Friday 8 June 2012

Menjengah Erti Kejujuran


Bismillahirrahmanirrrahim


"Sesungguhnya, kejujuran itu membawa kepada kebaikan. Sesungguhnya, kebaikan itu membawa kepada syurga. Seseorang tidaklah sentiasa jujur melainkan akhirnya Allah s.w.t. menulisnya (menggelarnya) sebagai orang yang siddiq…"
(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

JUJUR didefinisikan oleh para Ulama’ bahasa sebagai selarasnya ucapan dengan isi hati dan tindakan, yang mana jika hilang salah satu syarat tersebut maka pincanglah kejujuran itu. Justeru bagi seorang MUKMIN, sifat kejujuran seharusnya menyatu dan menjadi darah daging dalam dirinya. Tidak boleh tidak.

Kata lawan bagi jujur adalah DUSTA dan sudah tentu sifat ini tidak seharusnya dimiliki oleh seorang MUKMIN. Rasulullah s.a.w. mencela sifat ini seperti mana dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Malik. Suatu hari, seorang lelaki datang kepada Rasulullah lalu bertanya; "Adakah seseorang mukmin itu pendusta?". Rasulullah menjawab; "Tidak. Orang mukmin itu tidak berdusta". Tegas Rasulullah menyatakannya. Maka, dapatlah difahami bahawa jujur adalah sifat asasi yang seharusnya dimiliki oleh setiap mukmin. Bahkan kita sudah maklum bahawa dusta merupakan antara sifat seorang Munafik. 

“Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.” (HR. Bukhari)

Imam Ibnul Qayyim pernah berkata, 

Iman asasnya adalah kejujuran (kebenaran) dan nifaq asasnya adalah kedustaan”. Rasulullah juga pernah bersabda,  “Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada yang tidak meragukanmu, sesungguhnya kejujuran, (mendatangkan) ketenangan dan kebohongan (mendatangkan) keraguan.”

Fenomena ketidakjujuran semakin membarah dalam masyarakat kini. Seorang pekerja di amanahkan untuk menjaga harta tuannya. Namun, kerana cintakan harta maka dikebasnya. Tidak kurang juga tabiat peniaga yang mahu meraih keuntungan lalu kejelekan jualannya dirahsiakan daripada pengetahuan pembeli. Hanya kerana takut menanggung rugi. Susu ditambahi air, timbangan dan takaran dikurangi dan macam-macam lagi. Bahkan sangat menyedihkan, ketika mana kadar kes pecah amanah kini kian meningkat. Apatah lagi yang terlibat itu adalah para peguam dan hakim. Komuniti dan kerjaya yang begitu sinonim dengan erti kejujuran dan keadilan. Namun, rasuah dihalalkan, kebenaran disembunyikan bahkan sesuatu fakta ditokok tambah, dan berleluasanya penipuan ke atas klien Tidak kurang juga sistem kehakiman yang dipengaruhi oleh entiti eksekutif dan legislatif.  Slogan without fear and favour seolah-olah hanya indah khabar dari rupa! Teori dan teori saja..Sedang kejujuran kian terhakis.

Bentuk Kejujuran

1. Jujur dalam niat dan kehendak.

Ini kembali kepada soal keikhlasan. Kita pastinya sudah arif pada teorinya, dalam beramal, ikhlasnya semata-semata kerana Allah. Tidak boleh dicampuradukkan dengan kepentingan-kepentingan dunia yang lain. Ingatkah lagi kita kepada kisah 3 orang yang di hadapkan kepada Allah? Si dermawan, mujahid dan ‘alim.  Ketika di tanya tentang niat mereka di sebalik kebaikan-kebaikan itu, ternyata berbau kepentingan duniawi. Malah berdusta dengan mengatakan kerana Allah semata-mata. Di giringlah semuanya ke dalam neraka. Rosak kerana ketidakjujuran dan niat yang menyimpang daripada Allah. Sahabat, ianya hanya kerana niat yang jelek meski amal-amal begitu indah. Hanya kerana niat!

2. Jujur dalam ucapan.

Sudah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk hanya berkata yang benar. Tidak sekali berdusta. Apatah lagi yang Mukmin. Ingat hadis tadi? Sifat asasi bagi Mukmin adalah jujur dan harus sunyi daripada sifat dusta.

“Tidak lurus (istiqomah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya.” 
(Riwayat Ahmad)

Dasar istiqamah adalah tergantung kepada hati, yakni hatinya lurus dan jujur pada kalimah tauhid ‘La Ilaha Illa Alah’. Menariknya, hadis ini menggandingkan elemen hati dan lidah dalam rangka menjaga keistiqamahan iman. Kenapa lidah? Ini kerana lidah adalah terjemahan kata hati dan pemikiran seseorang. Kejujuran yang paling mudah dan jelas untuk dilihat. Justeru, berhati-hatilah pada lidah.  Betapa mudahnya orang melabel kita sebagai orang jujur atau pendusta dengan hanya melihat kepada tutur kata kita. Sedarkah kita?

Lihat pula firman Allah yang ini,

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
 (As-Saff: 2-3)

Ternyata, kata-kata yang tidak selari dengan perbuatan mengundang celaan daripada Allah. Pastinya, ayat ini menjadi teguran yang tegas dan keras kepada kita.

3. Jujur dalam tekad dan memenuhi janji.

“Wahai Sa’ad, demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya, sungguh aku telah mencium aroma syurga dari arah Uhud.” Kemudian Anas Bin Nadhar mengacungkan pedangnya dan menyerbu kaum kafir sambil bertekad tidak akan berhenti berperang sebelum syahid. Dengan izinNya, dia syahid di medan Uhud. Terdapat lebih 80 luka ditubuhnya dan telah dicincang oleh Musyrikin. Tiada yang mengenalinya melainkan saudara perempuannya, itupun dengan adanya tanda di hujung jarinya.

Dalam sebuah riwayat, firman Allah turun berkenaan dengannya.

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya).”
 (QS. al-Ahzab: 23)

Kisah ini, mengajarkan kita tentang erti jujur dalam tekad dan memenuhi janji. Tekad tidak sekadar tekad, dan janji tidak sekadar janji. Namun harus dibuktikan kejujurannya. Bergerak dan melaksanakan apa yang telah kita tekadkan.

4. Jujur dalam perbuatan

Ini pula merujuk kepada keselarian antara yang zahir dan batin, tiada bertentangan antara amal zahir dan amal batin. Mutharrif pernah mengatakan, “Jika sama antara batin seorang hamba dengan lahiriahnya, maka Allah akan berfirman, ‘Inilah hambaku yang benar/jujur.’”

Ketika mana hati itu hidup dengan zikrullah pantaskah kiranya terzahir amal yang buruk. Misalan, seorang yang hafiz/ah berdusta. Atau, seorang yang tekun mendirikan solat namun di hatinya tersimpan dendam kesumat yang menebal. Suatu amalan zahir yang baik tidak mampu mengalirkan kebaikan yang baik pada yang amalan batin dan sebaliknya. Pastinya di situ ada kepincangan yang mendasar. Maka, hati itulah yang dipersoalkan. Kerana di situlah sumber ledakan sebuah kejujuran hasil daripada keimanan yang benar.

Jujur itu soal mahu atau tidak

Dikisahkan bahawa seorang lelaki menemui Rasulullah dengan tekad untuk bersyahadah. Dia bukanlah orang yang baik-baik bahkan mencuri dan mabuk itu sudah menjadi kebiasaannya. Namun, ketika tekad sudah membulat untuk bersyahadah, tiada apa yang akan menghalangnya. Jelas! Harus mara untuk bersyahadah!

Selesai bersyahadah, berlakulah perbualan antara lelaki itu dan Rasulullah.

Lelaki                     : Aku mempunyai kebiasaan yang buruk dan sulit untuk kutinggalkan.
Rasulullah               : Mahukah engkau berjanji kepadaku untuk tidak berbohong?
Lelaki                     : Ya, mahu. Aku berjanji untuk tidak berbohong.

Kemudian, lelaki itu pun beransur pergi lalu bermonolog.

“Mudahnya permintaan Rasulullah yang mulia ini. Hanya berjanji untuk tidak berbohong.”

Setelah berlalunya masa, keinginannya untuk mencuri kembali memuncak. Tatkala mahu mencuri, tiba-tiba dia teringatkan janjinya kepda Rasulullah. “Jika aku mencuri dan Rasulullah bertanya kepadaku, apa yang akan ku jawab? Jika jawapanku ‘ya aku telah mencuri’ bererti aku akan dihukum. Jika ku jawab ‘tidak’, itu bererti aku telah berbohong. Padahal aku telah berjanji dengannya untuk tidak berbohong. Maka, seharusnya aku meninggalkan niatku untuk mencuri.” Monolog itu berjaya menghalangnya daripada meneruskan niat buruknya tadi.

Monolog ini juga sering berlaku ketika keinginan untuk minum arak muncul. Hingga akhirnya, dia telah benar-benar meninggalkan perbuatan itu dan menjadi Muslim yang taat.

Sahabat, apa yang dapat kita ambil manfaat daripada kisah ini?
Kisah ini mengajarkan kepada kita bahawa jujur itu adalah soal mahu atau tidak. Merealisasikannya bergantung kepada sekuat mana kemahuan untuk berlaku jujur. Tidak memerlukan teori yang mendalam yang hanya akan tinggal teori tanpa amal. Tidak perlu. Namun, cukup dengan komitmen dan kemahuan yang tinggi iaitu untuk JUJUR!
               
Ketika mana kemahuannya tinggi, maka seseorang itu akan bekerja keras untuk mencapai nilai kejujuran. Meski pada kondisi yang berat. Namun, ketika ia melemah, maka berlakulah tarik tali untuk merealisasikannya. Pada suatu saat dia akan berlaku jujur namun dalam kesempatan yang lain tidak. Justeru, untuk jujur ianya satu pilihan. Mahu atau tidak. Kemahuan yang tinggi akan menenggelamkan soal mampu atau tidak.

Refleksi

KESELARIAN  UCAPAN + ISI HATI + TINDAKAN --> JUJUR

Sahabat yang dikasihi Allah s.w.t,
Tatkala ini, berhentilah sejenak. Pusatkan fikiran kepada makna kejujuran. Renunglah ke dasar hati, lalu bertanyalah padanya. Jujurkah aku? 

Dalam meniti persoalan itu, ianya memerlukan satu syarat. JUJUR itu sendiri!

Mana mungkin hati yang tidak jujur mampu menjengah ketelusan hati. Dalihnya ada saja. Itu dan ini. Kepentingan-kepentingan peribadinya terus dilaungkannya sehingga membenamkan nilai kejujuran. Tidak sekali-kali.

JUJUR, itu soal mahu atau tidak!

Meniti kehidupan seharian, kita takkan boleh terlepas daripada nilai kejujuran. Masing-masing dari kita memegang amanah yang mungkin berbeza. Namun, setiap amanah itu menuntut satu hal yang sama dari kita, JUJUR. 

Hasan Al-Banna pernah menegaskan bahawa hendaklah kita jujur dalam menunaikan segala janji dan kata-kata. Janganlah melanggarnya walau dalam apa jua keadaan.

 Daripada Ibnu Mas’ud daripada Nabi Saw bersabda :

Tidak berganjak kaki anak Adam berdiri di hadapan Allah pada hari Qimat sehinggalah dia ditanya tentang lima perkara iaitu umurnya bagaimana ia dihabiskan, waktu mudanya bagaimana digunakan, hartanya bagaimana diperolehi dan bagaimana pula harta itu dibelanjakan dan ilmunya apakah ia telah amalkan ?

Ketika di hadapkan di mahkamah akhirat, tiada lagi kata dusta yang akan kedengaran. Dusta akan terbenam dan tertegaklah yang benar. Pendengaran, penglihatan bahkan hati akan di minta pertanggungjawaban. Mampukah bernista? Sahabat, itulah hari yang dipenuhi dengan KEJUJURAN.

Jujur itu suatu kemestian.

Sedarkah kita Allah mengkhabarkan bahawa kejujuran mampu menyelamatkan seseorang daripada azab?
Allah berfirman,

“Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka.”
(QS. al-Maidah: 119)

Untuk jiwa-jiwa yang merindui dan mencintai kejujuran,
Mari mengambil semangat dan tekad yang kuat daripada Anas Bin Nadhar. Kejujuran niat, tekad dan tindakannya telah menghantarnya kembali kepada Allah dalam keadaan syahid.  Mari belajar daripada kisah lelaki yang menemui Rasulullah untuk bersyahadah dan berusaha untuk berlaku jujur. Meski dirinya masih bergelumang dengan kemaksiatan.  Mampukah meninggalkannya? Sahabat…soalnya bukan mampu atau tidak tapi mahu atau tidak!

Justeru untuk jujur, tiada lagi kata tunda, tiada lagi kata dalih..Ini kerana sudah jelas ia dicipta atas dasar mahu bukannya mampu.

Wallahu a’lam.

Read More..