Wednesday 7 March 2012

Kebersihan Hati

Bismillahirrahmanirrahim


“…..Dan ketahuilah pada setiap tubuh terdapat segumpal darah yang apabila baik maka baiklah tubuh tersebut, dan apabila rosak maka rosaklah tubuh tersebut. Ketahuilah, ia adalah HATI.”
(HR Bukhari dan Muslim)

“Ukhti, dalam kita menghafal Al-Qur’an, perkara terpenting yang perlu di jaga adalah KEBERSIHAN HATI. Saya semakin meyakini akan hal itu hasil daripada pengalaman. “ Yakin ukhti itu meluahkan pada sahabatnya.

“Allah bukan sahaja memudahkan kita menghafal, bahkan Allah akan menjaga ayat itu dalam hati kita. Jika dahulu terlalu mudah untuk lupa dan tidak bertahan lama dalam hati, namun jika kebersihan hati itu di jaga, akan disedari perbezaannya. Meski beberapa hari tidak mengulang, namun Allah masih menjaganya dalam hati. Meski ada kalanya ada juga yang terlupa, namun Allah akan memudahkan juga proses mengulangnya. Beza..Sangat berbeza dengan sebelumnya. “ Tambah ukhti itu sebagai tanda ta’jubnya kepada kebesaran dan kuasa Allah.

“Bagi seorang dai’e, apa pula yang di maksudkan dengan maksiat hati?” Ukhti yang mendengar itu pula memberi respon tanda minatnya.

“Ingat hadis tentang zina mata, telinga dan seterusnya? Itulah yang perlu kita perhalusi dan muhasabahkan. Sejauh mana kita menjaga pandangan? Apa yang kita pandang? Sejauh mana kita menjaga telinga daripada hal-hal kemaksiatan. Semua itu akan memberi kesan kepada kebersihan hati. Sedar ataupun tidak. Jika tidak di jaga, setitik demi setitik noda akan mengkelamkan hati. Sehinggalah menjadi tompokan-tompokan pada hati. Bahkan hati kita itu sendiri. Yang sangat mudah hadirnya lintasan-lintasan. Fikiran-fikiran kita. Perhalusilah.“ Balasnya.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

HATI..HATI..HATI..

Berbicara tentang hati, pasti takkan habis modalnya. Urgensi hati, cara penataan hati, virus-virus hati dan penyegar hati perlulah sentiasa kita bicarakan bahkan salinglah mengingatkan dan menasihatkan sesame kita. Sehingga memuhasabahkan diri dan termotivasi untuk memperbaiki kondisinya dari semasa ke semasa. Kenapa harus menjadi kemestian? Kerana sifat si hati itu yang terlalu mudah untuk terumbang-ambing dan terbolak-balik. Ditakuti, jika tidak dikendali dengan sebaiknya, akan menjerumuskan hati ke dalam lembah keburukan dan kemaksiatan secara berterusan. Lagi tragis, jika hati itu tidak lagi sensitif pada kemaksiatan kesan daripada penyakit ‘terbiasa’. Larut dalam mengumpat. Tidak sedar bermaksiat kerana penyakit ‘terbiasa’. Larut dalam mengkhayal, mengingat-ingat dan merindukan si dia yang belum halal statusnya untuk kita. Tidak sedar bermaksiat kerana penyakit ‘terbiasa’. Dalilnya kerana cinta. Cinta membuahkan rindu. Maka rindu, sudah lumrah orang yang bercinta. Dalam hal ini, sensitifkah hati kita?

Itulah isu utama, HATI..HATI..HATI..

Betapa mudahnya ia terbolak-balik. Dan kita? Pastinya juga sering terjerat dengan fitnah-fitnah hati, bukan?

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Hati dinamakan Qalbu kerana mudah terumbang-ambing (bolak-balik). Sesungguhnya perumpaan hati bagaikan sehelai rambut di atas sebatang pohon yang di umbang-ambingkan oleh angin.”

Dari Abu Musa Al-Asy’ari r.a. dari Rasulullah s.a.w., beliau bersabda:
“Sesungguhnya hati ini seperti bulu yang terdapat di tanah lapang, di mana angin dengan berleluasanya membolak-balikkannya”.

Sejenak, kita imbas kembali kisah Imam Syafie yang pernah mengadu pada gurunya Waqi’tentang buruknya hafalannya. Maka apa yang di jawab oleh gurunya? Tiada lain, juga bertitik tolak kepada kebersihan hati itu sendiri.

Aku mengadu kepada Waki’ tentang buruknya hafalanku.Dia menasihatiku agar meninggalkan maksiat. Dia berkata;


"Ilmu adalah cahaya, dan cahaya Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat."


Kita mengenali Imam Syafie. Imam yang sangat masyhur dan Imam kepada Mazhab Syafi’e. Mazhab pertengahan di antara Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki. Pertengahan di antara Ahlul Hadis dan Ahlur Ra’yi. Pada usia 9 tahun, telah sempurna menghafal Al-Qur’an. Menjejak ke usia 12 tahun pula, sudah menghafal kitab Al-Muwattho' karangan Imam Malik. Bahkan berguru dengan Imam Malik sewaktu berusia 20 tahun. Subhanallah. Hebatnya susuk peribadi ini.


Ulama’ sehebat ini juga mengalami gangguan dalam hafalannya. Apatah lagi kita? "Ilmu adalah cahaya, dan cahaya Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat." , bukankah itu suatu peringatan keras buat kita?

Dari Huzaifah Al-Yaman, dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Fitnah akan dicampakkan bagaikan tikar kepada hati-hati manusia seutas demi seutas (saling bersilang antara satu sama lain). Hati mana saja yang di hinggapi oleh fitnah, nescaya akan terbetik padanya satu bintik hitam. Dan hati mana saja yang menolaknya, akan terbetik padanya satu binti putih bagaikan batu yang licin sehingga tidak terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Sedangkan sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan bagaikan tembaga berkarat, sehingga dia pun tidak menyerukan kebaikan dan tidak pula melarang kemunkaran kecuali yang sesuai dengan apa yang diserap oleh hawa nafsunya.”

Perlu kita sedari, hati adalah letaknya fitnah dan cubaan. Jika tersilap mengelolanya, terjeratlah dengan fitnah itu. Justeru, tersangatlah dharuri untuk kita selalu bertanya pada sang hati; apa khabarmu duhai hati? Sejauh manakah hati ini mengalirkan arus-arus kebaikan untuk diriku? Selama ini. Paling tidak, saat ini.. Sahabat, bertanyalah padanya..Sapalah ia dengan kelembutan dan penuh kepedulian pada kondisinya.

Imam Ibnul Qayyim r.a. mengungkapkan bahawa kembalinya hati kepada kesucian bagaikan ianya terlahir kembali kerana hati itu diciptakan hanya untuk cinta kepada Allah s.w.t..Hati yang suci..bersih..Tak teringinkah kita memilikinya?

“(Iaitu) di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.”
(As-Syu’ara; 88-89)

Apa yang dimaksudkan dengan hati yang bersih? Bersih daripada sifat syirik dan nifak (munafik).

Syirik; tidak menyembah selainNYA. Bukan berhala-berhala, tangkal-tangkal, ataupun yang lebih kontemporari penyembahan harta, wang ringgit bahkan juga nafsu.

Nifak; sifat orang munafik.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga; jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia ingkari, dan jika diberi amanah dia khianat.”
(Muttafaq ‘Alaihi)

Dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“ Empat hal bila ada pada seseorang maka dia adalah seorang munafik tulen, dan barangsiapa yang terdapat pada dirinya sati dari empat sifat tersebut maka pada dirinya ada sifat nifak hingga dia meninggalkannya. Iaitu, jika diberi amanah dia khianat, jika berbica dia dusta, jika berjanji dia ingkari, dan jika berseteru dia melampaui batas.”
(Muttafaq ‘Alaihi)

Sifat-sifat munafik ini, jika dimuhasabahkan, adakah kita memilikinya?

Al- Hasan pernah berkata, : “Tidak ada yang merasa takut akan nifak kecuali dia itu orang mukmin, dan tidak ada yang merasa aman dari nifak kecuali dia itu orang munafik.”

Sekali lagi, mari kita muhasabahkan diri..

Hati yang hidup dan bercahaya merupakan sumber segala kebaikan sedangkan hati yang mati dan gelap adalah sumber segala kejahatan. Begitulah lumrah hati bahkan lumrah alam.

Dari Huzaifah Al-Yaman r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Ketaatan itu adalah cahaya bagi wajah dan kekuatan bagi badan, sedangkan maksiat adalah sebaliknya”.

Meski kita tidak pernah lekang daripada kemaksiatan, namun teruslah berusaha untuk memperbaiki diri. Kerana tarbiyyah, telah pun diyakini menjadicore business sepanjang perjalanan kita menuju Allah.

“Janganlah sampai ada sesuatu yang lebih penting bagimu selain dari memperbaiki dirimu, kerana ia tidak boleh sedikitpun ternoda dosa”
(Khalifah Umar Bin Abdul Aziz)

Wallahu A’lam.

Read More..