia? Adakah syurga di dunia ini? 
Ya, berada dalam majlis-majlis ilmu, itulah syurga dunia..Bersama mereka dalam menggerakkan jentera dakwah dan tarbiyyah, itulah syurga dunia...Matlamat yang sama..halatuju jelas..dan masing-masing menggerakan jentera...bersama..Manisnya...Takkan mampu diungkapkan oleh kata-kata...Menikmatinya, hari demi hari.. takkan putus-putus bibir ini mengucapkan kesyukuran atas anugerah terindah ini..Anugerah nikmat berukhuwwah di jalanNya.

Buat jiwa-jiwa perindu syurga,
Diri ini yakin, kalian juga pasti merasai nikmatnya..Kerana, kalian juga melaluinya..Nikmat yang tak mampu diungkapkan oleh kata-kata. Benar, bukan?

Akankah kemanisan-kemanisan ini berkekalan? 
Bagaimana kiranya setelah berpisah dengan jiwa-jiwa ini?
Arghhhh...
Kenapa persoalan ini kerap saja muncul di benak fikiran?
Akhir-akhir ini...
UIA, terasa kian dekat untuk meninggalkannya..
Kian dekat terasa..

Semoga Allah mentsabatkan kita di jalan ini..

Meski nantinya, masing-masing berjauhan..Menyebarkan kasih dan sayang dari langit di merata-rata..Walau di manapun kita...Semoga kejauhan itu nanti, hati-hati akan saling berpaut..merindui akan suatu pertemuan yang abadi..

Wallahu a'lam.

Read More..

Sunday 4 December 2011

Memburu CINTA

Bismillahirrahmanirrahim




Alhamdulillah, dengan izin Allah berkesempatan untuk mendengar Khutbah Solat Jumaat yang lepas. Di mana? Pastinya, di teratak terindah... Masjid UIA. Mahu kiranya berkongsi pengisian yang sangat menggugah iman ini..Merujuk kepada pesanan Ibnul Qayyim. 

Bagaimana agar dicintai Allah


1- Dirikanlah solat malam.

"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam surga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah." 
(Adz-Dzariyat: 15-18) 

Golongan ini, dengan rahmat dan kasih sayang Allah adalah golongan yang telah Allah janjikan syurga. 


2- Mengingati Allah 

 "Maka ingatlah kepadaKu , niscaya Aku akan ingat pula kepadamu ; 
dan bersyukurlah!! kepadaKu dan janganlah Kamu menjadi kufur." 
(Al Baqarah: 152) 

Ingat Allah, maka Allah pun akan mengingati kita. Dalam senang mahupun susah. Yakinlah! 


3- Baca, fahami dan amalkan Al-Qur'an 

"Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Qur’an ? Kalau kiranya Al Qur’an itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya." 
(An-Nisa': 82) 

Al-Qur'an tidak sekadar untuk dibaca, namun haknya juga adalah untuk difahami dan akhirnya diamalkan. 


4- Bersama atau bersahabat dengan orang-orang yang mencintai Allah. 

(Sebahagian dari) mereka akan berkata: "Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka "; dan setengahnya pula berkata:"Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka" - secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: "Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka". Katakanlah (wahai Muhammad): "Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit". Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).
 (Al-Kahfi:22)

Dalam ayat ini, kenapa disebut tentang anjing. Bersama dengan pemuda-pemuda yang melarikan diri daripada pemerintah yang kejam demi menyelamatkan akidah mereka. Kenapa? Kerana pemuda-pemuda itu beriman dan soleh. Anjing pun mau berteman dengan orang soleh, takkan kita tidak? 


5- Bersedia untuk bertemu dengan Allah
  
Siapa yang sedia dan mahu bertemu Allah, pasti Allah pun mahu untuk bertemu dengannya. 


6- Menjauhkan diri daripada dosa. 

Walau sebesar dan sebanyak manapun dosa, ingatlah bahawa Allah itu Maha Pengampun. 

"Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun." 
(Nuh: 10) 


7- Mengikuti ajaran dan amalan Rasulullah s.a.w.. 

Mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada cintakan diri sendiri dan keluarga. 


"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, 
nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." 
( Ali Imran: 31) 

8- Mengenali dan mempelajari tentang sifat-sifat dan nama-nama Allah. 

"Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh)." 
(Al-Hijr: 49) 

Namun, jangan lupa..bahawa Allah juga Maha Pemberi azab yang pedih. Lihat sambungan Surah Al Hijr ayat 50. 

"Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya)." 

Banyak lagi sifat-sifat Allah yang disebutkan dalam Al-Qur'an dan hadis. Dengan mengetahui, semoga hati tergerak untuk mematuhi suruhanNya. Kerana takutkan azabNya dan tergiur dengan nikmat-nikmat kurniaanNya untuk mereka yang mentaatiNya. 

9- Membina dan membangun peribadi yang baik. 

 Di dalam Al-Qur'an terkandung pelbagai ayat yang mana Allah mengiktiraf sesuatu sifat atau ciri. Antaranya, 

"Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh 
ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), 
Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar." 
(Ali Imran: 146) 


Allah mengasihani orang-orang yang sabar. Subhanallah. Allah melafazkan kata kasih kepada hamba-hambaNya yang sabar! 


10- Memperbanyak amalan sunnah 

Apa faedahnya melakukan amalan sunnah? Tidak cukupkah dengan amalan wajib yang dikerjakan? Sahabat, renungilah hadis Rasulullah s.a.w. ini. 

Hadis diriwayatkan oleh al-lmam al-Bukhari.Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: 

Sesungguhnya Allah Ta'ala telah berfirman: Barangsiapa yang memusuhi seorang waliKu, maka Akuakan isytiharkan perang terhadapnya. Seorang hambaKu tidak bertaqqarub (iaitu menghampirkandirinya) kepadaKu dengan suatu amalan yang lebih Aku sukai lebih daripada amalan yang Akufardhukan ke atasnya. Seseorang hamba sentiasa bertaqqarub dirinya kepadaKu, dengan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku sudah mencintainya, maka jadilah Aku pendengarannya yang dia mendengar sesuatu dengannya, jadilah Aku penglihatannya yang dia melihatsesuatu dengannya, jadilah Aku tangannya yang dengannya dia melakukan kerja, jadilah Aku kakinyayang dengannya dia berjalan. Sekiranya dia meminta daripadaKu Aku akan kurniakannya dansekiranya dia meminta perlindungan dariKu nescaya Aku akan melindunginya. 

Selamat memburu cinta Allah. 

Wallahu a'lam. 

Read More..

Tuesday 29 November 2011

Dalam Hati Ada Cinta



 Bismillahirrahmanirrahim

Bila cinta bertamu...

Ruangan ini, sunyi..sepi..Begitu tafsir hati setelah lama 'berpergian' tanpa kata dalam ruangan ini..Untaian kata-kata yang sudah lama tidak ditarikan oleh jari jemari..Alhamdulillah, kesempatan sela-sela waktu yang terluang, mahu kiranya menulis..Menterjemah rasa hati..

Sekali lagi, hati berbisik.."Perasaan apakah ini?'

Mengimbau hari-hari yang telah dilalui. Discussion, exams, assignments, program-program Tarbiyyah yang tidak putus-putus dan komitmen-komitmen lain..Benar-benar memadatkan jadual harian. Ada saja yang mengisi waktu. Namun, dalam kepadatan itu ada sesuatu yang membuat hati tertarik. Allhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan harian. Sungguh, ia benar-benar sesuatu yang di luar jangkaan. Tiada yang selayaknya diungkapkan melainkan itu.

Tiada alasan untuk mengenepikan Tarbiyyah, meski di sekililing penuh dengan tugasan pelajaran yang menghambat. Tiada alasan untuk itu..Teruslah berkontribusi dalam timbunan tugasan yang menghimpit. Usahakanlah memenuhi tuntutan Tarbiyyah, tidak hanya beralasan. Selesai satu, teruslah memburu yang lain..

'Maka sesungguhnya, bersama kesulitan ada kemudahan.  Sesungguhnya, bersama kesulitan ada kemudahan. Maka, apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain). Dan hanya pada Tuhanmu engkau berharap." 
(Surah Al-Insyirah: 5-8)

Selesai satu, teruslah berbuat yang seterusnya..Hingga hati merasakan nikmatnya..Dan benar, bersama kesulitan ada kemudahan. Pertolongan Allah datang tanpa di sangka-sangka..Meski kadang Dia menguji, namun soalnya, bagaimana persepsi kita terhadap sesuatu ujian itu..Terpulang pada mata hati dan akal untuk menilai, merenung dan mengambil sikap terhadap sesuatu. 

Setiap hari itu indah, indah kerana Allah menguji hambaNya..Ujian sebagai tanda kasih sayangNya. Ujian sebagai tanda Allah mahu memberi suatu ciri pada diri.. Pandanglah dengan mata hati yang halus dan lembut..Pasti, engkau akan ketemui nikmatnya, manisnya..Dan cintamu akan berputik..Mekar dengan siraman Tarbiyyah dariNya.. 

Dalam hati ada cinta,
Pada Dia yang Maha Pencinta,
Meski cinta belum sempurna
Namun, jangan tega melepaskan syurga.

Dalam hati ada cinta,
Pada keluarga yang sering bermain di mata,
Meski ada takik dalam perhubungan,
Hati tidak sekali-kali redha!

Dalam hati ada cinta,
Pada sahabat juga teman,
Tiada ragu tiada sangsi,
Manisnya ukhuwwah.

Dalam hati penuh cinta,
Dari mana puncanya?
Hati masih tertanya-tanya...
Misteri..


Wallahu a'lam.


Read More..

Thursday 10 November 2011

Lain Dari Yang Biasa

Bismillahirrahmanirrahim

Memakai sut? Hmm, lain dari yang biasa. Mampukah?

Katakanlah (wahai Muhammad): "Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri; maka Tuhan kamu lebih mengetahui siapakah (di antara kamu) yang lebih betul jalannya".
(Al-Isra': 84)

"Tiap-tiap jiwa beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri", Begitu kalam Allah dirakamkan kepada kita..Sahabat yang dikasihi Allah, apa yang terlintas di benak fikiran kita dengan kalam indah itu? Ayuh, sejenak kita jauh merenung dan berfikir. Berfikir tentang diri dan kebiasaan perilaku kita. Bagaimana pendapatmu tentang ayat itu? Terkesan? Empunya diri, mahu berkongsi apa yang tergambar dalam fikiran.

Salah satu daripada keindahan ciptaan manusia adalah dengan wujudnya kepelbagaian ragam, tabiat dan ciri yang dimiliki oleh seseorang. Macam-macam yang boleh ditemui. Tatkala merenung peibadi sahabat-sahabat di sekeliling kita, pasti akan menemui kelainan dalam diri setiap daripada mereka. Dan diri kita? Sudah tentu berbeza juga. Seseorang boleh berkongsi ciri yang sama, namun tahap yang dimiliki itulah pembezanya. 

Melakukan atau merasakan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan diri, tiada yang aneh dalam hal itu. Namun, bagaimana sekiranya perwatakan itu berubah? Mungkin tidak banyak, namun tempiasnya mampu dikesan oleh sang hati. Walau sekecil manapun, kerana hati yang memberi isyarat untuk bertindak dan hati jugalah yang mula-mula mengesan setiap perubahan rasa hati dan tindakan. Rasa hati dan tindakan yang di luar daripada kebiasaan diri.

Seorang yang pasif, namun tiba-tiba berubah. Ada keramahan di situ. Mungkin tidak banyak. Namun cukup untuk dikesan oleh hati.

Seorang yang susah untuk menela'ah pelajaran di tengah keramaian. Namun, tiba-tiba berubah. Boleh menghadamnya. Meski tidak 100%, namun cukup untuk hati mengesan perubahan itu.

Di awal tarbiyyah dulu, itulah detik-detik awal perubahan rasa hati. Pasti ramai yang juga turut merasainya, kan? Setiap kali ada pertemuan tarbiyyah, fikiran kerap didoktrinkan dengan nilai-nilai kesufian, tazkiyyatunnafs..Dan saya, itulah kesukaan jiwa. Hal-hal yang membasahkan hati..Hal-hal yang membicarakan soal hati. Soal hati yang dalam..Juga, tentang akhlak. Bagaimana seharusnya perilaku seoarng Muslim/ah. Ditambah pula dengan contoh-contoh hidup daripada peribadi Rasulullah dan juga para sahabatnya. Motifnya, agar termotivasi untuk meniru perilaku mereka.

Hingga suatu saat, "Herna dah lain. Nampak serius, susah nak ketawa" Masih terngiang-ngiang kata-kata sahabat rapat saya dahulu. Kurangkan gelak!, begitu azam tahun baru saat itu..Mereka melihat sedemikian rupa, namun dalam hati menanggung suatu 'beban' yang berat. Sehingga terdetik dalam hati, "bukankah kita diajar untuk kurangkan ketawa. Tapi, kenapa jauh di sudut hati, rasa kering, rasa sunyi". Lain dari yang biasa, selalu saja menimbulkan tanda tanya dan rasa hati yang kekok. 

Setelah melalui proses itu, barulah dituai hasilnya. Rasa hati mulai stabil. Benar, "Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri". Berubah menjadi sesuatu yang di luar daripada kebiasaan, pastinya memerlukan masa untuk membiasakan diri dengannya. Masa untuk 'adapt' dengan sesuatu yang baru. Itulah cabarannya. Ada yang cepat, ada yang lambat dan mungkin ada yang kandas. Berpatah balik kepada perilaku sebelumnya. Namun, bukanlah mahu mengatakan sesuatu yang baru itu akan kekal. Bahkan ia sangat memerlukan usaha untuk mengekalkannya.  

"Ssesungguhnya, mencapai puncak itu sulit, namun untuk tetap bertahan berada di puncak itu jauh lebih sulit", begitu pesan Imam Ibnu Al-Jauzi.

Menyemai sesuatu yang baru dalam diri, itu di satu sisi. Namun,  di satu sisi yang lain, ketika kehilangan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan dalam diri. Bagaimana perasaan kita apabila kehilangan suatu nilai yang baik daripada diri? Tatkala menyedarinya, sedih dirasakan...Mencari-cari ke mana hilangnya..namun tidak juga ditemui..Kekok, resah..tercari-cari...rasa kehilangan sesuatu yang berharga daripada diri.. Saat itu, koreksilah diri, Insya Allah akan disingkapkan punca kehilangannya.

Tidak semua manusia yang cepat berubah. Namun, "bukankah tarbiyyah itu sepatutnya mengajar kita untuk cepat berubah?" begitu pesan si 'ibu'. Dalam dan jauh merenung pesanan itu. Kita mahu berubah, namun ternyata, dalam proses perubahan itu menuntut sesuatu yang lebih menguji.  Secepat mana kita menyesuaikan perubahan itu dalam diri?  Pastinya menuntut kesabaran, kefahaman dan kemampuan dalam menyemainya dalam diri. 

Kepada jiwa-jiwa yang bermujahadah untuk menjadi lain dari yang biasa, 
Semoga Allah memberi kekuatan untuk kita..Kekuatan dan kemahuan yang kuat untuk berubah. Kekuatan agar tidak takut untuk berubah. Hingga akhirnya, lahir menjadi insan yang memiliki ciri yang baru..Membangun bersama ciri yang baru..
Wallahu a'lam.
Read More..

Tuesday 1 November 2011

Kerana Aku MencintaiNya, kurelakan..

Bismillahirrahmanirrahim
Pecah? Tidak, itulah cinta..

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata:” Wahai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu! “Ia menjawab:” Wahai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar “. Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis (nya), (nyatalah kesabaran keduanya).
  (As-Shaffat : 102-103)

Seolahnya biasa dengan ayat-ayat ini? Ya, sudah tentu. Ayat-ayat yang menceritakan kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail. Suatu kisah Penyembelihan agung!
Sejenak, mari kita mengimbas kembali kisah yang berlaku sebelum kisah antara dua insan ini. Ingat kisah Sarah, isteri pertama Nabi Ibrahim? Seorang isteri yang sudah lanjut usia merasakan tidak akan memberi zuriat kepada Nabi Ibrahim. Lantas, apa yang dituturkan olehnya? Dengan penuh kerendahan hati dan mengakui kekurangannya, akhirnya dia mencadangkan dan mengizinkan suaminya untuk menikahi Hajar. Harapannya, mudah-mudahan Allah menganugerahkan zuriat daripadanya. Nabi Ibrahim menikahinya dan dengan izin Allah, maka termakbullah doanya.

Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang saleh.
Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar.
(As-Shaffat : 100)
Lahirlah seorang anak yang sudah terlalu lama dinanti, Ismail. Seorang anak yang kelak akan menjadi anak yang amat sabar, begitulah firman Allah setelah kelahirannya, bukan? Yang amat sabar.
Seorang anak yang dinanti-nanti akhirnya telah lahir ke dunia. Maka bergembiralah mereka. Sarah, meski telah lanjut usia, namun isteri mana yang tidak cemburu? Lantas, dia meminta Ibrahim agar meninggalkannya kerana dia tidak mampu untuk hidup bersama Hajar. Dengan petunjuk Allah, maka Allah mewahyukan Ibrahim agar membawa Hajar dan Ismail yang masih menyusu ke suatu tempat, Mekah. Tinggalah mereka berdua di tanah tandus dan gersang itu.
Itu atas perintah Allah. Ibrahim dan Hajar sama-sama redha atas perintah ini. Meski berat namun kerana cinta pada Allah, rela..Meski air mata mengiringi perpisahan namun kerana cinta pada Allah, rela..

"Jika ini perintah dari Allah, maka Allah tidak akan mensia-siakan kami", begitu keyakinan Hajar saat ditinggalkan.


Di tanah gersang inilah kita mengetahui kisah Hajar yang berlari-lari mencari air. Dari Safa ke Marwah sebanyak tujuh kali. Dari tanah gersang inilah juga kita mengetahui kisah terpancutnya air dari hujung kaki Ismail. Gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Di ambilnya air itu dan terkeluar dari mulutnya, “Zami, zami, zami..” yang bermaksud, berkumpullah, kumpullah. Seolah-olah dia berkata kepada air itu, “Berkumpullah untuk anakku.”. Tulusnya hati seoang ibu...demi anak yang dicintainya..Di tanah gersang inilah dan dengan penemuan telaga zam-zam, akhirnya ia menjadi pusat pengumpulan orang ramai..hingga terbinalah Ka'bah.

Suatu kerinduan yang tidak tertahan lagi. Rindunya kepada dua orang insan yang ditinggalkan di tanah gersang dahulu..anaknya yang masih menyusu saat itu..Setelah suatu saat, Ibrahim dan Hajar akhirnya bertemu kembali di tanah penuh berkah itu...pertemuan setelah perpisahan kerana Allah..perpisahan yang terlalu berat bagi kedua-duanya..akhirnya bertemu...indahnya.., kan?

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata:” Wahai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!
  (As-Shaffat : 102)
Aduh, belum puas bersama namun turun perintah yang sekali lagi menguji cintanya kepada Allah..
“Ia menjawab:” Wahai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar “. 
(As-Shaffat : 102) 

Subhanallah, inilah jawapan yang diberikan oleh Ismail. Patuh dan taat dengan perintah Allah. Tanpa soal, redha!

Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis (nya), (nyatalah kesabaran kedua-duanya). 
(As-Shaffat : 103)
Dilaksanakan penyembelihan, namun dengan izin Allah, Allah telah menggantikan korban itu dengan seekor kibas. Telah nyatalah kesabaran kedua-dua mereka...

xxxxxxxxxxxxxxxxxx

Kisah ini terlalu sarat dengan pengajaran. Pengajaran tentang pengorbanan dan cinta. 

1- Kisah cinta Sarah dan Ibrahim

"Pahitnya bermadu..Tak mahulah bermadu..Tak sanggup...". Saya yakin ramai wanita yang akan menuturkan sedemikian rupa. Engkau seorang wanita, adakah setuju dengan pernyataan saya?

Sarah, pastinya sudah memikirkan kondisi perasaannya sebelum mencadangkan pernikahan antara suaminya dengan Hajar. Namun, direlakannya demi memenuhi hak suami untuk berzuriat.. Kekurangannya sebagai isteri yang belum mampu memberi zuriat (dengan izin Allah) harus diakui, maka bermadu harus direlakannya..

Ibrahim tidak pernah meminta untuk bernikah dengan Hajar. Bahkan Sarahlah yang mendesaknya. Ditolak pada awalnya kerana cintanya pada Sarah masih menebal dan tidak luntur..Sarah berkeras dan mendesak..Permintaan ditunaikan..Cemburu, pastinya tidak lekang dan itu sewajarnya bagi seorang isteri yang hidup bermadu. Cemburu makin menebal apatah lagi dengan kehamilan Hajar. Sehinggalah kelahiran Ismail,  benar-benar menguji sifat cemburunya. 

Cinta , cemburu. Madu...arghhh, fitrah wanita, ia terasa begitu berat...

2- Kisah cinta Ibrahim dan Hajar

Isteri dan anak yang masih menyusu ditinggalkan di sebuah tanah gersang. Hanya berdua..Tiada manusia lain..Air? Makanan? Malam yang gelap? Siang yang terik? Ancaman binatang? Anak kecil? Bayangkan kita seorang suami, tergamakkah? 

"Ini adalah perintah Allah wahai isteriku", begitu pujuk Ibrahim. Manakn tergamak baginya meninggalkan isteri dan anak kecilnya di tengah-tengah tanah gersang dan tandus. Tidak sekali-kali dia tergamak. Namun, itulah perintah Allah. Yang harus dilaksanakan juga. 
"Jika ini perintah dari Allah, maka Allah tidak akan mensia-siakan kami", begitulah keyakinan yang terpateri dalam hati Hajar. Direlakannya dan redha dengan kehendak Allah. 

Kisah cinta Ibrahim dan Hajar mengajar kita akan erti cinta yang hakiki. Tiada cinta lain yang tertinggi melainkan cinta kepada Allah. Meski harus mengorbankan kepentingan orang-orang yang disayangi..amat disayangi..Bagi mereka, itu perintah Allah, maka tiada kompromi! Meski perisahan diiringi linangan air mata yang deras, fitrah manusia yang saling mencintai. Perpisahan kerana menurut perintah Allah. Inilah sebuah perpisahan sejati kerana Allah. 

Perancangan Allah, akhirnya mereka dipertemukan kembali. Di tanah penuh berkah..Pertemuan setelah perpisahan yang amat menguji nilai redha dan cinta. Sekali lagi ingin saya ungkapkan, pertemuan setelah perpisahan kerana Allah..perpisahan yang terlalu berat bagi kedua-duanya..akhirnya bertemu...indahnya..

3- Kisah cinta Ibrahim dan Ismail

Baru saja bertemu kembali, namun diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangannya. Anak yang telah ditinggalkan sewaktu bayi dahulu..Perpisahan yang terlalu lama..Pasti berat bagi seorang ayah, bukan? Apatah lagi itu adalah perintah untuk menyembelih. Bagaimana mungkin seorang ayah akan mampu menyembelih anak yang amat dicintainya? 

Namun, itu perintah Allah..Harus laksanakan, relakan jua dan redha...Cinta pada Allah mengatasi segala cinta yang lain. Meski pada anak yang sangat dikasihi..

Mari merenung jawapan Ismail.  

"Wahai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar".
Tiada kompromi, patuh pada perintah Allah..Redha dan sabar dengan ketentuan Allah. Inilah cinta sejati seorang hamba kepada Tuannya..Cinta kepada ayahnya yang telah lama terpisah, itu sama sekali tidak mengatasi cintanya kepada Allah..Maka benarlah;

Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar.
(As-Shaffat : 100)

Ismail benar-benar seorang anak yang amat sabar.

Hebatnya cinta mereka...

Dan kita?
Masih ragu-ragu dalam memilih antara cinta Allah dan cinta manusia? Masih belum mampu meninggalkan cinta sebelum pernikahan? Sedang asyik terhanyut dengan cinta yang dihiasi maksiat. Maksiat hati, mata, tangan, kaki, fikiran..Jangan sampai terjerat dengan tipu daya syaitan! Na'udzubillah..

Dan kita?
Masih belum mampu membuktikan cinta Allah sebagai cinta yang tertinggi..Dunia, harta-benda, kedudukan, kecantikan, perniagaan, kerjaya, pelajaran, keluarga, mungkin itu masih dilebihkan berbanding hak-hak Allah..Masih melebihkan cinta itu daripada cinta Allah. 

Iman,duhai iman di hati...apa khabarmu? Kenapa cinta lain masih melebihi cinta pada Allah...

"Jika ini perintah dari Allah, maka Allah tidak akan mensia-siakan kami"

Indahnya keyakinan Hajar..Ayuh, bersama mengambil semangat dari Hajar. Katakan, Kerana Aku MencintaiNya, kurelakan..Allah tidak akan mensia-siakanku!

Wallahu a'lam.
Read More..

Friday 28 October 2011

Sunyi Yang Kaku

Bismillahirrahmanirrahim
sunyi..sepi..
Rasa hati..sunyi…tiba-tiba saja.
Rasa hati..sunyi..sunyi..dan sunyi…

Pernahkah kita merasa sunyi? Sunyi yang kadang datang secara tiba-tiba. Meski pada hakikatnya kita dikelilingi kawan-kawan, bersama dalam keramaian. Mereka bergembira namun anehnya kita terasa sunyi..rasa terasing di tengah-tengah keceriaan mereka.

Sunyi..sunyi..dan sunyi…
Ada sesuatu yang hilang..

Luahan kata yang pernah dikongsikan dahulu pada seseorang. Sekadar mengimbau yang dulu-dulu.

"Kak, kenapa hati saya tiba-tiba rasa sunyi? Rasa sepi. Rasa mahu menangis". Luahku.
"Hati itu ibaratnya seperti pakaian. Ianya akan lusuh, maka perbaharuilah ia. Perbaharuilah iman di hati". Balasnya.

SMS itu sangat terkesan pada diri. Serta-merta air mata mencurah mengalir keluar. Tak mampu untuk menahannya lagi. Tak tertahan lagi untuk menanggungnya. Mengalirlah keluar semahumu duhai air mata.. jika itulah penawarnya.

Perasaan sunyi dalam keramaian, saya yakin anda juga pernah mengalaminya. Sunyi yang hadir yang kadang tanpa diduga. Tiba-tiba..kan? Namun, pastinya bersebab. 

Iman dan maksiat
Iman terletaknya di hati. Itulah tempat ia bersemayam. Hati yang perlu ditata dan dijaga dengan rapi. Andai ia baik, maka baiklah seluruhnya. Andai ia buruk, maka buruklah segalanya..begitulah pesan Rasulullah s.a.w. kepada kita. Istimewanya hati..bak sang raja pada seluruh anggota badan. Ketika mana hati itu disuburkan dengan hal-hal kebaikan,  maka akan tumbuhlah benih-benih keimanan dan jika digandakan lagi, maka akan bercambahlah dan bertunaslah keimanan itu. Sesuatu kebaikan akan melahirkan kebaikan yang lain. Namun, jika hati itu dihiasi dengan hal-hal keburukan, maka tumbuhlah benih-benih kemaksiatan dan jika dibiasakan lagi, maka akan bercambahlah dan bertunaslah kemaksiatan itu..Sesuatu keburukan dan kemaksiatan akan melahirkan keburukan dan kemaksiatan yang lain. 

Misalan:
Ketika kita membaca al-Qur’an, hati akan terasa tenang. Ditambah pula dengan memahami dan merenung  ayat-ayatnya, maka lunaklah sang hati dan lapanglah fikiran. Ketenangan dan kelapangan itu seterusnya akan mempengaruhi tingkah laku dan akhlak kita kepada orang-orang di sekeliling. Suatu kebaikan melahirkan kebaikan yang lain. Akhirnya, tiada lain yang terkena tempiasnya melainkan si raja, yakni hati.

Sebaliknya,andai kita bergosip, maka akan terbukalah pintu-pinti umpat. Aib-aib saudara dibuka secara perlahan-lahan satu persatu.  Hingga begitu asyik menjamah daging mentah itu. Lazatkah? Tidak sekadar itu, bahkan yang lebih parah sehingga membuka ruang-ruang  fitnah. Berkata ini dan itu mengikut persangkaan semata-mata. Asyiknya..suatu keburukan melahirkan keburukan yang lain. Akhirnya, tiada lain yang terkena tempiasnya melainkan si raja itu juga, yakni hati. 

Andai iman tidak disuburkan, maka hati akan lusuh. Ketika maksiat tidak dijauhkan, maka hati akan gelap. Takutnya ia akan buta. Buta mata hati justeru satu kebutaan yang sangat kronik dan memudharatkan empunya diri. Meski luarannya tampak gah, kelihatan megah namun jauh di sudut hati, suatu kegelisahan yang teramat, suatu ketidaktenangan yang mendasar, suatu kekusutan yang menyesakkan. Lagi malang jika hati tidak mampu menimbulkan isyarat-isyarat ‘sakit’ itu. Apalagi jika hati menyukai kemaksiatan dan mendokong kebathilan.  Mati rasa dan tidak lagi sensitif akan dosa. Nau’udzubillah.

Kurang zat ruhani
Iman itu يزيد وينقص. Iman itu bertambah dan berkurang. Fitrah iman bagi seorang manusia biasa yang asli. Tiada yang memiliki iman yang sentiasa meningkat melainkan para Nabi dan Rasul. Tiada juga yang memiliki iman yang statik, tidak meningkat dan tidak berkurang melainkan para malaikat. 

Fitrah iman manusia biasa yang asli itu justeru perlu sentiasa diperbaharui dan disuburkan. Agar ianya tidak terus melemah dan layu. Ia bertambah kerana ketaatan dan berkurang kerana dosa. Cukuplah itu sebagai peringatan bagi hati.

Di mana zikir-zikir, tilawah al-Qur’an..bacaan buku-buku yang menambahkan iman..zat-zat ruhani yang mungkin kian berkurangan. Hati yang tidak dibajai dengan zat-zat ruhani, maka akan mudah melemah. Sedikit demi sedikit..hingga terasa sunyi..sepi dan suram..ada sesuatu yang hilang dirasakan..

Dunia yang semu

Yang dikejar tak dapat, yang diimpi tak kesampaian, yang dinanti tidak kunjung tiba..
Dunia..oh dunia.. makin dikejar, makin sesak terasa..makin di cari, makin tak dijumpai.. makin diperoleh, makin ditagih..makin dimiliki, makin melalaikan..

Berharap pada dunia membuahkan angan-angan..mahu ini dan itu..menginginkan sesuatu pada dunia, namun akhirnya yang diingini tidak kesampaian..hati sunyi..sepi..lantas..tersentak! terpaku! terpukul pada teguranNya! Mahu dunia rupa-rupanya..Astaghfirullah..

Dunia yang semu, dunia yang menipu, dunia yang menjerat! Terpedaya lagi..

Memerhati, merenung dan bangkit.
Dalam kesunyian..mencari penawarnya di tengah-tengah keceriaan itu..keceriaan mereka diserap ke dasar hati..jiwa-jiwa itu..hati-hati itu..berbagi rasa, berkongsi semangat..Mereka sahabat-sahabat seperjuanganku..

Tolak ke tepi rasa sepi yang membungkam diri. Tolak ke tepi rasa sunyi yang menghimpit diri. Sunyi yang menjadikan diri kaku dan lemah. Bangkit dari tipu daya. Bangkit dari pujukan rasa. Bangkit dari buaian kesunyian yang kaku. 

Kebaikan akan disusuli dengan kebaikan yang lain..Istighfar dan bertindaklah untuk mendapatkan sesuatu yang telah hilang..

Wallahu a’lam.
Read More..

Wednesday 26 October 2011

Parasit Hati

Bismillahirrahmanirrahim
Panahan syaitan

 “Janganlah sampai ada sesuatu yang lebih penting bagimu selain daripada memperbaiki dirimu, kerana ia tidak boleh sedikitpun ternoda oleh dosa” 
(Umar Bin Abdul Aziz)

Bagi jiwa-jiwa yang berkomitmen untuk memperbaiki diri, sensitiviti pada dosa adalah suatu hal yang sangat dharuri. Dosa justeru adalah suatu halangan yang membelenggu diri, samada sedikit ataupun banyak, kecil ataupun besar, ianya tetap suatu dosa! Sensitifkah kita?

Sahabat yang dikasihi oleh Allah s.w.t.,
Mari sejenak kita meresapkan jauh ke dalam hati kita. Sebuah wasiat daripada seorang penyair di zaman Khalifah Umar Bin Abdul Aziz.

Ceraikanlah dosa baik kecil mahupun besar
Kerana itulah ketaqwaan,
Berbuatlah seperti orang yang berjalan di atas tanah berduri,
Sehingga berhati-hati,
Jangan kamu remehkan kesalahan kecil,
Kerana gunung terbentuk oleh butiran pasir.

Sifat berhati-hati itu adalah tanda ketaqwaan. Begitulah yang telah diibaratkan oleh Umar al-Khattab bahawa hakikat taqwa itu seperti perjalanan di atas jalan berduri. Penuh berhati-hati. 

Penyakit ‘ujub

Para da’ie,
kadang hati telah tercampur dengan noda keterpedayaan (ghurur). Terpedaya dengan sedikit amal kebaikan namun merasakannya telah banyak dan sudah berpuas hati tanpa merasakan perlu untuk meningkatkannya lagi. Begitulah liciknya syaitan dalam membisikkan tipu dayanya.

Kita yang mengaku da’ie,
Apakah yang bermain dalam perasaan kitaketika bergaul dengan mereka yang tidak mengikuti jalan tarbiyyah dan dakwah? Apakah perasaan kita ketika melihat kelompok-kelopmpok yag tidak sejalur denganmu? Adakahkita merasakan diri lebih suci, lebih baik, lebih tinggi kedudukan di sisi Allah? 

Dalam hal itu, engkau telah meletakkan nilaian yang lebih tinggi untuk dirimu. Maka, renungilah kata-kata hikmah Imam Syafie ini.

“Barangsiapa yang menaikkan harga dirinya di atas harga yang sesuai dengannya, maka Allah akan mengembalikannya pada nilai yang sesuai”

Siapa kita untuk memberi nilaian diri yang lebih suci, lebih baik dan lebih tinggi daripada orang lain? Sibuk mencari-cari kelemahan orang lain sehingga lupa pada aib sendiri. Pada dosa sendiri yang menimbun.
Syaitan benar-benar memmalukan kita denga rasa ‘ujub (kagum) pada diri sendiri. Membanding jangan sampai merendahkan!  

"Ia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa".  
(An-Najm:32)

Sikap meremehkan dan menyerang orang lain adalah salah satu sisi yang paling menonjol daripada sifat ‘ujub. Menyerang peribadi lain sehingga merendahkan mereka. Itu seharusnya tidak  berlaku kepada seorang yang telah bergabung dengan harakah islamiyah. Yang berkomitmen untuk membina kesolehan diri dan orang lain. 

Abdullah bin Umar radhiyallahu’anhuma mengatakan bahwa Nabi saw bersabda, 

“Orang Islam itu adalah orang yang menyelamatkan Muslim lain daripada lidah dan tangannya…”  (HR. Bukhari) 

Itulah hak bagi sesama muslim, apatah lagi bagi sesama da’ie. 

Basyar ibn al-Harits mendefinisikan ‘ujub sebagai;

“Apabila kamu sudah menganggap bahawa amalmu lebih banyak, sedangkan engkau menganggap amal orang lain sedikit”.

Lagi, Sufyan at-Tsauri mendefinisikannya sebagai;

“Sifat ‘ujub adalah kekagumanmu pada dirimu sendiri, sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan kebih tinggi darjatnya daripada saudaramu, padahal boleh jadi kamu tidak beramal dengan benar seperti dia, atau barangkali dia lebih wara’ daripadamu terhadap hal-hal yang diharamkan Allah, dan lebih tulus dalam amalnya”.

Para da’ie,
Amal adalah suatu cahaya. Cahaya yang akan menerangi sang hati dan menuntunnya menuju cinta Illahi. Namun, ‘ujub yang hadir akan merubah cahaya itu sehingga malap dan hati menjadi kelam. Saat itu,kita telah terpedaya…

Penyakit suka pujian

Kita yang mengaku da’ie,
Adakah sesuatu amal yang kita lakukan adalah dalam rangka untuk mencari kedudukan dan kehormatan daripada manusia?  Maka, renungilah pesanan ini;

Sufyan at-Tsauri berkata:

“Apabila anda sudah tidak ‘ujub pada diri sendiri, maka anda juga harus menjauhi sifat suka dipuji orang lain. Bukti bahawa anda suka pujian orang adalah bahawa anda ingin mereka menghormati anda kerana suatu amal yang anda lakukan, dan agar mereka mengetahui kemuliaan dan kedudukan anda di hadapan mereka”.

Kita yang mengaku da’ie,
Apa perasaan kita ketika bergaul dengan mereka yang tidak berada di jalan dakwah dan tarbiyyah? Ketika engkau bergaul dengan menjaga kesopanan kata-kata dan akhlaq dalam tindakan. Sedang peribadimu dengan mereka ada bezanya . Sehingga ada yang berkata, “lembutnya kata-kata ..baiknya…bagusnya..”.  Apa perasaan kita ketika itu? 

Khalid Bin shafwan berkata;

“Banyak orang yang terpedaya kerana Allah tidak menampakkan keburukan mereka. Mereka terkena fitnah kerana sanjungan yang baik. Maka janganlah sampai ketidaktahuan orang lain tentang dirimu itu mengalahkan pengteahuanmu tentang dirimu sendiri”

Kita yang mengaku da’ie,
Adakah kita merasakan hati berbunga-bunga dan senang dengan sanjungan orang lain? Sehingga tenggelam dengannya? Tetapi, ketika ada yang memberi nasihat maka segalanya berubah. Dada terasa sempit, nafas terasa sesak bahkan terkeluar kata-kata kasar. Itukah kita sebagai da’ie? 

Sekali lagi, kita telah diperdaya oleh tipu daya syaitan. Saat orang lain memberi pujian, janganlah sampai kita lupa kepada hakikat diri kita. Yang lebih kita tahu kondisinya. Yang lebih kita tahu kelemahannya dan kejelekannya.

Kita yang mengaku da’ie,
Para salaf memberi wasiat kepada kita, sentiasalah berusaha untuk menghampiri dan mencapai kesempurnaan. Keterlaluankah ia untuk kita usahakan?

Abu Bakar mengirim wasiat kepada Khalid al Walid:

“Semoga Allah mengurniakanmu kelurusan niat dan kedudukan yang tinggi. Sempurnakanlah (amalmu), maka Allah akan menyempurnakanmu. Janganlah kamu terkena penyakit ‘ujub (mengagumi diri sendiri), kerana hal itu akan membuatmu rugi dan hina. Jauhilah olehmu sifat menunjuk-nunjuk sesuatu perbuatan, kerana sesungguhnya hanya Allah lah yang Maha Pemberi anugerah dan kemuliaan. Dialah Yang Maha Pembalas”.

Aku yang mengaku da’ie,
Bukanlah yang menunjuk lebih arif tentangnya. sekadar berbagi tausyiah dalam rangka menyembuh dan merawat hati. Kerana di jalan dakwah, liku-likunya ada yang jelas dan tersembunyi.  Halus tersembunyi  di balik hati, yang kadang tidak kelihatan. Namun ketika diuji, maka tampaklah ia..dan terpedaya…

 << << لا إله إلا أنت سبحانك إني كنت من الظالمين
 wallahu a'lam.
Read More..

Friday 21 October 2011

Memori Antara Kita

Bismillahirrahmanirrahim

Suka duka bersama..

Sahabat,
Ingatkah engkau memori-memori kita bersama?
Saat engkau dan aku mula bertatih dalam tarbiyyah,
Saat engkau dan aku mula mengenali erti pengislahan diri,
Sehingga akhirnya kita makin tersentuh dengan tarbiyyah,
Kita bersama 'basah' disirami embun-embun tarbiyyah,
Nikmatnya...hanya benar-benar dirasai oleh jiwa-jiwa yang telah melaluinya,
Ingatkah kita lagi?

Sahabat,
Ingatkah engkau memori-memori kita bersama?
Saat program tarbiyyah menjadi keutamaan bagi kita,
Saat engkau dan aku mulai beraktiviti,
Sehingga akhirnya kita mula belajar untuk berukhuwah,
Sehingga akhirnya kita mula mencerna makna ukhuwah,
Sungguh, ia tidak semudah yang disangka,
Sulitnya... walau hanya serendah-rendah ukhuwah, berlapang dada,
Ingatkah kita lagi?

Sahabat,
Ingatkah engkau memori-memori kita bersama?
Saat aktiviti menjadi hal yang menyibukkan kita,
Saat aktiviti memadatkan masa harian kita,
Hingga suatu saat, kenapa hati terasa gersang,
Hingga suatu saat, kenapa jiwa terasa lelah,
Merenungnya...rupa-rupanya ada hak yang tidak tertunai,
Hak sang hati yang makin kurang zatnya,
Sulitnya...untuk mencapai tawazun,
Ingatkah kita lagi?

Sahabat,
Ingatkah engkau memori-memori kita bersama?
Camping bersama,outdoor juga indoor,
Makan bersama, tidur bersama,
Bersama menyanyikan lagu-lagu haraki,
Bersama mengerjakan ibadah,
Bersama mendengar slot-slot penyampaian,
Ada yang penuh konsentrasi dan fokus,
Tidak kurang, ada juga yang terlelap, entah kenapa asyik terlelap saja,
Kasihan ada, lucu juga ada kan?
Indahnya...kenangan-kenangan itu,
Di kem itu, di rumah Allah itu,
Ingatkah kita lagi?


Sahabat,
Memori-memori dulu terlalu manis untuk dikenang,
Tiap kali mengimbasnya, entah kenapa rasa sayu sang hati ini,
Tiap kali mengimbasnya, rasa berbunga-berbunga dan termotivasi,
Melihat kesungguhan dan usaha kalian,
Untuk apa? Kerana apa? 
Semoga Allah sentiasa meluruskan niat kita hanya padaNya..

Sahabat,
Ruh itu... mahunya terus mewangi dan memekar,
Semangat itu.. mahunya terus hidup dan membakar diri,
Andai diri terasa lelah, hadirlah berbagi spirit,
Andai diri melemah, peganglah erat tangan ini, 
Andai diri melonglai, hadirlah membisikkan janji-janjiNya,
Sahabat,
Janjilah padaku..

Doaku,
Moga Allah meneguhkan pijakan kaki-kaki kita di jalan ini,
Doaku,
Moga kita tegar dan setia di jalan ini,
Doaku,
Moga jalan ini menjadi motivasi dalam beramal keranaNya..
Lillah..Billah..Ma'allah..

Wassalam.

 
Read More..