Friday 26 October 2012

Setegar Siti Hajar

Bismillahirrahmanirrahim


"Apakah Allah SWT memerintahkannya yang demikian ini?", tanya Hajar. Nabi Ibrahim menjawab: "Benar." Isteri yang beriman itu berkata: "Kalau begitu, kita tidak akan disia-siakan."

Menyingkap Sejarah di Tanah Gersang

Suatu hari, Nabi Ibrahim memerintahkan isterinya, Hajar supaya bersiap sedia untuk melalui sebuah perjalanan panjang. Setelah beberapa hari, bermulalah perjalanan mereka berserta anak kecil mereka yang masih menyusu. Gurun dan gunung-ganang dilewati oleh mereka. Saat itu, tiada kata yang diungkapkan oleh Hajar. Taat dan setia meredah perjalanan panjang bersama suaminya. Sehingga sampailah mereka ke Tanah Arab. Tanah tandus lagi gersang tanpa tanaman dan pepohon yang menghijau.

Nabi Ibrahim menurunkan isteri dan anaknya dari tunggangan unta dan meninggalkan bersama sedikit bekalan makanan dan air. Lalu, ditinggalkan isteri dan anaknya di tengah-tengah tanah tandus dan gersang itu..Langkah demi langkah Nabi Ibrahim berundur. Tiba-tiba, Hajar menyusulnya dan  bersuaralah si isteri. 

"Wahai Ibrahim, ke mana engkau pergi? Mengapa engkau meninggalkan kami di lembah ini, padahal di dalamnya tidak terdapat sesuatu pun."

Tiada kata yang dibalas oleh Nabi Ibrahim bahkan terus melangkah meninggalkan kesua-sua insan yang disayanginya.

Si isteri bertanya lagi akan hal yang sama. Namun, bibir kekal kaku dan terpaku. Nabi Ibrahim diam tanpa kata. Jauh terpendam, tiada yang memahami gelora rasa si suami melainkan Allah..

Si isteri solehah yang taat lagi beriman, sangat cerdas memahami hal yang tersirat. Mengertilah dia bahawa suaminya tidak akan bersikap sedemikian melainkan setelah mendapat perintah dari Allah SWT. Meluncurlah keluar persoalan dari si isteri.

"Apakah ini perintah dari Allah?"

Akhirnya, bersuaralah si suami, "Benar."
Lantas dengan tenang dan yakin isteri yang beriman itu berkata: "Kalau begitu, kita tidak akan disia-siakan." Betapa teguhnya keyakinan Hajar kepada Allah!! Sedangkan dia seorang wanita yang akan ditinggalkan keseorangan bersama bayinya yang kecil.

Tinggallah Hajar dan bayinya yang mughil itu berdua di tanah asing yang tandus dan gersang. Wanita dan bayi, dua insan lemah yang amat memerlukan perlindungan. Lantas, pada siapa mahu bergantung harap? Tiada lain hanyalah Allah!!

Beberapa hari kemudian, bekalan makanan dan susu sudah kehabisan. Tidak keruanlah Hajar. Bayinya menagih kelaparan. Berlari-larilah Hajar mencari air dari Safa ke Marwah. Dari jauh melihat seolah-olah ada biasan kelopak air, maka berlarilah dia mendapatkannya, Namun hampa. Yang disangka air rupa-rupanya hanyalah fatamorgana di tengah-tengah gurun.

Setelah masuk ke tujuh pusingan Hajar berlari-lari mencari air, dengan rahmat dan kasih sayang Allah, dilhamkan kepada Ismail untuk menghentak-hentakkan kaki kecilnya itu ke tanah. Allahu Akbar, terpancutlah keluar air dari hujung kaki Ismail.

Riang gembiralah hati si ibu dan dengan tuntas menyebut "zammi, zammi, zammi" yang bermaksud berkumpullah, berkumpullah, berkumpullah..Kerana disangkakannya, air itu akan segera habis dan Hajar sangat berharap agar air itu berkumpul sebanyak-banyaknya untuk bayinya. Tulusnya hati seorang ibu...
Hajar berharap agar air itu berkumpul untuk bayinya, tapi ternyata Allah menghadiahkan kepadanya sesuatu yang luar biasa. Telaga zam-zam yang tidak akan surut hinggalah hari kiamat!!

Dari tanah tandus dan gersang bertukarlah ia menjadi tanah yang subur dan pusat pengumpulan kafilah-kafilah dagang. Hingga meluaslah perkampungan yang terbina di sekitar telaga ini. Bahkan, tanah gersang ini jugalah telah bertukar menjadi tanah Haram yang dimuliakan Allah hingga hari kiamat kelak, Mekah Al-Mukarramah.


Belajar daripada Peribadi Siti Hajar

 "Tangan yang disangka lembut menghayun buaian, menggoncang dunia mencipta sejarah"

Menelusuri kisah Siti Hajar, pasti memberi impak yang menggugahkan jiwa. Pengorbanan, cinta, kasih, optimis, cekal, tegar, survival dan banyak lagi qudwah yang dipamerkan oleh insan agung ini.

Apakah rahsianya?

Formulanya,
Ilmu, Iman, Amal

ILMU
Siti Hajar mengetahui bahawa hidup ini mempunyai halatuju. Dan dia, benar-benar jelas akannya dan memahaminya. 

Pengakhiran hidup adalah kematian dan bertemu dengan Allah. Rumah abadi hanya ada dua samada syurga ataupun neraka.

Hajar benar-benar mengetahui bahawa hakikat kehidupan seorang hamba bukanlah pada dunia tapi berakhir kepada Allah. Tujuan hidupnya jelas, sebagai abid (hamba) dan khalifahnya.

Maka, tidak hairanlah kenapa Hajar langsung tidak mempersoalkan perintah Allah ke atas Nabi Ibrahim agar meninggalkannya dan bayinya di tanah gersang itu. Maka tidak hairanlah kenapa Hajar begitu mudah untu tunduk dan taat kepada perintah Tuhannya..Bahkan meyakini akan ada hikmah di sebaliknya.

"Apakah Allah SWT memerintahkannya yang demikian ini?", tanya Hajar. Nabi Ibrahim menjawab: "Benar." Isteri yang beriman itu berkata: "Kalau begitu, kita tidak akan disia-siakan."

Ketika mana Hajar memahami bahawa hidupnya harus tunduk kepada perintah Allah, maka tiada kata dua harus diungkapkan. Redha dan hadapilah!! Meskipun logik akal mengatakan diri kita terdedah kepada pelbagai bahaya..

Siti Hajar, seorang wanita solehah berhati waja. Dialah wanita pengukir sejarah.

IMAN

Iman didefinisikan sebagai membenarkan dengan hati, mengikrarkan dengan lisan dan mengamalkan dengan anggota badan. Inilah pendapat masyhur di kalangan ulama'. Lebih terperinci lagi,

“Membenarkan dengan hati” maksudnya menerima segala apa yang dibawa oleh Rasulullah saw.

“Mengikrarkan dengan lisan” maksudnya, mengucapkan dua kalimah syahadat.

“Mengamalkan dengan anggota badan” maksudnya, hati mengamalkan dalam bentuk keyakinan, sedang anggota badan mengamalkannya dalam bentuk ibadah-ibadah sesuai dengan fungsinya.

Iman, berakar umbi daripada keyakinan mendalam dari dalam jiwa seorang hamba. Keyakinan mendalam inilah yang akhirnya membuahkan amal dalam bentuk yang zahir.

Hajar, memiliki iman yang tinggi. Kebergantungannya atau tawakkalnya kepada Allah, mujahadahnya, sabarnya, redhanya dan tegarnya hati seorang wanita ini amat-amat terserlah. Iman dan keyakinannya kepada Allah teramat tinggi. Hasil daripada keyakinan dalamannya inilah yang akhirnya menolaknya untuk berbuat dan akur dengan perintah Allah ke atas Nabi Ibrahim. Dia harus ditinggalkan di tanah gersang bersendirian dengan anaknya. Dengan keimanan inilah yang menjadikannya cekal menghadapi kesusahan dan kepayahan di tanah gersang. Dengan keimanan ini jugalah yang menjadikannya sensitif terhadap keperluan anaknya tanpa mempedulikannya kondisi dirinya yang juga lemah tanpa makanan dan minuman.

Iman yang mantap, benar-benar akan membuahkan amal!!! Tidak harus diam terpendam bahkan akan meledak membuahkan amal sebagai bukti yang tampak.

AMAL

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
(Al-Ankabut:2-3)

Bagi setiap yang mengaku beriman, pasti dan pasti Allah akan menguji untuk melihat sejauh mana benarnya tahap keimanan seseorang hamba.

Di tanah gersang inilah menjadi medan ujian buat Hajar. Hidup bersendirian bersama bayi kecilnya. Namun, sejarah membuktikan imannya yang luar biasa. Bahkan, melalui wanita inilah yang akhirnya lahirlah generasi mulia daripada benih Nabi Ismail..Siapa lagi jika bukan Penghulu Agung para Anbiya', Rasulullah s.a.w..

Bonda Hajar mengajar suatu rahsia agung bahawa imanlah sebaik-baik bekal dalam menghadapi setiap ujian hidup. 

Bonda Hajar juga mengajar kita wahai para wanita. Di tanah gersang yang sunyi lagi tandus, bersendirian bersama anak kecil. Tiada suami di sisi yang akan melindungi. Tapi, cukuplah Allah sebagai sebaik-baik Pelindung dan Pemberi pertolongan. Wahai wanita, jangan manja mahu terus di bawah lindungan seorang lelaki! Bahkan merasa lemah tanpanya di sisi. Ketika diuji untuk berjauhan, tegarlah menghadapi. Kerana melalui engkaulah, generasi-generasi Rabbani akan terlahir dan terbentuk. Haruskah lemah dan bergantung sepenuhnya pada seorang suami? Hajar mengajarkan para wanita agar mampu untuk berdikari dan mandiri!!! 

Menjadi peribadi-peribadi seperti Hajar, tak teringinkah kita wahai para wanita?

Contoh terdekat, halakan minda kita kepada para wanita di Gaza, Palestin. Tegarnya mereka. Para suami ditahan dan dipenjara oleh Zionis laknatullah. Hidup tanpa lindungan para suami. Bahkan hidup dalam ketakutan berhadapan pelbagai ancaman Zionis. Rogol, bunuh, seksa, kelaparan, kemiskinan...

Namun, di sebalik serba kekurangan dan ketakutan itu, subhanallah!! Lahirnya generasi-generasi muda yang berhati juang dan jihad.. Lahirnya para huffaz pada usia kanak-kanak dan remaja..Kem-kem musim panas di Gaza hangat dengan misi melahirkan para huffaz. Baik di kalangan kanak-kanak mahupun remaja. Pastilah, di sebalik itu ada tangan-tangan pengukir sejarah. Para wanita, ibu-ibu yang berhati waja!!

Ingat kisah Khansa'? Seorang ibu yang telah kematian suami. Yang turun ke medan Uhud bersama kesemua anak lelakinya. Sehingga diberitakan kepadanya bahawa kesemua anaknya menemui syahid dalam Perang Uhud. Bukan sedih mengiringi berita ini, namun betapa bangganya hati seorang ibu.

"Syahid di jalan Allah adalah cita-cita tertinggi"

Ayuh, meneladani peribadi Hajar. 
Khusus buat para wanita, pencorak generasi!!

Wallahu a'lam.


 

Read More..

Tuesday 23 October 2012

Sejauh mana ukhuwah kita?

Bismillahirrahmanirrahim

Sahabat..saling melengkapi dan menguatkan

“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya”
 [Hadis riwayat Muttafaq ‘Alaih]


Suatu ketika, Rasulullah s.a.w. berkata di hadapan para sahabatnya yang dikasihinya: 

"Sesungguhnya, di kalangan hamba-hamba Alah ada beberapa orang yang bukan para nabi dan bukan syuhada, tetapi para nabi dan syuhada menginginkan kedudukan yang diberikan oleh Allah kepada mereka."

Lantas, para sahabat bertanya:

"Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepada kami, siapakah mereka itu?"

Rasulullah menjawab:

"Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah bukan kerana hubungan kerabat di antara mereka. Juga bukan kerana harta yang saling mereka berikan. Demi Allah, wajah-wajah mereka adalah (seperti) cahaya dan mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak takut tatkala manusia ketakutan dan tidak bersedih hati tatkala manusia bersedih hati."

Kemudian Rasulullah s.a.w. membaca ayat:

"Ingatlah, sesungguhnya, wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Yunus:62)" [Hadis riwayat Ahmad]

Beruntunglah orang-orang yang berukhuwah. Mereka yang saling mencintai kerana Allah dan semestinya bukan kerana kepentingan-kepentingan berbentuk duniawi. 

"orang yang bukan para nabi dan bukan syuhada, tetapi para nabi dan syuhada menginginkan kedudukan yang diberikan oleh Allah kepada mereka."

Lihat, Allah memberikan mereka kedudukan istimewa di sisiNya. Segolongan manusia yang dicemburui para nabi dan syuhada. Beruntunglah mereka...

Pasti kita pernah menerima pesanan ringkas dari sahabat kita (sama jantina) untuk meluahkan cinta dan kasihnya.."aku mencintaimu kerana Allah", "ukhuwah fillah abadan abada", "uhibbukifillah" dan seumpanya. 

Berbicara tentang ukhuwah, ternyata tidaklah semudah apa yang dilafazkan. 

Suatu malam, bertanya kepada seorang sahabat. 
"Akak, kenapa bila dengan akhawat hati terasa lebih sensitif.? Tidak seperti kawan-kawan biasa yang kita banyak berlapang dada dengan mereka." Jawapan ringkas diberikan kepada saya. "Kerana kita mempunyai expectation terhadap akhawat. Sedangkan, mereka juga manusia biasa".

Terasa terpukul dengan jawapan yang diberi. Logiknya benar-benar ada.

Ya, kerana namanya akhawat. Dan akhawat tidaklah sekadar panggilan atau gelaran. Tapi, si pembawa nama akhawat itu juga membawa bersama sikap-sikap dan akhlak-akhlak yang asas bagi seseorang yang bergelar akhawat. Ayat mudahnya, "akhawat sepatutnya ini dan itu.." Maka tidak hairanlah, apabila sebaliknya berlaku yang mana seorang akahawat itu bersikap di luar daripada expectation yang sepatutnya, hati menjadi sensitif. Terlupa bahawa yang namanya akhawat itu,  juga seorang manusia biasa dan bukannya malaikat. Yang pastinya tidak terlepas melakukan kesalahan. 

Kadang-kala, mudahnya kita menghukum akhawat sendiri. Ataukah ia kerap berlaku?

Indikator "akhawat sepatutnya ini dan itu" juga ada baiknya. Sepertimana kita sebagai seorang Muslim, yang namanya seorang Muslim pasti sepatutnya ada bersamanya akhlak-akhlak asas seorang Muslim. Muslim tidak seharusnya pada nama saja, namun Islam harus terpancar juga melalui peribadinya. Jika ada yang tersasar, itu menunjukkan ada sesuatu yang tidak 'kena'.

Nah, begitu jugalah dengan akhawat. Benarkah sudah tertarbiyyah? 10 muwassofat menjadi ukurannya. Namun, jika ada yang tidak terpenuhi jangan cepat menghukum. Tanyalah diri sendiri dahulu, "berikan 70 sebab kenapa harus aku katakan dia sedemikian rupa"

Tahap minimum ukhuwah iaitu berlapang dada, adakalanya terasa berat juga untuk mengekalkannya. Apatah lagi tahap tertinggi, itsar iaitu melebihkan sahabat lain ke atas diri kita. Ukhuwah itu  buah keimanan. Tatkala itu, refleksikanlah ia dengan kondisi iman kita. Makin rendah tahap ukhuwah maka tahap rendah itu jugalah ukuran iman.  

Dalam berukhuwah, hal-hal remeh pun boleh menjadi sesuatu yang akan membuat hati cepat terasa. Seorang ukhti, balik ke rumah sewa dengan keletihan dan lapar. Penuh mengharap agar makanan ada diasingkan untuknya. SMS siap dihantar sebagai peringatan. Setelah sampai, kecewanya hati apabila tiada apa yang tinggal. "takkan tak tinggalkan sedikit pun. Kan dah bagitau tadi. Aku pun ahli rumah ni juga" bisik hati yang menahan geram daripada dilontarkan. Atau, ukhti A menyapa ukhti B dan bertanyakan khabar. Ukhti C yang di sebelah B tidak pula disapanya apatah lagi bertanyakan khabarnya. Terasalah pula si ukhti C...

Sekali lagi, berbicara tentang ukhuwah, ternyata tidaklah semudah apa yang dilafazkan.
Sensitiviti seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain seringkali menduga. Meskipun pada hal-hal yang kita anggap remeh.

“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya”
 [Hadis riwayat Muttafaq ‘Alaih]

Rasulullah juga mengajar kita erti sensitiviti. Tatkala satu anggota sakit, terasakah anggota yang lain?

Pada saat ini, di mana sahabat-sahabat kita? Apa khabarnya? Pedulikah kita dengannya?

Pernah satu penyataan saya dengari. "Ukhuwah itu hanya ada ketika adanya amal dakwah yang menuntut. Bila ada, semua sibuk mencari sahabat itu. Tatkala tiada, maka semua senyap saja dan tiada di sampingnya"
Saya yang masih belajar untuk berukhuwah, tercabar juga mendengarnya. Tercabar dalam erti kata menghadkan pengertian ukhuwah sebatas amal-amal dakwah saja dan bersua muka dengan sahabat yang lain. 

Agar berlapang dada itu ada, dan agar tidak cepat menghukum, cuba untuk memahami kondisi sahabat itu dan hakikat yang berlaku.

Mungkin, dalam hatinya menuntut sebuah perhatian dari sahabatnya. Kepedulian terhadapnya. Dan dia merasakan, akhawatlah sebaik-baik teman. Di kala itu, jiwanya sunyi lantas menagih peduli dari akhawat. Merajuknya pada akhawat barangkali.

Sahabat yang tidak sentiasa ada bersama, bukan bermaksud tidak berukhuwah. Mungkin kerana tompokan kerja dan tugasan-tugasan yang menghambatnya untuk tidak kerap bertemu. Tautan ukhuwah tidak terletak semata-mata pada kerapnya bertemu, tetapi tautan hati itulah yang menjadi pengikat antara kedua-duanya. Tapi tidaklah mengatakan bahawa pertemuan-pertemuan itu tidak penting. Ada juga kepedulian meskipun sedikit.

Sahabat yang mencari-cari kita di kala diperlukan dan senyap saja ketika tidak diperlukan, bukanlah bermaksud dia tidak berukhuwah.  Tatkala dia memerlukanmu untuk suatu amal dakwah bererti potensimu diperlukan dalam dakwah. Tatkala tidak dicari, janganlah pula mudah terasa sehingga pesimis terhadap sahabat-sahabat yang lain. Fikiran sentiasa terbuka untuk segera membuat konklusi dan menghukum. Namun, fikiran juga sentiasa terbuka untuk diperbetulkan mind setting dari semasa ke semasa. Berikanlah 70 alasan dahulu sebelum memberi konklusi akan sesuatu. 

Namun, dalam kedua-dua hal ini, tidaklah menuntut kejernihan fikiran dan tindakan daripada satu belah pihak saja. Kedua-duanya juga perlu. Jika sibuk, carilah masa-masa untuk bertemu juga dan tidak menghilangkan diri begitu saja. Jika tiada hajat atau keperluan ke atasnya, sesekali bertanyalah khabarnya dan kebajikannya. Sekurang-kurangnya, itu dapat mengembirakan hatinya.

Dalam berukhuwah, banyak hal yang akan diuji. Kelemahan demi kelemahan sahabat akan kita ketahui. Bahkan betapa kerapnya berlaku, sesuatu yang kita tidak suka ada pada sahabat-sahabat kita itu..Jangan melarikan diri namun hadapilah. Ketegaran hati dan emosi pasti akan terbina dan kita pun akan semakin mudah menerima kelemahan orang lain. Kita juga mempunyai kelemahan bukan? Jika sahabat mengalami situasi yang sama, sudah pasti dia juga teruji. Adilkah untuk cepat menghukum dan beremosi dengannya?

Jelas, berukhuwah tidak sekadar berta'aruf. Tapi perlu melalui dua lagi proses iaitu tafahum dan takaful. Saling memahami dan saling memikul beban. Tafahum tidak akan berjalan dengan baik jika tiadanya ta'aruf dan takaful juga tidak akan berjalan baik jika tiadanya tafahum.

Kenapa mudah terasa dengan sahabat yang kita rapat berbanding sahabat-sahabat yang kurang rapat? Kerana, kita sudah berta'aruf dengannya dan mengetahui banyak hal tentangnya. Sedangkan yang satu lagi kita berta'aruf dengannya namun masih kurang mengenalinya, sikap dan peribadinya..

Walau apapun yang berlaku ke atas mereka, meski di manapun mereka berada kini dan tidak bersama, tetaplah menjaga nama baik sahabat-sahabat kita. Tetaplah mendoakan kesejahteraan mereka.

“Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat”. 
[Hadis riwayat Tirmidzi]

“Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga”. 
[Hadis riwayat Muslim]


Tidak jarang, kita sering mengharap agar sahabat kita begini dan begitu..
Tidak jarang juga, kita mengharap agar sahabat tidak berbuat sesuatu yang di luar daripada expectation kita. Begini dan begitu kerap ditagih agar mereka memberi kepada kita...

"alangkah sulitnya mencari sahabat sejati, " 
kata seorang teman "tak kutemukan walau telah kujelajahi bumi, negeri demi negeri"
 aku tersenyum menepuk pundaknya, "mungkin itu sebab yang kau cari adalah sahabat untuk memberi, adapun sahabat untuk diberi bertebaran di seluruh penjuru bumi"
[Salim A.Fillah- Dalam Dekapan Ukhuwah]

Wallahu a'lam.
   
Read More..