Wednesday 13 July 2011

ISK 1: Malam Bersih 2.0

Bismillahirrahmanirrahim.


9 Julai 2011. Suatu tarikh yang telah menggegarkan seluruh tanah air. Heboh diperkatakan di mana-mana dan seluruh peringkat masyarakat. Surat khabar,FB, cafe, bas, pejabat. Pelajar, pekerja, yang tidak bekerja, tua dan muda, semua tidak terkecuali. Hebatnya ia sehingga menjadi satu gelombang fenomena yang hebat dalam negara.

Alhamdulillah, malam itu berkesempatan untuk turun ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Keramat dan Balai Polis Jinjang. Suatu pengalaman yang sangat berharga kerana baru menyedari sebahagian hakikat menjadi salah seorang rakyat Malaysia. Dan pengalaman itu memberi kesedaran tentang pentingnya untuk hidup bermasyarakat dan mengambil tahu tentang isu-isu semasa.

9.00 malam:


kami bergerak dari Taman Melawati menuju ke PULAPOL dengan menaiki sebuah kereta. Kereta ini dinaiki oleh 4 orang termasuk saya. Seorang sahabat yang telah dikenali, dan dua orang lagi yang juga sepasang suami isteri yang baru dikenali. Beberapa buah kenderaan “kenalan baru” lain juga turut serta dalam misi itu. Lokasi tidak diketahui oleh kami, namun alhamdulillah dengan kemudahan GPS akhirnya kami sampai ke destinasi. Kereta diberhentikan di satu sudut bahu jalan dan terus menuju ke tempat lokasi. Dari kejauhan, sudah melihat begitu ramai yang berkumpul dan berlegar-legar di luar perkarangan PULAPOL. Seorang daripada kami siap membawa video kamera untuk merakam adegan-adegan menarik. Video kameranya yang bersaiz besar itu layaknya seperti seorang cameraman profesional. Detik sang hati sambil tersenyum.

Sampai di satu cabang jalan, melihat ada dua kelompok. Satu kelompok sedang berkumpul di hadapan pintu pagar PULAPOL yang ketat diawasi oleh sekumpulan polis. Sekelompok lagi berkumpul di hadapan tempat makan dan melihat di situ ada sahabat-sahabat lain yang turur bergerak sama tadi. Kami bergerak ke hadapan pintu pagar PULAPOL. Sekumpulan peguam yang segak mengenakan pakaian profesional mereka kelihatan di luar perkarangan PULAPOL. Melihat wajah-wajah mereka, tiada seorang pun yang berwajah melayu muslim kelihatan. Mana peguam melayu? hati berkata. Persoalan itu diendahkan dan terus menuju ke hadapan pintu pagar. Setibanya di sana, kiri kanan dan depan belakang, masing-masing membicarakan tentang BERSIH dan tahanan-tahanan polis. Seorang wanita kemudian menghampiri dan bertanya, “ Anwar ditahan ke?” Kami hanya menjawab dia dimasukkan ke dalam hospital.

Setelah lama di situ, kami pun bergerak menuju ke hadapan tempat makan, tempat berkumpulnya sekelompok lagi. Sempat juga bertemu dan bersalam dengan seorang sahabat yang dikenali dan turut melihat beberapa orang yang dikenali wajahnya. Sejurus kemudian, seorang peguam menghampiri dan kami bertanya tentang tahanan. Peguam itu mengatakan bahawa kebanyakan tahanan telah dilepaskan dan yang belum dilepaskan dipindahkan ke Balai Polis Jinjang. Setelah itu, kami yang datang berkumpulan membuat keputusan untuk bergerak ke Balai Polis Jinjang.

Kereta siap dipandu, dan persoalan sama berulang, di mana lokasinya? Alhamdulillah, GPS ada untuk memberi bantuan. Kami sampai ke kawasan Jinjang. Sepanjang perjalanan masuk menuju Balai Polis Jinjang, deretan kedai-kedai cina kelihatan. Penghuni kawasan ini boleh dikatakan majoriti adalah berbangsa cina. Kemudian melalui kawasan perumahan dan di hujung jalan itu letaknya Balai Polis Jinjang. Laluan disekat oleh polis yang ramai dan kawasan itu kelihatan dikerumuni oleh orang ramai. Kami terpaksa berpusing semula untuk mencari parking yang sesuai. Agak jauh juga kereta diletakkan dan kemudian bergerak ke kawasan orang ramai tadi. Terlalu ramai bahkan lebih ramai daripada yang berada di kawasan PULAPOL tadi. Sekali lagi melihat sekumpulam peguam dan tiada wajah melayu muslim kelihatan di kalangan mereka. Kami juga difahamkan bahawa SB bertebaran di kawasan itu. Di belakang kami saja kelihatan beberapa orang SB. Tidak banyak berkata-kata, ibarat sedang memerhati gerak geri orang ramai.Pemerhati yang sunyi.





Antara situasi menarik semasa berada di situ:

1- Bertemu dengan seorang lelaki yang ditemani oleh seorang lelaki yang lebih muda daripadanya. Daripada cara dia berkata-kata,saya dapat mearasakan bahawa dia adalah ‘seseorang’. Penuh keyakinan walaupun nampak bersahaja. Dia mengatakan, “ siang menjadi penjenayah dan malam menjadi peguam”. Kami tergelak.” Betul ke dia peguam? “ saya bertanya kepada sahabat yang lain. Tidak lama kemudian, dia menghulurkan kad nama kepada saya. Sah, dia seorang peguam. Sempat menawarkan untuk chambering di firma guamannya. “Kita memerlukan pemuda-pemuda apatah lagi yang berfikrah”, katanya. Dia sempat memberi up date kepada kami. “Anwar Ibrahim masuk hospital akibat kecederaan, Haji Hadi telah dilepaskan, Mat Sabu masih dalam tahanan”, katanya.

2- Sedang asyik memerhati situasi di situ, tiba-tiba, kami didatangi dan dihulurkan minuman oleh seorang lelaki. Dalam keadaan teragak-agak, kami mengambilnya.Bukan satu tapi dua. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, begitulah perasaan kami ketika itu. Pelik, dalam ramai-ramai orang di situ, kenapa kepada kami disuguhkan minuman itu? Begitulah persoalan yang dilontarkan oleh sahabat saya. Apa yang mampu saya katakan kepadanya, ” rezeki”. Berkongsi minuman, tekak yang kering dibasahkan. Alhamdulillah dengan rezeki Allah.

3- Kekecohan berlaku. Semua tertumpu pada seorang lelaki dan seorang polis. Rupa-rupanya, lelaki itu memakai baju BERSIH. Dia diminta untuk menanggalkannya.Tiada tangkapan berlaku.


4- Lelaki yang juga seorang peguam tadi, kemudian dilihat menghampiri seorang polis dan menaiki sebuah kereta. Hanya 4 orang sahaja yang dibenarkan untuk menaiki kereta itu. sejurus kemudian, bergerak memasuki perkarangan Balai Polis Jinjang. Desas desus mengatakan mereka mahu menjemput keluar Mat Sabu yang mengalami kecederaan kaki. Dalam hati mengatakan,”bukan calang-calang pak cik peguam itu. Berjaya menembus masuk ke balai polis.”Setelah beberapa ketika, kereta itu keluar dan membawa bersama Mat Sabu. Laungan Allahu Akbar kedengaran.





Setelah itu, kami bergerak menuju ke satu lagi pintu keluar tahanan-tahanan. Peristiwa menarik:

1- Sempat bergambar dengan 4 orang bekas tahanan wanita.

2- Seorang lelaki naik angin terhadap seorang sahabat kami. Naik berang kerana dia merakam gambar dan video. Mengikut cerita sahabat kami itu, telefon bimbit lelaki berkenaan sengaja melanggar video kameranya sehingga telefon bimbitnya terjatuh. Agak kasar juga kata-kata yang dilemparkannya. Rasanya, bagi lelaki yang tidak tahan dengan cabaran untuk diajak bergaduh, pasti menyahutnya. Alhamdulillah, sahabat kami mengendahkannya. Difahamkan bahawa lelaki itu cuba untuk membuat provokasi dengan menimbulkan kekecohan. Saya juga kehairanan kerana pihak polis yang berada di situ membiarkan sahaja ketegangan itu berlaku. Orang-orang biasa yang berada di sekitar itulah yang cuba menenangkan keadaan. Alhamdulillah, suasana kembali tenang.

3- Kelihatan beberapa orang bekas tahanan keluar. Seorang pemuda kelihatan kotor bajunya dan lebam pada muka. Hati berkata, “mungkin semasa tangkapan, pergelutan berlaku. Dan mukanya yang lebam? Pastinya dah kena tumbukan. Daripada siapa?" Wallahu a’lam.saya hanya mampu berprasangka.

4- Beberapa orang bekas tahanan keluar dan seorang lelaki menghampiri mereka dan bertanya tinggal di mana. Lelaki itu siap untuk menghantar mereka pulang atau ke mana saja mereka mahu pergi. Terkesan hati melihatnya. Subhanallah. Inilah nikmat persaudaraan. Persaudaraan atas dasar aqidah dan tauhid yang sama. Walau tidak mengenali antara satu sama lain, namun bersedia untuk menghulurkan bantuan tanpa diminta. Pelayanan masyarakat dihulur di mana-mana saja.

5- Dua orang pak cik keluar. Masing-masing membawa bungkusan berisi barang-barang peribadi mereka. Terlihat kain pelekat bersama. Sayu melihat seorang pak cik yang lebih berusia. Berpeluh wajahnya, namun tak sangka semangat mahu turun ke BERSIH begitu kuat. Kagum saya dibuatnya. Seorang pak cik lagi sempat berkongsi pengalaman. Sebelum keluar daripada tahanan, barang peribadinya dibungkus. Pegawai polis yang mengurusnya adalah bukan Islam. Dia mahu membuang kopiah pak cik berkenaan namun pak cik itu berkeras. “Untuk apa?”, kata polis itu. “Aku guna untuk solat”, lantang pak cik itu menegaskannya. Saya kagum dengan pak cik itu kerana menegakkan syiar Islam. Ya, pada kopiah itu adanya syiar Islam dan itulah salah satu daripada lambang-lambang Islam.

Menghampiri jam 12.30 pagi:


Kami mula beransur pergi meninggalkan Balai Polis Jinjang. Alhamdulillah, di samping dapat meninjau dan memerhati kawasan tersebut, kami sempat memberi khidmat menghantar pulang beberapa orang wanita bekas tahanan tadi. Dalam perjalanan pulang, perasaan yang berbunga-bunga dan semangat bermasyarakat mewarnai hati.

Itulah antara memori yang sangat berharga yang dapat diabadikan dalam bentuk penulisan ringkas ini.

Allahu a'lam Wassalam.
.

No comments:

Post a Comment