Showing posts with label CURHAT. Show all posts
Showing posts with label CURHAT. Show all posts

Wednesday, 21 September 2011

Rasa Hati itu..


Bismillahirrahmanirrahim..


Suatu ketika dahulu, ( tidak lama, beberapa bulan yang lalu) pernah tertanya-tertanya akan perubahan rasa hati.  Rasa hati yang bermacam-macam. Hati terasa lapang dan segar. Hari-hari yang dilalui terasa indah dan penuh makna. Setiap perkara yang berlaku di hadapan mata, akan dilihat dari kaca mata hati sehingga timbulnya husnul dzon. Indah...sangat indah rasa hati itu. Terasa mahu senyum setiap detik, apatah lagi apabila bergaul dengan orang lain. Yang dikenali mahupun tidak dikenali. Timbul rasa kasih dan sayang kepada mereka..Kasih dan sayang yang layaknya buat hati-hati yang telah mengikat syahadah dan i'tikad yang sama. Ikatan ukhuwwah..

Pelik, sangat pelik dirasakan. Bagaimana boleh hadir perasaan itu? Bahkan tanpa disangka? Tiba-tiba..

Menanggung rasa hati itu kerap kali menimbulkan tanda tanya. Apa maksud rasa hati ini? Rasa bahagia dan tenang namun di satu sisi, mengapa sukar untuk mengalirkan air mata. Selalu mengingat kembali dosa-dosa dahulu, namun kenapa masih tidak mampu menitiskan air mata. Mengingat kembali suatu kisah dahulu yang kebiasaannya akan mudah menitiskan air mata. Namun, tetap juga tidak berhasil. Pelik, sangat pelik..Hati mula berkata, adakah rasa bahagia itu adalah suatu yang benar-benar Allah redhai.? Atau itu permainan syaitan yang cuba menipu dan menjerat perasaan? Hari demi hari, itulah persoalan yang kerap timbul dan merisaukan diri.

Setelah lama berteka-teki, rasa hati dikongsikan bersama seorang sahabat. Di akhir perkongsian, saya menambah, hati seakan-akan membisikkan supaya jangan lagi bersedih, tidak perlu lagi.. Bisikan itu seperti suatu usapan pada sang hati. Sahabat saya membalasnya, "husnul dzon pada Allah. Mungkin itu suatu kemanisan ". Mendengar jawapannya, hati tersentak,. Ya, bersangka baiklah pada Allah.

Jujur pada hati, rasa itu benar-benar pelik dan ta'ajub dirasakan. 

Sehinggalah suatu masa. Setelah lama dirasakan tidak menangis. Cuba lagi menangis namun masih belum mampu merasakan nikmatnya seperti dahulu. Rindu...Rindu yang teramat untuk menangis. Apatah lagi terbaca bahan materi tentang tadharru', hasil tulisan Amru Khalid. Bagi yang sudah biasa membaca buku-buku karangan Amru Khalid (terjemahan Indonesia) pasti mengetahui sentuhannya. Dari hati untuk hati dan hatilah yang menikmatinya..Tulisan itu membangkitkan kembali memori dahulu. Memori merintih, mengadu, menangis.. Berdua denganNya..Meski Dia tidak membalas dengan berkata-kata kepada kita, namun, pengaduan itu sangat menyenangkan dan melegakan hati..Lega yang teramat dan berbeza dengan mengadu kepada manusia.

Akhirnya, tumpah juga air mata. Air mata rindu pada memori dulu-dulu. Air mata rindu pada saat-saat merintih denganNya..Air mata yang tumpah kerana tidak mampu melahirkan tangisan seperti dulu-dulu.. Pernah terlintas di fikiran, inilah cabaran untuk sang hati. Cabaran untuk melahirkan sensitiviti hati untuk lebih peka pada ujian yang berbentuk halus. Agar melatih hati untuk tadharru' pada hal-hal yang yang halus. Seperti mana yang berlaku kepada seorang lelaki yang menangisi dosanya selama 40 tahun kerana mengambil tanah (amaun yang sedikit) tanpa izin daripada pemiliknya. Seperti mana kisah Rasulullah yang mengutip buah kurma ketika berjalan lalu memakannya. Dan malamnya, membuatkan Rasulullah rasa resah dan bersalah kerana mungkin buah kurma itu adalah hak orang lain. Halusnya pandangan dan sensitiviti Rasulullah. 

Hari berganti hari, semakin kuat hati ini merasakan bahawa Allah benar-benar telah memberi hati yang baru pada saya. Hati baru yang perlu ditanam dengan benih yang hasan dan disemai dengan penuh kasih sayang dan kelembutan..Sangat-sangat dirasakan perubahan itu. Alhamdulillah, Allah mengabulkan doa yang pernah dipohon suatu ketika dahulu..Mungkin itulah hadiah dalam rangka usaha untuk mentazkiyyah hati. Alhamdulillah..

Kini, perspektif minda berubah dalam memaknai sebuah kehidupan..Memerhati sekeliling dan masyarakat. Terlalu luas erti hidup ini untuk dimaknai. Dan tiada makna jika hidup sekadar hidup tanpa memaknai erti hidup bertuhan dan gersang daripada menghidupkannya dalam setiap ruh.

Alhamdulillah..Hati terasa ringan, diri mula mudah membuka diri, berkongsi, ringan mulut..Meski hanya small talk, namun penuh makna. Peribadi yang berbeza dengan sebelumnya. Peringatan diri, seorang mukmin itu tidak mengenal istilah ekslusif pada diri. Bergaullah, dan tebarkanlah kasih sayang daripada langit kepada manusia lain..

Benarlah kata seorang mak cik yang sangat saya hormati, " perubahan rasa hati itu mesti terkait dengan sesuatu". Ya, benar..Sangat benar..Apakah "sesuatu" itu? Menjadi rahsia hati. Yang pasti, jika kita meninggalkan sesuatu kesukaan diri semata-mata mencari redha Allah dan berlaku jujur pada hati dan isyarat hati, yakinlah Allah akan menghadiahkan sesuatu yang manis dan teristimewa untuk kita. Bersabarlah dan teruslah berharap dan berdoa...Bukankah janji-janji Allah itu benar?

Wallahu a'lam.
Read More..

Tuesday, 9 August 2011

Warkah Hati Buat Akhawat

Bismillahirrahmanirrahim.


Kehadapan akhawat yang tersayang.

Pejam celik, pejam celik seminggu telah berlalu. Suatu moment terindah dirasakan dapat beri'tikaf bersama akhawat sekalian. Apatah lagi di bawah bumbung masjid UIA yang diberkahi ini. Amin ya Rabb. Angin sepoi-sepoi bahasa, udara yang segar dan kicauan burung mewarnai suasana pagi ini dan ketika ini. Menambahkan lagi rasa 'berat' untuk meninggalkan tempat ini. Dapatkah dirasai lagi sekembali ke kampung nanti? Suasana Ramadhan di masid UIA, arghhh...pasti dirindui.

Diri terasa untuk meluahkan rasa hati. Rasa hati yang sedih untuk meninggalkan akhawat semua dan tidak berkesempatan untuk bersama-sama beri'tikaf. Masih teringat kata-kata seorang ukhti, "dah nak pulang, sayang sekali tak beri'tikaf di sini". Selang beberapa hari kemudian, seorang ukhti lagi menyuarakan hal yang sama. Ramai yang mengatakan kenapa awal sangat balik. Sebak juga hati mendengarnya. Namun akhawatku sayang, itulah juga yang pernah menimbulkan rasa belah bagi dalam hati. Ada macam-macam hak yang perlu dipenuhi seperti mana akhawat lain juga menghadapi. 

Seminggu yang lalu, ana juga terpaksa bertegas dengan keluarga kakak untuk datang ke UIA. Berpuasa di sini selama seminggu sebelum balik ke kampung. Keputusan itu juga sangat sulit kerana memikirkan hak-hak mereka. Seorang kakak sulung yang telah lama tidak bertemu ada bersama ketika itu di samping keluarga kakak yang kedua. "Tak payahlah pergi UIA, puasa lah di sini. Nanti tak dapat dah jumpa kakak sulung.Nanti kita pergi lah terawih sekali di sini. Di sini pun kan ada masjid." Begitulah rayu kakak yang kedua. Arghhh, mendengar rayuan itu pastinya menggetarkan rasa hati. Sangat berbelah bagi. Mungkin akhawat tertanya, "nanti kan boleh jumpa lagi kakak sulung tu". Mungkin ya, tapi tidak tahu bila. Ada kisah di sebaliknya sehingga menyukarkan pertemuan yang kerap walaupun duduk dalam satu negeri. Kisah itu jugalah yang sentiasa bermain-main di minda bagaimana untuk menyatukan kembali antara kami sekeluarga.

Akhawat, kondisi keluarga kita berbeza. Sangat berbeza. Don't judge a book by its cover, begitu pepatah Inggeris mengatakan. Ada urusan dakwah yang perlu ditangani di sana. Doakan ana. Andai ana duduk lama di UIA, siapa yang akan memantau keluarga? Andai kesannya tidak sebesar mana semasa keberadaan ana di sana, namun cukuplah agar nanti bila Allah tanya apa yang telah ana perbuat untuk dakwah keluargamu, ana ada jawapannya. Benar kan, akhawat? 11 bulan kita bersama dan ana cuma pergi untuk sebulan saja.

Selama ana di UIA, ana berada dalam bi'ah yang banyak membantu mengupgrade iman. Alhamdulillah dikurniakan tarbiyyah dan dihadiahkan akhawat yang sama-sama mengejar cinta Illahi dalam setiap amal. Tidak memilih untuk soleh fardi-fardi, tapi juga mahu mengajak dan islahkan yang lain.UIA ibarat markaz pembinaan diri, dan masanya untuk dikongsikan keindahan Islam itu bersama orang lain. Dengan keluarga, dengan masyarakat secara umumnya. Medan amal yang tidak menjanjikan hal yang mudah-mudah semata-mata, tapi perlu dibayar dengan kesabaran dan kematangan dalam tindakan.

Ukhti Fai, Ukhti Sab , Ukhti Rosnah, Ukhti Khai, Ukhti Huda, Ukhti Hidayah dan Ukhti Nuri, akhawat yang banyak bersama ana sepanjang seminggu. Jazakumallahu khairan katsiran atas setiap bantuan. Ukhti Fai dan Ukhti Nuri, afwan juga untuk kejadian tempoh hari. Alhamdulillah tidak terbabas atau terlanggar pokok. Jangan serik ya mengajar ana memandu lagi..hehe. Kepada Ukhti Ros, jazakillahu khairan katsiran atas perkongsian rasa hati tempoh hari. Hati berbicara sehingga hati ini turut merasakan rasa hati itu. Semoga Allah permudahkan hidupmu dan menemukan jalan keluarnya. Kepada akhawat seusrah dan murobbi yang disayangi, terus semangat ya menjalani ibadah Ramadhan..Alhamdulillah dapat berusrah semalam. =). Untuk Ukhti Yuni, jazakillahu khairan katsiran atas hadiahnya..=) Dan tak lupa untuk akhwat lain yang turut bersama berkampung di masjid UIA (afwan tidak tersebut namanya). Jazakunnallahu khairan katsiran.

Mohon halal makan minum, mohon maaf jika terkasar bahasa dan tindakan. Luruskan niat dan teruskan merebut kebaikan-kebaikan dalam beribadah dan ingat ketika semangat itu melangit tinggi, kita akan diuji. Tilawahnya bagaimana? KPI lain bagaimana? Tazkirah selepas zohor semalam mengingatkan kita bahawa jangan hanya mahu mengkhatam sebanyak-banyaknya, kerana hak al-Qur'an itu selain untuk dibaca adalah untuk ditadabbur dan diamalkan ayat-ayatNYA. Peringatan keras untuk diri ana. Mahunya menjadi ahlul 'amaliyyun tidak sekadar qori'ah semata-mata.

Akhawat, sekadar itu saja bicara hati. Insya Allah akan ketemu lagi ya..Esok flight pukul 12 tengahari. Hari ini perlu ke rumah kakak dahulu untuk kemas barang. Pulang bersama. Doakan selamat sampai dan kembali ya.
Wassalam.

Salam sayang dan rindu untuk semua..
Herna


Read More..