Sunday 6 September 2015

Melangitkan Masalah

Bismillahirrahmanirrahim



Aku melontarkan sejauh-jauh pandangan. Tepat menuju Langit. Entah… kebebasan apakah yang menyelubungi diri tatkala menatapnya. Puas. Nikmat. Merdeka.
Dari langit, aku belajar erti ketenangan dalam memaknai sebuah kehidupan!

Manusia pastinya tidak pernah sunyi daripada diuji. Setiap waktu dan ketika. Ada orang yang diuji dengan kesusahan berupa wang, pekerjaan, keluarga, rumahtangga mahupun lingkungan. Bahkan, bentuk-bentuk ujian ini juga boleh hadir dalam rupa kenikmatan. Soalnya, adakah kita benar-benar menyedarinya ataupun tidak. Sedar bahawa kita sedang diuji. Begitu jugalah dengan manusia demi manusia yang ditemui. Setiap mereka dan peristiwa membawa mesej kehidupan untuk dipelajari. Sudut kebaikan untuk diteladani dan sudut keburukan untuk disempadani.
Begitulah, datang dan perginya manusia dan peristiwa dari diari kehidupan kita.

Usia 16 tahun adalah kemuncak pencarianku untuk memaknai sebuah kehidupan. Pemahaman sebatas ilmu, lingkungan dan pengalaman yang aku punyai saat itu. Hanyalah seorang remaja biasa namun ingin celik dari lingkungan hidup yang diletihkan dengan mengejar dunia tanpa menjadikan Tuhan sebagai nadi yang melatari hayatnya. (Terimbauku pada kisah silam).


It’s how you communicate to yourself!

Apa tujuan hidup kita?
Antara model-model manusia dan keluarga yang kita temui, yang manakah yang terbaik untuk diikuti?
Ke mana arah destinasi hidup ini?
Apa sebenarnya makna kehidupan yang aku lalui ini?
Aku ini siapa?
Apa kaitan aku dengan orang disekelilingku?
Tanggungjawab apa yang aku harus mainkan?

Hakikatnya, inilah manusia yang fitrahnya adalah seorang pemikir dan pemerhati. Hanya tinggal menghubungkan antara akal dan hatinya. Sebelum bertindak untuk memilih langkah arah mana yang akan dipilihnya. Dan proses ini sangat memerlukan komunikasi dalaman yang berkesan secara intensif. Usah terlalu naif untuk mengatakan diri tidak layak mengubah kompas hidup kepada yang lebih baik. Seolah-olah telah menemui check mate tanpa jalan keluar untuk mengubah langkah. Hidup ini adalah percaturan namun ia bukanlah ibarat permainan catur kerana kita sentiasa ada pilihan untuk melakukan U-Turn selagi belum menemui check mate hakiki iaitu kematian. Meskipun memiliki banyak kekurangan dan ketidaksolehan peribadi, hargailah, akuilah dan bersedialah untuk memaafkan diri sendiri.   Setelah itu, warnailah kehidupanmu dengan warna-warna indah yang penuh makna.


Peristiwa adalah persediaan untuk menjadikan dirimu yang akan datang.

 “Kami menceritakan kepadamu (Muhammad) kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al-Qur’an ini kepadamu, dan sesungguhnya engkau sebelum ini termasuk orang yang tidak mengetahui”. (Yusuf: 3)
Inilah kisah terbaik yang Allah ceritakan kepada kita dalam Al-Qur’an. Kisah Nabi Yusuf a.s. Siapa sangka, Nabi Yusuf a.s. yang dahulunya pernah dipenjara akhirnya diangkat menjadi seorang bendahari kerajaan Mesir?

Namun, kedudukannya tidaklah diraih dengan jalan mudah. Namun sarat dengan ujian-ujian berat untuk dipikulnya. Namun, kerana Allah merancang untuknya, semuanya berjalan sesuai dengan rencanaNya. Silakan menyemak al-Qur’an anda untuk memahaminya. J

Tidak jarang ujian membuatkan kita terduduk merenung nasib diri. Menangis penuh hiba atas peritnya terasa tak tertanggung lagi. Beratnya beban tak terjunjung kepala. Lenguhnya kaki untuk terus melangkah untuk menjalaninya. Namun, cermatilah ia dengan penuh kejernihan mata hati dan akal. Pedih hari ini mungkin suatu mahar untuk meraih kebahagiaan dikemudian hari. Bahkan, berdirinya kita pada hari ini adalah lahir daripada beragam ujian yang telah kita lalui dahulu.
Musibahkah ia ataukah rahmat?

Serahkan sahaja setiap urusan kepada Allah…seperti tutur kata Nabi Musa a.s.,

وأفوض أمري الى الله
“dan aku serahkan urusanku kepada Allah” (Ghafir:44)

 “Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal itu baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”. (Al-Baqarah: 216)

Pandang kejauhan langit…

Pulangkan ‘masalah-masalah’ kepada DIA yang merencanakan untuk kita. 
Inilah kehidupan.

1 comment:

  1. Шалавы Проститутки Киева для секса и минета без резинки. Спростите почему? Ая вам пример уже привел. Сосите глубже.

    ReplyDelete