Bismillahirrahmanirrahim
“…..Dan
ketahuilah pada setiap tubuh terdapat segumpal darah yang apabila baik maka
baiklah tubuh tersebut, dan apabila rosak maka rosaklah tubuh tersebut.
Ketahuilah, ia adalah HATI.”
(HR Bukhari dan
Muslim)
“Ukhti,
dalam kita menghafal Al-Qur’an, perkara terpenting yang perlu di jaga adalah
KEBERSIHAN HATI. Saya semakin meyakini akan hal itu hasil daripada pengalaman.
“ Yakin ukhti itu meluahkan pada sahabatnya.
“Allah bukan sahaja
memudahkan kita menghafal, bahkan Allah akan menjaga ayat itu dalam hati kita.
Jika dahulu terlalu mudah untuk lupa dan tidak bertahan lama dalam hati, namun
jika kebersihan hati itu di jaga, akan disedari perbezaannya. Meski beberapa
hari tidak mengulang, namun Allah masih menjaganya dalam hati. Meski ada
kalanya ada juga yang terlupa, namun Allah akan memudahkan juga proses
mengulangnya. Beza..Sangat berbeza dengan sebelumnya.
“ Tambah ukhti itu sebagai tanda ta’jubnya kepada kebesaran dan kuasa Allah.
“Bagi seorang
dai’e, apa pula yang di maksudkan dengan maksiat hati?”
Ukhti yang mendengar itu pula memberi respon tanda minatnya.
“Ingat hadis
tentang zina mata, telinga dan seterusnya? Itulah yang perlu kita perhalusi dan
muhasabahkan. Sejauh mana kita menjaga pandangan? Apa yang kita pandang? Sejauh
mana kita menjaga telinga daripada hal-hal kemaksiatan. Semua itu akan memberi
kesan kepada kebersihan hati. Sedar ataupun tidak. Jika tidak di jaga, setitik
demi setitik noda akan mengkelamkan hati. Sehinggalah menjadi tompokan-tompokan
pada hati. Bahkan hati kita itu sendiri. Yang sangat mudah hadirnya
lintasan-lintasan. Fikiran-fikiran kita. Perhalusilah.“
Balasnya.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
HATI..HATI..HATI..
Berbicara tentang
hati, pasti takkan habis modalnya. Urgensi hati, cara penataan hati,
virus-virus hati dan penyegar hati perlulah sentiasa kita bicarakan bahkan
salinglah mengingatkan dan menasihatkan sesame kita. Sehingga memuhasabahkan
diri dan termotivasi untuk memperbaiki kondisinya dari semasa ke semasa. Kenapa
harus menjadi kemestian? Kerana sifat si hati itu yang terlalu mudah untuk
terumbang-ambing dan terbolak-balik. Ditakuti, jika tidak dikendali dengan
sebaiknya, akan menjerumuskan hati ke dalam lembah keburukan dan kemaksiatan
secara berterusan. Lagi tragis, jika hati itu tidak lagi sensitif pada
kemaksiatan kesan daripada penyakit ‘terbiasa’. Larut dalam mengumpat. Tidak
sedar bermaksiat kerana penyakit ‘terbiasa’. Larut dalam mengkhayal,
mengingat-ingat dan merindukan si dia yang belum halal statusnya untuk kita.
Tidak sedar bermaksiat kerana penyakit ‘terbiasa’. Dalilnya kerana cinta. Cinta
membuahkan rindu. Maka rindu, sudah lumrah orang yang bercinta. Dalam hal ini,
sensitifkah hati kita?
Itulah
isu utama, HATI..HATI..HATI..
Betapa
mudahnya ia terbolak-balik. Dan kita? Pastinya juga sering terjerat dengan
fitnah-fitnah hati, bukan?
Rasulullah
s.a.w. bersabda:
“Hati dinamakan
Qalbu kerana mudah terumbang-ambing (bolak-balik). Sesungguhnya perumpaan hati
bagaikan sehelai rambut di atas sebatang pohon yang di umbang-ambingkan oleh
angin.”
Dari Abu Musa
Al-Asy’ari r.a. dari Rasulullah s.a.w., beliau bersabda:
“Sesungguhnya hati
ini seperti bulu yang terdapat di tanah lapang, di mana angin dengan
berleluasanya membolak-balikkannya”.
Sejenak, kita imbas
kembali kisah Imam Syafie yang pernah mengadu pada gurunya Waqi’tentang buruknya hafalannya.
Maka apa yang di jawab oleh gurunya? Tiada lain, juga bertitik tolak kepada
kebersihan hati itu sendiri.
Aku mengadu
kepada Waki’ tentang buruknya hafalanku.Dia menasihatiku agar meninggalkan
maksiat. Dia berkata;
"Ilmu adalah
cahaya, dan cahaya Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat."
Kita
mengenali Imam Syafie. Imam yang sangat masyhur dan Imam kepada Mazhab Syafi’e.
Mazhab pertengahan di antara Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki. Pertengahan di
antara Ahlul Hadis dan Ahlur Ra’yi. Pada usia 9 tahun, telah sempurna menghafal
Al-Qur’an. Menjejak ke usia 12 tahun pula, sudah menghafal kitab Al-Muwattho'
karangan Imam Malik. Bahkan berguru dengan Imam Malik sewaktu berusia 20 tahun.
Subhanallah. Hebatnya susuk peribadi ini.
Ulama’ sehebat ini
juga mengalami gangguan dalam hafalannya. Apatah lagi kita? "Ilmu adalah cahaya, dan cahaya
Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat."
, bukankah itu suatu peringatan keras buat kita?
Dari Huzaifah
Al-Yaman, dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Fitnah akan
dicampakkan bagaikan tikar kepada hati-hati manusia seutas demi seutas (saling
bersilang antara satu sama lain). Hati mana saja yang di hinggapi oleh fitnah,
nescaya akan terbetik padanya satu bintik hitam. Dan hati mana saja yang
menolaknya, akan terbetik padanya satu binti putih bagaikan batu yang licin
sehingga tidak terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada.
Sedangkan sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan bagaikan tembaga
berkarat, sehingga dia pun tidak menyerukan kebaikan dan tidak pula melarang
kemunkaran kecuali yang sesuai dengan apa yang diserap oleh hawa nafsunya.”
Perlu kita sedari,
hati adalah letaknya fitnah dan cubaan. Jika tersilap mengelolanya, terjeratlah
dengan fitnah itu. Justeru, tersangatlah dharuri untuk kita selalu bertanya
pada sang hati; apa khabarmu duhai hati? Sejauh manakah hati ini mengalirkan
arus-arus kebaikan untuk diriku? Selama ini. Paling tidak, saat ini.. Sahabat,
bertanyalah padanya..Sapalah ia dengan kelembutan dan penuh kepedulian pada
kondisinya.
Imam Ibnul Qayyim
r.a. mengungkapkan bahawa kembalinya hati kepada kesucian bagaikan ianya
terlahir kembali kerana hati itu diciptakan hanya untuk cinta kepada Allah
s.w.t..Hati yang suci..bersih..Tak teringinkah kita memilikinya?
“(Iaitu)
di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna, kecuali orang-orang yang
menghadap Allah dengan hati yang bersih.”
(As-Syu’ara;
88-89)
Apa yang
dimaksudkan dengan hati yang bersih? Bersih daripada sifat syirik dan nifak
(munafik).
Syirik; tidak
menyembah selainNYA. Bukan berhala-berhala, tangkal-tangkal, ataupun yang lebih
kontemporari penyembahan harta, wang ringgit bahkan juga nafsu.
Nifak; sifat orang
munafik.
Abu Hurairah r.a.
meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tanda-tanda
orang munafik itu ada tiga; jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia
ingkari, dan jika diberi amanah dia khianat.”
(Muttafaq
‘Alaihi)
Dalam riwayat lain,
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“
Empat hal bila ada pada seseorang maka dia adalah seorang munafik tulen, dan
barangsiapa yang terdapat pada dirinya sati dari empat sifat tersebut maka pada
dirinya ada sifat nifak hingga dia meninggalkannya. Iaitu, jika diberi amanah
dia khianat, jika berbica dia dusta, jika berjanji dia ingkari, dan jika
berseteru dia melampaui batas.”
(Muttafaq
‘Alaihi)
Sifat-sifat munafik
ini, jika dimuhasabahkan, adakah kita memilikinya?
Al- Hasan pernah
berkata, : “Tidak ada yang merasa takut akan nifak kecuali dia itu orang
mukmin, dan tidak ada yang merasa aman dari nifak kecuali dia itu orang
munafik.”
Sekali lagi, mari
kita muhasabahkan diri..
Hati yang hidup dan
bercahaya merupakan sumber segala kebaikan sedangkan hati yang mati dan gelap
adalah sumber segala kejahatan. Begitulah lumrah hati bahkan lumrah alam.
Dari Huzaifah
Al-Yaman r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Ketaatan
itu adalah cahaya bagi wajah dan kekuatan bagi badan, sedangkan maksiat adalah
sebaliknya”.
Meski kita tidak
pernah lekang daripada kemaksiatan, namun teruslah berusaha untuk memperbaiki
diri. Kerana tarbiyyah, telah pun diyakini menjadicore business
sepanjang perjalanan kita menuju Allah.
“Janganlah
sampai ada sesuatu yang lebih penting bagimu selain dari memperbaiki dirimu,
kerana ia tidak boleh sedikitpun ternoda dosa”
(Khalifah
Umar Bin Abdul Aziz)
Wallahu A’lam.
As'salamualaikum , izinkn sy share . JazaakALLAHu Khaira
ReplyDeleteWaalaikumussalam.
DeleteSilakan Shahira..Semoga bermanfaat. :)