Bismillahirrahmanirrahim
![]() |
Selembut sutera, seteguh akar.. |
Ibu,
Itulah nama yang sering berlegar di benak fikiran,
Tatkala hati merindui belaian
seorang suri,
Padanya ada ketenangan dan
kedamaian,
Meskipun dirinya kutahu,
Tersimpan beribu rahsia
kepayahan,
Liku-liku dan ketakutan yang sering
menghantuinya.
Ibu,
Bergenang air mata ini,
ketika minda diheret mengimbau
segala pengorbananmu,
Asuhan yang penuh kelembutan dan
kasih sayang,
Khidmat yang sentiasa sedia dan setia menyumbang ,
Titipan semangat dan harapan yang
membekas,
Sungguh!
Pesonamu merenggut keangkuhan
diri.
Ibu,
Dikala rindu semakin mencengkam
diri,
Dikala terasa kehangatan
sentuhanmu membelaiku,
Diri terasa ingin berlari semahunya untuk mendakapmu erat,
Diri terasa ingin mengucupmu
dengan penuh kasih dan syukur,
Kerana engkaulah permata hatiku,
Permata yang tiada pernah ada ganti
buat selamanya.
Ibu,
Sebuah pengharapan murni
kutitipkan padamu,
Teruslah berjuang dan teguhkanlah dirimu,
Bersabarlah dan senyumlah,
Meskipun deritamu terselindung di
balik kemanisan tawamu,
Kerana itulah siraman yang
menyejukkan dan menyuburkan,
Tiap kali melewati hati-hati yang tandus nan retak.
Ibu,
Itulah dirimu,
Yang lemah pada kudratnya,
Namun cekal menyingsing lengan
mengharungi ujian hidup,
Dan dikejauhan ini,
Tiada lain yang selayaknya
kuhadiahkan ,
Hanyalah seberkas doa agar redha
Illahi sentiasa bersamamu,
Barakallauhu fiki,
Terima kasih untuk segalanya.
Hanya untukkmu,
ibuku…
No comments:
Post a Comment