Friday 13 January 2012

Psikologi Jiwa

Bismillahirrahmanirrahim

Merenung..


Petang itu, ada suatu rasa yang terpendam. Suatu rasa yang masih terselindung. Hati seolah-seolah memberi isyarat akan sesuatu. Apakah ia? Tertanya-tanya... Namun hati menduga, "ada sesuatu yang akan berlaku".  

Seusai solat Maghrib, alhamdulillah berjema'ah, mataku ligat mencari jam. Sudah menghampiri pukul 8 malam. Agak lewat sedikit malam itu kerana berbuka puasa dahulu. "Alamatnya, akan lambat sampailah ke halaqah malam ini". Hati mengadu. Perjalanan dari mahallah (asrama) menuju ke tempat liqo' memakan masa dalam 10 minit. Itu jika berjalan kaki. Alhamdulillah, dalam kelewatan  itu, seorang sahabat menawarkan untuk meminjamkan motornya. Jimat 5 minit. Motor? Saya bawa ke? Sudah tentu tidak. Jika saya bawa, tak sampailah jadinya. Bahkan tak bergeraklah ia.. Sebilik dengan saya, seorang sahabat sehalaqah. Pastinya, dilalah yang menunggangnya. Sahabat itu kini sudah pun membina baitul muslim dan sedang tumbuh membesar bersamanya seorang bakal mujahid, insya Allah. 

Halaqah seperti biasa bermula pada pukul 8 malam. Adab dalam berhalaqah, harus on time! Malam itu, seperti dijangka, terlewat 5 minit..Sedang yang lain sudahpun tiba..Murobbi melemparkan senyuman buat kami berdua yang baru tiba. Kami berdua lantas memohon maaf atas kelewatan kami. Sedikit dukacita dan malu atas kelewatan terlahir dari hati. 

Seperti biasa, halaqah dibuka dengan kata-kata yang menyegarkan. Sebagai wangian awal untuk mempersiapkan jiwa dan fikiran bersama halaqah. Memposisikan dan memusatkan akal dan perasaan sepenuhnya pada halaqah yang sedang berjalan. Hal lain, harus sedaya yang mungkin diketepikan! Disusuli pula dengan tilawah Al-Qur'an dan tadabbur. Mem'basah'kan lagi hati-hati ahli halaqah.

Tugasan hadis disampaikan oleh seorang ahli halaqah. Hadis 27 dalam himpunan hadis Arba'in dikupas. Buku hadis kecil berwarna biru itu dibuka. Buku kecil ini disisipkan bersama dalam Al-Qur'an bagi mengelakkan terlupa untuk membawanya setiap kali halaqah.  

Daripada an-Nawwaas bin Sam’aan r.a, daripada Nabi s.a.w. baginda telah bersabda ; 
“Kebajikan itu ialah akhlak yang baik dan dosa itu ialah sesuatu yang menggelisahkan perasaanmu dan kamu benci manusia melihatnya".

Dan daripada Waabisoh ibn Ma'bad r.a. beliau berkata: 
"Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu Baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu"



Dushh!!!

Tiba-tiba hadis yang baru sahaja dibaca itu dirasakan seolah-olah ditujukan khas buatku. Saya merenunginya kembali dan menghayati setiap perkataan yang terkandung di dalamnya. 


"Ya Allah, kata-kata ini yang pernah diungkapkan oleh sahabatku suatu ketika dulu 
rupa-rupanya adalah  sebuah  HADIS!" Rintih sang hati.

"dosa itu ialah sesuatu yang menggelisahkan perasaanmu dan kamu benci manusia melihatnya"

Saya merenunginya kembali..Dalam..Cuba memaknainya..

Tak semena-semena, air mata mengalir deras membasahi pipi. Air mata diseka dan cuba menyembunyikannya daripada ahli halaqah yang lain. Namun ternyata, diri tidak mampu. Esakan kian didengari, lantas terus meninggalkan sebentar liqo' itu...Yang lain, terpinga-pinga melihat reaksiku..

Benarlah...rasa hati yang diisyaratkan petang itu, menandakan sesuatu..Sesuatu yang akan meluruhkan hati..Sesuatu yang menegur langsung hati ini. Tentang suatu hal yang sering didustai tindakan..meski kerap hati mengisyaratkannya..Menentangnya, begitu menyakitkan..Terlalu pedih mendustakan sang hati..

Gelisah + Benci manusia melihatnya = DOSA

Dan suatu hal itu, 
gelisah perasaan, tepat sekali...Benci diketahui manusia, benar.. itulah dirasakan... 
Maknanya ianya dosa? 
Jujurkah diri ini menanggapi maksud isyarat hati?

Bayangan lalu itu, sejujurnya, sangat membekas untuk diingati..
Bisikan hati itu, sejujurnya, terlalu misteri untuk dimaknai..

Saya yakin, setiap kita pasti pernah mengalami isyarat-isyarat yang diterima dari hati. Yang jika difikir kembali, dari mana saja datangnya isyarat hati itu. Di sinilah persoalan timbul. Sejauh manakah kita jujur terhadap hati kita? Ketika ia datang menyapa, pernahkah kita bertanya pada hati? Bersidang pada mahkamah hati...Dan jujur bertindak mengikut pertimbangan hati. Bukan bersandar pada akal semata-mata. 

"Mintalah fatwa dari hatimu", begitu pesan Rasulullah pada kita.

Hati tidak boleh menipu..Rasa hati bukanlah sesuatu yang boleh dilakonkan untuk dizahirkan..Berpura-pura akan sesuatu..Tidak sekali..
muhasabah..
Sedikit tentang psikologi mengenai jiwa.

Psikologi tentang kejiwaan telah diperkenalkan oleh Islam. Kita maklumi, bahawa manusia itu terdiri daipada 3 unsur yakni akal, fizikal dan jiwa. Sedang ahli psikologi Barat, sebelumnya lebih banyak tertumpu kepada kajian tingkah laku manusia. 

Al-Ghazali menyatakan bahawa jiwa adalah suatu entiti spiritual yang mengawal fungsi fizikal dan organik manusia serta menguasai deria untuk menjalankan keperluan-keperluan badan. Lagi, menurut Ibn Sina, jiwa manusia mempunyai kemampuan secara teori dan praktikal yang membentuk kecerdikan atau kecerdasan minda. Tambahnya, jiwa itu sendiri boleh mencapai idea yang tidak disedari oleh seseorang melalui perasaan, imaginasi dan anggaran. Beliau menganggap kebolehan tersebut sebagai faktor utama kepada tingkah laku.

Begitu sekali ya pengaruh hati!

Kajian tentang jiwa ini yang didahului oleh sarjana Muslim akhirnya dikembangkan oleh sarjana Barat tanpa sedikitpun meninggalkan sebarang kredit kepada sarjana Muslim sebagai perintisnya. 

Begitu pentingkah entiti hati atau jiwa ini?

Dalam merungkai persoalan ini, cukup untuk kita renungi beberapa ayat dalam Al-Qur'an untuk kita renungi.


"Sesungguhnya mereka tidak buta mata tapi yang buta itu adalah mata hati yang ada dalam dada" 
Surah Al-Hajj (22:46) 



"Dan sesungguhnya (Kami) ALLAH akan isikan dalam neraka jahanam itu sebahagian dari golongan jin dan manusia, mereka itu mempunyai hati, tetapi tidak mahu memahami ayat ayat ALLAH . Mereka mempunyai mata, tetapi tidak mahu melihat tanda tanda kekuasaan ALLAH.Mereka mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ayat ayat dan nasihat ALLAH. Mereka tidak ubah seperti binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang orang lalai." 
Surah Al A 'Raf (7:179 )



"Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu, bahkan lebih keras. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang (airnya) memancar daripadanya. Dan ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah tidaklah lengah terhadap apa yang kamu kerjakan."
 Surah Al-Baqarah (2:74)

"Keras hati dan selain itu ia sangat terkenal dengan sifat kejahatannya.." 
Surah Al-Qalam (68:13) 

"..Telah berkarat hati mereka, Kerana dosa-dosa yang telah mereka lakukan.." 
Surah Al-Muthaffifiin(83:14)

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik. "
Al-Hadid (57: 16)

Dan juga hadis Rasulullah tentang hati.


"...Dan ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati. " 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

"...Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu"




Soalnya hati..terlalu urgensi untuk kita selidiki..Untuk kita tata..Menjaga dan menghidupkannya..Ketika hati mula memberi isyarat, yakinlah bahawa Allah tengah menyentuh hatimu..Menyapa hatimu..Sehingga ketika mendengarkan ayat 28-30 Surah Al-Fajr ini, terasa sungguh kedekatannya pada kita. Kerana Allah tengah berbicara dan menujukan ungkapan itu yang teristimewa buat si dia yang bernama HATI.

"Wahai jiwa yang tenang, Kembalilah kepada TuhanMu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaku, Dan masuklah ke syurgaku"
Al-Fajr (89: 27-30)

Agar Allah menetapkan hati kita pada ketaatan..Agar Allah menetapkan hati kita kepada kebaikan..Marilah bersama kita amalkan doa-doa indah ini..Yang dititipkan kepada kita oleh Allah s.w.t.dan diajarkan oleh Rasulullah s.a.w..

Ya Allah, teguhkanlah hati ini..

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

 “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; karena sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (karunia).” 
(Ali Imran: 7)


يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِيْنِكَ

 “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama-Mu.” 
(HR. Ahmad dan at Tirmidzi)


اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

"Ya Allah yang mengarahkan hati, arahkanlah hati-hati kami untuk taat kepadamu.” 
(HR. Muslim)

Amin Ya Rabb.
Wallahu a'lam.

2 comments:

  1. Assalamualaikum,

    Nuri, kita berkongsi minat dan kecenderungan yang sama..
    HATI...:)

    ReplyDelete