Tuesday 12 July 2011

Jujur Pada Hati?



Assalamualaikum wbt. 


Alhamdulillah dipanjatkan kepada Allah, Penguasa sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah s.a.w. kerabatnya dan para sahabat. Alhamdulillah, dengan kerjasama daripada beberapa orang akhawat, terhasillah blog ini. Jazakumullahu khairan katsiran buat mereka. Telah lama berniat apatah lagi ada sahabat-sahabat yang mencadangkan untuk mencipta blog. Biidznillah, tertunai jua kini . Tidaklah memiliki seni dalam menulis bahkan pernah terlintas dalam fikiran dahulu bahawa saya tak boleh menulis. Tidak reti menterjemahkan sesuatu dalam bentuk penulisan. Jika ianya dalam bentuk fakta, insya Allah boleh kerana sifatnya direct to the point namun jika mahu berbunga-bunga dan bercerita, saya bukan ahlinya. Teringat pula semasa zaman sekolah,melihat saja soalan penulisan dalam bentuk cerita, terus dipangkahi. Fokusnya adalah soalan yang berbentuk fakta. Namun, masa beredar dan melihat perkembangan semasa. Kini, meyakini bahawa dunia penulisan memiliki kekuatan tersendiri dalam mengubah paradigma seseorang. Ya, mungkin masih belum mampu menghasilkan tulisan yang panjang apatah lagi sebuah buku, namun perlu juga berikhtiar. Dan bermulalah jejak-jejak awal untuk menulis. Jujur pada hati.


Memilih “Jujur Pada Hati” sebagai tajuk blog, tak sangka ada juga yang bertanya-tanya kenapa dan apa maksudnya..Tersenyum saya mengenangnya. Insya Allah, di ruang kesempatan ini, saya akan menjelaskannya sekadar yang termampu.


Setiap manusia mempunyai kedekatannya pada sesuatu. Tidak terkecuali diri saya sendiri. Boleh jadi ianya sesuatu objek yang abstrak ataupun konkrit. Mungkin ada yang rapat dengan buku,pena, akal ataupun apa saja. Suatu masa dahulu, saya mulai menyedari bahawa saya begitu rapat dengan sang hati. Seorang yang pendiam dan gemar berkata-kata aau berinteraksi dengan hati. Setiap persoalan timbul, akan bersidang dahulu bersama sang hati sebelum bertanya pada orang lain. Mungkin atas kebiasaan itulah, saya begitu sensitif terhadap sebarang perubahan rasa hati. Rasa hati yang merasakan sesuatu akan cepat menghantar isyarat ke akal untuk melakukan diagnosis dan menimbang samada ianya suatu yang baik ataupun sebaliknya. Kunci untuk menjawabnya adalah dengan berlaku jujur pada hati. Jika benar ianya sesuatu yang salah, maka akurlah dan jangan mudah berdalih. Dan jika ianya sesuatu yang dirasakan baik, akan memikir-memikir dahulu adakah benar ianya baik atau tidak.Tidak terlalu cepat memberi jawapan kerana risau terperangkap dengan permainan syaitan yang suka untuk mentazyin (menjadikan indah) sesuatu yang buruk dalam pandangan  manusia.


“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” (Ali Imran:14)


Tajuk ini juga dipilih kerana pernah mengalami suatu peristiwa ketika mana hati diuji dengan sifat kejujuran. Ianya menambahkan keyakinan diri tentang kepentingan untuk berlaku jujur pada hati. Ya, ketika mana kehendak hati bertentangan dengan kemahuan atau kesukaan diri, saat itu terlalu perit untuk memilih. Ibarat berperang memilih antara keduanya. Apatah lagi ketika mula meyedari bahawa rasa sensitiviti berkurangan. Sangat aneh perasaan itu dan mencari-cari kembali perasaan dan sensitiviti yang telah menghilang. Di saat itu, tiada lain tempat untuk mengadu selain kepada Allah Yang Maha Mendengar. Memohon agar ditunjukkan jalan kebenaran. 


 (Ingatlah) tatkala para pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini).” (Al-Kahfi:10)





Sehinggalah suatu ketika, saya dan beberapa orang sahabat sedang mengupas sebuah hadis Rasulullah s.a.w.. Mendengarnya saja, hati benar-benar tersentak dan sangat terasa dalam hati. 


“Kebajikan itu adalah budi pekerti yang baik, dan dosa itu adalah segala sesuatu yang menggelisahkan perasaanmu dan yang engkau tidak suka bila dilihat orang lain” (HR Muslim)

Menggeletar rasa hati dan tanpa disedari, teresak-esak menangis sehingga meninggalkan sebentar rakan-rakan yang lain. Ya Allah, kata-kata ini yang pernah dibicarakan oleh seorang sahabat dahulu, rupa-rupanya sebuah hadis! Saat itu, kuat merasakan bahawa saya mendustai rasa hati yang telah lama memberi isyarat itu. Ianya adalah hadis dan mahukah terus mendustai hati? Lirih sang hati. Dari titik itulah, saya memilih antara keduanya. Ketika bercanggah rasa hati dan kesukaan diri, saya akur memilih sang hati. Jujurlah, tetaplah dengan keputusan itu dan teruslah menjaga, dan menghidupkan hati. Kerana hati yang hidup itulah yang mampu mengejutkan kita yang sedang asyik terlena, dengan izin Allah. Alhamdulillah, terlalu banyak hikmahnya yang dinikmati hingga kini. Hati semakin tenang bahkan menjawab rasa resah dahulu. Sensitiviti hati juga akhirnya telah ditemui.

Bgitulah serba sedikit alkisahnya.Jujur Pada Hati, itulah moto hidup saya.
Wallahu a'lam..

2 comments:

  1. Salam untuk ukhti herna yg sudah lama tidak ku ketemu...tahniah ats blog ini...smg blog ini terus menjadi wasilah hati antara herna dan k.fika serta pendukung2 dakwah diluar sana...
    barakallah fik...

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam. Insya Allah Kak Fika..Ya, telah lama kita tidak bertemu. Semoga Allah merahmati dan memberkahi usia kak Fika. Dan terisi dengan amal-amal kebaikan untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat umumnya. Semua adalah dalam rangka ibadah kita kepadaNYA..Semoga Allah mempertemukan kita kembali..Ameen.

    ReplyDelete