Saturday, 28 April 2012

Ujian dan Pengharapan

Bismillahirrahmanirrahim



Ukhti, pernah tak rasa rindu akan sesuatu? 

Rindu kan fitrah manusia. Pastilah pernah ukhti. Kenapa?

Rindu akan sesuatu yang dirasakan telah hilang dalam diri. Puas mencari, namun tak jumpa juga. 

Maksud ukhti? Puitis pula bunyinya. 

Suatu saat, kita diuji dengan macam-macam. Emosi seringkali diduga. Jika cepat melatah, kebaikan-kebaikan di sebaliknya akan punah begitu saja. Tertutup hanya kerana keegoan diri dan sifat isti’jal (tergesa-gesa).

Hmmm..Lagi?

Namun, tatkala kita bersabar..benarlah..Allah itu Maha luas kasih sayangnya..Allah pasti akan pergilirkan suka dan duka. Setiap kesusahan itu pasti ada kemudahan..Setelah melalui suatu ujian dengan sabar, Allah akan menghadiahkan suatu kemanisan yang tak terperi. Satu persatu dibentangkanNya untuk kita nikmati.. Sangat manis..

Benar ukhti. “Inna ma’al ‘usri yusra”. Damaikanlah hati dengan kalam indah Pencipta kita ini.

Jangan pernah berputusa harap kepadaNya.

Jika dahulu saat-saat ditimpa musibah, Dialah yang dipilih sebagai sebaik-baik tempat mengadu. betapa kerapnya mengadu pada Allah. Mencurahkan rasa hati… ini dan itu...Bicara yang menjadi rahsia antara kita dan Dia… Andai lidah kelu, tiada kata-kata yang mampu dilontarkan melainkan mengatakan “Ku kembalikan segala urusan kepadaMU Ya Allah. Zat yang Maha Mengetahui setiap di balik hati..Zat yang menggenggam hati ini..” Dan si air mata, begitu setia menjadi peneman di kala bersunyi-sunyi denganNya.. Sejurus itu, lapanglah sang hati dalam keheningan..

Lepas tu, apa yang hilangnya? Sehingga dirindui-rindu.

Ya, ukhti..
Setelah melalui suatu tempoh, tiba-tiba rasa rindu pada kebiasaan dahulu itu muncul. Rindu untuk kembali merintih..Adakalanya terlintas dalam fikiran. Berbahagialah mereka yang diuji dengan kesusahan dan kesakitan..Hal itu menjadikan mereka cepat menanggapi ujian yang dihadapi. Lantas, terus berlari menuju Allah..Kembali mengadu kepadaNya. Mengharap bantuan dan pertolonganNya. Yang teramat..Lalu, terbinalah hubungan denganNya..Kemanisan selepas melalui suatu ujian menimbulkan tanda tanya. Di mana si air mata?

Namanya ujian itu tidak sekadar apabila ditimpa kesusahan atau kesedihan. Bahkan, ketika dalam kesenangan juga Allah menguji kita.

Maknanya ketika ini Amirah juga sedang diuji ya ukhti? Diuji dengan kemanisan selepas melalui suatu ujian. Adakah mahu bersyukur atau kufur.

Yes, perfect ukhti! 

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami”. Al-Anbiya’: 35

“Ini termasuk karunia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau kufur (mengingkari nikmatnNya)”.  An-Naml : 40

Seketika, Amirah merenung semula kata-kata sahabatnya. Seolah-olah hakikat itu tidak pernah didengarinya.

<<Azan Maghrib berkumandang>>
………………………………………………………………………………

Maka benarlah, Ad-Dinu An-Nashihah, Agama itu nasihat. 
Salinglah memberi nasihat kerana adakalanya kita terlupa hatta dalam hal yang kecil.

………………………………………………………………………………

Seusai solat Maghrib, Amirah membaca Al-Ma’tsurat.
Diamati kalimah demi kalimah sehinggalah sampai ke bacaan yang menyentuh hatinya.

"اللهم أنت ربي لا إله إلا أنت خلقتني وأنا عبدك وأنا على عهدك ووعدك مااستطعت أعوذبك من شرما صنعت أبوءلك بنعمتك علي وأبوء بذنبي فاغفرلي فإنه لا يغفر الذنوب إلا أنت"


Setelah selesai, Amirah mencapai Mushaf Al-Qur’an di atas rak masjid. Diketepikan Al-Qur’an berserta tafsir miliknya di atas rehal. Tilawahnya diteruskan lalu membaca Surah Al-Jum’ah dan seterusnya. Memasuki Surah At-Taghabun, hatinya  mula sebak. Hatinya kian melunak. Ada suatu ayat yang dinanti dalam surah ini. Ayat ke-16. Seawal ayat pertama surah ini, cuba ditekuni maknanya. Meskipun ada yang tidak difahami, namun surah ini seringkali member bekas padanya.

Belum pun sampai ke ayat 16, tiba-tiba hatinya sebak. Tilawahnya tersekat..Air mata sudah tidak mampu ditahan lagi..Ayat  11 dibacanya berulang-ulang kali. Lagi dan lagi..Meski tersekat-sekat.

ما أصاب من مصيبة إلا بإذن الله

Ayat ini benar-benar membuatnya tersentak. 

“Tidak ada yang suatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”.

Hati kecilnya berbisik; “Semua itu atas izin Allah, Semua itu atas izin Allah, Semua itu atas izin Allah. Semoga Allah menunjukkan hikmah di sebalik setiap sesuatu yang telah terjadi mengikut kehendakNya”.

Tilawahnya diteruskan sehinggalah selesai membaca Surah At-Tahrim. Mahu saja menutup Mushaf, namun terdorong untuk mentadabbur mana-mana ayat . Lalu, dibuka helaian Mushaf secara rawak. Matanya tepat tertuju kepada muka surat 329. Dilihat sepintas lalu dan berkata dalam hati, “kisah para nabi. Ada tak hubungannya dengan keadaan aku sekarang?” Diamati ayat demi ayat pula.

Subhanallah! Sekali lagi, mengena dengan dirinya.

Msekipun tiada terjemahan melayu, namun Amirah masih mampu memahami ayat-ayat itu. Ditambah pula dengan pengetahuannya tentang para Nabi itu.

Pertama, kisah  Nabi Ayyub yang ditimpa penyakit. Lalu mengadu dan berdoa kepada Allah. Kemudian, ayat seterusnya menceritakan tentang doanya yang dikabulkan oleh Allah dan dianugerahkan nikmat sembuh daripada penyakit dan mengembalikan keluarganya kepadanya.

Kedua, kisah Nabi Yunus yang meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah lalu dimakan ikan Nun. Nabi Yunus berdoa dan doanya dikabulkan bahkan diselamatkan daripada kedukaan.

Ketiga, kisah Nabi Zakaria yang berdoa berkehendakkan keturunan. Ayat seterusnya juga Allah mengabulkan doanya dengan menganugerahkan kepadanya Nabi Yahya.

Setelah meneliti, Amirah sangat tertarik dengan persamaan kalimah yang diulang-ulang dalam tiga kisah Nabi-Nabi ini.  
نادى

نادىbermaksud memanggil dan lebih mudah difahami dengan maksud memanggil dalam keadaan berdoa. Ketiga-tiga para Nabi ini menghadapi musibah (ujian) yang berbeza. Seorang dengan penyakit. Seorang dengan taubat dan seorang dengan tiada keturunan. Masing-masing berdoa supaya Allah mengelurakan mereka daripada musibah yang melanda mereka.

Sungguh, inilah contoh pengajaran yang hidup untuk diteladani bahkan membahkan kagi keyakinan terhadap pertolongan Allah. Jangan pernah putus harap. Doa dan teruslah berdoa. Sepertimana Nabi Zakaria yang merasakan seolah-olah tiada harapan untuk dirinya dan isterinya mendapatkan zuriat.
Dirinya yang sudah berusia dan isterinya yang mandul. Meski mustahil dirasakan namun  itu bukan satu alasan untuknya daripada terus meminta kepada Allah dengan menyeru Rabbnnya (إذ نادى ربه).

Tidak sekadar itu, bahkan Allah menceritakan “something added” yang dimiliki oleh Nabi Zakaria dan isterinya.

“Sungguh mereka  selalu bersegera dalam (mengerjakan) kebaikan, dan mereka berdoa kepada Kami dengan penuh harap dan cemas. Dan mereka orang-orang yang khusyuk kepada Kami”.

Inilah rahsia termakbulnya doa mereka. Walaupun dirasakan mstahil menurut pertimbangan akal manusia, namun jika Allah berkehendak, pasti akan berlaku jua.

Maka benarlah, 

الدعاء سلاح المؤمن
“ Do’a itu senjata orang Mukmin”

Meski berat dirasakan sesuatu penderitaan,
 teruslah mengadu dan berdoa kepada Allah.
Meski mendamba sesuatu,
jangan pernah putus berdoa kepada Allah agar diberi anugerah itu.
Meski diri dipenuhi dosa,
 jangan merasa hina tanpa adanya usaha memohon keampunan Allah.
Meski apa jua yang menghimpit diri,
berharaplah dan berdoalah pada Allah dengan setulusnya.

Sedangkan garam pun dipohon daripada Allah, takkan pula kita mahu ketinggalan untuk meminta sesuatu yang lebih besar daripada Allah?


Wallahu a’lam.




Read More..

Wednesday, 7 March 2012

Kebersihan Hati

Bismillahirrahmanirrahim


“…..Dan ketahuilah pada setiap tubuh terdapat segumpal darah yang apabila baik maka baiklah tubuh tersebut, dan apabila rosak maka rosaklah tubuh tersebut. Ketahuilah, ia adalah HATI.”
(HR Bukhari dan Muslim)

“Ukhti, dalam kita menghafal Al-Qur’an, perkara terpenting yang perlu di jaga adalah KEBERSIHAN HATI. Saya semakin meyakini akan hal itu hasil daripada pengalaman. “ Yakin ukhti itu meluahkan pada sahabatnya.

“Allah bukan sahaja memudahkan kita menghafal, bahkan Allah akan menjaga ayat itu dalam hati kita. Jika dahulu terlalu mudah untuk lupa dan tidak bertahan lama dalam hati, namun jika kebersihan hati itu di jaga, akan disedari perbezaannya. Meski beberapa hari tidak mengulang, namun Allah masih menjaganya dalam hati. Meski ada kalanya ada juga yang terlupa, namun Allah akan memudahkan juga proses mengulangnya. Beza..Sangat berbeza dengan sebelumnya. “ Tambah ukhti itu sebagai tanda ta’jubnya kepada kebesaran dan kuasa Allah.

“Bagi seorang dai’e, apa pula yang di maksudkan dengan maksiat hati?” Ukhti yang mendengar itu pula memberi respon tanda minatnya.

“Ingat hadis tentang zina mata, telinga dan seterusnya? Itulah yang perlu kita perhalusi dan muhasabahkan. Sejauh mana kita menjaga pandangan? Apa yang kita pandang? Sejauh mana kita menjaga telinga daripada hal-hal kemaksiatan. Semua itu akan memberi kesan kepada kebersihan hati. Sedar ataupun tidak. Jika tidak di jaga, setitik demi setitik noda akan mengkelamkan hati. Sehinggalah menjadi tompokan-tompokan pada hati. Bahkan hati kita itu sendiri. Yang sangat mudah hadirnya lintasan-lintasan. Fikiran-fikiran kita. Perhalusilah.“ Balasnya.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

HATI..HATI..HATI..

Berbicara tentang hati, pasti takkan habis modalnya. Urgensi hati, cara penataan hati, virus-virus hati dan penyegar hati perlulah sentiasa kita bicarakan bahkan salinglah mengingatkan dan menasihatkan sesame kita. Sehingga memuhasabahkan diri dan termotivasi untuk memperbaiki kondisinya dari semasa ke semasa. Kenapa harus menjadi kemestian? Kerana sifat si hati itu yang terlalu mudah untuk terumbang-ambing dan terbolak-balik. Ditakuti, jika tidak dikendali dengan sebaiknya, akan menjerumuskan hati ke dalam lembah keburukan dan kemaksiatan secara berterusan. Lagi tragis, jika hati itu tidak lagi sensitif pada kemaksiatan kesan daripada penyakit ‘terbiasa’. Larut dalam mengumpat. Tidak sedar bermaksiat kerana penyakit ‘terbiasa’. Larut dalam mengkhayal, mengingat-ingat dan merindukan si dia yang belum halal statusnya untuk kita. Tidak sedar bermaksiat kerana penyakit ‘terbiasa’. Dalilnya kerana cinta. Cinta membuahkan rindu. Maka rindu, sudah lumrah orang yang bercinta. Dalam hal ini, sensitifkah hati kita?

Itulah isu utama, HATI..HATI..HATI..

Betapa mudahnya ia terbolak-balik. Dan kita? Pastinya juga sering terjerat dengan fitnah-fitnah hati, bukan?

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Hati dinamakan Qalbu kerana mudah terumbang-ambing (bolak-balik). Sesungguhnya perumpaan hati bagaikan sehelai rambut di atas sebatang pohon yang di umbang-ambingkan oleh angin.”

Dari Abu Musa Al-Asy’ari r.a. dari Rasulullah s.a.w., beliau bersabda:
“Sesungguhnya hati ini seperti bulu yang terdapat di tanah lapang, di mana angin dengan berleluasanya membolak-balikkannya”.

Sejenak, kita imbas kembali kisah Imam Syafie yang pernah mengadu pada gurunya Waqi’tentang buruknya hafalannya. Maka apa yang di jawab oleh gurunya? Tiada lain, juga bertitik tolak kepada kebersihan hati itu sendiri.

Aku mengadu kepada Waki’ tentang buruknya hafalanku.Dia menasihatiku agar meninggalkan maksiat. Dia berkata;


"Ilmu adalah cahaya, dan cahaya Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat."


Kita mengenali Imam Syafie. Imam yang sangat masyhur dan Imam kepada Mazhab Syafi’e. Mazhab pertengahan di antara Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki. Pertengahan di antara Ahlul Hadis dan Ahlur Ra’yi. Pada usia 9 tahun, telah sempurna menghafal Al-Qur’an. Menjejak ke usia 12 tahun pula, sudah menghafal kitab Al-Muwattho' karangan Imam Malik. Bahkan berguru dengan Imam Malik sewaktu berusia 20 tahun. Subhanallah. Hebatnya susuk peribadi ini.


Ulama’ sehebat ini juga mengalami gangguan dalam hafalannya. Apatah lagi kita? "Ilmu adalah cahaya, dan cahaya Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat." , bukankah itu suatu peringatan keras buat kita?

Dari Huzaifah Al-Yaman, dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Fitnah akan dicampakkan bagaikan tikar kepada hati-hati manusia seutas demi seutas (saling bersilang antara satu sama lain). Hati mana saja yang di hinggapi oleh fitnah, nescaya akan terbetik padanya satu bintik hitam. Dan hati mana saja yang menolaknya, akan terbetik padanya satu binti putih bagaikan batu yang licin sehingga tidak terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Sedangkan sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan bagaikan tembaga berkarat, sehingga dia pun tidak menyerukan kebaikan dan tidak pula melarang kemunkaran kecuali yang sesuai dengan apa yang diserap oleh hawa nafsunya.”

Perlu kita sedari, hati adalah letaknya fitnah dan cubaan. Jika tersilap mengelolanya, terjeratlah dengan fitnah itu. Justeru, tersangatlah dharuri untuk kita selalu bertanya pada sang hati; apa khabarmu duhai hati? Sejauh manakah hati ini mengalirkan arus-arus kebaikan untuk diriku? Selama ini. Paling tidak, saat ini.. Sahabat, bertanyalah padanya..Sapalah ia dengan kelembutan dan penuh kepedulian pada kondisinya.

Imam Ibnul Qayyim r.a. mengungkapkan bahawa kembalinya hati kepada kesucian bagaikan ianya terlahir kembali kerana hati itu diciptakan hanya untuk cinta kepada Allah s.w.t..Hati yang suci..bersih..Tak teringinkah kita memilikinya?

“(Iaitu) di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.”
(As-Syu’ara; 88-89)

Apa yang dimaksudkan dengan hati yang bersih? Bersih daripada sifat syirik dan nifak (munafik).

Syirik; tidak menyembah selainNYA. Bukan berhala-berhala, tangkal-tangkal, ataupun yang lebih kontemporari penyembahan harta, wang ringgit bahkan juga nafsu.

Nifak; sifat orang munafik.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga; jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia ingkari, dan jika diberi amanah dia khianat.”
(Muttafaq ‘Alaihi)

Dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“ Empat hal bila ada pada seseorang maka dia adalah seorang munafik tulen, dan barangsiapa yang terdapat pada dirinya sati dari empat sifat tersebut maka pada dirinya ada sifat nifak hingga dia meninggalkannya. Iaitu, jika diberi amanah dia khianat, jika berbica dia dusta, jika berjanji dia ingkari, dan jika berseteru dia melampaui batas.”
(Muttafaq ‘Alaihi)

Sifat-sifat munafik ini, jika dimuhasabahkan, adakah kita memilikinya?

Al- Hasan pernah berkata, : “Tidak ada yang merasa takut akan nifak kecuali dia itu orang mukmin, dan tidak ada yang merasa aman dari nifak kecuali dia itu orang munafik.”

Sekali lagi, mari kita muhasabahkan diri..

Hati yang hidup dan bercahaya merupakan sumber segala kebaikan sedangkan hati yang mati dan gelap adalah sumber segala kejahatan. Begitulah lumrah hati bahkan lumrah alam.

Dari Huzaifah Al-Yaman r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Ketaatan itu adalah cahaya bagi wajah dan kekuatan bagi badan, sedangkan maksiat adalah sebaliknya”.

Meski kita tidak pernah lekang daripada kemaksiatan, namun teruslah berusaha untuk memperbaiki diri. Kerana tarbiyyah, telah pun diyakini menjadicore business sepanjang perjalanan kita menuju Allah.

“Janganlah sampai ada sesuatu yang lebih penting bagimu selain dari memperbaiki dirimu, kerana ia tidak boleh sedikitpun ternoda dosa”
(Khalifah Umar Bin Abdul Aziz)

Wallahu A’lam.

Read More..

Friday, 24 February 2012

Marahmu Kerana Apa?


Bismillahirrahmanirrahim



Dalam menjalani kehidupan seharian, kita seringkali diuji dengan nilai kesabaran. Apatah lagi jika melibatkan komunikasi dan interaksi sesama manusia. Si A yang begitu ego dan susah untuk menerima pendapat orang lain. Mahu dia saja yang menang dan dituruti. Mungkin juga si B, sahabat yang seringkali mengambil mudah akan suatu urusan. Ketika dituntut, ada saja alasannya. Ini dan itu. sikapnya menimbulkan kemarahan kita. Adakalanya juga, sikap si C yang suka menekan orang lain. Sehingga mewujudkan rasa ketidakselesaan orang lain terhadapnya. Situasi-situasi ini seringkali menimbulkan kejengkelan dalam diri pastinya. Ada yang mampu menahan amarah dan ada juga yang tersasar. Marahnya kerana apa? Marahnya kerana rasa jengkel itu, kerana emosi itu.

Sahabat, mari kita renungi beberapa kisah ini sebagai tausyiah dan nasihat untuk kita.


Saidina Ali yang diludahi.

Dalam suatu peperangan, Ali bin Abi Thalib berhadapan sendirian dengan musuhnya yang kuat. Kegagahannya hampir menewaskan Ali namun ketangkasan Ali dapat menghindarnya daripada menjadi korbannya. Ali akhirnya berjaya menjatuhkan musuh dan leher musuh sudah siap untuk dipenggalnya. Namun dengan pantas, musuh itu meludahi wajah Ali. "Astaghfirullah" teriak Saidina Ali. Ali berasa sangat marah sehingga merah wajahnya. Ali kemudian membuang pedangnya dan segera meninggalkan musuhnya itu. Musuhnya yang Yahudi itu berasa hairan atas tindakan Ali yang membatalkan niat untuk membunuhnya. 

"Mengapa engkau melepaskan saya? Mengapa engkau melepaskan peluang untuk membunuh saya?" tanya musuhnya itu dengan hairan. 

Ali yang menahan kemarahannya membalas pertanyaan Yahudi itu,” Aku hendak membunuhmu kerana mempertahankan agama Allah. Tetapi setelah engkau meludahiku, aku menjadi sangat marah. Andai aku meneruskan niatku untuk membunuhmu, itu bererti aku membunuhmu bukan kerana Allah tetapi kerana rasa marah dan dendam dalam diriku.”

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Ali berkata "Jika engkau menghinaku sebagai peribadi aku, tidak lagi ikhlas membunuhmu, kerana aku membunuh kerana membela peribadiku, tetapi jika engkau menghina agamaku engkau pasti akan kubunuh".

Subhanallah, betapa halusnya mata hati Ali. Kejujuran hatinya dapat membezakan niat sesuatu tindakannya. Membunuh kerana Allah atau kerana emosi! 


Nabi Yunus yang kecewa dengan kaumnya.

Nabi Yunus sudah berusaha untuk mengajak kaumnya kepada Allah. Namun, kecewa yang dirasakannya. Lalu, Nabi Yunus pergi meninggalkan kaumnya dengan rasa marah.

“Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahawa Kami tidak akan menyulitkannya..”
(Al-Anbiya’: 87)

Beliau pergi meninggalkan negeri itu dan menumpang sebuah kapal. Dalam perjalanan, tiba-tiba kapal tadi terumbang-ambing kerana terlebih muatan. Akhirnya, kelasi kapal memutuskan untuk membuat undian. Nama yang terpilih harus terjun ke laut untuk meringankan muatan kapal. Dengan izin dan kehendak Allah,nama beliau yang terpilih. Pilihan itu dibantah oleh penumpang lain lalu cabutan yang kedua dibuat. Sekali lagi, nama beliau yang terpilih dan ia juga dibantah oleh penumpang lain. Sedang Nabi Yunus sudah siap menyingsingkan pakaiannya untuk terjun ke laut. Akhirnya undian ketiga dibuat. Ternyata, namanya lagi yang terpilih. Itulah ketetapan Allah. Beliau harus terjun ke laut.

Nabi Yunus pun terjun ke laut dan akhirnya dimakan oleh seekor ikan besar.

“Sesungguhnya Yunus benar-benar termasuk seorang utusan. Ketika dia lari (meninggalkan tanggungjawab) menuju ke kapal yang penuh muatan. Kemudian dia ikut mencabut undi, lalu dia kalah dalam undian. Maka dia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela.” 
(Surah As-Shaffat:139-142)


Dalam perut ikan nun itu, Nabi Yunus berdoa kepada Allah yang bermaksud: 
“Ya Allah, tiada Tuhan selain Engkau, Maha suci Engkau. Sesungguhnya aku benar-benar termasuk orang-orang yang zalim.” (Al-Anbiya’: 87)

Sungguh, doa itu didengari oleh Allah sehingga Allah menerima taubat beliau. 

“Maka Kami kabulkan doanya dan Kami selamatkan dia dari kedukaan. Dan demikianlah Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman.”
(Al-Anbiya’: 88)

Sahabat, Nabi Yunus juga ditegur oleh Allah. Hanya kerana meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah. Sehingga Allah berkehendak mendidiknya dengan menghantar seeokor ikan besar. Dan kita? Berapa kerap kita meninggalkan sesuatu kerana rasa amarah kita? Berapa kerap kita mengekspresikan rasa marah itu? Lalu Allah menegur kita dengan pelbagai cara. Sedarkah kita?


Rasulullah s.a.w. di Thoif

Setelah Abu Thalib meningal dunia, kaum Quraisy semakin kuat menentang Rasulullah. Akhirnya Rasulullah memutuskan untuk ke Thoif dengan harapan akan mendapat perlindungan dari orang-orang Tsaqif dan bersedia menyambut Islam. Namun, pengharapan Rasulullah di balas dengan caci maki, ejekan, hinaan bahkan dilempari batu-baru sehingga Baginda luka. Ternyata, tentangan penduduk Thoif lebih hebat daripada kaum Quraisy. Lalu, Baginda berlindung di bawah pohon kurma dan merintih sambil berdo’a kepada Allah.

“Ya Allah, kepadaMu au mengadukan kelemahanku, terbatasnya usahaku, dan ketidakberdayaan diriku di hadapan manusia. Wahai Dzat yang Maha Pengasih, Engkau adalah Tuhan bagi orang-orang yang lemah, Engkau adalah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau menyerahkan diriku? Apakah kerabat jauh yang tidak menghiraukanku, atau kepada musuh yang akan membinasakanku?njika Engkau tidak marah kepadaku, maka aku tidak peduli, akan tetapi sifat pemaafMu lebih luas. Aku berlindung kepada cahaya wajahMu yang menerangi kegelapan dan kenjadikan baik urusan dunia dan akhirat. Jangan Engkau turunkan kemarahan dan kebencianMu kepadaku. Engkau berhak marah, hingga Engkau redha kepadaku. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan kekuatan Allah.”

Maka Allah mengutus malaikat kepada Baginda dan menawarkan, jika Rasulullah mengizinkan, untuk mengangkat dua gunung yang mengapit kota Thoif dan ditimpakan ke atas penduduknya. Namun, Rasulullah menolaknya bahkan berharap agar kelak akan muncul dari keturunan mereka orang-orang yang menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukanNya.

Subhanallah, cuba kita bayangkan kelembutan Rasulullah ini. Pengharapan tinggi Baginda letakkan untuk dakwah di Thoif namun dibalas dengan sesuatu yang di luar jangkaan Baginda. Boleh saja Baginda mengiyakan tawaran malaikat sebagai balasan kepada siksaan penduduk Thoif, namun, bukan itu yang sewajarnya. Keburukan tidak dibalas dengan keburukan. Namun, tetap bersabar bahkan mendoakan kebaikan untuk mereka kelak. 


Refleksi diri.

Sahabat, ketika ini, renungilah tindak tanduk kita. Singkaplah kembali peristiwa-peristiwa yang pernah menimbulkan amarah dalam diri hingga disusuli dengan tindakan menzahirkannya. Marah itu kerana apa?

Kita juga pastinya pernah merasakan konsekuensi marah itu. Allah menghantar sesuatu peristiwa sebagai imbalannya. Marah kerana emosi. Terjerat kerana emosi. Sedarkah kita?

Saat ini juga, kita imbaslah kembali pesanan Nabi kita,

Dari Abu Hurairah r.a., ada seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.

"Berilah aku wasiat”. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jangan marah!” Baginda mengulang-ulang beberapa kali ucapan, “Jangan marah”. 
(HR Bukhari)

Sahabat, “Jangan marah!”. Orang yang kuat itu bukanlah orang yang kuat dalam pergaduhan, namun orang yang kuat itu adalah orang yang mampu menahan marahnya. Bahkan, itulah yang diiktiraf oleh Allah sebagai orang-orang yang bertakwa dan yang dicintaiNya. 

“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yag disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (Iaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.” 
(Ali-Imran: 133-134)

Sahabat, tak teringinkah kita?

Wallahu a’lam.
Read More..

Saturday, 18 February 2012

Statik

Bismillahirrahmanirrahim
Mencari Rahsianya...

Suatu saat, diri merenung sang hati. Meraba-raba kondisinya..Apa khabarmu, duhai hati?
Akal mula mengambil alih pertanyaan itu..Hingga yang terbit darinya, "kenapa tiba-tiba rasa stuck!" Stuck pada suatu titik. Momentum diri di rasakan statik. Terus melonjakkan gerak, namun kenapa masih terbit rasa hati bahawa kondisi diri dirasakan statik. Ibarat sebuah kenderaan yang tengah menaiki bukit. Hingga suatu ketinggian, kenderaan itu dirasakan statik. Tidak bergerak. Meskipun pada hakikatnya kenderaan itu bergerak.  Pelik. Sungguh pelik rasa itu.

Ketidakbiasaan pada situasi ini benar-benar membuat diri kebingungan. Maka, mulalah mengambil inisiatif mencari jalan keluarnya. 

Dalam keramaian bersama sahabat-sahabat, hati merindui suasana SUNYI. Sunyi daripada manusia. Keseorangan dalam satu ruang bilik. Tiada yang mengganggu, tiada yang menyapa. Melihat kondisi diri, tengah cuti semester, ke mana harus mencipta kesempatan itu. Hala tuju mana lagi jika bukan di Wisma Rabbani ini. Akhirnya, diri akur juga. Duduklah bersama dalam keramaian itu.

Mahu menangis, benarkah hanya tatkala kita berseorangan dalam suatu ruang bilik atau rumah? Persoalan dilontarkan untuk mencabar diri. "Ciptalah suasana ruhi dalam hati itu di sini. Merintihlah padaNya di celah-celah keramaian ini," tegas sang hati.   Sampai suatu ketika, I did it. Puas. Mengalir jua.

Masa terus berlalu. Hari demi hari dilalui..Hingga suatu saat, terdetik lagi. STATIK.

Deretan buku-buku yang tersusun di rak-rak diperhati satu persatu. Itulah kelebihan wisma ini, macam-macam jenis buku ada. Mahu yang ruhi, pilih saja. Mahu yang haraki, ya..pilih saja.Mahu yang ilmi, terhidang untuk di santap oleh sang intelek. Saat itu, sudah tentu mahunya yang ruhi. Jenis buku kegemaran. 

Aneh..sungguh aneh..Kurang dzouq. Apa khabar IMANku? 

Laptop sering menjadi peneman kerana beberapa tugasan perlu disiapkan dan menuntutnya untuk digunakan. Dalam sela-sela itu, suka google mana-mana materi sebagai bacaan untuk siraman sang hati. Namun sekali  lagi, belum benar-benar menggugah sang hati seperti kebiasaannya.

Kemudian, rasa hati diluahkan pada seorang ahli wisma. STATIK, itulah isunya. Puncanya, macam-macam yang di andaikan. Namun yang dominan pada kata hati, kerana kurang bergaul dengan masyarakat. Mana tidaknya, 24 jam terperuk dalam rumah. Keluarnya sekali-sekala bahkan amat jarang sekali. Mungkin kerana dalam kampus, sudah terbiasa berinteraksi dengan manusia yang pelbagai, berprogram, bertemu dan berpisah dan bertemu lagi dengan orang-orang baru..Tatkala kebiasaan itu terhenti, sangat kosong dirasakan. STATIK lagi.

Diri semakin tidak keruan jadinya. Lantas teringat kepada luahan seorang sahabat. Dia dulu, juga mengalami kondisi STATIK. Baru kini dapat merasakan dan memaknai statik itu bagaimana. Meski dahulunya, menjadi keliru, bagaimana boleh berlakunya hal itu? Saatnya sudah tiba untuk diri sendiri pula merasainya. Bingung pula jadinya..

Sahabat itu pun berkongsi cara dia mengatasi rasa STATIK itu.

#Berdamping dengan sahabat-sahabat rapat lain
#Membaca buku-buku atau menonton video-video yang mampu menggugahkan hati
#Bergerak dengan melakukan amal yang bermanfaat untuk orang lain. Bergaul dengan orang lain, menghubungi adik-adik yang bercuti di kampung dan bertanya khabar mereka.

Untuk empunya diri, ya, terkena dengan no 3. Itulah kurangnya.

Seolahnya mendapat semangat baru. "Harus di mulai bagaimana tengahari-tengahari begini? Mood sedang bingung, ada blur sikit. Nak call ke? Macam tak relevan je. Karang kaku jadinya," lirih sang hati. Idea lain datang dan FB adalah sasarannya. Mata tertumpu pada ruangan "online friends". Dengan tindakan segera (suatu kelainan diri) seorang demi seorang yang dikenali di sapa. Opppsss, available untuk wanita sahaja. Rapat atau tidak, itu belakang cerita. "Aku harus mulai pembicaraan. Kekakuan perlu diruntuhkan. Jika kaku, akal harus cepat berfikir. Berbual saja", tegas sang hati. Cuba untuk PEDULI, ambil kisah dan bertanya khabar. Hasilnya? Ya, ada rasa sedikit terubat. At least bergaul juga. Meski di alam maya. 

Kini, semester 2 bermula. STATIK, timbul lagi ke?

Merenung hati...Meraba kondisinya..

Apa pula yang terlintas?

"Hati menuntut sesuatu." 

Ya...hati benar-benar menuntut sesuatu. Menuntut untuk melakukan suatu amal yang baru. 
Terdetik di hati, "Salahkah? Tidak cukupkah untuk memperbaiki amal-amal diri sekarang?" Hati lantas berkata, "I need something else. Dalam memperbaiki, really, I need something else too. Yang di luar kebiasaan diri. Something new."

Adakah hal-hal kebiasaan itu menjemukan?
Bukan, bukan itu yang dimaksudkan. Namun, hati meminta sesuatu. Tambahi amal-amal lain, yang bukan kebiasaan diri. Itulah pintanya.

Apakah ia? Hati juga masih mencari..Mencari dan mencari di samping berbuat sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan diri. Pertemukanlah ya Allah...

* Bagi yang membaca, mungkin merasakannya aneh. Mungkin juga merasakannya remeh. Namun, jika kalian pernah melaluinya, pasti akan memahaminya. Coretan ini, sekadar mencurahkan rasa hati. Bagi yang membaca, lontarkanlah nasihat. Andai ada yang tersalah dalam memahami sesuatu, nasihatilah empunya diri.  Kerana, hati masih mencari...Mencari si "something new" hingga akhirnya membuahkan amal. Agar diri, tidak lagi merasakan STATIK.   *

Wallahu a'lam.
Read More..

Saturday, 21 January 2012

Yang Berilmu, Siapa?

Bismillahirrahmanirrahim

Ilmu --> Ma'rifatullah

"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun."
(Faathir: 28)

Ilmu, amatlah dituntut dalam Islam. Itulah sarana untuk mengeluarkan manusia daripada kejahilan. Maka sejajarlah dengan perintah pertama Allah, " IQRA' ". Melihat kepada ayat dalam Surah Faathir di atas, orang yang memiliki ilmu sepatutnya menghadirkan kepadanya rasa takut dan bimbang kepada Allah. Takut dan bimbang untuk melanggar perintah Allah. Begitu Allah menegaskannya. Perasaan itulah yang seterusnya akan membuatkan seseorang untuk tunduk dan patuh kepada perintah Allah. Formula ini, seharusnya menjadi renungan yang sangat berharga buat kita, sang pencari dan pencinta ilmu. Termuhasabahkah kita?

Berilmu ---> Takut kepada Allah ---> Tunduk dan Patuh kepadaNya

Jom, kita semak beberapa ayat naqliyah dan kisah para sahabat yang berkait dengan ilmu.

Nabi Musa dan Pesihir-Pesihir Firaun

Mereka berkata: "Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?" Nabi Musa menjawab: "Campakkanlah kamu (dahulu)!" Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya). Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Campakkanlah tongkatmu!" Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka). Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batalah (sihir) yang mereka telah lakukan. Oleh itu, kalahlah Firaun dan Ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina. Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud, Sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam. "(Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun".
 (Al-A'raf : 115-122)

Begitulah reaksi pesihir-pesihir Fr'aun.
Ketika mana terlihat mukjizat Nabi Musa kepada para pesihir upahan Fir'aun, hal itu benar-benar meruntuhkan keegoan mereka. Lalu tunduk dan sujud kepada Allah s.w.t. Kenapa? Kerana mereka memiliki ilmu. Ilmu sihir yang penuh tipu daya telah dikalahkan oleh mukjizat Nabi Musa yang benar-benar menelan tongkat-tongkat mereka. 

Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka). Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batalah (sihir) yang mereka telah lakukan. 

 Ilmu mereka yang batil telah terkalahkan. Kebenaran itu tidak mampu mereka sembunyikan lagi!


Thufail ad-Dausi

Thufail adalah seorang penyair yang hebat yang berasal dari kaum Ad- Dausi di Yaman. Seorang yang sangat dihormati dan luas pengaruhnya. Suatu hari, beliau berangkat ke Mekah atas urusan perniagaan. Ketibaannya disambut ramai penduduk Mekah. Ketakutan terlahir dalam kalangan kaum Musyrikin Quraisy. Takut sekiranya beliau akan terpengaruh dengan kata-kata Rasulullah kelak.

Kaum Musyrikin menemuinya dan bermulalah kata-kata fitnah mereka terhadap Rasulullah.

"Nanti jika engkau datang ke negeri kami, hati-hatilah dengan seorang lelaki dalam kalangan kami. Dia selalu menjadi masalah kepada kami. Dia telah memecah-belahkan masyarakat kami dan mengganggu urusan kami. Kata-katanya ibarat sihir sehingga boleh memisahkan antara ayah dengan anaknya, memecah-belahkan antara saudara-mara, suami dengan isteri.. Kami risau kalau-kalau nanti dia dapat mempengaruhi engkau dan kaummu seperti apa yang telah terjadi kepada kami ini. Janganlah berbicara langsung dengannya mahupun mendengar percakapnya walaupun sikit.."

Thufail kemudian menuturkan:

"Demi Allah mereka terus-menerus memperingatkanku dengan perkara itu sehingga aku mengambil keputusan tidak mahu mendengar dan bercakap dengannya, bahkan aku menyediakan kapas penyumbat telinga supaya cakap-cakapnya tidak sampai kepadaku. "

Sehinggalah suatu hari, Allah menakdirkannya bertemu dengan Rasulullah. Rasulullah ketika itu tengah solat di sisi Ka'bah. Thufail hanya duduk saja berhampiran dengan Rasulullah. Thufail, dengan telinga yang disumbat dengan kapas, sudah siap untuk mencegah kata-kata Rasulullah itu daripada didengarinya. Namun ternyata, Allah berkehendakkan sesuatu yang lain. Kata-kata Rasulullah didengarinya. 

Monolog Thufail:

"Aku mendengarnya dan aku dapati kata-katanya adalah kata-kata yang baik. Aku pun berfikir sendiri, alangkah tidak baiknya kalau aku tidak membuat pertimbangan sendiri. Aku seorang penyair, aku boleh menilai baik dan buruk. Apakah yang menghalangku untuk mendengar dari lelaki ini apa yang diucap olehnya. Kalau baik, aku menerimanya, dan kalau buruk, aku menolaknya." 

Lantas, Thufail mengikuti Rasulullah pulang ke rumah dan menceritakan tentang dirinya dan amaran-amaran Kaum Quraisy kepadanya. Dia juga meminta agar diajarkan kepadanya Al-Qur'an dan Islam.

"Maka demi Allah, aku tidak pernah mendengar kata-kata yang lebih baik darinya serta perkara yang lebih adil darinya. Aku terus menganut Islam dan mengikrarkan syahadah yang sebenar..", begitu kata Thufail.

Begitulah juga reaksi Thufail. Dia, seorang penyair terkenal. Yang pastinya, memiliki kekayaan bahasa dan sastera. Kalimah-kalimah Al-Qur'an yang baru pertama kali didengarinya, membuatkannya tertanya-tanya..Dan pastinya, kekayaan bahasa yang dimiliki Al-Qur'an pasti dirasakan bahawa itu bukanlah milik seorang manusia. 

Aku seorang penyair, aku boleh menilai baik dan buruk, begitu lirih hatinya. Dan sungguh, dia telah berlaku jujur pada hatinya..


Najasyi (Raja Habsyah)

Peristiwa ini berlaku semasa penghijrahan pertama ke Habsyah. Najasyi merupakan ahli Kitab yang beriman kepada Nabi Isa a.s..Atas perintah Rasulullah, berangkatlah segerombolan Muslimin ke Habsyah, dengan misi untuk meminta perlindungan Raja Habsyah, Najasyi.

Dalam pertemuan itu, terdapat dua kelompok, Musyrikin Quraisy dan Muslimin. Musyrikin, sudah tentu mahu menyogok Raja Najasyi dengan makar-makar mereka bagi menyekat Muslimin hidup tenang di Habsyah. 

Perbualan di antara Ja'far dan Najasyi:

Najasyi :  Apakah kalian membawa sesuatu yang dibawa oleh Nabi itu tentang Rabb-nya?
Ja'far     : Ya, ada.
Najasyi : Tolong bacakan untuk kami.

Lalu Ja’far membacakan surat Maryam,

“Dan ceritakanlah (kisah) Maryam di dalam Alquran, yaitu ketika ia menjauhkan diri dari keluarganya ke suatu tempat di sebelah timur, maka ia mengadakan tabir (yang) melindunginya dari mereka; lalu Kami mengutus ruh Kami kepadanya maka ia menjelma di hadapannya (dalam bentuk) manusia yang sempurna. Maryam berkata, ‘Sesungguhnya aku berlindung kepada Rabb yang Maha Pemurah, jika kamu seorang yang bertakwa.’ Ia (Jibril) berkata, ‘Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang utusan Rabb-mu, untuk memberimu seorang anak laki-laki yang suci.’ Maryam berkata, ‘Bagaimana akan ada bagiku seorang anak laki-laki, sedang tidak pernah seorang manusia pun menyentuhku dan aku bukan (pula) seorang pezina?’ Jibril berkata, ‘Demikianlah. Rabb-mu berfirman, ‘Hal itu adalah mudah bagi-Ku; dan agar dapat Kami menjadikannya suatu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat dari Kami; dan hal itu adalah suatu perkara yang sudah diputuskan.” Maka Maryam mengandungnya, lalu ia menyisihkan diri dengan kandungannya itu ke tempat yang jauh. Maka rasa sakit akan melahirkan anak memaksa ia (bersandar) pada pangkal pohon kurma; ia berkata, ‘Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi sesuatu yang tidak berarti, lagi dilupakan.’ Maka Jibril menyerunya dari tempat yang rendah, ‘Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Rabb-mu telah menjadikan anak sungai di bawahmu.’” 
(Q.s. Maryam:16–24)

Najasyi, menangis secara langsung mendengarkannya..Begitu juga dengan uskup-uskup yang hadir di situ hingga kitab-kitab mereka basah oleh titisan air mata. Subhanallah!!! Kebenaran tidak mampu ditahan oleh mereka. Mereka yang memiliki ilmu tentangnya.

Najasyi berkata kepada utusan Quraisy tersebut, "Apa yang mereka bacakan kepada kami dan apa yang dibawa oleh Isa .alaihissalam berasal dari sumber yang sama. Demi Allah, aku tidak akan menyerahkan mereka sama sekali kepada kalian selama aku masih hidup." Kemudian dia bangkit dari singgahsana dan pertemuan itu pun dibubarkan.

Akhirnya, dengan dakwah berterusan, Raja Najasyi memeluk Islam. Setelah ditawarkan oleh Rasulullah melalui surat yang dikirimkan kepadanya. 

Selesai bersyahadah, dia berkata,
"Kalau saja aku mampu untuk mendatangi Muhammad s.a.w niscaya aku akan duduk di hadapan beliau dan membasuh kedua kakinya."

Kemudian beliau menulis surat jawapan pendek kepada Rasulullah s.a.w. yang menyatakan penerimaan dakwah Rasulullah dan keimanan atas kenabian baginda. 


Umar Al-Khattab

Beliau merupakan peribadi yang terkenal cerdas, pandai menulis dan membaca. Semasa hayatnya beliau selalu menjadi utusan, duta besar dan kebanggaan kaum Quraisy. Terkenal dengan sifat berani, keras dan tegas.

Walau bagaimanapun, peribadi ini semasa dalam jahiliyyah, pernah disebut dalam doa Rasulullah.

"Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khattab atau Abu Jahal b. Hisyam" 
(Hadtih riwayat At-Thabarani)

Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh At-Thabarani bahawa Rasulullah SAW juga pernah berdoa "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab"

Subhanallah!!!
Doa untuk mengukuhkan lagi kedudukan Islam, dengan Islamnya Umar. Dan Rasulullah menyedari akan hal itu!

Sebuah hadith dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW berkata :

"Apabila Umar memeluk Islam, Jibril pun datang dan berkata : "Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan islamnya Umar"


Kisah keislamannya bermula setelah Umar diberitakan bahawa adiknya, Fatimah telah memeluk Islam. Dengan muka yang bengis dan penuh marah, beliau kembali ke rumah. Fatimah, lewat membuka pintu, tidak semena-mena tangan Umar singgah ke pipi Fatimah. Drah mengalir keluar dari mulutnya. Itu cukup menggambarkan betapa marahnya Umar.

Namun, hati Umar terasa bersalah. Lantas, dia meminta Fatimah untuk menunjukkan kepadanya ayat-ayat yang dibacanya sebentar tadi. Fatimah menegahnya dan memberi isyarat agar Umar mandi terlebih dahulu kerana ayat itu begitu suci. Seusai itu, Surat Taha: 1-6 dibaca.

Taa’ Haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah. Allah (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy. Dia lah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta ang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi.

Badan Umar terasa lemah. "Ini bukan rekaan Muhammad. Mustahil dia mampu membuat sesuatu yang indah sebegini", katanya.

Akhirnya, Umar menemui Rasulullah dan mengisytiharkan keislamannya.

Nah, cuba lihat kata-kata Umar, "Ini bukan rekaan Muhammad. Mustahil dia mampu membuat sesuatu yang indah sebegini". Dia memiliki ilmu bahasa yang tinggi dan dengan ilmunya itulah dia mampu mengesan ketinggian ilmu Allah. Yang akhirnya menbuat dia tunduk dan berserah pada Islam. Allahu Akbar!!!

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Begitulah antara ayat naqliyah dan kisah para sahabat yang perlu kita renungi..Kerana mereka memiliki ilmu, ia telah menghantarkan kepada mereka kepada suatu hakikat kebenaran dan tunduk berserah kepada Allah semata-mata. 

Untuk kita, sang pencari ilmu..
Yang mengaku memilki ilmu..Ilmu yang pelbagai..Yang memiliki SPM, STPM, STAM, ijazah, sarjana, bahkan yang menggenggam Ph.D. Walau dalam bidang apa sekalipun..
Sejauh mana ilmu itu menghantarkan kita kepada ma'rifatullah, Mengenal Allah..?
Sehingga kita tunduk dan patuh kepada perintahNya..

Semoga ilmu tidak sekadar di akal. Namun terpatri ke dalam hati sehingga membuahkan amal. Amal yang bersesuaian dengan kehendak syariat. Amal yang mencerminkan kepatuhan kita kepada Dia , Al-'Alim, Yang Maha Mengetahui.

Semoga juga, kita terhindar daripada memiliki sifat yang dipunyai oleh Qarun.

Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". 
(Al-Qasas: 78)

Ilmu yang dimilikinya, menjadikannya lupa kepada Yang Maha Mengurniakan rezeki, rezeki ilmu. Sehingga bongkak, takbur dan angkuh dengan hartanya yang melimpah..Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku..Na'udzubillah..

Sebaliknya, semoga segala nikmat yang dikecapi hasil ilmu yang dimiliki, membuahkan tuturan kata yang indah..Semuanya adalah kerana Allah..Dan katalah,  Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. (An-Naml: 40)


Wallahu a'lam.

(Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki, dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui, 
(Yusuf: 76)
Read More..

Friday, 13 January 2012

Psikologi Jiwa

Bismillahirrahmanirrahim

Merenung..


Petang itu, ada suatu rasa yang terpendam. Suatu rasa yang masih terselindung. Hati seolah-seolah memberi isyarat akan sesuatu. Apakah ia? Tertanya-tanya... Namun hati menduga, "ada sesuatu yang akan berlaku".  

Seusai solat Maghrib, alhamdulillah berjema'ah, mataku ligat mencari jam. Sudah menghampiri pukul 8 malam. Agak lewat sedikit malam itu kerana berbuka puasa dahulu. "Alamatnya, akan lambat sampailah ke halaqah malam ini". Hati mengadu. Perjalanan dari mahallah (asrama) menuju ke tempat liqo' memakan masa dalam 10 minit. Itu jika berjalan kaki. Alhamdulillah, dalam kelewatan  itu, seorang sahabat menawarkan untuk meminjamkan motornya. Jimat 5 minit. Motor? Saya bawa ke? Sudah tentu tidak. Jika saya bawa, tak sampailah jadinya. Bahkan tak bergeraklah ia.. Sebilik dengan saya, seorang sahabat sehalaqah. Pastinya, dilalah yang menunggangnya. Sahabat itu kini sudah pun membina baitul muslim dan sedang tumbuh membesar bersamanya seorang bakal mujahid, insya Allah. 

Halaqah seperti biasa bermula pada pukul 8 malam. Adab dalam berhalaqah, harus on time! Malam itu, seperti dijangka, terlewat 5 minit..Sedang yang lain sudahpun tiba..Murobbi melemparkan senyuman buat kami berdua yang baru tiba. Kami berdua lantas memohon maaf atas kelewatan kami. Sedikit dukacita dan malu atas kelewatan terlahir dari hati. 

Seperti biasa, halaqah dibuka dengan kata-kata yang menyegarkan. Sebagai wangian awal untuk mempersiapkan jiwa dan fikiran bersama halaqah. Memposisikan dan memusatkan akal dan perasaan sepenuhnya pada halaqah yang sedang berjalan. Hal lain, harus sedaya yang mungkin diketepikan! Disusuli pula dengan tilawah Al-Qur'an dan tadabbur. Mem'basah'kan lagi hati-hati ahli halaqah.

Tugasan hadis disampaikan oleh seorang ahli halaqah. Hadis 27 dalam himpunan hadis Arba'in dikupas. Buku hadis kecil berwarna biru itu dibuka. Buku kecil ini disisipkan bersama dalam Al-Qur'an bagi mengelakkan terlupa untuk membawanya setiap kali halaqah.  

Daripada an-Nawwaas bin Sam’aan r.a, daripada Nabi s.a.w. baginda telah bersabda ; 
“Kebajikan itu ialah akhlak yang baik dan dosa itu ialah sesuatu yang menggelisahkan perasaanmu dan kamu benci manusia melihatnya".

Dan daripada Waabisoh ibn Ma'bad r.a. beliau berkata: 
"Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu Baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu"



Dushh!!!

Tiba-tiba hadis yang baru sahaja dibaca itu dirasakan seolah-olah ditujukan khas buatku. Saya merenunginya kembali dan menghayati setiap perkataan yang terkandung di dalamnya. 


"Ya Allah, kata-kata ini yang pernah diungkapkan oleh sahabatku suatu ketika dulu 
rupa-rupanya adalah  sebuah  HADIS!" Rintih sang hati.

"dosa itu ialah sesuatu yang menggelisahkan perasaanmu dan kamu benci manusia melihatnya"

Saya merenunginya kembali..Dalam..Cuba memaknainya..

Tak semena-semena, air mata mengalir deras membasahi pipi. Air mata diseka dan cuba menyembunyikannya daripada ahli halaqah yang lain. Namun ternyata, diri tidak mampu. Esakan kian didengari, lantas terus meninggalkan sebentar liqo' itu...Yang lain, terpinga-pinga melihat reaksiku..

Benarlah...rasa hati yang diisyaratkan petang itu, menandakan sesuatu..Sesuatu yang akan meluruhkan hati..Sesuatu yang menegur langsung hati ini. Tentang suatu hal yang sering didustai tindakan..meski kerap hati mengisyaratkannya..Menentangnya, begitu menyakitkan..Terlalu pedih mendustakan sang hati..

Gelisah + Benci manusia melihatnya = DOSA

Dan suatu hal itu, 
gelisah perasaan, tepat sekali...Benci diketahui manusia, benar.. itulah dirasakan... 
Maknanya ianya dosa? 
Jujurkah diri ini menanggapi maksud isyarat hati?

Bayangan lalu itu, sejujurnya, sangat membekas untuk diingati..
Bisikan hati itu, sejujurnya, terlalu misteri untuk dimaknai..

Saya yakin, setiap kita pasti pernah mengalami isyarat-isyarat yang diterima dari hati. Yang jika difikir kembali, dari mana saja datangnya isyarat hati itu. Di sinilah persoalan timbul. Sejauh manakah kita jujur terhadap hati kita? Ketika ia datang menyapa, pernahkah kita bertanya pada hati? Bersidang pada mahkamah hati...Dan jujur bertindak mengikut pertimbangan hati. Bukan bersandar pada akal semata-mata. 

"Mintalah fatwa dari hatimu", begitu pesan Rasulullah pada kita.

Hati tidak boleh menipu..Rasa hati bukanlah sesuatu yang boleh dilakonkan untuk dizahirkan..Berpura-pura akan sesuatu..Tidak sekali..
muhasabah..
Sedikit tentang psikologi mengenai jiwa.

Psikologi tentang kejiwaan telah diperkenalkan oleh Islam. Kita maklumi, bahawa manusia itu terdiri daipada 3 unsur yakni akal, fizikal dan jiwa. Sedang ahli psikologi Barat, sebelumnya lebih banyak tertumpu kepada kajian tingkah laku manusia. 

Al-Ghazali menyatakan bahawa jiwa adalah suatu entiti spiritual yang mengawal fungsi fizikal dan organik manusia serta menguasai deria untuk menjalankan keperluan-keperluan badan. Lagi, menurut Ibn Sina, jiwa manusia mempunyai kemampuan secara teori dan praktikal yang membentuk kecerdikan atau kecerdasan minda. Tambahnya, jiwa itu sendiri boleh mencapai idea yang tidak disedari oleh seseorang melalui perasaan, imaginasi dan anggaran. Beliau menganggap kebolehan tersebut sebagai faktor utama kepada tingkah laku.

Begitu sekali ya pengaruh hati!

Kajian tentang jiwa ini yang didahului oleh sarjana Muslim akhirnya dikembangkan oleh sarjana Barat tanpa sedikitpun meninggalkan sebarang kredit kepada sarjana Muslim sebagai perintisnya. 

Begitu pentingkah entiti hati atau jiwa ini?

Dalam merungkai persoalan ini, cukup untuk kita renungi beberapa ayat dalam Al-Qur'an untuk kita renungi.


"Sesungguhnya mereka tidak buta mata tapi yang buta itu adalah mata hati yang ada dalam dada" 
Surah Al-Hajj (22:46) 



"Dan sesungguhnya (Kami) ALLAH akan isikan dalam neraka jahanam itu sebahagian dari golongan jin dan manusia, mereka itu mempunyai hati, tetapi tidak mahu memahami ayat ayat ALLAH . Mereka mempunyai mata, tetapi tidak mahu melihat tanda tanda kekuasaan ALLAH.Mereka mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ayat ayat dan nasihat ALLAH. Mereka tidak ubah seperti binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang orang lalai." 
Surah Al A 'Raf (7:179 )



"Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu, bahkan lebih keras. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang (airnya) memancar daripadanya. Dan ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah tidaklah lengah terhadap apa yang kamu kerjakan."
 Surah Al-Baqarah (2:74)

"Keras hati dan selain itu ia sangat terkenal dengan sifat kejahatannya.." 
Surah Al-Qalam (68:13) 

"..Telah berkarat hati mereka, Kerana dosa-dosa yang telah mereka lakukan.." 
Surah Al-Muthaffifiin(83:14)

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik. "
Al-Hadid (57: 16)

Dan juga hadis Rasulullah tentang hati.


"...Dan ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati. " 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

"...Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu"




Soalnya hati..terlalu urgensi untuk kita selidiki..Untuk kita tata..Menjaga dan menghidupkannya..Ketika hati mula memberi isyarat, yakinlah bahawa Allah tengah menyentuh hatimu..Menyapa hatimu..Sehingga ketika mendengarkan ayat 28-30 Surah Al-Fajr ini, terasa sungguh kedekatannya pada kita. Kerana Allah tengah berbicara dan menujukan ungkapan itu yang teristimewa buat si dia yang bernama HATI.

"Wahai jiwa yang tenang, Kembalilah kepada TuhanMu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaku, Dan masuklah ke syurgaku"
Al-Fajr (89: 27-30)

Agar Allah menetapkan hati kita pada ketaatan..Agar Allah menetapkan hati kita kepada kebaikan..Marilah bersama kita amalkan doa-doa indah ini..Yang dititipkan kepada kita oleh Allah s.w.t.dan diajarkan oleh Rasulullah s.a.w..

Ya Allah, teguhkanlah hati ini..

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

 “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; karena sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (karunia).” 
(Ali Imran: 7)


يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِيْنِكَ

 “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama-Mu.” 
(HR. Ahmad dan at Tirmidzi)


اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

"Ya Allah yang mengarahkan hati, arahkanlah hati-hati kami untuk taat kepadamu.” 
(HR. Muslim)

Amin Ya Rabb.
Wallahu a'lam.

Read More..