Thursday 14 July 2011

ISK 2: Wacana Tarbawi Bersama Sheikh Jum'ah Amin

Bismillahirahmanirrahim.



Alhamdulillah, pada 11 Julai 2011 yang lepas bertempat di Jubli Perak SUK Selangor, Shah Alam,berkesempatan menghadiri sebuah Wacana Tarbawi yang disampaikan oleh Sheikh kabir, Sheikh Jum’ah Amin. Melihat wajahnya di hadapan mata, penuh keseriusan tergambar dan mendengar sentuhan kalimahnya, begitu ruhi dirasakan.



Sheikh Jum’ah Amin, siapakah beliau? Beliau merupakan salah seorang pemikir Ikhwanul Muslimin (IM) dan salah seorang musyrif dalam penulisan silsilah Sejarah IM. Juga salah seorang musyrif terhadap silsilah turats Hasan al-Banna. Dia telah banyak menulis karya dalam bidang dakwah dan tarbiyah untuk memberi gambaran yang jelas tentang IM, pemikiran dan manhaj mereka. Antara tulisan beliau yang masyhur adalah “Di Bawah Bayangan Usul 20”, “Dakwah; Kaedah dan Usul”, “Manhaj Quran Dalam Membentangkan Aqidah Islam”, “Manhaj Taghyir Menurut Imam al-Banna” dan banyak lagi karya-karya lain. Sekarang beliau menumpukan sepenuh masanya untuk dakwah Islam dengan merantau ke seluruh dunia timur dan barat. Beliau dipilih sebagai Naib Mursyidul Am IM bermula Januari 2010.

Insya Allah, dalam ruangan kali ini, mahu berkongsi apa yang diperolehi pada malam itu. Tajuk Wacana Tarbawi adalah:
التربية عند الإخوان المسلمين ودورها في بناء المجتمع
Tarbiyyah Ikhwanul Muslimin dan Peranannya dalam Membina Masyarakat

Antara kata-kata dan pesanan-pesanan menarik yang diperolehi:

1- Kita berjumpa pada malam berbahagia ini atas dasar aqidah iaitu sebuah ikatan yang kuat. Dalam aqidah ini, telah menyatukan jiwa-jiwa daripada pelbagai negara sepertimana Salman al-Farisi daripada Parsi, Suhaib ar-Rumi daripada Rom dan Bilal al-Habsyi daripada Habsyah. Berbeza negara tetapi memiliki matlamat yang satu.

2- Seseorang muslim boleh berpuasa dan solat tapi siapa yang akan membela dan menegakkan agama secara keseluruhannya? Seseorang itu takkan mampu tanpa melalui jemaah.

3- Islam adalah milik semua orang Islam. Maka, dakwah adalah kewajiban semua orang Islam.

4- Islam menekankan aspek aqidah, syariah dan jihad. Semua itu adalah tugas setiap individu muslim dan jemaahlah yang menyusunnya agar ditegakkan.

5- Penegakan Islam akan didatangi oleh penentang-penentang Islam dan IM mempunyai caranya tersendiri untuk mengatasinya. Ia adalah melalui manhaj taghyir yang bermula daripada bina’ul insan (binaan manusia)

6- Ia adalah mengikut celupan tarbiyyah Rasulullah s.a.w. yang mula-mula membina peribadi para sahabat sebagai unsur perubahan. Dengan tangan yang berwudhu’, dahi yang bersujud dan kaki yang bengkak kerana banyaknya ibadah.

7- Ketika mana jihad ditinggalkan, maka berleluasalah penyakit wahn iaitu cintakan dunia dan takutkan mati.

8- As-solah qobla al-islah (الصلاح قبل الإصلاح)- Membaiki diri sendiri sebelum membaiki diri orang lain.

9- Keadaan Mesir semasa zaman Hasan al-Banna; berlakunya pecah amanah, ekonomi yang meleset dan kemiskinan merata walaupun ada orang-orang yang kaya. Namun, ditengah-tengah kerosakan itu, Hasan al-Banna mahu melahirkan manusia yang mahu melakukan perubahan pada diri mereka dahulu dan menunaikan solat di awal waktu. Jika tidak teratur solatnya, jadi bagaimana mahu membuat perubahan dunia. Mereka itu juga adalah yang melihat amalan sunnah seperti amalan wajib.

10- Hasan al-Banna membina mereka dengan tarbiyyah rabbaniyyah. Peribadi-peribadi itulah yang akan melakukan perubahan-perubahan ikhlas ke atas politik dan ekonomi. Justeru, dengan manhaj taghyir itu, diwujudkan amalan-amalan dalam pentarbiyyahan seperti qiyamullail sekurang-kurangnya 2 rakaat, wirid dan tilawah al-Qur’an sekurang-kurangnya satu juzuk sehari.

11- Bila hati dekat dengan Allah, maka akan memperoleh kekuatan dan kemenangan.

12- Islam tidak memerlukan percakapan( قولا ) tetapi amalan, فعلا

13- Kebaikan dan keberhasilan sentiasa bertembung dengan maksiat. Jadi, jangan pernah lelah atau berputus asa.

14- Hasan al-Banna berkata kita memerangi manusia dengan perasaan kasih sayang dan cinta.

15- Ukhuwwah adalah suatu kewajiban. Dengan ukhuwwah dan iman, kita mampu mengubah masyarakat.

16- Kurangkan berkata-kata tapi banyakkanlah memberi bantuan kepada masyarakat.

17- Manhaj Hasan al-Banna dalam membina masyarakat ada 4:

i. Membuat kajian ke atas cabaran dan masalah umat di samping memikir kerosakan-kerosakan yang berlaku.
ii. Mengkaji sejarah dan mengambil ibrah daripadanya. Sejarah tentang Islam, sejarah tentang umat-umat yang berjaya bangkit daripada kegagalan, sejarah tentang gerakan-gerakan kebangkitan.
iii. Membahagikan masyarakat kepada 4 kelompok iaitu, kelompok yang beriman, opportunists, teragak-agak dengan kebenaran dan kelompok penentang. Hasan al-Banna mengkaji manusia daripada sudut sosiologi.
iv. Mengkaji pertembungan politik dan mengambil ibrah dan menurunkannya kepada masyarakat dengan iman dan ukhuwwah.

18- Jangan bakhil dengan masa dan harta. Jika kamu berpaling, Allah akan menggantikan kamu dengan orang lain (Al-Maidah: 54)

19- Satu tanda Allah cintakan kita adalah dengan Allah memberi taufiq untuk taat kepadaNYA.

20- Allah memberi akhlak kepada seseorang sepertimana Allah memberi rezeki. Allah memberi rezeki kepada muslim dan musyrik. Tetapi, agamaNYA hanya diberikan kepada muslim.

Semoga bermanfaat. Wallahu a’lam.
.

No comments:

Post a Comment