Thursday 10 November 2011

Lain Dari Yang Biasa

Bismillahirrahmanirrahim

Memakai sut? Hmm, lain dari yang biasa. Mampukah?

Katakanlah (wahai Muhammad): "Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri; maka Tuhan kamu lebih mengetahui siapakah (di antara kamu) yang lebih betul jalannya".
(Al-Isra': 84)

"Tiap-tiap jiwa beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri", Begitu kalam Allah dirakamkan kepada kita..Sahabat yang dikasihi Allah, apa yang terlintas di benak fikiran kita dengan kalam indah itu? Ayuh, sejenak kita jauh merenung dan berfikir. Berfikir tentang diri dan kebiasaan perilaku kita. Bagaimana pendapatmu tentang ayat itu? Terkesan? Empunya diri, mahu berkongsi apa yang tergambar dalam fikiran.

Salah satu daripada keindahan ciptaan manusia adalah dengan wujudnya kepelbagaian ragam, tabiat dan ciri yang dimiliki oleh seseorang. Macam-macam yang boleh ditemui. Tatkala merenung peibadi sahabat-sahabat di sekeliling kita, pasti akan menemui kelainan dalam diri setiap daripada mereka. Dan diri kita? Sudah tentu berbeza juga. Seseorang boleh berkongsi ciri yang sama, namun tahap yang dimiliki itulah pembezanya. 

Melakukan atau merasakan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan diri, tiada yang aneh dalam hal itu. Namun, bagaimana sekiranya perwatakan itu berubah? Mungkin tidak banyak, namun tempiasnya mampu dikesan oleh sang hati. Walau sekecil manapun, kerana hati yang memberi isyarat untuk bertindak dan hati jugalah yang mula-mula mengesan setiap perubahan rasa hati dan tindakan. Rasa hati dan tindakan yang di luar daripada kebiasaan diri.

Seorang yang pasif, namun tiba-tiba berubah. Ada keramahan di situ. Mungkin tidak banyak. Namun cukup untuk dikesan oleh hati.

Seorang yang susah untuk menela'ah pelajaran di tengah keramaian. Namun, tiba-tiba berubah. Boleh menghadamnya. Meski tidak 100%, namun cukup untuk hati mengesan perubahan itu.

Di awal tarbiyyah dulu, itulah detik-detik awal perubahan rasa hati. Pasti ramai yang juga turut merasainya, kan? Setiap kali ada pertemuan tarbiyyah, fikiran kerap didoktrinkan dengan nilai-nilai kesufian, tazkiyyatunnafs..Dan saya, itulah kesukaan jiwa. Hal-hal yang membasahkan hati..Hal-hal yang membicarakan soal hati. Soal hati yang dalam..Juga, tentang akhlak. Bagaimana seharusnya perilaku seoarng Muslim/ah. Ditambah pula dengan contoh-contoh hidup daripada peribadi Rasulullah dan juga para sahabatnya. Motifnya, agar termotivasi untuk meniru perilaku mereka.

Hingga suatu saat, "Herna dah lain. Nampak serius, susah nak ketawa" Masih terngiang-ngiang kata-kata sahabat rapat saya dahulu. Kurangkan gelak!, begitu azam tahun baru saat itu..Mereka melihat sedemikian rupa, namun dalam hati menanggung suatu 'beban' yang berat. Sehingga terdetik dalam hati, "bukankah kita diajar untuk kurangkan ketawa. Tapi, kenapa jauh di sudut hati, rasa kering, rasa sunyi". Lain dari yang biasa, selalu saja menimbulkan tanda tanya dan rasa hati yang kekok. 

Setelah melalui proses itu, barulah dituai hasilnya. Rasa hati mulai stabil. Benar, "Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri". Berubah menjadi sesuatu yang di luar daripada kebiasaan, pastinya memerlukan masa untuk membiasakan diri dengannya. Masa untuk 'adapt' dengan sesuatu yang baru. Itulah cabarannya. Ada yang cepat, ada yang lambat dan mungkin ada yang kandas. Berpatah balik kepada perilaku sebelumnya. Namun, bukanlah mahu mengatakan sesuatu yang baru itu akan kekal. Bahkan ia sangat memerlukan usaha untuk mengekalkannya.  

"Ssesungguhnya, mencapai puncak itu sulit, namun untuk tetap bertahan berada di puncak itu jauh lebih sulit", begitu pesan Imam Ibnu Al-Jauzi.

Menyemai sesuatu yang baru dalam diri, itu di satu sisi. Namun,  di satu sisi yang lain, ketika kehilangan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan dalam diri. Bagaimana perasaan kita apabila kehilangan suatu nilai yang baik daripada diri? Tatkala menyedarinya, sedih dirasakan...Mencari-cari ke mana hilangnya..namun tidak juga ditemui..Kekok, resah..tercari-cari...rasa kehilangan sesuatu yang berharga daripada diri.. Saat itu, koreksilah diri, Insya Allah akan disingkapkan punca kehilangannya.

Tidak semua manusia yang cepat berubah. Namun, "bukankah tarbiyyah itu sepatutnya mengajar kita untuk cepat berubah?" begitu pesan si 'ibu'. Dalam dan jauh merenung pesanan itu. Kita mahu berubah, namun ternyata, dalam proses perubahan itu menuntut sesuatu yang lebih menguji.  Secepat mana kita menyesuaikan perubahan itu dalam diri?  Pastinya menuntut kesabaran, kefahaman dan kemampuan dalam menyemainya dalam diri. 

Kepada jiwa-jiwa yang bermujahadah untuk menjadi lain dari yang biasa, 
Semoga Allah memberi kekuatan untuk kita..Kekuatan dan kemahuan yang kuat untuk berubah. Kekuatan agar tidak takut untuk berubah. Hingga akhirnya, lahir menjadi insan yang memiliki ciri yang baru..Membangun bersama ciri yang baru..
Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment