Tuesday 27 September 2011

Erti Bahagia

Bismillahirrahmanirrahim


Hidayah itu milik Allah yang mutlak. Namun untuk mendapatkannya,kita dituntut untuk berikhtiar. Sepertimana yang Allah firmankan dalam Surah Ar-Ra'd: 11

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri". 

Begitulah Allah mengingatkan kepada kita, bahawa sebarang perubahan itu perlu bermula dengan diri sendiri dan kemudian akan lahirlah pertolongan-pertolongan Allah. Allah juga mengungkapkan dalam Surah Al-Ankabut: 69

"Dan orang yang berjihad untuk Kami (Allah), benar-benar Kami (Allah) akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami (Allah). Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang muhsinin (yang berbuat baik)".

Sebuah janji bahawa Allah akan menunjukkan jalan-jalanNya kepada mereka yang benar-benar bermujahadah untuk mencari redha Allah. Sungguh, Allah Maha Pengasih dan Penyanyang kepada hamba-hambaNya.

Sahabat, 
Ayuh kita merenung kembali langkah-langkah kita dalam meniti kehidupan ini. Bagaimana pendapatmu tentang hidupmu kini? Semakin baik atau sebaliknya? Semakin bahagia atau sebaliknya? Semakin tenang atau sesak di dada? Jujurlah pada hatimu, kerana itulah cara yang akan melunakkan hatimu dan membuka pintu hatimu . Yang akhirnya akan menyedarkan engkau tentang hakikat sebenar dirimu kini.


Dalam menjawab persoalan-persoalan tadi, ianya terkait dengan cetakan pemikiran yang diyakini oleh seseorang. Ada orang yang mengatakan bahawa kekayaan yang dimilikinya adalah indikator bahawa dia bahagia. Ada juga yang mengatakan bahawa dengan bersenang-senang dan bergelak ketawa dengan sahabat-sahabat adalah petanda bahawa dia bahagia. Ada yang mengatakan bahawa dengan mempunyai kekasih menandakan bahawa dirinya sedang bahagia. Benarkah ia? Sekali lagi, benarkah ia membuatkan hati itu benar-benar bahagia? 

Bagaimana mungkin kekayaan membuatkan seseorang bahagia dan tenang. Bukankah harta yang dimiliki itu akan dipersoalkan di akhirat kelak. Bagaimana kita perolehinya dan bagaimana kita membelanjakannya? 

Dari Abi Barzah al-Aslami r.a., dari Nabi s.a.w, sabdanya: 

“Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari qiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?” 

Ingatlah kisah Abdul Rahman Bin Auf, seorang yang hartawan juga dermawan. Harta yang dimilikinya tidak membuatkannya tenang sebaliknya membuatkannya gelisah kerana kelak Allah akan persoalkan tentang harta itu. Justeru, seharusnya harta yang dimiliki menimbulkan kerisauan pada kita dan bukannya kebahagiaan kerana mempunyai wang yang banyak.


Diriwayatkan bahawa Aishah r.a. pernah mendengar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda mengenai seorang hartawan di kalangan sahabat iaitu Abdul Rahman bin Auf, bahawa beliau dijanjikan oleh Rasulullah di antara para sahabat yang masuk syurga, tetapi dalam keadaan mengesot. Abdul Rahman bin Auf ketika mendengar khabar tersebut, dapat memahami bahawa yang menjadi punca berlaku keadaan tersebut ialah kerana beliau seorang hartawan yang memiliki harta yang banyak. Menurut beberapa riwayat, Abdul Rahman bin Auf telah menyerahkan kesemua hartanya sebanyak 100 ekor unta yang penuh barangan dagangan kepada Rasulullah s.a.w kerana beliau bimbang kalau harta tersebut menjadi halangan untuknya memasuki syurga seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Bagaimana pula dengan sahabat? Sahabat adalah cerminan diri kita. Sungguh, jika kita mahu melihat diri kita, lihatlah orang-orang yang dekat dengan kita.. Sedikit sebanyak, peribadi mereka akan tercetak dalam diri kita. Dalam sedar mahupun tidak. 


Allah berfirman dalam Surah Al-Zukhruf: 23

"Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal salih)".
  
Bagaimana mungkin mereka yang bersahabat karib semasa di dunia akan menjadi musuh di akhirat kelak? Namun,  Allah mengatakan ya. Ianya akan berlaku di akhirat kelak. Bagaimana boleh terjadi? Lihatlah kembali pada ayat itu. "kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal salih)". Ini menunjukkan bahawa persahabatan yang tidak diikat atas dasar takwa dan saling mengajak yang ma'ruf, akan terjatuh dalam permusuhan itu. Na'udzubillah. 

Sahabat, mari mengintrospeksi diri kita. Bagaimana sahabat kita? Atas dasar apa kita bersahabat dengannya? Adakah kerana kepandaiannya? Kerana kecantikannya? Kerana kekayaannya? Adakah kerana itu? Persoalan lain yang perlu dituju pada diri kita adalah sahabat jenis apakan kita? Adakah ssahabat yang mengajaik kepada yang ma'ruf atau mengajak kepada keburukan? Adakah sahabat yang mengajak untuk meremehkan perintah agama? Ataukah sahabat yang mempermainkan agama Allah? Sekali lagi, na'udzubillah.

Berbahagialah mereka yang mempunyai sahabat-sahabat yang sentiasa mengajak kepada kebaikan. Berbahagialah hati-hati yang sering diajak oleh sahabatnya untuk memperbaharui imannya. Berbahagialah hati-hati yang mempunyai sahabat yang sentiasa mendoakan kebaikan untuknya. Berbahagialah mereka.

Kekasih. Trend kini, masyarakat mengatakan sesuatu yang menjadi perkara biasa jika anak-anak atau sahabat-sahabat mempunyai kekasih. Biasakah perkara itu? Bahkan jika tiada kekasih, ada yang mengistilahkannya sebagai tidak laku. Sampai begitu sekalikah? Sungguh menyedihkan pemikiran itu. Mengagung-agungkan budaya Barat yang cuba menjatuhkan akhlak masyarakat. Berkasih-kasihan sehingga melanggar hukum Allah. Berpegang-pegangan dan berdua-duan yang jelas salah dari sudut agama. 


Itu yang jelas dengan perlanggaran-perlanggaran agama. Namun, bagaimana pula mereka yang mengistilahkan sebagai "cinta Islami". Tepuk dada, tanyalah iman. Jujurlah pada hati...Jujur pada rasa hati yang dalam. Adakah benar ia bahagia? Atau di situ wujudnya fitnah-fitnah lain. Fitnah mata yang memandang, fitnah hati yang merasa, fitnah akal yang membayang. 


Sahabat, sungguh kesucian hati itu benar-benar sulit untuk dijaga. 
Andai benar engkau mengatasnamakan cinta itu kerana Allah, maka bersungguhlah. Pilihlah jalan yang lebih suci untuk fitrahmu.   Kerana engkau mencintai Yang Maha Pencinta (al-wadud).
Berbahagiakah mereka jika kata-kata manis yang sering diungkapkan membuat hati semakin rindu dan terkenang-kenangkan si dia? Tahukah kita, Allah sangat mencemburui mereka. Bukankah Allah yang selayaknya untuk itu? Sekali lagi, jujurlah pada hati!


Sahabat, usahlah menikmati manisnya yang belum halal untukmu. Simpanlah ia untuk dia yang halal. Yang belum engkau ketahui gerangannya. Mahukah menikmati manis yang tersisa setelah pernikahan? Berpuasalah untuk itu dan nikmatilah sewaktu berbuka nanti. Alangkah nikmatnya waktu berbuka itu, bukan? 


Lantas,bahagia dan tenang itu bagaimana? Tiada lain dan tiada bukan, Al-Qur'an ada jawapannya.


"Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang" (Al-Raad : 28).
Itulah kunci sebuah ketenangan, hati yang sentiasa ingat pada Allah. Bahagia itu terletak pada hati. Jagalah ia, semailah ia, peliharalah dan puliharalah ia..Dengan iman, kasih dan sayang.

Jagalah hati jangan kau kotori
Jagalah hati lentera hidup ini
Jagalah hati jangan kau nodai
Jagalah hati cahaya illahi



(Jagalah Hati-Snada)

Ayuh, kita kembalikan hati itu kepada pemiliknya.

"Wahai jiwa yang tenang.Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam surga-Ku." (Al-Fajr:27-30)
Wallahu a'lam.

1 comment:

  1. Inilah erti bahagia bg diri akk.. memiliki insan2 yang solehah..yg sering menasihati dan berkongsi peringatan saat diri memerlukan...


    balasan utk komen herna di entry 100%:

    Sayang Herna juga kerana Allah~

    Masih mengutip kekuatan dan keyakinan untuk..
    Sedikit demi sedikit,perubahan dibuat.
    Semoga Allah tetapkan akk di jalan ini.
    Walau apa yg berlaku, diri sudah berjanji tidak akan berpaling dari jalan ini. jalan juang para nabi. Kerana menyedari sudah terlalu banyak yang hilang dari diri ini, membuatkan hidup tidak lengkap.

    ya benar apa yg Herna ungkapkn..kelemahan krn kurangnya dzat ruhani..ditmbh pula maksiat yg secara sengaja atau tak sengaja dibuat, menjadikan diri semakin lemah..

    Tapi itu bkan lg alasan bg org yg mengerti seprti kita bukan? Tiada lagi alasan untuk melemah.

    Yang lambat akan keciciran, yang lemah akan ketinggalan..

    Kini, masa untuk terus melaju. biarpun di belakang tertinggal, tapi harus juga melaju mengikut rentak mereka yg kehadapann.

    insyaAllah..semoga kita sama2 berusaha untuk kekalkn keyakinan ini. kerana kita telah merasakan apa yg Allah ganjarkan ats keyakinan itu. Dan akk pernh merasai kesemuanya dahulu...
    kini, banyak yang telah hilang..hilang bersama kurangnya keyakinan..

    harapan akk, agar keyakinan itu kukuh kembali. Ia sudah ada, tinggal lagi untuk dipncakkn kembali dgn teguh. kerana ia goyah seketika ditiup angin..kerana lalai n leka, akk xsempat nk lindunginya...

    doakan agar kita semua terus tsabat ya..

    Sayang Herna~

    ReplyDelete