Saturday 16 July 2011

ISK 3: Menjadi Ulul Albab

Bismillahirrahmanirrahim.


Alhamdulillah, di hari Jumaat (15 Julai 2011) yang berkah ini, dengan izin Allah s.w.t. terlaksanalah sebuah perancangan untuk keluar berehlah di Taman Tasik Perdana Kuala Lumpur. Objektifnya tiada lain dan tiada bukan adalah untuk merapatkan ukhuwwah, menikmati, melihat dan merenung tanda-tanda kebesaran penciptaan Allah s.w.t. Dalam kesibukan berinteraksi dengan buku-buku, alhamdulillah, di beri kesempatan untuk berinteraksi pula dengan alam ciptaan Allah.



Pertama kali menjejakkan kaki ke taman ini, subhanallah..cantik sekali. Agak besar juga taman ini. Di dalamnya terdapat taman-taman lain lagi seperti taman burung, taman bunga raya, taman rama-rama, taman kancil dan macam-macam lagi. Di kesempatan tadi, tidak sempat memasuki taman-taman tersebut dan hanya “mendarat” di taman permainan.



Kami tiba tepat pada waktu Asar, dan terus bersiap untuk menunaikan solat Asar dahulu. Menariknya, bukan dalam masjid ataupun surau, tetapi di tapak rehlah kami. Solat beratapkan langit dan berlapikkan tikar-tikar yang dibawa bersama.. Redup dan nyaman terasa.

Seusai solat, Ice breaking dimulakan memandangkan di antara kami adanya adik-adik yang baru dikenali. Kemudian games Islami dimainkan. Tidak sekadar bermain, namun pastinya ibrah disebaliknya cuba dikongsi bersama. Alhamdulillah, adik-adik dapat melihat pelbagai ibrah daripadanya.

Setelah 15 minit bermain, masing-masing diminta untuk berpasangan. Tugasannya adalah berjalan-jalan sambil merenung ciptaan Allah dan mengaitkannya dengan mana-mana ayat Al-Qur’an. Masa diberi selama 17 minit dengan membawa Al-Qur’an bersama. Sekembalinya mereka, sesi perkongsian dimulakan. Antara ayat al-Qur’an yang dikongsi:

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Surah Al-Isra’ :44)

Begitulah hakikatnya. Semua makhluk bertasbih memuji Allah, dan kita pula bagaimana?


Kemudian ada juga berkongsi ayat:

Dan guruh bertasbih memujiNYA, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepadaNYA, dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada siapa yang Dia kehendaki, sementara mereka berbantah-bantahan tentang Allah dan Dia Mahakeras siksaanNYA. (Surah Ar-Ra’du:13)

Sepanjang berada di situ, langit kelam dan kedengaran guruh di langit berserta kilat. Alhamdulillah, fenomena itu dapat dihubungkan dengan ayat daripada Surah Ar-Ra'du itu.

Ayat lain adalah:

Demi siang apabila menutupi (cahaya siang). Demi siang apabila terang benderang. Demi penciptaan lelaki dan perempuan. (Surah Al-Lail:1-3)

Betapa Maha Pengasih dan Penyayangnya Allah dengan segala rahmatNYA kepada kita. Tiadalah Allah menciptakan semua itu dengan sia-sia sepertimana firman Allah:

'Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang ada tanda-tanda bagi orang yang berakal. Yaitu orang-orang yang mengingat Allah dalam keadaan berdiri atau duduk atau berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata: Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka'.'' (Surah Ali-Imran:190-191)

Maka, bagi mereka yang berfikir, setiap penciptaan Allah itu pasti mengandungi ibrah atau hikmahnya sepertimana yang ditegaskan dalam ayat tadi. Semoga kita bukanlah tergolong dalam golongan yang Allah umpamakan seperti haiwan ternak bahkan lebih sesat lagi. Ini kerana golongan tersebut tidak menggunakan nikmat pancaindera yang Allah kurniakan untuk lebih mengenaliNYA dengan merenung ayat-ayat kauniyahNYA.

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai."(Surah Al-A'raf:179)


Sahabat, mari bersama kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah dengan segala nikmatNYA. Alam yang terbentang ini telah Allah tundukkan untuk kegunaan dan manfaat kita. Namun, sejauh mana kita mensyukurinya? Memanfaatkannya ataupun merosakkannya? Tepuk dada, tanyalah iman sambil kita memuhasabahkan diri.

Alhamdulillah, setelah 2 jam berada di sana, kami pun berkemas dan seterusnya menuju ke Masjid Negara untuk menunaikan solat maghrib. Alhamdulillah, jika sebelum ini hanya lalu sahaja dan melihatnya dalam TV, namun dengan izin Allah berkesempatan menjejakkan kaki di sana. Selepas solat kami pun makan bersama. Syukran jazilan kepada ukhti yang memasaknya. Tepat pukul 8.35 malam, kami pun bergerak pulang.




Selepas menghantar adik-adik pulang, kami perlu segera pulang ke kampus atas urusan yang lain pula yang perlu ditunaikan. Alhamdulillah atas nikmat Islam, iman dan ukhuwwah ini.

Wassalam.
.

No comments:

Post a Comment