Friday, 8 June 2012

Menjengah Erti Kejujuran


Bismillahirrahmanirrrahim


"Sesungguhnya, kejujuran itu membawa kepada kebaikan. Sesungguhnya, kebaikan itu membawa kepada syurga. Seseorang tidaklah sentiasa jujur melainkan akhirnya Allah s.w.t. menulisnya (menggelarnya) sebagai orang yang siddiq…"
(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

JUJUR didefinisikan oleh para Ulama’ bahasa sebagai selarasnya ucapan dengan isi hati dan tindakan, yang mana jika hilang salah satu syarat tersebut maka pincanglah kejujuran itu. Justeru bagi seorang MUKMIN, sifat kejujuran seharusnya menyatu dan menjadi darah daging dalam dirinya. Tidak boleh tidak.

Kata lawan bagi jujur adalah DUSTA dan sudah tentu sifat ini tidak seharusnya dimiliki oleh seorang MUKMIN. Rasulullah s.a.w. mencela sifat ini seperti mana dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Malik. Suatu hari, seorang lelaki datang kepada Rasulullah lalu bertanya; "Adakah seseorang mukmin itu pendusta?". Rasulullah menjawab; "Tidak. Orang mukmin itu tidak berdusta". Tegas Rasulullah menyatakannya. Maka, dapatlah difahami bahawa jujur adalah sifat asasi yang seharusnya dimiliki oleh setiap mukmin. Bahkan kita sudah maklum bahawa dusta merupakan antara sifat seorang Munafik. 

“Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.” (HR. Bukhari)

Imam Ibnul Qayyim pernah berkata, 

Iman asasnya adalah kejujuran (kebenaran) dan nifaq asasnya adalah kedustaan”. Rasulullah juga pernah bersabda,  “Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada yang tidak meragukanmu, sesungguhnya kejujuran, (mendatangkan) ketenangan dan kebohongan (mendatangkan) keraguan.”

Fenomena ketidakjujuran semakin membarah dalam masyarakat kini. Seorang pekerja di amanahkan untuk menjaga harta tuannya. Namun, kerana cintakan harta maka dikebasnya. Tidak kurang juga tabiat peniaga yang mahu meraih keuntungan lalu kejelekan jualannya dirahsiakan daripada pengetahuan pembeli. Hanya kerana takut menanggung rugi. Susu ditambahi air, timbangan dan takaran dikurangi dan macam-macam lagi. Bahkan sangat menyedihkan, ketika mana kadar kes pecah amanah kini kian meningkat. Apatah lagi yang terlibat itu adalah para peguam dan hakim. Komuniti dan kerjaya yang begitu sinonim dengan erti kejujuran dan keadilan. Namun, rasuah dihalalkan, kebenaran disembunyikan bahkan sesuatu fakta ditokok tambah, dan berleluasanya penipuan ke atas klien Tidak kurang juga sistem kehakiman yang dipengaruhi oleh entiti eksekutif dan legislatif.  Slogan without fear and favour seolah-olah hanya indah khabar dari rupa! Teori dan teori saja..Sedang kejujuran kian terhakis.

Bentuk Kejujuran

1. Jujur dalam niat dan kehendak.

Ini kembali kepada soal keikhlasan. Kita pastinya sudah arif pada teorinya, dalam beramal, ikhlasnya semata-semata kerana Allah. Tidak boleh dicampuradukkan dengan kepentingan-kepentingan dunia yang lain. Ingatkah lagi kita kepada kisah 3 orang yang di hadapkan kepada Allah? Si dermawan, mujahid dan ‘alim.  Ketika di tanya tentang niat mereka di sebalik kebaikan-kebaikan itu, ternyata berbau kepentingan duniawi. Malah berdusta dengan mengatakan kerana Allah semata-mata. Di giringlah semuanya ke dalam neraka. Rosak kerana ketidakjujuran dan niat yang menyimpang daripada Allah. Sahabat, ianya hanya kerana niat yang jelek meski amal-amal begitu indah. Hanya kerana niat!

2. Jujur dalam ucapan.

Sudah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk hanya berkata yang benar. Tidak sekali berdusta. Apatah lagi yang Mukmin. Ingat hadis tadi? Sifat asasi bagi Mukmin adalah jujur dan harus sunyi daripada sifat dusta.

“Tidak lurus (istiqomah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya.” 
(Riwayat Ahmad)

Dasar istiqamah adalah tergantung kepada hati, yakni hatinya lurus dan jujur pada kalimah tauhid ‘La Ilaha Illa Alah’. Menariknya, hadis ini menggandingkan elemen hati dan lidah dalam rangka menjaga keistiqamahan iman. Kenapa lidah? Ini kerana lidah adalah terjemahan kata hati dan pemikiran seseorang. Kejujuran yang paling mudah dan jelas untuk dilihat. Justeru, berhati-hatilah pada lidah.  Betapa mudahnya orang melabel kita sebagai orang jujur atau pendusta dengan hanya melihat kepada tutur kata kita. Sedarkah kita?

Lihat pula firman Allah yang ini,

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
 (As-Saff: 2-3)

Ternyata, kata-kata yang tidak selari dengan perbuatan mengundang celaan daripada Allah. Pastinya, ayat ini menjadi teguran yang tegas dan keras kepada kita.

3. Jujur dalam tekad dan memenuhi janji.

“Wahai Sa’ad, demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya, sungguh aku telah mencium aroma syurga dari arah Uhud.” Kemudian Anas Bin Nadhar mengacungkan pedangnya dan menyerbu kaum kafir sambil bertekad tidak akan berhenti berperang sebelum syahid. Dengan izinNya, dia syahid di medan Uhud. Terdapat lebih 80 luka ditubuhnya dan telah dicincang oleh Musyrikin. Tiada yang mengenalinya melainkan saudara perempuannya, itupun dengan adanya tanda di hujung jarinya.

Dalam sebuah riwayat, firman Allah turun berkenaan dengannya.

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya).”
 (QS. al-Ahzab: 23)

Kisah ini, mengajarkan kita tentang erti jujur dalam tekad dan memenuhi janji. Tekad tidak sekadar tekad, dan janji tidak sekadar janji. Namun harus dibuktikan kejujurannya. Bergerak dan melaksanakan apa yang telah kita tekadkan.

4. Jujur dalam perbuatan

Ini pula merujuk kepada keselarian antara yang zahir dan batin, tiada bertentangan antara amal zahir dan amal batin. Mutharrif pernah mengatakan, “Jika sama antara batin seorang hamba dengan lahiriahnya, maka Allah akan berfirman, ‘Inilah hambaku yang benar/jujur.’”

Ketika mana hati itu hidup dengan zikrullah pantaskah kiranya terzahir amal yang buruk. Misalan, seorang yang hafiz/ah berdusta. Atau, seorang yang tekun mendirikan solat namun di hatinya tersimpan dendam kesumat yang menebal. Suatu amalan zahir yang baik tidak mampu mengalirkan kebaikan yang baik pada yang amalan batin dan sebaliknya. Pastinya di situ ada kepincangan yang mendasar. Maka, hati itulah yang dipersoalkan. Kerana di situlah sumber ledakan sebuah kejujuran hasil daripada keimanan yang benar.

Jujur itu soal mahu atau tidak

Dikisahkan bahawa seorang lelaki menemui Rasulullah dengan tekad untuk bersyahadah. Dia bukanlah orang yang baik-baik bahkan mencuri dan mabuk itu sudah menjadi kebiasaannya. Namun, ketika tekad sudah membulat untuk bersyahadah, tiada apa yang akan menghalangnya. Jelas! Harus mara untuk bersyahadah!

Selesai bersyahadah, berlakulah perbualan antara lelaki itu dan Rasulullah.

Lelaki                     : Aku mempunyai kebiasaan yang buruk dan sulit untuk kutinggalkan.
Rasulullah               : Mahukah engkau berjanji kepadaku untuk tidak berbohong?
Lelaki                     : Ya, mahu. Aku berjanji untuk tidak berbohong.

Kemudian, lelaki itu pun beransur pergi lalu bermonolog.

“Mudahnya permintaan Rasulullah yang mulia ini. Hanya berjanji untuk tidak berbohong.”

Setelah berlalunya masa, keinginannya untuk mencuri kembali memuncak. Tatkala mahu mencuri, tiba-tiba dia teringatkan janjinya kepda Rasulullah. “Jika aku mencuri dan Rasulullah bertanya kepadaku, apa yang akan ku jawab? Jika jawapanku ‘ya aku telah mencuri’ bererti aku akan dihukum. Jika ku jawab ‘tidak’, itu bererti aku telah berbohong. Padahal aku telah berjanji dengannya untuk tidak berbohong. Maka, seharusnya aku meninggalkan niatku untuk mencuri.” Monolog itu berjaya menghalangnya daripada meneruskan niat buruknya tadi.

Monolog ini juga sering berlaku ketika keinginan untuk minum arak muncul. Hingga akhirnya, dia telah benar-benar meninggalkan perbuatan itu dan menjadi Muslim yang taat.

Sahabat, apa yang dapat kita ambil manfaat daripada kisah ini?
Kisah ini mengajarkan kepada kita bahawa jujur itu adalah soal mahu atau tidak. Merealisasikannya bergantung kepada sekuat mana kemahuan untuk berlaku jujur. Tidak memerlukan teori yang mendalam yang hanya akan tinggal teori tanpa amal. Tidak perlu. Namun, cukup dengan komitmen dan kemahuan yang tinggi iaitu untuk JUJUR!
               
Ketika mana kemahuannya tinggi, maka seseorang itu akan bekerja keras untuk mencapai nilai kejujuran. Meski pada kondisi yang berat. Namun, ketika ia melemah, maka berlakulah tarik tali untuk merealisasikannya. Pada suatu saat dia akan berlaku jujur namun dalam kesempatan yang lain tidak. Justeru, untuk jujur ianya satu pilihan. Mahu atau tidak. Kemahuan yang tinggi akan menenggelamkan soal mampu atau tidak.

Refleksi

KESELARIAN  UCAPAN + ISI HATI + TINDAKAN --> JUJUR

Sahabat yang dikasihi Allah s.w.t,
Tatkala ini, berhentilah sejenak. Pusatkan fikiran kepada makna kejujuran. Renunglah ke dasar hati, lalu bertanyalah padanya. Jujurkah aku? 

Dalam meniti persoalan itu, ianya memerlukan satu syarat. JUJUR itu sendiri!

Mana mungkin hati yang tidak jujur mampu menjengah ketelusan hati. Dalihnya ada saja. Itu dan ini. Kepentingan-kepentingan peribadinya terus dilaungkannya sehingga membenamkan nilai kejujuran. Tidak sekali-kali.

JUJUR, itu soal mahu atau tidak!

Meniti kehidupan seharian, kita takkan boleh terlepas daripada nilai kejujuran. Masing-masing dari kita memegang amanah yang mungkin berbeza. Namun, setiap amanah itu menuntut satu hal yang sama dari kita, JUJUR. 

Hasan Al-Banna pernah menegaskan bahawa hendaklah kita jujur dalam menunaikan segala janji dan kata-kata. Janganlah melanggarnya walau dalam apa jua keadaan.

 Daripada Ibnu Mas’ud daripada Nabi Saw bersabda :

Tidak berganjak kaki anak Adam berdiri di hadapan Allah pada hari Qimat sehinggalah dia ditanya tentang lima perkara iaitu umurnya bagaimana ia dihabiskan, waktu mudanya bagaimana digunakan, hartanya bagaimana diperolehi dan bagaimana pula harta itu dibelanjakan dan ilmunya apakah ia telah amalkan ?

Ketika di hadapkan di mahkamah akhirat, tiada lagi kata dusta yang akan kedengaran. Dusta akan terbenam dan tertegaklah yang benar. Pendengaran, penglihatan bahkan hati akan di minta pertanggungjawaban. Mampukah bernista? Sahabat, itulah hari yang dipenuhi dengan KEJUJURAN.

Jujur itu suatu kemestian.

Sedarkah kita Allah mengkhabarkan bahawa kejujuran mampu menyelamatkan seseorang daripada azab?
Allah berfirman,

“Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka.”
(QS. al-Maidah: 119)

Untuk jiwa-jiwa yang merindui dan mencintai kejujuran,
Mari mengambil semangat dan tekad yang kuat daripada Anas Bin Nadhar. Kejujuran niat, tekad dan tindakannya telah menghantarnya kembali kepada Allah dalam keadaan syahid.  Mari belajar daripada kisah lelaki yang menemui Rasulullah untuk bersyahadah dan berusaha untuk berlaku jujur. Meski dirinya masih bergelumang dengan kemaksiatan.  Mampukah meninggalkannya? Sahabat…soalnya bukan mampu atau tidak tapi mahu atau tidak!

Justeru untuk jujur, tiada lagi kata tunda, tiada lagi kata dalih..Ini kerana sudah jelas ia dicipta atas dasar mahu bukannya mampu.

Wallahu a’lam.

Read More..

Tuesday, 22 May 2012

Cinta Yang Keliru

Bismillahirrahmanirrahim

Kes studi 1: Putus cinta
"Buat ape ko kol aku lagi?. Tak paham bahase ke.."
 "dah, pegi arrrr..Ko dengan perempuan tu sama je. Sekarang ko puas hati la, sakitkan hati aku.." 
"Dah lah!!Ko nak ape lagi? bla bla bla...(Nangis dan nangis..)"
 
<Bukankah putus cinta itu satu rahmat? Bagi mereka yang mahu mengambil pengajaran>

Kes studi 2: Berkenalan
"Nak ke mana Mila?"
"Nak keluar"
"Eh jadi ke? Ingatkan tak jadi"
"Kejap lagi dia datang. Nak suruh ambil kat asrama dia mesti tak tau sebab bkn belajar sini."
Keesokan harinya..,
 "Mila (nada ceria), macam mana semalam? Ok tak dia?"
"hahahahaha..."

"kami tengok wayang semalam..ko tau tak, dia kelakar sangat..balik tu dia bagi aku gambar dia. Dia kata simpanlah. Sweet  kan dia?"
"a'ah la, sweet nye..."
"Dia ada kata juga, kalau ada kawan yang nak kawin tapi tak de calon lagi, bagitau la..Boleh kenalkan kat Kawan-kawan dia"
"kesiannya..tak de calon lagi.."
 <Baru kenal, begitu mudah menaruh percaya>

Kes studi 3: Fitnah foto
"Ustaz, apa hukum tengok gambar lelaki atau perempuan berulang-ulang kali? Sama tak hukum tengok lelaki atau perempuan secara hakiki berulang kali?
"Apa pendapat kalian? Sama atau tidak?"
"Ya, kedua-duanya sama."
<Pandangan pertama jangan diikuti pandangan yang kedua. Meski dia tunang kamu>
 
Kes studi 4: Fitnah hati
"Kakak ada cita-cita, mahu hasilkan buku berjudul: Bercinta sebelum Nikah @ Bercinta selepas Nikah"
"Menarik! Apa yang buatkan akak mahu tulis buku seumpama itu?"
"Ia sebahagian daripada kisah kakak. Kawan-kawan ada juga yang mengalaminya"
"Menurut akak, mana yang terbaik?"
"Cinta selepas Nikah". :-)
"Meskipun orang-orang yang baik itu bercintanya tidak keluar bersama, dekat-dekat duduknya, hanya lewat SMS saja, tapi ianya juga tidak baik, Kerna melibatkan HATI. Hampir dengan Zina hati."
"Bagaimana ya mahu nyedarin golongan yang bercinta lewat SMS ini?
 "Ya, butuhkan waktu dan rencana. Kerna masing-masing punya pendapat dan cara fikir yang beda gimana harus ekspresi cinta"  
< Menjaga kesucian cinta, Bercintalah selepas nikah>
 
Kes studi 5: Aku rasa dilindungi 
"Boleh tak bagi contoh yang sesuai dengan  hadis ni?" (Jika kamu tidak malu, maka lakukanlah apa saja)
"hmmm"
"macam mana nak kaitkan dengan coupling?"
"Seharusnya bagi seorang wanita menjaga maruah dirinya. Elakkanlah ber'SMS' dengan lelaki jika tiada hal yang penting. Apatah lagi coupling. Ini dan itu..Ada saja yang mahu disembangkan."
"Akak, macam mana pula kalau kita berkawan dengan lelaki sebab rasa dilindungi dan akhirnya kita bebas daripada gangguan lelaki lain?"
"Allah lah sebaik-baik pelindung daripada segala keburukan, bukan dia. Andai sudah bersedia, nikahlah. Usah diperpanjangkan hubungan yang belum syarie. Bimbang akan mengurangkan keberkahan dalam pernikahan kelak (jika dialah jodohmu)

 < Terasa indah menurut pandangan manusia, tapi menurut Allah? >
.........KOMENTAR........
 Kes studi 1: Putus cinta
Putus cinta sinonimnya dengan frust, sakit hati, geram. Pendek cerita, apa-apa cerita tentang si dia, pasti akan menyakitkan hati. Must it be like that?
Menurut saya, Kenapa harus sakit hati? 
Tatkala dia memutuskan cinta dari dirimu, itulah satu kebebasan yang memberi sejuta kelapangan hati. Tiada lagi si ajnabi yang perlu kamu jaga hati dan perasaannya. Tiada lagi si ajnabi yang perlu kamu jaga tingkah laku di hadapannya (paradoks). Tiada lagi si ajnabi yang membuatmu runsing ketika dia merajuk atau terasa hati.Dan yang terpenting, tiada lagi kata-kata manis yang mengundang murka Allah.
Berpisah bererti berlepas diri. Merdekalah kamu! 

Terasa dipermainkan?
Cukuplah Allah menjadi tempat mengadu. Dan kembalilah kepadaNya dengan hati yang penuh cinta tertumpu padaNya.
Duhai teman, simpanlah cintamu untuk si dia yang halal untukmu kelak. Siapa dia? Tiada siapa yang tahu, melainkan Dia.
Perpisahan, tidak semua menyakitkan. Bahkan ada yang berakhir dengan keindahan. Seperti perpisahan seorang mukmin dengan dunia. Pergi menuju syurga.. Lagi, perpisahan orang yang bertaubat dengan maksiatnya. Lalu menghapus dosa-dosanya.

Justeru, moga putus cinta itu..tidak membuatmu patah hati lalu melemah..Tapi, bangkitlah! Kerana cinta Allah menanti sang hatimu.. 
Si Mawar Berduri, tunggulah, bersabarlah, tahanlah cintamu seketika. Jangan hamburkannya pada yang belum halal untukmu.
 
Kes studi 2: Berkenalan
Ta'aruf dalam Islam, bukan berdua-dua. Tapi dengan mahram. Jumpa keluarga, baru gentleman.
Tak cukup lagi? Tanya orang yang mengenalinya. Tapi bagi yang ditanya, janganlah pula bila ada keburukannya, habis dihebahkan. Jawablah sekadarnya..(pentingnya bersahabat dengan orang yang baik-baik)
"Ala..mana puas? Nak kenal seseorang tu kenalah berhubung, berjumpa dengan dia. Baru dapat tahu perangai dia".
Mudahnya kita mengizinkan suatu pertemuan...Pastikah itu adalah wajah dia yang sebenarnya? Jika dah berhubung dan tiba-tiba tak berkenan dan putuskan, bukankah itu akan menyebabkan hati terluka. Macam eksperimen jadinya..Try and error.

Kes studi 3: Fitnah foto 
"Ada apa pada gambar?
"Salah ke pandang-pandang?"
"Salah ke simpan?"
Risaunya, jadi macam kisah 'Pendekar Bujang Lapuk'. Bila rindu, si Eni mengambil gambar kekasihnya di bawah bantal. Kata-kata rindu berlagu syahdu..Senyum manis terlukis indah...Hingga mengkhayalkan si dia..
AWAS, gambar adalah satu cara yang cepat menggebukan rasa cinta, rindu, kenangan..
"Dia tunang saya, tak boleh ke?"
Tunang bukan suami. Belum halal lagi.

Kes studi 4: Fitnah hati
 "Perhatian, kado, bunga, coklat, kedekatan, khalwat, bersentuhan, pandangan. Itu semua mawaddah (cinta). Bahkan SMS berisi nasehat 'Bertaqwalah pada Allah', missed call tahajjud, hadiah buku dan kaset nasyid berjudul Jagalah Hati, dan seterusnya, itu juga mawaddah. Bentuknya saja yang berbeda. Yang satu bunga dan coklat valentine. Yang lain kaset dan buku dakwah. Tetapi sensasi yang dirasakan oleh pemberi dan penerima sebenarnya sama:mawaddah. Demi Allah. silakan pasang Electro Cardiograph di jantungnya dan Electro Encephalograph di otaknya. Isyarat yang dihasilkan persis. Sensasi yang dirasakannya sama.."
 - Salim A.Fillah, Saksikan Bahawa Aku Seorang Muslim-
 Hati-hati dengan fitnah hati.
 
Kes studi 5: Aku rasa dilindungi 
Tidak sedikit orang yang merasakan hal ini. Benar, lelaki sebagai pelindung wanita.
Namun, haruskah juga dihalalkan Hubungan Tanpa Status ini?
 "Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap a[a yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda..."( Ali-Imran:14)

Cinta Yang Keliru?
Kenapa saya mengatakan cinta itu cinta yang keliru?
Satu:  pastinya jika ia jelas bertentangan dengan syariat, itu bukan ruang yang ingin dibincangkan.
Dua:  Andai benar cinta itu di atas namakan cinta kerana Allah, pasti jalan-jalan menuju pernikahan itu juga akan cukup disantuni dan dicermati..Tiada kata-kata manis, tiada ucapan sayang, rindu..Biarlah jalan itu bersih daripada kata-kata fitnah. Kerana yang diburu adalah barakah dan cinta Allah sepanjang pernikahan.

Ada dua pilihan ketika bertemu cinta
Jatuh cinta atau bangun cinta
Padamu, aku memilih yang kedua

Agar cinta kita menjadi istana, tinggi menggapai syurga
(Salim A. Fillah: Bahagianya Merayakan Cinta)
 Wallahu a'lam.
Read More..

Saturday, 28 April 2012

Ujian dan Pengharapan

Bismillahirrahmanirrahim



Ukhti, pernah tak rasa rindu akan sesuatu? 

Rindu kan fitrah manusia. Pastilah pernah ukhti. Kenapa?

Rindu akan sesuatu yang dirasakan telah hilang dalam diri. Puas mencari, namun tak jumpa juga. 

Maksud ukhti? Puitis pula bunyinya. 

Suatu saat, kita diuji dengan macam-macam. Emosi seringkali diduga. Jika cepat melatah, kebaikan-kebaikan di sebaliknya akan punah begitu saja. Tertutup hanya kerana keegoan diri dan sifat isti’jal (tergesa-gesa).

Hmmm..Lagi?

Namun, tatkala kita bersabar..benarlah..Allah itu Maha luas kasih sayangnya..Allah pasti akan pergilirkan suka dan duka. Setiap kesusahan itu pasti ada kemudahan..Setelah melalui suatu ujian dengan sabar, Allah akan menghadiahkan suatu kemanisan yang tak terperi. Satu persatu dibentangkanNya untuk kita nikmati.. Sangat manis..

Benar ukhti. “Inna ma’al ‘usri yusra”. Damaikanlah hati dengan kalam indah Pencipta kita ini.

Jangan pernah berputusa harap kepadaNya.

Jika dahulu saat-saat ditimpa musibah, Dialah yang dipilih sebagai sebaik-baik tempat mengadu. betapa kerapnya mengadu pada Allah. Mencurahkan rasa hati… ini dan itu...Bicara yang menjadi rahsia antara kita dan Dia… Andai lidah kelu, tiada kata-kata yang mampu dilontarkan melainkan mengatakan “Ku kembalikan segala urusan kepadaMU Ya Allah. Zat yang Maha Mengetahui setiap di balik hati..Zat yang menggenggam hati ini..” Dan si air mata, begitu setia menjadi peneman di kala bersunyi-sunyi denganNya.. Sejurus itu, lapanglah sang hati dalam keheningan..

Lepas tu, apa yang hilangnya? Sehingga dirindui-rindu.

Ya, ukhti..
Setelah melalui suatu tempoh, tiba-tiba rasa rindu pada kebiasaan dahulu itu muncul. Rindu untuk kembali merintih..Adakalanya terlintas dalam fikiran. Berbahagialah mereka yang diuji dengan kesusahan dan kesakitan..Hal itu menjadikan mereka cepat menanggapi ujian yang dihadapi. Lantas, terus berlari menuju Allah..Kembali mengadu kepadaNya. Mengharap bantuan dan pertolonganNya. Yang teramat..Lalu, terbinalah hubungan denganNya..Kemanisan selepas melalui suatu ujian menimbulkan tanda tanya. Di mana si air mata?

Namanya ujian itu tidak sekadar apabila ditimpa kesusahan atau kesedihan. Bahkan, ketika dalam kesenangan juga Allah menguji kita.

Maknanya ketika ini Amirah juga sedang diuji ya ukhti? Diuji dengan kemanisan selepas melalui suatu ujian. Adakah mahu bersyukur atau kufur.

Yes, perfect ukhti! 

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami”. Al-Anbiya’: 35

“Ini termasuk karunia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau kufur (mengingkari nikmatnNya)”.  An-Naml : 40

Seketika, Amirah merenung semula kata-kata sahabatnya. Seolah-olah hakikat itu tidak pernah didengarinya.

<<Azan Maghrib berkumandang>>
………………………………………………………………………………

Maka benarlah, Ad-Dinu An-Nashihah, Agama itu nasihat. 
Salinglah memberi nasihat kerana adakalanya kita terlupa hatta dalam hal yang kecil.

………………………………………………………………………………

Seusai solat Maghrib, Amirah membaca Al-Ma’tsurat.
Diamati kalimah demi kalimah sehinggalah sampai ke bacaan yang menyentuh hatinya.

"اللهم أنت ربي لا إله إلا أنت خلقتني وأنا عبدك وأنا على عهدك ووعدك مااستطعت أعوذبك من شرما صنعت أبوءلك بنعمتك علي وأبوء بذنبي فاغفرلي فإنه لا يغفر الذنوب إلا أنت"


Setelah selesai, Amirah mencapai Mushaf Al-Qur’an di atas rak masjid. Diketepikan Al-Qur’an berserta tafsir miliknya di atas rehal. Tilawahnya diteruskan lalu membaca Surah Al-Jum’ah dan seterusnya. Memasuki Surah At-Taghabun, hatinya  mula sebak. Hatinya kian melunak. Ada suatu ayat yang dinanti dalam surah ini. Ayat ke-16. Seawal ayat pertama surah ini, cuba ditekuni maknanya. Meskipun ada yang tidak difahami, namun surah ini seringkali member bekas padanya.

Belum pun sampai ke ayat 16, tiba-tiba hatinya sebak. Tilawahnya tersekat..Air mata sudah tidak mampu ditahan lagi..Ayat  11 dibacanya berulang-ulang kali. Lagi dan lagi..Meski tersekat-sekat.

ما أصاب من مصيبة إلا بإذن الله

Ayat ini benar-benar membuatnya tersentak. 

“Tidak ada yang suatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”.

Hati kecilnya berbisik; “Semua itu atas izin Allah, Semua itu atas izin Allah, Semua itu atas izin Allah. Semoga Allah menunjukkan hikmah di sebalik setiap sesuatu yang telah terjadi mengikut kehendakNya”.

Tilawahnya diteruskan sehinggalah selesai membaca Surah At-Tahrim. Mahu saja menutup Mushaf, namun terdorong untuk mentadabbur mana-mana ayat . Lalu, dibuka helaian Mushaf secara rawak. Matanya tepat tertuju kepada muka surat 329. Dilihat sepintas lalu dan berkata dalam hati, “kisah para nabi. Ada tak hubungannya dengan keadaan aku sekarang?” Diamati ayat demi ayat pula.

Subhanallah! Sekali lagi, mengena dengan dirinya.

Msekipun tiada terjemahan melayu, namun Amirah masih mampu memahami ayat-ayat itu. Ditambah pula dengan pengetahuannya tentang para Nabi itu.

Pertama, kisah  Nabi Ayyub yang ditimpa penyakit. Lalu mengadu dan berdoa kepada Allah. Kemudian, ayat seterusnya menceritakan tentang doanya yang dikabulkan oleh Allah dan dianugerahkan nikmat sembuh daripada penyakit dan mengembalikan keluarganya kepadanya.

Kedua, kisah Nabi Yunus yang meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah lalu dimakan ikan Nun. Nabi Yunus berdoa dan doanya dikabulkan bahkan diselamatkan daripada kedukaan.

Ketiga, kisah Nabi Zakaria yang berdoa berkehendakkan keturunan. Ayat seterusnya juga Allah mengabulkan doanya dengan menganugerahkan kepadanya Nabi Yahya.

Setelah meneliti, Amirah sangat tertarik dengan persamaan kalimah yang diulang-ulang dalam tiga kisah Nabi-Nabi ini.  
نادى

نادىbermaksud memanggil dan lebih mudah difahami dengan maksud memanggil dalam keadaan berdoa. Ketiga-tiga para Nabi ini menghadapi musibah (ujian) yang berbeza. Seorang dengan penyakit. Seorang dengan taubat dan seorang dengan tiada keturunan. Masing-masing berdoa supaya Allah mengelurakan mereka daripada musibah yang melanda mereka.

Sungguh, inilah contoh pengajaran yang hidup untuk diteladani bahkan membahkan kagi keyakinan terhadap pertolongan Allah. Jangan pernah putus harap. Doa dan teruslah berdoa. Sepertimana Nabi Zakaria yang merasakan seolah-olah tiada harapan untuk dirinya dan isterinya mendapatkan zuriat.
Dirinya yang sudah berusia dan isterinya yang mandul. Meski mustahil dirasakan namun  itu bukan satu alasan untuknya daripada terus meminta kepada Allah dengan menyeru Rabbnnya (إذ نادى ربه).

Tidak sekadar itu, bahkan Allah menceritakan “something added” yang dimiliki oleh Nabi Zakaria dan isterinya.

“Sungguh mereka  selalu bersegera dalam (mengerjakan) kebaikan, dan mereka berdoa kepada Kami dengan penuh harap dan cemas. Dan mereka orang-orang yang khusyuk kepada Kami”.

Inilah rahsia termakbulnya doa mereka. Walaupun dirasakan mstahil menurut pertimbangan akal manusia, namun jika Allah berkehendak, pasti akan berlaku jua.

Maka benarlah, 

الدعاء سلاح المؤمن
“ Do’a itu senjata orang Mukmin”

Meski berat dirasakan sesuatu penderitaan,
 teruslah mengadu dan berdoa kepada Allah.
Meski mendamba sesuatu,
jangan pernah putus berdoa kepada Allah agar diberi anugerah itu.
Meski diri dipenuhi dosa,
 jangan merasa hina tanpa adanya usaha memohon keampunan Allah.
Meski apa jua yang menghimpit diri,
berharaplah dan berdoalah pada Allah dengan setulusnya.

Sedangkan garam pun dipohon daripada Allah, takkan pula kita mahu ketinggalan untuk meminta sesuatu yang lebih besar daripada Allah?


Wallahu a’lam.




Read More..

Wednesday, 7 March 2012

Kebersihan Hati

Bismillahirrahmanirrahim


“…..Dan ketahuilah pada setiap tubuh terdapat segumpal darah yang apabila baik maka baiklah tubuh tersebut, dan apabila rosak maka rosaklah tubuh tersebut. Ketahuilah, ia adalah HATI.”
(HR Bukhari dan Muslim)

“Ukhti, dalam kita menghafal Al-Qur’an, perkara terpenting yang perlu di jaga adalah KEBERSIHAN HATI. Saya semakin meyakini akan hal itu hasil daripada pengalaman. “ Yakin ukhti itu meluahkan pada sahabatnya.

“Allah bukan sahaja memudahkan kita menghafal, bahkan Allah akan menjaga ayat itu dalam hati kita. Jika dahulu terlalu mudah untuk lupa dan tidak bertahan lama dalam hati, namun jika kebersihan hati itu di jaga, akan disedari perbezaannya. Meski beberapa hari tidak mengulang, namun Allah masih menjaganya dalam hati. Meski ada kalanya ada juga yang terlupa, namun Allah akan memudahkan juga proses mengulangnya. Beza..Sangat berbeza dengan sebelumnya. “ Tambah ukhti itu sebagai tanda ta’jubnya kepada kebesaran dan kuasa Allah.

“Bagi seorang dai’e, apa pula yang di maksudkan dengan maksiat hati?” Ukhti yang mendengar itu pula memberi respon tanda minatnya.

“Ingat hadis tentang zina mata, telinga dan seterusnya? Itulah yang perlu kita perhalusi dan muhasabahkan. Sejauh mana kita menjaga pandangan? Apa yang kita pandang? Sejauh mana kita menjaga telinga daripada hal-hal kemaksiatan. Semua itu akan memberi kesan kepada kebersihan hati. Sedar ataupun tidak. Jika tidak di jaga, setitik demi setitik noda akan mengkelamkan hati. Sehinggalah menjadi tompokan-tompokan pada hati. Bahkan hati kita itu sendiri. Yang sangat mudah hadirnya lintasan-lintasan. Fikiran-fikiran kita. Perhalusilah.“ Balasnya.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

HATI..HATI..HATI..

Berbicara tentang hati, pasti takkan habis modalnya. Urgensi hati, cara penataan hati, virus-virus hati dan penyegar hati perlulah sentiasa kita bicarakan bahkan salinglah mengingatkan dan menasihatkan sesame kita. Sehingga memuhasabahkan diri dan termotivasi untuk memperbaiki kondisinya dari semasa ke semasa. Kenapa harus menjadi kemestian? Kerana sifat si hati itu yang terlalu mudah untuk terumbang-ambing dan terbolak-balik. Ditakuti, jika tidak dikendali dengan sebaiknya, akan menjerumuskan hati ke dalam lembah keburukan dan kemaksiatan secara berterusan. Lagi tragis, jika hati itu tidak lagi sensitif pada kemaksiatan kesan daripada penyakit ‘terbiasa’. Larut dalam mengumpat. Tidak sedar bermaksiat kerana penyakit ‘terbiasa’. Larut dalam mengkhayal, mengingat-ingat dan merindukan si dia yang belum halal statusnya untuk kita. Tidak sedar bermaksiat kerana penyakit ‘terbiasa’. Dalilnya kerana cinta. Cinta membuahkan rindu. Maka rindu, sudah lumrah orang yang bercinta. Dalam hal ini, sensitifkah hati kita?

Itulah isu utama, HATI..HATI..HATI..

Betapa mudahnya ia terbolak-balik. Dan kita? Pastinya juga sering terjerat dengan fitnah-fitnah hati, bukan?

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Hati dinamakan Qalbu kerana mudah terumbang-ambing (bolak-balik). Sesungguhnya perumpaan hati bagaikan sehelai rambut di atas sebatang pohon yang di umbang-ambingkan oleh angin.”

Dari Abu Musa Al-Asy’ari r.a. dari Rasulullah s.a.w., beliau bersabda:
“Sesungguhnya hati ini seperti bulu yang terdapat di tanah lapang, di mana angin dengan berleluasanya membolak-balikkannya”.

Sejenak, kita imbas kembali kisah Imam Syafie yang pernah mengadu pada gurunya Waqi’tentang buruknya hafalannya. Maka apa yang di jawab oleh gurunya? Tiada lain, juga bertitik tolak kepada kebersihan hati itu sendiri.

Aku mengadu kepada Waki’ tentang buruknya hafalanku.Dia menasihatiku agar meninggalkan maksiat. Dia berkata;


"Ilmu adalah cahaya, dan cahaya Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat."


Kita mengenali Imam Syafie. Imam yang sangat masyhur dan Imam kepada Mazhab Syafi’e. Mazhab pertengahan di antara Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki. Pertengahan di antara Ahlul Hadis dan Ahlur Ra’yi. Pada usia 9 tahun, telah sempurna menghafal Al-Qur’an. Menjejak ke usia 12 tahun pula, sudah menghafal kitab Al-Muwattho' karangan Imam Malik. Bahkan berguru dengan Imam Malik sewaktu berusia 20 tahun. Subhanallah. Hebatnya susuk peribadi ini.


Ulama’ sehebat ini juga mengalami gangguan dalam hafalannya. Apatah lagi kita? "Ilmu adalah cahaya, dan cahaya Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat." , bukankah itu suatu peringatan keras buat kita?

Dari Huzaifah Al-Yaman, dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Fitnah akan dicampakkan bagaikan tikar kepada hati-hati manusia seutas demi seutas (saling bersilang antara satu sama lain). Hati mana saja yang di hinggapi oleh fitnah, nescaya akan terbetik padanya satu bintik hitam. Dan hati mana saja yang menolaknya, akan terbetik padanya satu binti putih bagaikan batu yang licin sehingga tidak terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Sedangkan sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan bagaikan tembaga berkarat, sehingga dia pun tidak menyerukan kebaikan dan tidak pula melarang kemunkaran kecuali yang sesuai dengan apa yang diserap oleh hawa nafsunya.”

Perlu kita sedari, hati adalah letaknya fitnah dan cubaan. Jika tersilap mengelolanya, terjeratlah dengan fitnah itu. Justeru, tersangatlah dharuri untuk kita selalu bertanya pada sang hati; apa khabarmu duhai hati? Sejauh manakah hati ini mengalirkan arus-arus kebaikan untuk diriku? Selama ini. Paling tidak, saat ini.. Sahabat, bertanyalah padanya..Sapalah ia dengan kelembutan dan penuh kepedulian pada kondisinya.

Imam Ibnul Qayyim r.a. mengungkapkan bahawa kembalinya hati kepada kesucian bagaikan ianya terlahir kembali kerana hati itu diciptakan hanya untuk cinta kepada Allah s.w.t..Hati yang suci..bersih..Tak teringinkah kita memilikinya?

“(Iaitu) di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.”
(As-Syu’ara; 88-89)

Apa yang dimaksudkan dengan hati yang bersih? Bersih daripada sifat syirik dan nifak (munafik).

Syirik; tidak menyembah selainNYA. Bukan berhala-berhala, tangkal-tangkal, ataupun yang lebih kontemporari penyembahan harta, wang ringgit bahkan juga nafsu.

Nifak; sifat orang munafik.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga; jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia ingkari, dan jika diberi amanah dia khianat.”
(Muttafaq ‘Alaihi)

Dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“ Empat hal bila ada pada seseorang maka dia adalah seorang munafik tulen, dan barangsiapa yang terdapat pada dirinya sati dari empat sifat tersebut maka pada dirinya ada sifat nifak hingga dia meninggalkannya. Iaitu, jika diberi amanah dia khianat, jika berbica dia dusta, jika berjanji dia ingkari, dan jika berseteru dia melampaui batas.”
(Muttafaq ‘Alaihi)

Sifat-sifat munafik ini, jika dimuhasabahkan, adakah kita memilikinya?

Al- Hasan pernah berkata, : “Tidak ada yang merasa takut akan nifak kecuali dia itu orang mukmin, dan tidak ada yang merasa aman dari nifak kecuali dia itu orang munafik.”

Sekali lagi, mari kita muhasabahkan diri..

Hati yang hidup dan bercahaya merupakan sumber segala kebaikan sedangkan hati yang mati dan gelap adalah sumber segala kejahatan. Begitulah lumrah hati bahkan lumrah alam.

Dari Huzaifah Al-Yaman r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Ketaatan itu adalah cahaya bagi wajah dan kekuatan bagi badan, sedangkan maksiat adalah sebaliknya”.

Meski kita tidak pernah lekang daripada kemaksiatan, namun teruslah berusaha untuk memperbaiki diri. Kerana tarbiyyah, telah pun diyakini menjadicore business sepanjang perjalanan kita menuju Allah.

“Janganlah sampai ada sesuatu yang lebih penting bagimu selain dari memperbaiki dirimu, kerana ia tidak boleh sedikitpun ternoda dosa”
(Khalifah Umar Bin Abdul Aziz)

Wallahu A’lam.

Read More..