Thursday 4 August 2011

Memaknai Dakwah

Bismillahirrahmanirrahim.



DAKWAH.
Ia bukanlah sekadar satu kewajipan, namun juga satu pilihan. Bersyukurlah orang-orang yang memilih dakwah sebagai jalan hidupnya. Jalan dakwah sebagai pilihan bukan semata-semata lahir daripada relung naluri, tabiat, bakat kemanusiaan saja, bahkan ia harus diyakini sebagai hidayah daripada Allah s. w.t. kesedaran seperti inilah yang akan membuat kita yakin bahawa hidup ini akan sentiasa dibimbing petunjuk-petunjuk Allah.

Aktiviti kehidupan kita itulah cerminan aktiviti dakwah kita. Bersatunya kita, fikiran, perbuatan dan keyakinan menunjukkan kualiti ketakwaan kita kepada Allah s.w.t.. Sebaliknya, memaknai dakwah secara sempit hanya akan melahirkan pemisahan antara hidup dengan dakwah itu sendiri. Sedangkan, Islam memiliki pandangan bahawa dakwah dan persoalan hidup tidak boleh dipisahkan.

Usia risalah dakwah sama panjangnya dengan usia alam ini. Usia kita sehinggalah anak keturunan kita, masih belum seberapa jika dibandingkan dengan perjalanan dakwah ini. Masih sangat jauh jarak yang harus kita tempuh, masih sangat lama waktu yang harus kita lalui, masih sangat panjang perjuangan ini harus dijalankan. Justeru, tidak pantas kita berasa lelah mengharungi samudera dakwah ini, kerana masih terlalu banyak para pendahulu kita yang jauh lebih letih daripada kita. Tidak pantas kita mengeluh untuk mencapai ketinggian cita-cita dakwah ini, kerana masih terlalu banyak para pendahulu kita yang jauh lebih sibuk daripada kita.

Dalam pandangan Islam, manusia adalah makhluk yang paling sempurna. Manusia hidup dan dapat beraktiviti kerana ada keseimbangan fitrahnya dalam interaksi ruh, fikiran dan jasad. Allah berfirman:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya” (At-Tin: 4)

“Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh) mu seimbang” (Al-Infithar: 7)


Hal ini sejajar dengan tujuan takwa untuk menjadikan manusia yang seimbang sesuia dengan fitrahnya, sebagiamana takwa itu sendiri merupakan bentuk formulasi keseimbangan manusia tersebut. Semakin seseorang itu bertakwa, semakin dia akan dapat menyeimbangkan diri dalam segala aktivitinya. Manusia yang semakin seimbang inilah yang akan semakin produktif dalam aktivitinya.

Dakwah sesungguhnya perintah Allah yang diwajibkan ke atas setiap individu Muslim. Namun, dalam realiti seharian, tidak setiap Muslim memiliki kemampuan yang sama dalam merespons kewajipan dakwah. Ada yang merespons dengan menjalankan sepenuhnya, ada yang setengah-setengah, dan ada yang sama sekali tidak merespon.

Jalan dakwah ini adalah suatu kewajipan dan sekaligus sebuah pilihan. Ketika penggiat dakwah mula berguguran, ini adalah petunjuk bahawa ada sesuatu yang mulai tidak seimbang. Solusinya adalah dengan kembali kepad fitrah manusia sebagai makhluk yang seimbang. Persoalan utamanya ada pada kesedaran pentingnya keseimbangan (tawazun) dalam kehidupan, khususnya dalam kehidupan dakwah. Tawazun dari sudut ruhiyah, jasadiah dan fikriyah.



Tawazun dalam aspek ruhiyah adalah munculnya rasa ketenangan, hilangnya rasa gelisah dan kekhuatiran yang berlebihan dalam kehidupan para da’ie. Tawazun dalam aspek jasadiah pula adalah dalam bentuk tidak adanya rasa sakit, serta mempunyai fizik yang sihat dan kuat. Tawazun dalam aspek fikriyah adalah hilangnya kebodohan dan munculnya kemampuan kecerdasan dalam diri para da’ie. Dan tawazun hasil daripada hubungan ketiga-tiganya adalah dengan munculnya peribadi para da’ie yang mampu mengelola diri dengan pelbagai peranan yang dipikulnya secara optimal dan produktif. Dakwah yang produktif inilah yang akan meraih kesuksesan berdakwah. Sesungguhnya, makna kesuksesan dakwah yang paling mendasar ialah dengan semakin ramai orang yang mendapat hidayah Allah dan mampu menerapkan keimanan yang diyakini dalam kehidupan sehariannya.

Dipetik dan diolah daripada buku: Untuk Muslimah Yang Tak Pernah Lelah Berdakwah



.

No comments:

Post a Comment