Wednesday 21 September 2011

Rasa Hati itu..


Bismillahirrahmanirrahim..


Suatu ketika dahulu, ( tidak lama, beberapa bulan yang lalu) pernah tertanya-tertanya akan perubahan rasa hati.  Rasa hati yang bermacam-macam. Hati terasa lapang dan segar. Hari-hari yang dilalui terasa indah dan penuh makna. Setiap perkara yang berlaku di hadapan mata, akan dilihat dari kaca mata hati sehingga timbulnya husnul dzon. Indah...sangat indah rasa hati itu. Terasa mahu senyum setiap detik, apatah lagi apabila bergaul dengan orang lain. Yang dikenali mahupun tidak dikenali. Timbul rasa kasih dan sayang kepada mereka..Kasih dan sayang yang layaknya buat hati-hati yang telah mengikat syahadah dan i'tikad yang sama. Ikatan ukhuwwah..

Pelik, sangat pelik dirasakan. Bagaimana boleh hadir perasaan itu? Bahkan tanpa disangka? Tiba-tiba..

Menanggung rasa hati itu kerap kali menimbulkan tanda tanya. Apa maksud rasa hati ini? Rasa bahagia dan tenang namun di satu sisi, mengapa sukar untuk mengalirkan air mata. Selalu mengingat kembali dosa-dosa dahulu, namun kenapa masih tidak mampu menitiskan air mata. Mengingat kembali suatu kisah dahulu yang kebiasaannya akan mudah menitiskan air mata. Namun, tetap juga tidak berhasil. Pelik, sangat pelik..Hati mula berkata, adakah rasa bahagia itu adalah suatu yang benar-benar Allah redhai.? Atau itu permainan syaitan yang cuba menipu dan menjerat perasaan? Hari demi hari, itulah persoalan yang kerap timbul dan merisaukan diri.

Setelah lama berteka-teki, rasa hati dikongsikan bersama seorang sahabat. Di akhir perkongsian, saya menambah, hati seakan-akan membisikkan supaya jangan lagi bersedih, tidak perlu lagi.. Bisikan itu seperti suatu usapan pada sang hati. Sahabat saya membalasnya, "husnul dzon pada Allah. Mungkin itu suatu kemanisan ". Mendengar jawapannya, hati tersentak,. Ya, bersangka baiklah pada Allah.

Jujur pada hati, rasa itu benar-benar pelik dan ta'ajub dirasakan. 

Sehinggalah suatu masa. Setelah lama dirasakan tidak menangis. Cuba lagi menangis namun masih belum mampu merasakan nikmatnya seperti dahulu. Rindu...Rindu yang teramat untuk menangis. Apatah lagi terbaca bahan materi tentang tadharru', hasil tulisan Amru Khalid. Bagi yang sudah biasa membaca buku-buku karangan Amru Khalid (terjemahan Indonesia) pasti mengetahui sentuhannya. Dari hati untuk hati dan hatilah yang menikmatinya..Tulisan itu membangkitkan kembali memori dahulu. Memori merintih, mengadu, menangis.. Berdua denganNya..Meski Dia tidak membalas dengan berkata-kata kepada kita, namun, pengaduan itu sangat menyenangkan dan melegakan hati..Lega yang teramat dan berbeza dengan mengadu kepada manusia.

Akhirnya, tumpah juga air mata. Air mata rindu pada memori dulu-dulu. Air mata rindu pada saat-saat merintih denganNya..Air mata yang tumpah kerana tidak mampu melahirkan tangisan seperti dulu-dulu.. Pernah terlintas di fikiran, inilah cabaran untuk sang hati. Cabaran untuk melahirkan sensitiviti hati untuk lebih peka pada ujian yang berbentuk halus. Agar melatih hati untuk tadharru' pada hal-hal yang yang halus. Seperti mana yang berlaku kepada seorang lelaki yang menangisi dosanya selama 40 tahun kerana mengambil tanah (amaun yang sedikit) tanpa izin daripada pemiliknya. Seperti mana kisah Rasulullah yang mengutip buah kurma ketika berjalan lalu memakannya. Dan malamnya, membuatkan Rasulullah rasa resah dan bersalah kerana mungkin buah kurma itu adalah hak orang lain. Halusnya pandangan dan sensitiviti Rasulullah. 

Hari berganti hari, semakin kuat hati ini merasakan bahawa Allah benar-benar telah memberi hati yang baru pada saya. Hati baru yang perlu ditanam dengan benih yang hasan dan disemai dengan penuh kasih sayang dan kelembutan..Sangat-sangat dirasakan perubahan itu. Alhamdulillah, Allah mengabulkan doa yang pernah dipohon suatu ketika dahulu..Mungkin itulah hadiah dalam rangka usaha untuk mentazkiyyah hati. Alhamdulillah..

Kini, perspektif minda berubah dalam memaknai sebuah kehidupan..Memerhati sekeliling dan masyarakat. Terlalu luas erti hidup ini untuk dimaknai. Dan tiada makna jika hidup sekadar hidup tanpa memaknai erti hidup bertuhan dan gersang daripada menghidupkannya dalam setiap ruh.

Alhamdulillah..Hati terasa ringan, diri mula mudah membuka diri, berkongsi, ringan mulut..Meski hanya small talk, namun penuh makna. Peribadi yang berbeza dengan sebelumnya. Peringatan diri, seorang mukmin itu tidak mengenal istilah ekslusif pada diri. Bergaullah, dan tebarkanlah kasih sayang daripada langit kepada manusia lain..

Benarlah kata seorang mak cik yang sangat saya hormati, " perubahan rasa hati itu mesti terkait dengan sesuatu". Ya, benar..Sangat benar..Apakah "sesuatu" itu? Menjadi rahsia hati. Yang pasti, jika kita meninggalkan sesuatu kesukaan diri semata-mata mencari redha Allah dan berlaku jujur pada hati dan isyarat hati, yakinlah Allah akan menghadiahkan sesuatu yang manis dan teristimewa untuk kita. Bersabarlah dan teruslah berharap dan berdoa...Bukankah janji-janji Allah itu benar?

Wallahu a'lam.

2 comments:

  1. Subhanallah..sungguh rasa hati enna telah meresapi hati akk..sungguh akk dpt merasakn tulisan ini dtg dr hati enna yg dlm..sgt2 terkesan dgn setiap patah perkataan..tidak tertinggal satu pun..Rasa sebak mencucuk2 hati..
    Jzkk ats perkongsian tulisan kali ini. Semoga enna dpt terus berkongsikn tulisan spt ini yg penuh ruhi..bisa mmbasahkn jiwa ini..Jzkk sekali dik...

    ReplyDelete
  2. Kak Syera, sekadar meluahkan dan berkongsi rasa hati..tak reti nak ceritakan tapi alhamdulillah dapat juga diterjemahkan dalam tulisan. Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk pada hati kita...

    ReplyDelete