Friday 28 October 2011

Sunyi Yang Kaku

Bismillahirrahmanirrahim
sunyi..sepi..
Rasa hati..sunyi…tiba-tiba saja.
Rasa hati..sunyi..sunyi..dan sunyi…

Pernahkah kita merasa sunyi? Sunyi yang kadang datang secara tiba-tiba. Meski pada hakikatnya kita dikelilingi kawan-kawan, bersama dalam keramaian. Mereka bergembira namun anehnya kita terasa sunyi..rasa terasing di tengah-tengah keceriaan mereka.

Sunyi..sunyi..dan sunyi…
Ada sesuatu yang hilang..

Luahan kata yang pernah dikongsikan dahulu pada seseorang. Sekadar mengimbau yang dulu-dulu.

"Kak, kenapa hati saya tiba-tiba rasa sunyi? Rasa sepi. Rasa mahu menangis". Luahku.
"Hati itu ibaratnya seperti pakaian. Ianya akan lusuh, maka perbaharuilah ia. Perbaharuilah iman di hati". Balasnya.

SMS itu sangat terkesan pada diri. Serta-merta air mata mencurah mengalir keluar. Tak mampu untuk menahannya lagi. Tak tertahan lagi untuk menanggungnya. Mengalirlah keluar semahumu duhai air mata.. jika itulah penawarnya.

Perasaan sunyi dalam keramaian, saya yakin anda juga pernah mengalaminya. Sunyi yang hadir yang kadang tanpa diduga. Tiba-tiba..kan? Namun, pastinya bersebab. 

Iman dan maksiat
Iman terletaknya di hati. Itulah tempat ia bersemayam. Hati yang perlu ditata dan dijaga dengan rapi. Andai ia baik, maka baiklah seluruhnya. Andai ia buruk, maka buruklah segalanya..begitulah pesan Rasulullah s.a.w. kepada kita. Istimewanya hati..bak sang raja pada seluruh anggota badan. Ketika mana hati itu disuburkan dengan hal-hal kebaikan,  maka akan tumbuhlah benih-benih keimanan dan jika digandakan lagi, maka akan bercambahlah dan bertunaslah keimanan itu. Sesuatu kebaikan akan melahirkan kebaikan yang lain. Namun, jika hati itu dihiasi dengan hal-hal keburukan, maka tumbuhlah benih-benih kemaksiatan dan jika dibiasakan lagi, maka akan bercambahlah dan bertunaslah kemaksiatan itu..Sesuatu keburukan dan kemaksiatan akan melahirkan keburukan dan kemaksiatan yang lain. 

Misalan:
Ketika kita membaca al-Qur’an, hati akan terasa tenang. Ditambah pula dengan memahami dan merenung  ayat-ayatnya, maka lunaklah sang hati dan lapanglah fikiran. Ketenangan dan kelapangan itu seterusnya akan mempengaruhi tingkah laku dan akhlak kita kepada orang-orang di sekeliling. Suatu kebaikan melahirkan kebaikan yang lain. Akhirnya, tiada lain yang terkena tempiasnya melainkan si raja, yakni hati.

Sebaliknya,andai kita bergosip, maka akan terbukalah pintu-pinti umpat. Aib-aib saudara dibuka secara perlahan-lahan satu persatu.  Hingga begitu asyik menjamah daging mentah itu. Lazatkah? Tidak sekadar itu, bahkan yang lebih parah sehingga membuka ruang-ruang  fitnah. Berkata ini dan itu mengikut persangkaan semata-mata. Asyiknya..suatu keburukan melahirkan keburukan yang lain. Akhirnya, tiada lain yang terkena tempiasnya melainkan si raja itu juga, yakni hati. 

Andai iman tidak disuburkan, maka hati akan lusuh. Ketika maksiat tidak dijauhkan, maka hati akan gelap. Takutnya ia akan buta. Buta mata hati justeru satu kebutaan yang sangat kronik dan memudharatkan empunya diri. Meski luarannya tampak gah, kelihatan megah namun jauh di sudut hati, suatu kegelisahan yang teramat, suatu ketidaktenangan yang mendasar, suatu kekusutan yang menyesakkan. Lagi malang jika hati tidak mampu menimbulkan isyarat-isyarat ‘sakit’ itu. Apalagi jika hati menyukai kemaksiatan dan mendokong kebathilan.  Mati rasa dan tidak lagi sensitif akan dosa. Nau’udzubillah.

Kurang zat ruhani
Iman itu يزيد وينقص. Iman itu bertambah dan berkurang. Fitrah iman bagi seorang manusia biasa yang asli. Tiada yang memiliki iman yang sentiasa meningkat melainkan para Nabi dan Rasul. Tiada juga yang memiliki iman yang statik, tidak meningkat dan tidak berkurang melainkan para malaikat. 

Fitrah iman manusia biasa yang asli itu justeru perlu sentiasa diperbaharui dan disuburkan. Agar ianya tidak terus melemah dan layu. Ia bertambah kerana ketaatan dan berkurang kerana dosa. Cukuplah itu sebagai peringatan bagi hati.

Di mana zikir-zikir, tilawah al-Qur’an..bacaan buku-buku yang menambahkan iman..zat-zat ruhani yang mungkin kian berkurangan. Hati yang tidak dibajai dengan zat-zat ruhani, maka akan mudah melemah. Sedikit demi sedikit..hingga terasa sunyi..sepi dan suram..ada sesuatu yang hilang dirasakan..

Dunia yang semu

Yang dikejar tak dapat, yang diimpi tak kesampaian, yang dinanti tidak kunjung tiba..
Dunia..oh dunia.. makin dikejar, makin sesak terasa..makin di cari, makin tak dijumpai.. makin diperoleh, makin ditagih..makin dimiliki, makin melalaikan..

Berharap pada dunia membuahkan angan-angan..mahu ini dan itu..menginginkan sesuatu pada dunia, namun akhirnya yang diingini tidak kesampaian..hati sunyi..sepi..lantas..tersentak! terpaku! terpukul pada teguranNya! Mahu dunia rupa-rupanya..Astaghfirullah..

Dunia yang semu, dunia yang menipu, dunia yang menjerat! Terpedaya lagi..

Memerhati, merenung dan bangkit.
Dalam kesunyian..mencari penawarnya di tengah-tengah keceriaan itu..keceriaan mereka diserap ke dasar hati..jiwa-jiwa itu..hati-hati itu..berbagi rasa, berkongsi semangat..Mereka sahabat-sahabat seperjuanganku..

Tolak ke tepi rasa sepi yang membungkam diri. Tolak ke tepi rasa sunyi yang menghimpit diri. Sunyi yang menjadikan diri kaku dan lemah. Bangkit dari tipu daya. Bangkit dari pujukan rasa. Bangkit dari buaian kesunyian yang kaku. 

Kebaikan akan disusuli dengan kebaikan yang lain..Istighfar dan bertindaklah untuk mendapatkan sesuatu yang telah hilang..

Wallahu a’lam.
Read More..

Wednesday 26 October 2011

Parasit Hati

Bismillahirrahmanirrahim
Panahan syaitan

 “Janganlah sampai ada sesuatu yang lebih penting bagimu selain daripada memperbaiki dirimu, kerana ia tidak boleh sedikitpun ternoda oleh dosa” 
(Umar Bin Abdul Aziz)

Bagi jiwa-jiwa yang berkomitmen untuk memperbaiki diri, sensitiviti pada dosa adalah suatu hal yang sangat dharuri. Dosa justeru adalah suatu halangan yang membelenggu diri, samada sedikit ataupun banyak, kecil ataupun besar, ianya tetap suatu dosa! Sensitifkah kita?

Sahabat yang dikasihi oleh Allah s.w.t.,
Mari sejenak kita meresapkan jauh ke dalam hati kita. Sebuah wasiat daripada seorang penyair di zaman Khalifah Umar Bin Abdul Aziz.

Ceraikanlah dosa baik kecil mahupun besar
Kerana itulah ketaqwaan,
Berbuatlah seperti orang yang berjalan di atas tanah berduri,
Sehingga berhati-hati,
Jangan kamu remehkan kesalahan kecil,
Kerana gunung terbentuk oleh butiran pasir.

Sifat berhati-hati itu adalah tanda ketaqwaan. Begitulah yang telah diibaratkan oleh Umar al-Khattab bahawa hakikat taqwa itu seperti perjalanan di atas jalan berduri. Penuh berhati-hati. 

Penyakit ‘ujub

Para da’ie,
kadang hati telah tercampur dengan noda keterpedayaan (ghurur). Terpedaya dengan sedikit amal kebaikan namun merasakannya telah banyak dan sudah berpuas hati tanpa merasakan perlu untuk meningkatkannya lagi. Begitulah liciknya syaitan dalam membisikkan tipu dayanya.

Kita yang mengaku da’ie,
Apakah yang bermain dalam perasaan kitaketika bergaul dengan mereka yang tidak mengikuti jalan tarbiyyah dan dakwah? Apakah perasaan kita ketika melihat kelompok-kelopmpok yag tidak sejalur denganmu? Adakahkita merasakan diri lebih suci, lebih baik, lebih tinggi kedudukan di sisi Allah? 

Dalam hal itu, engkau telah meletakkan nilaian yang lebih tinggi untuk dirimu. Maka, renungilah kata-kata hikmah Imam Syafie ini.

“Barangsiapa yang menaikkan harga dirinya di atas harga yang sesuai dengannya, maka Allah akan mengembalikannya pada nilai yang sesuai”

Siapa kita untuk memberi nilaian diri yang lebih suci, lebih baik dan lebih tinggi daripada orang lain? Sibuk mencari-cari kelemahan orang lain sehingga lupa pada aib sendiri. Pada dosa sendiri yang menimbun.
Syaitan benar-benar memmalukan kita denga rasa ‘ujub (kagum) pada diri sendiri. Membanding jangan sampai merendahkan!  

"Ia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa".  
(An-Najm:32)

Sikap meremehkan dan menyerang orang lain adalah salah satu sisi yang paling menonjol daripada sifat ‘ujub. Menyerang peribadi lain sehingga merendahkan mereka. Itu seharusnya tidak  berlaku kepada seorang yang telah bergabung dengan harakah islamiyah. Yang berkomitmen untuk membina kesolehan diri dan orang lain. 

Abdullah bin Umar radhiyallahu’anhuma mengatakan bahwa Nabi saw bersabda, 

“Orang Islam itu adalah orang yang menyelamatkan Muslim lain daripada lidah dan tangannya…”  (HR. Bukhari) 

Itulah hak bagi sesama muslim, apatah lagi bagi sesama da’ie. 

Basyar ibn al-Harits mendefinisikan ‘ujub sebagai;

“Apabila kamu sudah menganggap bahawa amalmu lebih banyak, sedangkan engkau menganggap amal orang lain sedikit”.

Lagi, Sufyan at-Tsauri mendefinisikannya sebagai;

“Sifat ‘ujub adalah kekagumanmu pada dirimu sendiri, sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan kebih tinggi darjatnya daripada saudaramu, padahal boleh jadi kamu tidak beramal dengan benar seperti dia, atau barangkali dia lebih wara’ daripadamu terhadap hal-hal yang diharamkan Allah, dan lebih tulus dalam amalnya”.

Para da’ie,
Amal adalah suatu cahaya. Cahaya yang akan menerangi sang hati dan menuntunnya menuju cinta Illahi. Namun, ‘ujub yang hadir akan merubah cahaya itu sehingga malap dan hati menjadi kelam. Saat itu,kita telah terpedaya…

Penyakit suka pujian

Kita yang mengaku da’ie,
Adakah sesuatu amal yang kita lakukan adalah dalam rangka untuk mencari kedudukan dan kehormatan daripada manusia?  Maka, renungilah pesanan ini;

Sufyan at-Tsauri berkata:

“Apabila anda sudah tidak ‘ujub pada diri sendiri, maka anda juga harus menjauhi sifat suka dipuji orang lain. Bukti bahawa anda suka pujian orang adalah bahawa anda ingin mereka menghormati anda kerana suatu amal yang anda lakukan, dan agar mereka mengetahui kemuliaan dan kedudukan anda di hadapan mereka”.

Kita yang mengaku da’ie,
Apa perasaan kita ketika bergaul dengan mereka yang tidak berada di jalan dakwah dan tarbiyyah? Ketika engkau bergaul dengan menjaga kesopanan kata-kata dan akhlaq dalam tindakan. Sedang peribadimu dengan mereka ada bezanya . Sehingga ada yang berkata, “lembutnya kata-kata ..baiknya…bagusnya..”.  Apa perasaan kita ketika itu? 

Khalid Bin shafwan berkata;

“Banyak orang yang terpedaya kerana Allah tidak menampakkan keburukan mereka. Mereka terkena fitnah kerana sanjungan yang baik. Maka janganlah sampai ketidaktahuan orang lain tentang dirimu itu mengalahkan pengteahuanmu tentang dirimu sendiri”

Kita yang mengaku da’ie,
Adakah kita merasakan hati berbunga-bunga dan senang dengan sanjungan orang lain? Sehingga tenggelam dengannya? Tetapi, ketika ada yang memberi nasihat maka segalanya berubah. Dada terasa sempit, nafas terasa sesak bahkan terkeluar kata-kata kasar. Itukah kita sebagai da’ie? 

Sekali lagi, kita telah diperdaya oleh tipu daya syaitan. Saat orang lain memberi pujian, janganlah sampai kita lupa kepada hakikat diri kita. Yang lebih kita tahu kondisinya. Yang lebih kita tahu kelemahannya dan kejelekannya.

Kita yang mengaku da’ie,
Para salaf memberi wasiat kepada kita, sentiasalah berusaha untuk menghampiri dan mencapai kesempurnaan. Keterlaluankah ia untuk kita usahakan?

Abu Bakar mengirim wasiat kepada Khalid al Walid:

“Semoga Allah mengurniakanmu kelurusan niat dan kedudukan yang tinggi. Sempurnakanlah (amalmu), maka Allah akan menyempurnakanmu. Janganlah kamu terkena penyakit ‘ujub (mengagumi diri sendiri), kerana hal itu akan membuatmu rugi dan hina. Jauhilah olehmu sifat menunjuk-nunjuk sesuatu perbuatan, kerana sesungguhnya hanya Allah lah yang Maha Pemberi anugerah dan kemuliaan. Dialah Yang Maha Pembalas”.

Aku yang mengaku da’ie,
Bukanlah yang menunjuk lebih arif tentangnya. sekadar berbagi tausyiah dalam rangka menyembuh dan merawat hati. Kerana di jalan dakwah, liku-likunya ada yang jelas dan tersembunyi.  Halus tersembunyi  di balik hati, yang kadang tidak kelihatan. Namun ketika diuji, maka tampaklah ia..dan terpedaya…

 << << لا إله إلا أنت سبحانك إني كنت من الظالمين
 wallahu a'lam.
Read More..

Friday 21 October 2011

Memori Antara Kita

Bismillahirrahmanirrahim

Suka duka bersama..

Sahabat,
Ingatkah engkau memori-memori kita bersama?
Saat engkau dan aku mula bertatih dalam tarbiyyah,
Saat engkau dan aku mula mengenali erti pengislahan diri,
Sehingga akhirnya kita makin tersentuh dengan tarbiyyah,
Kita bersama 'basah' disirami embun-embun tarbiyyah,
Nikmatnya...hanya benar-benar dirasai oleh jiwa-jiwa yang telah melaluinya,
Ingatkah kita lagi?

Sahabat,
Ingatkah engkau memori-memori kita bersama?
Saat program tarbiyyah menjadi keutamaan bagi kita,
Saat engkau dan aku mulai beraktiviti,
Sehingga akhirnya kita mula belajar untuk berukhuwah,
Sehingga akhirnya kita mula mencerna makna ukhuwah,
Sungguh, ia tidak semudah yang disangka,
Sulitnya... walau hanya serendah-rendah ukhuwah, berlapang dada,
Ingatkah kita lagi?

Sahabat,
Ingatkah engkau memori-memori kita bersama?
Saat aktiviti menjadi hal yang menyibukkan kita,
Saat aktiviti memadatkan masa harian kita,
Hingga suatu saat, kenapa hati terasa gersang,
Hingga suatu saat, kenapa jiwa terasa lelah,
Merenungnya...rupa-rupanya ada hak yang tidak tertunai,
Hak sang hati yang makin kurang zatnya,
Sulitnya...untuk mencapai tawazun,
Ingatkah kita lagi?

Sahabat,
Ingatkah engkau memori-memori kita bersama?
Camping bersama,outdoor juga indoor,
Makan bersama, tidur bersama,
Bersama menyanyikan lagu-lagu haraki,
Bersama mengerjakan ibadah,
Bersama mendengar slot-slot penyampaian,
Ada yang penuh konsentrasi dan fokus,
Tidak kurang, ada juga yang terlelap, entah kenapa asyik terlelap saja,
Kasihan ada, lucu juga ada kan?
Indahnya...kenangan-kenangan itu,
Di kem itu, di rumah Allah itu,
Ingatkah kita lagi?


Sahabat,
Memori-memori dulu terlalu manis untuk dikenang,
Tiap kali mengimbasnya, entah kenapa rasa sayu sang hati ini,
Tiap kali mengimbasnya, rasa berbunga-berbunga dan termotivasi,
Melihat kesungguhan dan usaha kalian,
Untuk apa? Kerana apa? 
Semoga Allah sentiasa meluruskan niat kita hanya padaNya..

Sahabat,
Ruh itu... mahunya terus mewangi dan memekar,
Semangat itu.. mahunya terus hidup dan membakar diri,
Andai diri terasa lelah, hadirlah berbagi spirit,
Andai diri melemah, peganglah erat tangan ini, 
Andai diri melonglai, hadirlah membisikkan janji-janjiNya,
Sahabat,
Janjilah padaku..

Doaku,
Moga Allah meneguhkan pijakan kaki-kaki kita di jalan ini,
Doaku,
Moga kita tegar dan setia di jalan ini,
Doaku,
Moga jalan ini menjadi motivasi dalam beramal keranaNya..
Lillah..Billah..Ma'allah..

Wassalam.

 
Read More..

Wednesday 19 October 2011

Ayuh, Infak Qurban!


Bismillahirrahmanirrahim





"Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).  Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)." 
(Surah Al-Kautsar:1-3)

Hari ini, 29 Dzulqaedah 1432. Hari berganti hari dan A'idul Adha kian menjelang..Terasakah kita?

Saudara-saudara seakidah yang saya kasihi sekalian,

Sungguh, terlalu banyak kebaikan yang Allah ganjarkan kepada mereka yang melakukan qurban..

'Tiada amal anak-cucu Adam pada waktu Hari Raya Qurban yang lebih disukai Allah daripada mengalirkan darah (berqurban). Dan bahwasanya darah qurban itu sudah mendapat tempat yang mulia di sisi Allah sebelum jatuh ke tanah. Maka laksanakan qurban itu dengan penuh ketulusan hati." 
(HR. At Tirmidzi) 

“ Al Udhiyah (binatang kurban), bagi pemiliknya (yang berkurban) akan diberi pahala setiap satu rambut binatang itu satu kebaikan “. 
(HR. At Tirmidzi, Ibnu Majah dan al Hakim) 

"Perbesarlah qurban-qurban kalian, sebab qurban itu akan menjadi kenderaan-kenderaan dalam melewati jambatan Ash-Shirat menuju syurga" 
(HR Ibnu Rif'ah) 

Allahu Akbar! Maha Kaya Engkau ya Allah..

Sehubungan itu, dengan izin Allah, Al-Furqan Enterprise sekali lagi akan menganjurkan Program Qurban di Kemboja. Matlamatnya tiada lain melainkan untuk membantu saudara-saudara kita di sana. Satu bahagian daging lembu RM 250. 

Apabila menyebut Kemboja, apa yang terbayang di benak fiikiran kita? Adakah seperti Malaysia? Adakah hasil buminya seperti Malaysia? Adakah sosio ekonominya seperti Malaysia? Apa pula pendapat kita tentang saudara-saudara Muslim kita di sana? Bagaimana kehidupan mereka? Orang-orang Muslim di sana adalah golongan minoriti. Meski tidak banyak mengetahui tentang mereka, namun dengan memiliki sahabat-sahabat dari Kemboja, cukup untuk memberi gambaran tentang kehidupan orang-orang Muslim di sana.

Sahabat yang dikasihiNya,

Terlalu banyak nikmat yang Allah beri ke atas diri kita. Terlalu banyak rezeki yang Allah limpahkan ke atas kita..Sedarkah kita? Harta yang kita miliki tidak hanya menjadi kepunyaan kita secara mutlak. Kerana di situ, ada hak orang lain..Kerana itu, infak di pandang tinggi dalam agama suci kita. Hinggakan diwajibkan zakat. Tujuannya tiada lain adalah untuk membantu saudara-saudara Muslim kita yang lain yang memerlukan. Bahkan, rezeki kita sebenarnya adalah apa yang telah kita makan. 

Semoga Allah memudahkan urusan kita dan menambahkan lagi berkat rezeki kita. Bahkan, itulah janjiNya, bukan?
 
Semoga 'Aidul Adha tahun ini, memberi pengertian baru buat kita..
Maklumat lanjut boleh hubungi PIC Program:  Yusnita (013 2225927) 

Wallahu a'lam

Read More..

Tuesday 18 October 2011

Berbumbungkan Jalan Raya, Itupun Jadilah!

Bismillahirrahmanirrahim


Kuala Lumpur. Bandar yang tidak pernah mengenal erti sunyi. Hiruk-pikuk dan bising itulah musikanya. Atas sebab itulah, diri ini tidak gemar untuk keluar ke Kota Raya ini. Namun, dalam suasana penuh kesibukan sebegini, jiwa-jiwa yang memandang dan memerhati dengan mata hati perlakuan manusia di Kota Raya ini, pasti akan menemui sesuatu yang akan menyentuh jiwa. 

Dengan izin Allah, terlihatlah suatu kejadian di hadapan mata. Ketika itu, sedang santai berada dalam sebuah bas menuju ke Klang mata tertuju kea rah gerak geri seorang lelaki. Usianya menjangkau akhir 50-an atau awal 60-an saya kira. Bersamanya ada sebuah beg pakaian. Pakaian yang dipakainya biasa dan tiada koyakan yang terlihat pada pakaiannya.  Secara zahirnya, ibarat seorang yang dalam perjalanan menuju ke suatu tempat. Begitulah awal tanggapan saya terhadap lelaki berkenaan.

Terus memerhatinya hinggalah dia menuju ke bawah sebatang jalan raya. Ketinggian jalan raya itu tidaklah setinggi lelaki berkenaan. Rendah darinya.  Terpaksa menunduk jika ingin melalui kawasan bawahnya. 

Di situ, terdapat selonggok surat khabar. Dia pun mencapainya dan menyusunnya rapi. Saya mula mengagak –agak sebab perlakuannya itu. “Adakah  dia mahu menyiapkan tempat pembaringannya?” Detik sang hati. Ternyata, tekaan saya benar. Selepas menyusun surat khabar itu, dia mengeluarkan sebuah bungkusan daripada begnya. Isi beg itu yang disimpan dalam keadaan terlipat dikeluarkan dan dibentangkan di atas hamparan surat khabar tadi. Tilam yang agak lusuh kelihatan. Pada saat itu juga, hati benar-benar tersentuh. “Adakah tilam itu sememangnya sentiasa di bawa bersamanya? Dibentangkan ketika menjumpai satu tempat yang sesuai dirasakannya untuk berlabuh?” Persoalan demi persoalan timbul dan saya  terus asyik memerhatikannya. 

Kemudian, lelaki berkenaan duduk di atas tilam tersebut dan menanggalkan kedua-dua selipar miliknya.  Dibersihkannya lalu diletakkan dalam sebuah plastik. Siap untuk diselitkan di bawah tilam berkenaan dan kemudian meletakkan begnya di atas bungkusan berisi seliparnya tadi. Dirapikannya sekali lagi. 

Sebelum bas yang saya naiki bergerak pergi, sempat melihat keadaan pak cik itu yang kelihatan begitu bersahaja sambil membaca keratan akhbar yang dijumpainya. Berbumbungkan jalan raya, itu pun jadilah. Langsung tidak dihiraukan orang ramai di sekelilingnya. Tiada malu terlihat pada raut wajahnya.
“Siapa lelaki itu? Dari mana asalnya? Adakah sudah berkahwin? Jika ya, di mana keluarganya? Jika mempunyai anak-anak, di manakah mereka? Kenapa berlabuh di bawah jalan raya itu?” Sungguh menyentuh hati.

Lantas, cuba mengaitkannya dengan keadaan diri. 

Alhamdulillah, sungguh diri ini tidak pernah mengalaminya. Mempunyai rumah yang walaupun sederhana, namun terlalu jauh lebih baik daripada berlindung di bawah jalan raya. Walau kadang terasa panas berada di rumah dan juga mengeluh, namun itu lebih baik daripada pak cik itu. Panas, habuk, asap kenderaan..itulah yang terdedah padanya. 

Wahai diri, engkau lebih selesa daripadanya. “Sedarlah wahai diri dan syukurilah apa yang Allah kurniakan padamu”. Rayu sang hati. Keadaan pak cik itu banyak memuhasabahkan diri. Dan itu, hanya sebahagian daripada masyarakat. Di ceruk-ceruk dunia, bahkan ada yang lebih menghibakan.

 “Apabila salah seorang di antara kalian memandang orang yang mendapat kenikmatan harta dan bentuk tubuh (tampan dan cantik), maka pandanglah orang yang lebih rendah daripadanya.”
(HR. Al-Bukhari)

Indahnya pesan kekasih Allah ini..Janganlah kita memandang pada mereka yang lebih tinggi dalam hal-hal dunia. Namun, lihatlah yang lebih rendah daripada kita. Itu akan melunakkan hatimu dan menjauhkan iri hati pada hal-hal keduniaan.

Wallahu a’lam.

Read More..

Ajari aku Cinta dan Ukhuwah

Bismillahirrahmanirrahim


Cinta yang hakiki adalah cinta tanpa syarat. Cinta adalah gelora hati terhadap yang dicintai sehingga menjadikan lupa pada diri sendiri.
(Junaid al-Baghdadi).

Cinta tidak harus memiliki!

Salman al-Farisi sudah tiba saatnya untuk menikah. Dentuman fitrahnya yang memerlukan pendamping kian mengeras kedengaran. Sedang di hatinya, seorang wanita Ansar solehah dan mukminah bertakhta. Yang jelas, bukan sebagai kekasihnya tetapi sebuah pilihan yang dirasakannya tepat menurut akal dan hati yang suci.

Madinah adalah sebuah kota yang asing baginya. Bagaimana seharusnya dia mahu menyampaikan hasratnya kepada keluarga wanita itu? Keluarga yang lahir di negeri asing bagi seorang pendatang sepertinya. Lantas, disampaikan hajatnya untuk khitbah kepada sahabat Ansar  yang ditaakhi (dipersaudarakan) dengannya , Abu Darda’. Mendengar luahan sahabtnya, Abu Darda’ sangat gembira.

Setelah menyiapkan segala keperluan dan persiapan untuk meminang, mereka berdua berangkat menuju ke rumah wanita solehah lagi mukminah itu. Setelah tiba, Abu Darda’ memperkenalkan  Salman kepada tuan rumah dan dirinya sebagai wakil sahabatnya untuk meminang puteri mereka.

Tuan rumah sangat senang mendengarnya dan merasakan satu kehormatan jika bermenantukan sahabat Rasulullah s.a.w. yang utama. “Namun, hak untuk menjawab pinangan ini terletak pada puteri kami”, jawab tuan rumah.  Lantas, si ibu mewakili puterinya member jawapan. “Maafkan kami atas keterusterangan ini. Puteri kami menolak pinangan Salman. Namun, jika pinangan itu datangnya dari Abu Darda’, maka puteri kami sedia menerimanya”.

Bayangkan jika kita berada di tempat Salman. Apa perasaan kita pada waktu itu? Malu, sedih dan kecewa yang teramat pastinya. Muka menjadi ketat dan hati hancur luluh. Puteri itu lebih tertarik kepada si pengantara berbanding si pelamar! Namun sahabat, Salman mengejutkan kita dengan reaksi spontannya.

"Allahu Akbar! Semua mahar dan nafkah yang kusiapkan ini aku serahkan kepada Abu Darda’ dan aku akan menjadi saksi pernikahan kalian!”. Balas Salman.

Subhanallah..andai kita dalam situasi itu, adakah itu reaksi kita?
Cinta tidak harus memiliki. Kadang, rasa cinta kepada seseorang melahirkan rasa memiliki. Tidak sedikit yang merasakan sedemikian rupa. Namun, Salman mengajarkan kita bahawa tiada apa yang kita miliki,semuanya adalah milik Allah dan kita tidak lebih hanya sekadar peminjam. Salman juga mengajarkan kita betapa cinta pada sahabat itu terlalu tinggi nilainya..Cintanya yang diikat atas cinta kerana Allah. Menurut Junaid al-Baghdadi, "cinta yang hakiki adalah cinta tanpa syarat. Cinta adalah gelora hati terhadap yang dicintai sehingga menjadikan lupa pada diri sendiri". Dan Salman telah merealisasikannya.
 
Demi sahabat yang kucintai!

Suatu hari, Salman bertemu dengan wanita Ansar yang solehah dan mukminah itu. Kini, dia digelari Ummu Darda’, isteri Abu Darda’.  Di raut wajah Ummu Darda’ terlihat suatu kekusutan. Lantas, Salman memberanikan diri untuk mendekatinya dan menyapanya. Meski dahulu di antara mereka ada kisah penolakan lamaran.

“Apa khabarmu dan suamimu? Tanya Salman.
Kami baik Alhamdulillah. Adapun Abu Darda’, dia tidak mempunya apa-apa kepentingan lagi dengan urusan dunia ini. Tiada suatu siang hari pun yang berlalu kecuali dia berpuasa dan waktu malam dia solat dan menmbaca al-Qur’an dari Isya’ hingga ke Subuh.” Jawab Ummu Darda’.

Ringkasnya, hari-hari yang dilalui Abu Darda’ sering terisi dengan taqarrub kepada Rabbnya sehingga lupa dengan hak-hak keluarganya. 

Sahabat, bayangkan jika kita sebagai lelaki yang kini mengetahui bahawa wanita yang pernah kita mahu jadikan permaisuri telah di’sia-siakan oleh suaminya. Boleh saja ketika itu kita menghasutnya dan mengeluarkan kata-kata yang akan merosakkan nilai persahabatan. Syaitan pasti begitu bersemangat mahu menjerumuskan kita dengan hal-hal yang tidak diredaiNya dengan kata-kata yang tidak sepatutnya.
Namun, Salman tidak memilih tindakan itu. Meski dialah wanita yang pernah bertakhta di hatinya dan ditolak bahkan menikah pula dengan sahabat taakhinya sendiri, Salman mengajarkan kita erti sebuah persahabatan dan bertindak demi orang yang kita dicintai.

“Serahkanlah urusan itu kepadaku”, ujar Salman.

Malam pun tiba dan Salman bermalam di rumah Abu Darda’.

Ketika Abu Darda’ meminta izin untuk taqarrub kepada Rabbnya seperti yang selalu,Salman tersenyum dan berkata kepadanya, “Aku bersumpah dengan Dzat yang jiwaku di genggamanNya, mulai malam ini kedua kelopak mataku takkan kututup selamanya hingga kahir hidup. Kecuali engkau mahu tidur seperti aku beristirehat”. Mendengarnya dan kesungguhan Salman untuk memujuknya akhirnya meluluhkan hati Abu Darda’. Dia pun turut terlelap. Menjelang Subuh, Salman mengejutkannya dan mengatakan bahawa ada lagi waktu untuk memenuhi hak Rabbmu.

Pagi itu, Abu Darda’ kelihatan lebih segar berbanding hari-hari sebelumnya. Pagi itu juga, Ummu Darda’ telah menyiapkan makanan untuk mereka berdua. Hidangan istimewa dan enak-enak belaka.
“makanlah wahai saudaraku”. Jemput Abu Darda’. “Aku berpuasa hari ini”.

Salman tersenyum lagi dan berkata. “Aku juga bersumpah dengan Dzat yang jiwaku di genggamanNya, mulai pagi ini, aku tidak akan menjamah makanan pun sehingga ajal menjemputku. Kecuali engkau turt serta makan bersamaku pagi ini”. Sekali lagi, Salman berjaya meluluhkan hati sahabatnya itu. abu Darda’ makan sekali namun tidak dinafikan bahawa hidangan pagi itu sangat istimewa dan lazat baginya. Selesai makan, Salman menyampaikan nasihat kepada Abu Darda’.

“Sesungguhnya, Rabbmu memiliki hak ke atas dirimu. Dan sesungguhnya, tubuhmu juga memiliki hak ke atas dirimu. Dan sesungguhnya keluargamu juga memiliki hak ke atas dirimu. Berbuat adillah kepada mereka dalam mengabdikan diri kepada Rabbmu”.

Hal ini kemudian diajukan kepada Rasulullah. Abu Darda’ menceritakan kisah Salman menggagalkan ibadah-ibadah yang mahu dilakukan olehnya dan menyampaikan nasihat Salman kepada dirinya. “Salman benar . Dia seorang penasihat yang tulus hati”. Jawab Rasulullah.

Begitulah teladan yang diajarkan Salman kepada kita. Dalam cinta yang tidak kesampaian, jangan sampai merenggangkan ukhuwah yang telah lama disemai dan dijagai. Dalam cinta yang tidak kesampaian jangan ada rasa untuk meruntuhkan dan mencalarkan ukhuwah ketika peluang terhidang. Ayuh, belajar untuk bertindak demi kebahagiaan mereka yang kita cintai! Ayuh, kita jadi sahabat untuk memberi, tidak sekadar sahabat yang diberi.


Wallahu a'lam.
Read More..

Saturday 15 October 2011

Di mana dia di hatimu?

Bismillahirrahamanirrahim
Kitab penuh cinta..

Duhai hati, 
Di mana rindu itu? Di mana kemahuan itu? Di mana impian itu? Di mana motivasi itu?

Wahai diri,
Engkau dahulu, langsung tidak mengenal hurufnya. Sepatah pun. Namun, dengan izinNya..engkau mula mempelajarinya.. Walau terbata-bata, walau tersekat-sekat. Ayat demi ayat engkau baca dan akhirnya engkau mengenali hurufnya, mengenali ayatnya..Alhamdulillah.

Wahai diri,
Ayuh sejenak mengimbas kembali kepada dirimu dan keinginanmu yang dulu-dulu. Ya..yang dulu-dulu itu..

Ingatkah engkau, suatu saat... lidah itu tiba-tiba terasa tebal, liat dan tersekat-sekat membaca kitab suci Ar-Rahman? Tersekat-sekat dek kerana telah lama meninggalkannya. Tersekat-sekat dek kerana menjadikannya hanya sekadar perhiasan di kamarmu. Tanpa engkau membukanya dan membacanya..

Dengan rahmat Allah, hatimu hiba..hatimu sedih..hatimu rindu..Di mana perginya kefasihan itu? Di mana perginya lidah yang lembut itu? Sebuah kehilangan yang engkau tangisi..Namun, Allah benar-benar Maha Pengasih dan lembut padamu. Sebuah kehilangan yang ditangisi akhirnya menjadi pembakar semangat untuk mecari yang hilang itu..Dari saat itu, engkau menjinakkan kembali dirimu dengannya..Dengan kitab yang sarat dengan kasih dan cintaNya..

Masa berlalu. Terdetik di hatimu sebuah cinta yang mahu engkau tanam dan semai.. Cinta kepada kitabNya. Cinta kepada pendokong Al-Qur'an. Kasih kepada pembaca-pembacanya dan kasih kepada penghafal-penghafalnya. 

Sungguh, sebuah ketenangan yang sangat mendamaikan melihat para huffaz. Bahkan cemburu pada mereka..

Dari Umar al-Khattab, Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tidak dihalalkan dengki itu, melinkan terhadap dua jenis orang iaitu, orang yang diberi kepandaian oelh Allah dalam hal Al-Qur'an, lalu dia berdiri dengan Al-Qur'an itu-yakni membaca sambil memikirkan dan juga mengamalkannya-di waktu malam dan siang, juga seorang yang dikurnia Allah akan harta lalu dia menafkannya di waktu malam dan siang-untuk kebaikan". (Muttafaq 'alaih)

Sehingga suatu saat, engkau ditawarkan untuk berkomitmen dengannya. Berkomitmen untuk menghafalnya. Meski hanya beberapa juzuk Al-Qur'an dalam masa 3 tahun..Begitulah perancangan Allah..Meski ragu-ragu pada mulanya sehingga terpaksa istikharah dalam membuat keputusan sebelum memohonnya. Istikharah kerana ada ragu-ragu antara dua pilihan..Mampukah menjaganya? Berat dirasakan namun dalam hati itu juga mengatakan mahu.

Jika mengimbas kembali saat dalam temuduga itu, hati berbisik, secara teknikal engkau sepatutnya gagal dalam temuduga itu. Dalam tempoh 30 minit, engkau tidak mampu menghafal satu muka surat. Bahkan separuh juga tidak tertunai. Lantas apa yang menyebabkan engkau berjaya? Itu rahsia Allah..Namun, cukuplah untuk menyedari bahawa Allah memberi diri peluang. Peluang untuk lebih taqarrub dengan kitabNya. 

Juga, peluang untuk mencapai impian diri..Ingatlah kembali alasan yang engkau berikan dahulu kepada ustaz itu sewaktu temuduga..Kenapa mahu menghafal?, soalnya. Engkau menjawabnya sedang kata-katamu tersekat..Hatimu berdebar..Matamu berkaca menyatakannya. Mujur saja air matamu tidak tertumpah. 

Wahai diri, ingatlah kembali saat-saat itu..
 
Ketika engkau mula bertatih menghafalnya, penuh hambatan dirasakan. Namun, nikmatnya...Rasa hati itu...Subhanallah..Ta'jub!
Alhamdulillah, dengan bantuanNya, semester pertama, silibus dihabiskan.

Namun, semester-semester seterusnya, kenapa menyusut jadinya? 
Duhai hati, bagaimana mungkin hati yang bermaksiat itu akan mudah menghafal ayat-ayat suciNya..Sesaknya dada..Sukarnya ia melekat dalam hati. Duhai diri, bersihkanlah hati itu..
Alhamdulillah, tarbiyyah yang dilalui, banyak membantu proses tazkiyyah hati.. Syukur dengan nikmat itu..

Namun kini, hati merenung kembali..

Duhai hati,
Sekali lagi kutanyakan padamu. Di mana rindu itu? Di mana kemahuan itu? Di mana impian itu? Di mana motivasi itu?

Adakah dunia telah datang kepadamu sehingga engkau disibukkan dengannya sehingga lupa untuk menjaganya? Adakah ghairah itu menyebabkan engkau tergesa-gesa dan mahu segera menghafalnya? Sedangkan Dialah yang akan menapakkanya dalam hatimu.  Atau adakah keutamaan-keutamaannya telah kian engkau lupai?

Duhai hati,
Di mana disiplin dalam diri? Di mana pengurusan masamu? Di mana ayat-ayat itu dalam hatimu? Masih adakah ia? Ataukah, sekali lagi engkau merasakan sebuah kehilangan dalam hatimu?

Wallahu a'lam
Read More..

Tuesday 11 October 2011

Aku Mahu CINTA

Bismillahirrahmanirrahim


Berbelasan tahun menata kehidupan di bumi Tuhan,
DIA mendekat sehingga di hadapan terbentang pilihan, berubah atau kalah,
Lantas, aku memilih dan nekad untuk berubah,
Kerana...Aku mahu CINTA..

Aku keseorangan, bertatih dalam tarbiyyah,
Tiada yang kukenali namun kugagahi jua,
Lantas, aku memilihnya sebagi jalanku,
Kerana...Aku mahu CINTA..

Kitab cinta kubaca,
Indah sungguh susunan ayat-ayat cintanya lalu memukauku,
Lantas, aku memilihnya sebagai KITAB petunjukku,
Kerana...Aku mahu CINTA..

Dia menghampiri, 
Entah kenapa isyarat kegelisahan kian merobek sang hati,
Lantas, aku menolaknya ,
Kerana...Aku mahu CINTA..

Dalam keramaian ku bertemu mereka,
Yang kukenali juga tidak kukenali,
Lantas, kumaniskan wajah dan kuukir senyuman buat mereka,
Kerana...Aku mahu CINTA..

Dalam dakapan ukhuwah tidak selalu yang manis-manis saja,
Suatu saat hati diuji dengan sifat sabar dan hilm,
Lantas, aku memilih berlapang dada meski serendah-rendah tahapan ukhuwwah,
Kerana...Aku mahu CINTA..

Dalam lingkaran membulat, mereka miliki kepelbagaian ragam,
Kesabaran kadang diuji, mahunya ini dan itu,
Lantas, aku memilih untuk terus bersama selagi mereka masih mahukan,
Kerana..aku mahu CINTA...

Meski kadang diri tidak begitu tulus menggapai CINTA,
Meski kadang tindakan mendustai ikrar sang hati,
Namun, hati masih tetap mendamba penuh pengharapan,
Kerana...Aku mahu CINTA...
CINTA dari Dia Yang Maha Pencinta.
Read More..

Islam there and here!

Bismillahirrahmanirrahim
Masa depan untuk Islam!
Kenalan dari Myanmar.

"Sister, I feel very shy because I can't read well the Qur'an. We are minority there and live in rural area. We had played together with the Buddhist when we were small. Then, as we became teenagers, they said "why you are Muslims" and they left us. For them, Muslims are strange. In front of the world, the Ruler (ruled by army) said that all citizen can practise their religion. But, in fact, we as Muslims are not be treated like that. I feel better here and I would like to bring all my family members here after grad.

Kenalan dari Selatan Thailand.

"Kak, orang Islam kat selatan Thailand sangat susah. Lepas maghrib, semua akan balik rumah dan tidak keluar. Takut dibunuh oleh tentera-tentera Thai. Ramai remaja (Muslim) yang semakin teruk. Askar-askar bagi mereka daun ketum sehingga mereka ketagih".

 xxxxxxxxxxxxx

Apa perasaan kita saat ini?

Sahabat, satu daripada sekian banyaknya hikmah mengenali foreign students adalah mensyukuri nikmat Islam yang dinikmati di negara ini. di negara bertuah, Malaysia.

Sahabat, mari sejenak membuat perbandingan.

Nun di sana, mereka adalah minoriti. Minoriti yang ditindas dengan hak-hak mengamalkan agama. Minoriti yang dianggap pelik kerana menganuti Islam. Minoriti yang dianggap kelas bawahan!

Sedang kita? Majoriti yang bebas mengamalkan Islam, bahkan termaktub dan dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan negara.

Artikel 11; " Setiap orang berhak untuk menganuti dan mengamalkan agamanya..."

Mereka mencari dan menanti hak mereka. Sedang kita? Nikmat yang terhidang namun diremehkan dan diabaikan..

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka, lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan diantara mereka adalah orang-orang yang fasik. Ketahuilah oleh kamu sekalian, bahwa sesungguhnya Allah menghidupkan bumi sesudah matinya. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepada kamu sekalian tanda-tanda kebesaran (Kami) supaya kalian memikirkannya. (Al-Hadid:16-17)

Wallahu a'lam.

Read More..

Monday 10 October 2011

Kerana kek coklat

Bismillahirrahmanirrahim

Pagi itu, booth dibuka awal. Antara terawal di antara yang lain. Brooch, CD, stickers disusun rapi di atas meja. Beberapa helai T-shirt digantung. Agak tinggi namun dicapai dengan menaiki kerusi. Alhamdulillah aman daripada pandangan orang lain..
Sekotak berisi kek-kek coklat dikeluarkan dari ofis. Mengangkatnya hingga ke booth. Ofis kami, sepanjang minggu festival kulliyyah kelihatannya seperti stor. Al maklum, di mana lagi barang-barang jualan nak disimpan jika bukan dalam ofis. 

Sedang asyik menyusun kek-kek itu, seorang sahabat bertanya. "Cuba lihat kat bawah kek ni. Apa benda warna putih-putih tu.? Ok lagi ke tak kek ni?". Kemudian saya meneliti sekali kek-kek tersebut. Sahabat mencadangkan agar disimpan dahulu kek-kek itu kerana risau jika kek-kek itu sudah expired. Tinggu saja tuan punya kek itu datang. Mendengarnya, saya setuju. Itu lebih baik. Penjual harus peka dengan jualannya..Keraguan tentang kualiti dijadikan isu.
Semua kek dimasukkan kembali ke dalam kotak dan dibiarkan saja di situ. Agar mudah dilihat oleh tuan punya kek nanti. Harapnya diperiksa dan jika benar ianya masih ok maka barulah akan dijual. Kami berdua sepakat.

Menjelang tengahari, di dalam ofis. Saya baru saja selesai berbincang dengan ketua fasi tentang program society, tiba-tiba suara seorang lelaki dari arah belakang kedengaran.

"Kak Andak ke yang keluarkan fatwa kek coklat tu dah tak elok dijual? Saya dah potong dan dah makan kek tu. Ok je". Tegasnya dan ada nada kecewa yang kedengaran.

Dada berdebar. Terasa panas. "Fatwa? Begitu sekalikah dia mengistilahkannya?" Bisik sang hati yang dipenuhi dengan rasa bersalah. Rasa bersalah kerana terdetik adakah aku telah menutup pintu rezekinya?

"Tak, akak tak kata ianya tak boleh dijual. Akak cuma takut jika kek itu dah rosak sebab itu akak letak kat bawah". Balas saya. 

Suara hati, saya tidak tahu samada ia sudah rosak atau tidak. Meletakkannya di bawah hanya sekadar langkah berjaga-jaga. Kata-kata itu hanya sekadar monolog dan disimpan dalam hati. Tidak berani lagi bersuara setelah dijerkah apatah lagi menyebut istilah fatwa. Beratnya terasa.."Bila masa saya mengatakannya tidak boleh dijual? Saya cuma risau dan tidak tahu samada ianya masih ok atau tidak". Sekali lagi hati bermonolog dalam keadaan bingung.

Meski terpukul dengan kata-kata itu, namun hati cuba memahami situasinya. Di satu sudut, saya senang kerana dia meluahkan rasa tidak puas hati itu terus kepada saya. Tidak menyimpannya dan saya berkesempatan untuk memikirkan jalan penyelesaiannya.
Petang itu, mood agak ruhi (akibat kejadian tadi). Tidak senang memikirkan hal yang telah terjadi. Rasa bersalah dan saya harus mengambil sesuatu tindakan. "Apa yang boleh saya bantu?" Bisik sang hati. Dalam keadaan fikiran yang serabut, akhirnya dapat satu idea. "Boleh saja promote kat kawan-kawan" Akal mencetuskan idea. Itulah satu-satunya idea bernas.

Handphone dikeluarkan dari beg. Jari-jemari menekan keypad handphone. Ayat demi ayat dikarang. Alhamdulillah, mood ruhi membantu menghasilkan teks mesej yang penuh pengharapan dan ihsan kawan-kawan. SMS dihantar kepada beberapa orang sahabat. 

Hasilnya, alhamdulillah. Banyak yang terjual. Alangkah gembiranya hati ini.

Semasa memasuki ofis, tuan punya kek itu kelihatan. "Kawan-kawan akak ada nak beli kek tu. Nanti akak bagi duitnya" Kata saya padanya. Kelihatan, raut wajahnya serius. Saya tidak kisah, janji saya dah berjaya berbuat sesuatu.

Kek-kek coklat yang telah ditempah dimasukkan ke dalam plastik. Seorang rakan bertanya, "ada orang beli ke?". "Ya". Balas saya.  " Wah, Andak dapat jual banyak kek tu. Dah tinggal sikit." Tambahnya.

Lega melihat banyak yang terjual. Kesudahan yang sangat mententeramkan hati. Walau apa pun yang telah terjadi, saya puas kerana dapat menebusnya. Allah benar-benar membantu saya! Meng'ayat' SMS alhamdulillah dapat menyentuh hati kawan-kawan untuk membelinya. Ya, SMS yang dikarang itu datangnya dari hati yang benar-benar berharap bantuan Allah. Dan Dia memakbulkan. Hikmah lain, rupa-rupanya di sebalik kejadian tadi rezeki tuan punya kek itu jauh lebih murah. Sungguh, Allah Maha Hebat dengan perancanganNya!

Yang pasti, hati benar-benar rasa bahagia..=)

Wallahu a'lam.




Read More..

Wednesday 5 October 2011

Berlemah lembutlah

Bismillahirrahmanirrahim


Ketika menaiki bas dalam perjalanan pulang menuju ke kampus.

"Mck, minta maaf. Herna tak siapkan lagi tugasan yang Mck beri. Ada part yang telah disiapkan sewaktu di rumah dahulu. Tapi, ada part yang tiada info dalam buku dan belum siapkan lagi. Insya Allah Herna akan hantar setelah siapkannya nanti". 

SMS sent.

1 new message.

"Herna, Mck minta maaf. Tiada niat untuk menyusahkan Herna. Semoga ianya bermanfaat untuk yang lain juga."

Mesej yang baru saja diterima sangat-sangat memberi kesan pada diri. 

"Tiada apa Mck. Herna pun minta maaf. Tugasan sudah lama diberi namun lambat menyiapkannya".  

SMS sent.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Perbualan mesej yang tidak lama, namun amat terkesan pada diri. Membaca mesej yang diterima daripada Mck, membuatkan hati tersentuh dan mata berkaca..Apa yang terlintas di hati, "lembutnya kata-kata ini dan penuh dengan adab dan hikmah" sambil membayangkan peribadinya dan kata-katanya yang penuh dengan kelembutan.

Mck merupakan seorang yang sangat saya hormati, kagumi dan banyak memberi inspirasi. Melihat kepada luarannya, seolah tidak menggambarkan luaran seseorang yang berusia sedemikian. Langkahnya lincah, akalnya ligat memikir, rautnya wajahnya serius dan menyenangkan. Tutur katanya lembut, petah kata-katanya dan berhikmah. Dari hati ke hati sehingga meruntun sang hati yang mendengarnya. Meski berperibadi lembut, namun tetap tegas dalam prinsip.

Mari sejenak kita membayangkan,

Bagaimana agaknya perasaan kita apabila menerima mesej berupa kemaafan daripada seorang telah memberi amanah kepada kita? Amanah yang belum kita penuhi meski telah di beri masa yang cukup lama. Boleh saja dia memarahi atau menegur terus kerana masih belum menyempurnakan tugas. Namun, pada saat itu, dia memilih untuk memohon maaf. Maaf lantaran merasakan menyusahkan kita kerana perlu membuat extra work daripada yang sepatutnya. Boleh saja jika dia mengatakan "usahakan cari di buku-buku atau sumber lain memandangkan buku yang diberi tidak cukup info". Namun kenapa perlu disertakan kata-kata maaf?

Itulah hikmah yang dimilikinya. Itulah kerendahan diri yang dimilikinya. Itulah qudwah daripada qiyadah kepada jundinya. Fitrah yang telah membumi dan sebati dalam dirinya. Sehingga merasakan pada saat itu seolah-olah status qiyadah-jundiyah tidak wujud. Sama sahaja. 

Andai saya adalah objek dakwahnya (mad'u), pasti hati telah terpaut padanya. Terpaut dengan kelembutannya.

Begitulah peribadi yang perlu diwujudkan pada diri. Lemah lembut..dengan lemah lembutlah kasih sayang itu akan mudah dikongsi pada orang lain. Dengan lemah lembutlah, hati akan mudah lunak akan sesuatu. Dengan lemah lembutlah, orang lain akan mudah dan selesa bersama kita.

Mari mengambil manfaat daripada Kitab yang penuh cinta dan kasih sayang ini.

"Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad)berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhatu kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu".
(Ali Imran:159)

Begitulah sifat yang perlu ada pada diri. Sifat pemaaf dan suka meminta maaf kepada orang lain. Kerana kita hidup bermasyarakat, memafkan dan memohon maaf itu akan menumbuhkan lagi rasa kasih dan sayang sesama manusia. Meski berbeza pangkat , status dan kedudukan.

"Apabila kamu memaafkan, dan melapangkan dada serta melindungi, 
sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha penyayang" 
(QS Al-Thaghabun [64]: 14).
 
"Hendaklah mereka memaafkan dan melapangkan dada! Apakah kamu 
tidak ingin diampuni oleh Allah?"
 (QS Al-Nur [24]: 22) .
 
"Maafkanlah mereka dan lapangkan dada. Sesungguhnya Allah senang 
kepada orang-orang yang berbuat kebajikan (terhadap yang melakukan 
kesalahan kepadanya) "
 (QS Al-Ma-idah [5]: l3.
 
Sungguh, akhlak yang indah benar-benar memiliki daya tarik yang luar biasa. Meski tiada rupa 
menawan, harta melimpah dan kedudukan yang masyhur. Ianya sangat luar biasa.

Wallahu a'lam.
Read More..