Monday 1 August 2011

Ramadhan dan Masjid UIA

Bismillahirrahmanirrahim.


Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi. Dengan rahmat dan kasih sayangNYA, kita masih berpeluang dan berkesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan tahun ini.

“Barangsiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan dengan iman dan mengharap pahala daripada Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu” (HR Imam Bukhari)


Mendengar hadis ini, siapa yang tidak tergugah imannya? Dan pasti mahu berusaha untuk merebut kebaikan-kebaikan dalam bulan Ramadhan ini. Hadirnya Cuma sebulan dalam setahun. Namun, pahala dan ganjarannya terlalu besar untuk kita meraihnya.

Menyebut sahaja Ramadhan, antara perkara pertama yang akan terlintas di benak fikiran adalah mahu menghabiskan masa di Masjid UIA. Uniknya ia, indahnya ia hanya benar-benar dapat dirasai oleh hati-hati yang pernah dan telah terbiasa menghabiskan Ramadhan di masjid ini.

Teringat luahan seorang staff masjid ini “Ana pelik dengan pelajar UIA ni. Bila cuti tak nak balik rumah, tapi bila masa belajar, nak cuti pula. Masa bulan Ramadhan ni, duduklah dengan keluarga. Kat UIA ni mana ada orang waktu cuti begini”. Saya mendengar saja kata-katanya. Namun dalam hati, mahu saja mengatakan “ Masjid di luar tidak akan sama dengan masjid UIA”.

Ya, benar. Menghabiskan Ramadhan bersama keluarga adalah kesempatan yang sangat berbahagia bagi saya yang hanya setahun sekali balik kampung. Namun, kerana rindu pada suasana Ramadhan di UIA dan juga kerana masjid ini, tidak mahu melepaskan peluang untuk meluangkan masa berada di sini. Meski hanya seminggu. Sungguh, perasaan itu tidak dapat diganti dengan tempat lain. Manakan tidak, sejak tahun pertama pengajian lagi memang telah terbiasa dengan masjid UIA. Tidak hanya di bulan Ramadhan bahkan di bulan-bulan yang lain. Inilah perhentian setelah habis kuliah sehingga selesai solat Isyak. Jika ada sela-sela masa rehat sebelum kuliah, ini jugalah pelabuhannya.

Alhamdulillah, petang semalam tiba di UIA dan terus menuju ke masjid. Menjejakkan saja kaki ke dalam masjid ini, suatu haruman menusuk ke hidung. Segarnya haruman itu.. Kemudian, bersiap untuk menunaikan solat ‘Asr. Malam satu Ramadhan pun menjelma..Subhanallah, seusai solat Maghrib, indahnya kicauan burung-burung yang berterbangan bebas dalam masjid ini. Pertama kali menyaksikan hal ini berlaku sewaktu Maghrib. Biasanya, burung-burung itu akan hadir selepas Solat Subuh. Agaknya, burung-burung itu juga turut meraikan kedatangan Ramadhan yang mulia ini.

Dan kita? Gembirakah kita dengan kehadirannya? Ataukah yang terkeluar dari bibir kita, “alamak, kena berpuasa. Tak dapat makan minum dah.Dengan cuaca panas pula tu..”. Adakah ini? Jika ini, maka sungguh, hati itu belum mengetahui makna dan hakikat sebenar Ramadhan. Jangan pernah rasa mahu mengeluh..Tapi, berbahagialah dan rebutlah kebaikan-kebaikan yang Allah telah sediakan khas dalam bulan Ramadhan ini. Bukankah segala pahala digandakan sehingga 70 kali ganda ibadat wajib? Bukankah pintu neraka telah ditutup dan pintu syurga terbuka luas untuk kita? Bukankah dalamnya ada malam Lailatul Qadr untuk kita cari? Yang lebih baik daripada seribu bulan! Bukankah setiap doa dan permintaan orang-orang yang berpuasa itu akan dimakbulkan oleh Allah? Nah, apalagi yang kurangnya? Hanya saja Allah memerintahkan kita berpuasa, adakah kebaikan-kebaikan itu telah terpadam daripada menjadi motivasi kita? Mari bersama kita memperbaharui niat dan azam kita dalam kesempatan Ramadhan yang Allah beri kepada kita. Kesempatan itu juga nikmat Allah, bukan?

Mari kita renung sejenak hadis Rasulullah s.a.w. ini:

Rasulullah Saw menaiki mimbar (untuk berkhotbah). Menginjak anak tangga (tingkat) pertama beliau mengucapkan, “Aamin”, begitu pula pada anak tangga kedua dan ketiga. Seusai shalat para sahabat bertanya, “Mengapa Rasulullah mengucapkan “Aamin”? Beliau lalu menjawab, “Malaikat Jibril datang dan berkata, “Kecewa dan merugi seorang yang bila namamu disebut dan dia tidak mengucap shalawat atasmu” lalu aku berucap “Aamin.” Kemudian malaikat berkata lagi, “Kecewa dan merugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai bisa masuk surga.” Lalu aku mengucapkan “aamin”. Kemudian katanya lagi, “Kecewa dan merugi orang yang berkesempatan (hidup) pada bulan Ramadhan tetapi tidak terampuni dosa-dosanya.” Lalu aku mengucapkan “Aamin.” (HR. Ahmad)

Sahabat, ayuh kita memperbaharui niat dan azam kita. Berpuasa dengan sebenar-benar erti puasa dan tidak sekadar menahan diri daripada makan dan minum. Gandakan ibadah dan amal-amal kebaikan. Semoga dengan selesainya Ramadhan ini, kita beroleh kemenangan dan darjat orang-orang yang bertakwa تتقونلعلكم .

Ameen ya Rabb.
.

No comments:

Post a Comment