Friday 26 October 2012

Setegar Siti Hajar

Bismillahirrahmanirrahim


"Apakah Allah SWT memerintahkannya yang demikian ini?", tanya Hajar. Nabi Ibrahim menjawab: "Benar." Isteri yang beriman itu berkata: "Kalau begitu, kita tidak akan disia-siakan."

Menyingkap Sejarah di Tanah Gersang

Suatu hari, Nabi Ibrahim memerintahkan isterinya, Hajar supaya bersiap sedia untuk melalui sebuah perjalanan panjang. Setelah beberapa hari, bermulalah perjalanan mereka berserta anak kecil mereka yang masih menyusu. Gurun dan gunung-ganang dilewati oleh mereka. Saat itu, tiada kata yang diungkapkan oleh Hajar. Taat dan setia meredah perjalanan panjang bersama suaminya. Sehingga sampailah mereka ke Tanah Arab. Tanah tandus lagi gersang tanpa tanaman dan pepohon yang menghijau.

Nabi Ibrahim menurunkan isteri dan anaknya dari tunggangan unta dan meninggalkan bersama sedikit bekalan makanan dan air. Lalu, ditinggalkan isteri dan anaknya di tengah-tengah tanah tandus dan gersang itu..Langkah demi langkah Nabi Ibrahim berundur. Tiba-tiba, Hajar menyusulnya dan  bersuaralah si isteri. 

"Wahai Ibrahim, ke mana engkau pergi? Mengapa engkau meninggalkan kami di lembah ini, padahal di dalamnya tidak terdapat sesuatu pun."

Tiada kata yang dibalas oleh Nabi Ibrahim bahkan terus melangkah meninggalkan kesua-sua insan yang disayanginya.

Si isteri bertanya lagi akan hal yang sama. Namun, bibir kekal kaku dan terpaku. Nabi Ibrahim diam tanpa kata. Jauh terpendam, tiada yang memahami gelora rasa si suami melainkan Allah..

Si isteri solehah yang taat lagi beriman, sangat cerdas memahami hal yang tersirat. Mengertilah dia bahawa suaminya tidak akan bersikap sedemikian melainkan setelah mendapat perintah dari Allah SWT. Meluncurlah keluar persoalan dari si isteri.

"Apakah ini perintah dari Allah?"

Akhirnya, bersuaralah si suami, "Benar."
Lantas dengan tenang dan yakin isteri yang beriman itu berkata: "Kalau begitu, kita tidak akan disia-siakan." Betapa teguhnya keyakinan Hajar kepada Allah!! Sedangkan dia seorang wanita yang akan ditinggalkan keseorangan bersama bayinya yang kecil.

Tinggallah Hajar dan bayinya yang mughil itu berdua di tanah asing yang tandus dan gersang. Wanita dan bayi, dua insan lemah yang amat memerlukan perlindungan. Lantas, pada siapa mahu bergantung harap? Tiada lain hanyalah Allah!!

Beberapa hari kemudian, bekalan makanan dan susu sudah kehabisan. Tidak keruanlah Hajar. Bayinya menagih kelaparan. Berlari-larilah Hajar mencari air dari Safa ke Marwah. Dari jauh melihat seolah-olah ada biasan kelopak air, maka berlarilah dia mendapatkannya, Namun hampa. Yang disangka air rupa-rupanya hanyalah fatamorgana di tengah-tengah gurun.

Setelah masuk ke tujuh pusingan Hajar berlari-lari mencari air, dengan rahmat dan kasih sayang Allah, dilhamkan kepada Ismail untuk menghentak-hentakkan kaki kecilnya itu ke tanah. Allahu Akbar, terpancutlah keluar air dari hujung kaki Ismail.

Riang gembiralah hati si ibu dan dengan tuntas menyebut "zammi, zammi, zammi" yang bermaksud berkumpullah, berkumpullah, berkumpullah..Kerana disangkakannya, air itu akan segera habis dan Hajar sangat berharap agar air itu berkumpul sebanyak-banyaknya untuk bayinya. Tulusnya hati seorang ibu...
Hajar berharap agar air itu berkumpul untuk bayinya, tapi ternyata Allah menghadiahkan kepadanya sesuatu yang luar biasa. Telaga zam-zam yang tidak akan surut hinggalah hari kiamat!!

Dari tanah tandus dan gersang bertukarlah ia menjadi tanah yang subur dan pusat pengumpulan kafilah-kafilah dagang. Hingga meluaslah perkampungan yang terbina di sekitar telaga ini. Bahkan, tanah gersang ini jugalah telah bertukar menjadi tanah Haram yang dimuliakan Allah hingga hari kiamat kelak, Mekah Al-Mukarramah.


Belajar daripada Peribadi Siti Hajar

 "Tangan yang disangka lembut menghayun buaian, menggoncang dunia mencipta sejarah"

Menelusuri kisah Siti Hajar, pasti memberi impak yang menggugahkan jiwa. Pengorbanan, cinta, kasih, optimis, cekal, tegar, survival dan banyak lagi qudwah yang dipamerkan oleh insan agung ini.

Apakah rahsianya?

Formulanya,
Ilmu, Iman, Amal

ILMU
Siti Hajar mengetahui bahawa hidup ini mempunyai halatuju. Dan dia, benar-benar jelas akannya dan memahaminya. 

Pengakhiran hidup adalah kematian dan bertemu dengan Allah. Rumah abadi hanya ada dua samada syurga ataupun neraka.

Hajar benar-benar mengetahui bahawa hakikat kehidupan seorang hamba bukanlah pada dunia tapi berakhir kepada Allah. Tujuan hidupnya jelas, sebagai abid (hamba) dan khalifahnya.

Maka, tidak hairanlah kenapa Hajar langsung tidak mempersoalkan perintah Allah ke atas Nabi Ibrahim agar meninggalkannya dan bayinya di tanah gersang itu. Maka tidak hairanlah kenapa Hajar begitu mudah untu tunduk dan taat kepada perintah Tuhannya..Bahkan meyakini akan ada hikmah di sebaliknya.

"Apakah Allah SWT memerintahkannya yang demikian ini?", tanya Hajar. Nabi Ibrahim menjawab: "Benar." Isteri yang beriman itu berkata: "Kalau begitu, kita tidak akan disia-siakan."

Ketika mana Hajar memahami bahawa hidupnya harus tunduk kepada perintah Allah, maka tiada kata dua harus diungkapkan. Redha dan hadapilah!! Meskipun logik akal mengatakan diri kita terdedah kepada pelbagai bahaya..

Siti Hajar, seorang wanita solehah berhati waja. Dialah wanita pengukir sejarah.

IMAN

Iman didefinisikan sebagai membenarkan dengan hati, mengikrarkan dengan lisan dan mengamalkan dengan anggota badan. Inilah pendapat masyhur di kalangan ulama'. Lebih terperinci lagi,

“Membenarkan dengan hati” maksudnya menerima segala apa yang dibawa oleh Rasulullah saw.

“Mengikrarkan dengan lisan” maksudnya, mengucapkan dua kalimah syahadat.

“Mengamalkan dengan anggota badan” maksudnya, hati mengamalkan dalam bentuk keyakinan, sedang anggota badan mengamalkannya dalam bentuk ibadah-ibadah sesuai dengan fungsinya.

Iman, berakar umbi daripada keyakinan mendalam dari dalam jiwa seorang hamba. Keyakinan mendalam inilah yang akhirnya membuahkan amal dalam bentuk yang zahir.

Hajar, memiliki iman yang tinggi. Kebergantungannya atau tawakkalnya kepada Allah, mujahadahnya, sabarnya, redhanya dan tegarnya hati seorang wanita ini amat-amat terserlah. Iman dan keyakinannya kepada Allah teramat tinggi. Hasil daripada keyakinan dalamannya inilah yang akhirnya menolaknya untuk berbuat dan akur dengan perintah Allah ke atas Nabi Ibrahim. Dia harus ditinggalkan di tanah gersang bersendirian dengan anaknya. Dengan keimanan inilah yang menjadikannya cekal menghadapi kesusahan dan kepayahan di tanah gersang. Dengan keimanan ini jugalah yang menjadikannya sensitif terhadap keperluan anaknya tanpa mempedulikannya kondisi dirinya yang juga lemah tanpa makanan dan minuman.

Iman yang mantap, benar-benar akan membuahkan amal!!! Tidak harus diam terpendam bahkan akan meledak membuahkan amal sebagai bukti yang tampak.

AMAL

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
(Al-Ankabut:2-3)

Bagi setiap yang mengaku beriman, pasti dan pasti Allah akan menguji untuk melihat sejauh mana benarnya tahap keimanan seseorang hamba.

Di tanah gersang inilah menjadi medan ujian buat Hajar. Hidup bersendirian bersama bayi kecilnya. Namun, sejarah membuktikan imannya yang luar biasa. Bahkan, melalui wanita inilah yang akhirnya lahirlah generasi mulia daripada benih Nabi Ismail..Siapa lagi jika bukan Penghulu Agung para Anbiya', Rasulullah s.a.w..

Bonda Hajar mengajar suatu rahsia agung bahawa imanlah sebaik-baik bekal dalam menghadapi setiap ujian hidup. 

Bonda Hajar juga mengajar kita wahai para wanita. Di tanah gersang yang sunyi lagi tandus, bersendirian bersama anak kecil. Tiada suami di sisi yang akan melindungi. Tapi, cukuplah Allah sebagai sebaik-baik Pelindung dan Pemberi pertolongan. Wahai wanita, jangan manja mahu terus di bawah lindungan seorang lelaki! Bahkan merasa lemah tanpanya di sisi. Ketika diuji untuk berjauhan, tegarlah menghadapi. Kerana melalui engkaulah, generasi-generasi Rabbani akan terlahir dan terbentuk. Haruskah lemah dan bergantung sepenuhnya pada seorang suami? Hajar mengajarkan para wanita agar mampu untuk berdikari dan mandiri!!! 

Menjadi peribadi-peribadi seperti Hajar, tak teringinkah kita wahai para wanita?

Contoh terdekat, halakan minda kita kepada para wanita di Gaza, Palestin. Tegarnya mereka. Para suami ditahan dan dipenjara oleh Zionis laknatullah. Hidup tanpa lindungan para suami. Bahkan hidup dalam ketakutan berhadapan pelbagai ancaman Zionis. Rogol, bunuh, seksa, kelaparan, kemiskinan...

Namun, di sebalik serba kekurangan dan ketakutan itu, subhanallah!! Lahirnya generasi-generasi muda yang berhati juang dan jihad.. Lahirnya para huffaz pada usia kanak-kanak dan remaja..Kem-kem musim panas di Gaza hangat dengan misi melahirkan para huffaz. Baik di kalangan kanak-kanak mahupun remaja. Pastilah, di sebalik itu ada tangan-tangan pengukir sejarah. Para wanita, ibu-ibu yang berhati waja!!

Ingat kisah Khansa'? Seorang ibu yang telah kematian suami. Yang turun ke medan Uhud bersama kesemua anak lelakinya. Sehingga diberitakan kepadanya bahawa kesemua anaknya menemui syahid dalam Perang Uhud. Bukan sedih mengiringi berita ini, namun betapa bangganya hati seorang ibu.

"Syahid di jalan Allah adalah cita-cita tertinggi"

Ayuh, meneladani peribadi Hajar. 
Khusus buat para wanita, pencorak generasi!!

Wallahu a'lam.


 

No comments:

Post a Comment